Wednesday, August 18, 2010

"Hang percaya Harussani?"

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN


Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria memang terkenal dengan isu-isu kontroversi. Malangnya ada isu-isu yang dibawanya itu tidak lebih daripada "serkap jarang". Saya tidaklah sampai menuduh beliau sebagai pembawa berita palsu atau yang belum disahkan kerana ia tentulah tidak baik kepada imejnya sebagai seorang ulama terkemuka. Cuma banyak pihak terkilan dengan sikapnya, yang kadang-kadang dilihat boleh (atau bersedia) diperalat oleh golongan berkepentingan.


Memang ulama tidak wajar mengasingkan diri daripada politik, malah wajar mengungguli politik Islam, tetapi pendekatan Harussani begitu canggung sekali.


Peringatannya dalam isu murtad cukup bermanfaat sehingga masyarakat dan kerajaan tersentak; sayang sekali, ada ketika, fakta yang dibawanya tidak berjejak dan ini boleh mengundang kontroversi yang berbahaya.


KUTIP FAKTA SALAH


Saya pernah menemuramahnya semasa saya mengetuai akhbar Siasah hampir lima tahun lalu. Terasa selesa berdepan dengannya. Bagus penjelasannya, tetapi saya perlu berhati-hati dalam editing, bimbang bukan sahaja beliau terlepas cakap tetapi mengutip fakta yang susah hendak disahkan.


Harussani semasa hangat isu perpaduan PAS-Umno menegaskan: "Saya mufti, takkan saya berbohong."


Bagaimanapun pendedahannya bahawa ada pemimpin Umno dan PAS berjumpa dengannya berbincang dan meminta pandangan beliau berhubung dengan cara untuk menyatupadukan kedua-dua parti itu disanggah keras pemimpin tertinggi PAS. Diakui wujud pertemuan seorang Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dengannya, tetapi ia sama sekali tiada kena mengena dengan isu kontroversi itu.


Saya sendiri, yang menghormatinya atas kelantangan dan sikap terus-terangnya, tidak sanggup menuduh beliau berdusta. Tetapi apabila saya membaca "pendedahannya", seperti dilaporkan Utusan Malaysia (ya, akhbar mana lagi), bahawa sudah ada "perlembagaan baru" yang didakwanya disediakan parti politik tertentu, saya sekadar menggelengkan kepala.


Menurut beliau, "perlembagaan baru" itu menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga Islam yang dijamin Perlembagaan sekarang. (Maka berpestalah Utusan Malaysia kerana ia bertepatan dengan momokan akhbar berkenaan tentang ketuanan Melayu yang makin terpinggir selepas pilihan raya umum 2008, yang jelas sasarannya mahu ditujukan kepada Pakatan Rakyat).


Saya tersenyum apabila membaca laporan seterusnya ucapan Harussani dalam Wacana Perpaduan Ummah Dalam Kesedaran Penghakisan Hak Orang Melayu, di Ipoh itu: "Kebetulan saya ada memberi satu ceramah di Alor Setar. Ada seseorang datang dan memberikan saya tiga buah buku perlembagaan yang dikehendaki pihak tertentu."


Saya menelefon seorang kawan minta pandangannya tentang kenyataan Harussani itu. Jawabnya, "hang percaya Harussani?" Saya terdiam. "Dia suka dengar cerita orang dan mudah percaya, kemudiannya menjadi bahan utama dalam ceramahnya pula," tambah kawan saya itu lagi.


Tiba-tiba saya menjadi kasihan kepada Mufti Perak ini. Sudah banyak kali beliau menyampaikan kepada umum khabar sensasi yang diterimanya, yang saya pasti belum sempat disahkan kebenarannya.


JANGAN NAIF


Siapalah saya untuk menasihatinya agar menyelidiki dengan mendalam berita yang didengarnya sebelum menyebarkan kepada umum. Maaf kalau saya memperingatkan beliau agar jangan naif sangat dengan percaturan politik.


Apabila ditanya siapa dan parti politik mana yang terlibat dalam mewujudkan perlembagaan baru itu, seperti dilaporkan berita muka depan Utusan Malaysia, 17 Ogos lalu, Harussani enggan mendedahkan kerana "kesannya terlalu besar sehingga boleh mencetuskan peperangan besar di negara ini".


