Tuesday, February 17, 2009

Jangan biar payung dirobekkan

Sejak sekian lama institusi Raja-Raja Melayu menjadi faktor dominan yang dapat menstabilkan politik Malaysia. Terserlah kebijaksanaan para penggubal Perlembagaan kita apabila menyerahkan beberapa kuasa penting dan strategik kepada Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong, antaranya adalah pembubaran Dewan Undangan Negeri atau Parlimen dan juga perlantikan Menteri Besar atau Perdana Menteri.

Menteri Besar atau Perdana Menteri boleh mengusulkan pembubaran Dun atau Parlimen bagi diadakan pilihan raya, tetapi akhirnya ia terpulang kepada kebijaksanaan Raja-Raja Melayu untuk merumuskan keputusan. Baginda adalah payung buat seluruh rakyat jelata berteduh di bawah naungan keadilan, tanpa mengira kaum dan agama, tanpa mengenal anutan dan kecenderungan politik. Maka, yang menjadi perkiraan baginda bukannya kepentingan mana-mana parti politik yang bersaing dan bertanding dalam pilihan raya, tetapi kepentingan semua pihak agar tiada golongan yang berasa terkilan dan teraniaya.

Raja-Raja Melayu dapat bertindak sebagai pendamai yang bijak mencari jalan keluar yang benar-benar adil apabila timbul isu-isu politik yang kritikal, sepertimana yang terserlah di Perak sekarang. Sementalahan pula Sultan Azlan Shah merupakan bekas Ketua Hakim Negara yang begitu dihormati dan tidak pernah terjebak dengan hal-hal kontroversi yang banyak menimpa ketua-ketua hakim lain. Putera baginda, Raja Nazrin Shah juga dikenali sebagai anak raja yang tinggi daya intelektualnya dan cukup prihatin dengan hubungan antara istana dan rakyat. Baginda berdua agak kerap mengingatkan bahawa institusi raja akan "dimuziumkan" jika mengabaikan kehendak dan kepentingan rakyat, apatah lagi sekiranya terbabit dengan kesalahan yang boleh mengundang kemarahan orang ramai.

Berdasarkan senario di Perak, selepas tiga orang Adun Pakatan Rakyat, masing-masing dua keluar daripada KeADILan dan seorang DAP, maka jumlah Adun Pakatan dan BN sama ramai, iaitu 28 orang. Kedudukan tiga Adun berkenaan yang mengisytiharkan diri sebagai Bebas juga menimbulkan tanda tanya ekoran surat perletakan jawatan sebagai Adun yang diserahkan kepada Speaker Dun Perak. Biarpun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak surat berkenaan, namun Speaker membawanya ke Mahkamah Tinggi Ipoh, menuntut tiga kerusi itu dianggap kosong.

Maka apabila Menteri Besar, Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin menghadap Sultan Perak mohon agar Dun dibubarkan, baginda berpeluang menjalankan keadilan untuk semua pihak yang terbabit dalam konflik ini. Pilihannya cukup mudah, iaitu menerima atau menolak cadangan Nizar. Sekiranya ditolak sekali pun, Nizar masih sah sebagai Menteri Besar, manakala Umno Perak di bawah kepimpinan baru Dato' Seri Najib Razak perlu bersabar menunggu sidang Dun terdekat, yang ditentukan pada April depan, bagi membentangkan usul tidak percaya kepada Menteri Besar.

Dikatakan Nizar tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti Adun, soalnya bagaimana kesimpulan mudah itu dibuat? Ia sepatutnya hanya dirujuk kepada sidang Dun untuk menentukan apakah sememangnya beliau sudah tidak mendapat kepercayaan majoriti. Ini berbeza dengan keadaan apabila belum ada kerajaan yang dibentuk atau menteri besar yang dilantik, seperti senario selepas berlangsungnya pilihan raya umum. Agak janggal apabila Sultan memanggil tiga Adun Bebas berkenaan bagi memeriksa kecondongan politik mereka. Saya tidak pasti apakah Sultan sudah mengambil alih fungsi penting sidang Dun bagi mengusulkan undi tidak percaya kepada seseorang Menteri Besar?

Apa pun, ramai berpendapat, berdasarkan kemelut semasa, Sultan sepatutnya memilih untuk bersetuju dengan cadangan pembubaran Dun bagi menyerahkan semula kepada rakyat untuk membuat pilihan. Yang mesti diutamakan ialah rakyat baginda sendiri, bukan kepentingan BN yang berpusat di Kuala Lumpur, yang tidak sabar-sabar lagi untuk merampas teraju kuasa di Ipoh. Malang sekali apabila keputusan baginda seperti mengeruhkan lagi suasana. Jalan keluar yang begitu nuetral, yang adil untuk semua pihak yang "bertelingkah" seakan terabai.

Ada pihak menimbulkan soal hak prerogatif Sultan, namun dengan rendah hati diingatkan bahawa segalanya tidak boleh dilaksanakan sesuka hati, ia tertakluk dengan peraturan dan prinsip keadilan itu sendiri. Cuba renungkan, dalam keadaan sekarang, apa sebenarnya kehendak BN dan apa pula kehendak rakyat? Dan mengapa pula, selain takut berdepan pilihan raya negeri, untuk menanti sidang Dun pun BN tidak sanggup? Apakah BN memang tidak percayakan Adun-Adunnya sendiri jika pengundian dilakukan nanti?

Melihatkan demonstrasi di Masjid Ubudiyyah, Kuala Kangsar, bersebelahan istana, 6 Februari lalu, terbukti ramai rakyat terkilan dengan keputusan Sultan sehingga sanggup mereka berbaring menghalang kenderaan raja. Hak mereka seperti direntap dan dibuang ke longkang. Justeru, amat malang apabila begitu ramai pengunjung buku pelawat laman web berkaitan Istana Perak meluahkan rasa marah, malah merakamkan kecaman yang tidak sepatutnya ditujukan kepada baginda.

Soalnya, tidak timbul pihak tertentu yang menghina institusi raja atau menderhaka kepada sultan, yang sememangnya diakui mempunyai banyak peranan positif tetapi apakah dengan beberapa keputusan yang dibuat, maka raja-raja itu dilihat menghina diri mereka sendiri. _

No comments: