Kecenderungan mengundi penduduknya agak kompleks, mendekati teori pendulum apabila parti-parti yang menang bersilih ganti, membayangkan kematangan mereka untuk berpolitik. Malah dalam pilihan raya 1959, calon pembangkang yang mewakili Parti Negara, Dato' Onn Jaafar yang berasal dari Johor, menang di kerusi Parlimen Kuala Terengganu.
(Dalam pilihan raya umum 1986 kemenangan memihak BN, diikuti Parti Semangat 46 pada 1990, BN pada 1995, PAS pada 1999, BN pada 2004 dan kekalahan tipis calon PAS kepada BN pada 2008)
Pilihan raya kali ini memang begitu penting dan cukup kritikal untuk kedua-dua parti, Umno dan PAS, juga gabungan dalam BN dan Pakatan Rakyat. Masa depan politik negara kita rasanya banyak ditentukan oleh pola pengundian di Kuala Terengganu, 17 Januari nanti.
Bertuahnya pengundi di sini kerana mereka berupaya untuk berperanan penting merubah lanskap politik negara melalui peti undi seminggu lagi. Jika PAS menang, ia bermakna momentum kejayaan KeADILan di Permatang Pauh dapat dilonjakkan ke paras yang boleh menggusarkan BN.
Sekiranya kalah, tentu banyak iktibar yang boleh dimanfaatkan, terutama untuk meneliti cabaran mendatang dalam pilihan raya ke-13.
Pengundi Kuala Terengganu sebenarnya bukan sekadar memilih ahli Parlimen menggantikan Almarhum Razali Ismail. Mereka boleh menyampaikan mesej protes secara terbuka terhadap kerajaan kerana gagal menunaikan tanggungjawab membela rakyat selepas 10 bulan mandat baru diperolehi.
Logiknya, biarpun jika Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh kalah, kedudukan BN dalam menguasai kerajaan memang tidak tergugat. Namun, ia sudah cukup untuk memberi peringatan jelas bahawa tsunami politik Mac 2008 boleh melanda Terengganu dan negeri-negeri lain yang dianggap selamat, seperti Pahang, Johor dan Melaka.
Dua faktor utama yang dipertimbangkan sebelum mengundi adalah faktor calon dan faktor parti. Jentera Umno-BN memang gabra dan dianggap kalah pada pusingan pertama jika dibandingkan calon PAS dan BN.
Hinggakan dakwaan Farid sukar senyum dan bersifat "kebangsawanan" pun terpaksa disanggah Dato' Seri Najib Razak berulang kali. Apabila Perdana Menteri sendiri terpaksa turun untuk membantu Wan Farid, ia seolah-olah membayangkan BN sedang menghadapi situasi sulit. Selalunya Presiden Umno menyerahkan tugas mengetuai kempen dalam mana-mana pilihan raya kecil kepada timbalannya.
Najib dikatakan membuat teguran secara terbuka terhadap pendekatan Wan Farid semasa menemui pengundi, termasuk kaedah dia bersalam dan kesukaran raut wajahnya menunjukkan senyum kemesraan.
Najib lebih tertekan memandangkan keputusan pilihan raya itu nanti seolah-olah menjadi kayu pengukur terhadap prestasinya sebagai bakal Perdana Menteri, Mac 2009.
Ia boleh dianggap referendum rakyat ke atas keupayaan BN menangani pelbagai konflik yang melanda negara.
Najib juga gusar dengan maklumat pihak risikan bahawa populariti PAS masih mendahului, walaupun dengan kelebihan yang kecil. Lebih memenangkan Najib apabila peruntukan untuk jentera kempen belum "mengalir ke bawah".
Seorang pimpinan tertinggi Umno Kuala Terengganu didakwa menyekat bajet itu daripada diagih-agihkan demi kepentingan peribadi. Walaupun Farid dilihat bukan orang Najib, jika ditakdirkan beliau kalah, wibawa Timbalan Perdana Menteri yang sedia terjejas dengan pelbagai isu - termasuk kes Altantuya Shaariibu - semakin merosot.
Sama ada dari sudut calon mahupun parti - Wan Farid mahupun Umno-BN - pilihan lebih mendekati calon PAS.
Pengalamannya selama lima penggal sebagai Adun Wakaf Mempelam cukup banyak membantunya untuk menghadam segala masalah masyarakat. Pendekatan mesranya dengan penduduk setempat tidak perlu dibuat-buat. Kehidupannya adalah bersama degup jantung masyarakat Kuala Terengganu.
Manakala dari segi parti, cukuplah dengan kritikan pedas Tun Dr Mahathir Mohamad ke atas keburukan Umno, serta sindiran Tun Musa Hitam bahawa Umno kini ibarat orang yang sudah tua, yang banyak sakitnya.
Personaliti pemimpin bukan isu sampingan. Lihat saja penekanan al-Farabi dalam al-Madinah al-Fadilah tentang konsep ketua negara dan pemimpin idaman, yang harus memiliki 12 sifat.
Antaranya, sempurna anggota tubuh, baik kefahamannya, baik hafalan, bijaksana dan cerdik, suka terhadap ilmu, cintakan kebenaran bencikan pembohongan, berjiwa besar dan berhemah tinggi, tidak berminat mengumpulkan wang ringgit, bersikap prokeadilan dan antikezaliman, serta kuat azam dan tidak lemah semangat.
Pengundi Kuala Terengganu harus berani mendengar dan menuruti kata hati, yang mahu satu perubahan dilakukan melalui pilihan raya ini.
Mereka tidak perlu bimbang dengan ugutan atau terpukau dengan tawaran. Mereka sebenarnya tidak terlalu kecil untuk mencipta sejarah baru, sekurang-kurangnya untuk mengajar pemimpin yang angkuh dan lupa nasib rakyat. - mks._
No comments:
Post a Comment