Maka semakin tersenyum simpullah saya seorang diri pagi Selasa itu. Saya pasti, seperti juga dalam dakwaannya bahawa ada pemimpin tertinggi PAS berjumpa dengannya mengenai rundingan Umno-PAS, Harussani tidak akan menjelaskan siapa dalang perlembagaan baru itu.


II.


Ramadan kini hampir melepasi fasa 10 hari pertama. Ya, sungguh cepat masa berlalu. Semoga sepuluh malam dan siang hari berpuasa itu dimanfaatkan setulusnya bagi mendekatkan diri dengan Allah SWT, seterusnya meningkatkan darjat takwa kita. Keampunan-Nya amat didambakan, dan doa dipanjatkan agar taubat diterima dan kita terselamat daripada seksaan api neraka.


Ramadan juga dikenali sebagai bulan al-Quran. Maksud al-Baqarah, ayat 185: "Bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan permulaan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda antara yang hak dan yang batil ...". Beruntunglah mereka yang dapat mendakap erat kalam Allah itu, membacanya dengan penuh keinsafan, serta menggali hikmah di dalamnya.


DAMPINGILAH AL-QURAN SEERATNYA


Nabi s.a.w. bersabda, yang bermaksud: "Bacalah al-Quran! Sesungguhnya al-Quran pada hari Akhirat nanti akan datang mebawa syafaat kepada orang-orang yang membacanya."


Membaca satu huruf sahaja dari al-Quran sudah dijanjikan Allah dengan satu pahala dan ia digandakan lagi kepada sepuluh pahala. Rasulullah s.a.w menerangkan bukanlah "Alif Lam Mim" itu dikira satu huruf, bahkan "Alif" satu huruf, "Lam" satu huruf dan "Mim" satu huruf.


Dr 'Aid Abdullah Al-Qarni dalam bukunya, "Hikmah Berpuasa di bulan Ramadan" menjelaskan: "Di awal Ramadan, Nabi mempersiapkan dirinya untuk hidup bersama al-Quran, mengurangi segala aktiviti dan kesibukan selain al-Quran, agar dapat mengkaji, membaca dan menjadikannya sebahagian dari kehidupan. Al-Quran merupakan mukjizat terbesar ... ketika setiap mukjizat sirna bersama kematian nabi yang membawanya, mukjizat al-Quran terus hidup sampai hari Kiamat."


Selain berazam khatam al-Quran sepanjang Ramadan, wajar sekali jika kita memerhatikan pengertian di dalamnya. Justeru, seeloknya kita memiliki sebuah terjemahan al-Quran yang baik. Peruntukkanlah waktu untuk menelaah maksud kitab suci terutama bersama keluarga dan rakan-rakan di pejabat. Ada imam menjadikan program tazkirah untuk mengupas dua tiga ayat al-Quran yang dibacanya dalam solat tarawih.


Seorang teman tidak lupa membaca satu juzuk setiap kali selepas solat fardu dan berazam untuk lima kali khatam menjelang Aidilfitri. Saya masih ingat seorang saudara di kampung, tetap menghadap al-Quran, ketika orang lain sibuk membuat persiapan raya pada petang hari terakhir puasa. "Rugi sangat jika masa sesuntuk ini tidak dimanfaatkan untuk membaca al-Quran," katanya. Manakala seorang lagi rakan, dari Pulai, saban hari mengingatkan melalui SMS: "Akhi, surah ke berapa hari ini, ana baru surah ...."


Saya juga tertarik dengan kecenderungan semakin rakan-rakan yang mengambil cuti sepuluh terakhir Ramadan dan rela mengorbankan cuti panjang selepas raya. Mereka mahu menumpukan kepada ibadah khusus seperti beriktikaf di masjid, bertadarus al-Quran, solat sunat, menyantuni golongan fakir, merenung dan memuhasabah diri, selain memohon keampunan, tanpa sebarang gangguan rutin pekerjaan seharian. Bagi saya mereka bijak memilih cuti yang tepat.


III.


Pengerusi baru Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Tan Sri Hasmy Agam membuat cabaran kepada semua rakyat Malaysia, jika tidak mahu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), maka mereka hendaklah bersatu menentangnya.


Beliau berkata hak asasi akan hanya diletakkan di tempatnya yang sewajar di negara ini, apabila semua pihak, bermula daripada kanak-kanak sekolah sehingga pegawai penguatkuasa memahami hak masing-masing.


"Terpulang kepada rakyat Malaysia sama ada mereka mahu atau tidak mengekalkan ISA," tambah Hasmy, bekas diplomat itu.


TUKAR KERAJAAN, TIADA JALAN LAIN


Suhakam, ujarnya, telah dan akan terus mendesak agar ISA dibubarkan. "Pendirian Suhakam jelas. Kami mahu ia dibubarkan. ... Dunia sudah berubah. Darurat sudah berakhir. Tidak ada lagi komunis. Mengapa ISA perlu dikekalkan?" tegas Pengerusi Suhakam ketiga itu, selepas Tun Musa Hitam, bekas Timbalan Perdana Menteri dan Tan Sri Abu Talib Othman, bekas Peguam Negara.


Tugas Hasmy, yang dilantik 7 Jun lalu, pastinya penting dan berat sekali, apatah lagi jumlah pesuruhjaya Suhakam yang baru hanya tujuh orang berbanding 16 sebelum ini.


Mungkin hambatan kewangan atau sikap tidak peduli pemerintah menyebabkan keanggotaan pasukan Hasmy dikurangkan. Antara tugasan awal mereka adalah memantau candlelight vigil memperingati 50 tahun ISA, yang diadakan di lokasi tertentu di seluruh negara. Pihak polis, seperti lazimnya, langsung tidak menghiraukan kehadiran pesuruhjaya Suhakam apabila bertindak keras menyurai perhimpunan aman itu dan menangkap beberapa aktivis.


Pendirian Suhakam terhadap ISA, sama ada menerusi kenyataan akhbar dan laporan tahunannya (yang tidak dibahaskan di Parlimen) adalah jelas. Soalnya, apakah cukup sekadar mengungkapkan siri perisytiharan sahaja tanpa berupaya mempengaruhi polisi atau dasar kerajaan terhadap akta drakonian itu?


Suhakam juga tidak bersetuju dengan sikap KDN menangani kes pembaharuan permit penerbitan Harakah dan Suara Keadilan.


Berkaitan perhimpunan aman, Suhakam telah membuat beberapa cadangan yang baik, antara lain "meminda Seksyen 27 Akta Polis 1997 untuk menjadikan perhimpunan dan perarakan amanyang dibuat tanpa lesen sebagai bukan perbuatan jenayah".


Suhakam turut mengesyorkan agar "tiada permohonan lesen diperlukan bagi mengadakan perhimpunan atau perarakan aman. Walaubagaimanapun, sesiapa yang hendak menganjurkan perhimpunan atau perarakan aman perlu memberitahu secara bertulis Ketua Ibupejabat Polis Daerah (OCPD)tentang perhimpunan atau perarakan tersebut".


Dinilai kenyataannya mengenai ISA, seperti dikutip pada awal artikel ini, seolah-olah Hasmy sudah mengangkat tangan menyerah kalah. Beliau seperti mahu menghantar mesej bahawa ISA hanya akan dimansuhkan oleh sebuah kerajaan baru, menggantikan BN.


Keputusan berada di tangan rakyat. Terpulang kepada rakyat untuk menentukan sama ada mahu melihat ISA terus mengganas atau dikuburkan terus.


KAMI DAN SUHAKAM


Sejak awal penubuhannya pada 1999, saya agak kerap bertandang ke pejabat Suhakam, yang bermula dengan sebuah kontena kecil di perkarangan Wisma Putra.

Aduan pertama saya mengenai pengharaman majalah Detik dan kemudiannya Wasilah pada tahun 2000. Naib Pengerusi Suhakam ketika itu, Allahyarham Tan Sri Harun Hashim sering menjadi rujukan kami. Pernah dalam satu majlis bersamanya, sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, saya secara berseloroh memberikan markah E kepada prestasi Suhakam dalam isu-isu kebebasan media.

Harun agak kerap bertanya saya, mungkin melihatkan tidak ramai pengamal media yang mengiringi saya ke Suhakam: "Berapa orang wartawan independen yang bersama saudara?"


"Kebanyakan mereka adalah kakitangan syarikat penerbitan saya dan juga rakan-rakan karib, adalah dua tiga puluh orang. Tapi Tan Sri kena ingat, bila Detik dan Wasilah diharamkan kerajaan, mungkin jika saya berjumpa Tan Sri tahun depan, yang tinggal tidak sampai lima orang, dan mungkin setahun kemudian, hanya tinggal saya sahaja," jawab saya.


SUHAKAM HILANG KUKU


Benar, tahun berikutnya, bukan jumlah mereka yang bersama KAMI berkurangan, malah Tan Sri pun sudah dipanggil menghadap Ilahi, al-Fatihah.

Pada September 2000 saya bersama 13 lagi aktivis media yang membentuk Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) menyerahkan nota tujuh perkara mengenai kebebasan akhbar. Suhakam turut mengadakan bengkel khas dan saya diundang sebagai salah seorang penalis forum. Selepas menyedari suaranya tidak didengari elit penguasa, dan saya pula jatuh sakit, saya tidak berminat lagi untuk membuat aduan.

Meneliti Akta 597, fungsi Suhakam adalah untuk memupuk kesedaran dan menyediakan pendidikan yang berhubungan dengan hak asasi manusia, selain menyiasat aduan berkenaan dengan pelanggaran hak asasi manusia, dengan syarat tidak melibatkan apa-apa prosiding mahkamah yang belum selesai ataupun kes yang telah diputuskan secara muktamad oleh mahkamah. Keanggotaannya pula tidak melebihi 20 orang.

Hasmy tentu dapat membayangkan kesukaran yang bakal ditempuhnya apatah lagi menyedari segalanya terletak di tangan Perdana Menteri, merangkap Pengerusi BN dan Presiden Umno, yang lebih memikirkan survival politiknya berbanding isu hak asasi yang sebenarnya tidak pernah menjadi agenda penting pemerintah.


NOTA: Sumbangan untuk golongan yang memerlukan di bulan Ramadan ini boleh disalurkan kepada akaun Maybank 564025400533 (atas nama Parti Islam Semalaysia), yang diselenggarakan oleh Dewan Muslimat PAS Pusat dan Bilik Berita Harakah.


Baca Seterusnya......

Tuesday, August 17, 2010

Keajaiban sedekah, terjemahan Quran terbaik dan diabetis yang terabai

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Ramadan terbukti bulan keberkatan yang melimpah ruah. Dorongan untuk melakukan kebaikan begitu mudah diikuti. Masjid dan surau penuh bercahaya. Iktikaf dilazimi. Kemanisan beribadah benar-benar dikecapi. Lidah basah dengan zikir. Al-Quran dibaca penuh penghayatan dan ditekuni maknanya. Ramai menempah kitab terjemahan al-Quran sejak Syaaban lagi.

Seorang sahabat dari Johor mengirim SMS: "Akhi, mahu kita berlumba khatam Quran?" Saya tahu dia sekadar mengingatkan suatu amalan mulia.

"Apa azam anta?" tanya saya.

"3 kali (khatam)," balasnya.

Jangan lupa al-Kahfi

Sebelum ini pun, hampir setiap subuh Jumaat, SMSnya tidak pernah absen: "Lutfi, jangan lupa Al-Kahfi."

Ramadan turut memancarkan keunggulan bersedekah. Berlumba-lumba masyarakat menyumbang untuk juadah berbuka, terutama di masjid.

Seorang rakan memberitahu senarai penyumbang berbuka sepanjang Ramadan di masjid dekat rumahnya sudah penuh sejak hari pertama puasa lagi.

Apabila saya minta rakan sekerja bertanyakan sebuah masjid dekat pusat bandaraya yang menjadi tumpuan ramai berbaris panjang mendapat bubur lambuk, katanya, "tiada peluang kita menyumbang sebab sudah ada penaja sepanjang Ramadan".

Maksud hadis Nabi: "Sesiapa yang memberi makan untuk orang berbuka puasa, maka baginya pahala orang berpuasa."

Dalam pada itu, solat tarawih masjid-masjid di Selangor khabarnya meriah sekali. Fenomena ini nampak terserlah selepas Pakatan Rakyat memerintah. "Macam solat Jumaat, siap kena ada sukarelawan bagi memudahkan parking," tambah rakan tadi.

"Kita berdoa moga dapat istiqamah sampai malam Aidilfitri nanti. Tak sedap juga kalau hanya bersemangat di awal puasa sahaja," ujarnya lagi.

Gandaan pahala sedekah

Sememangnya gandaan pahala sedekah dan menderma di hari-hari biasa - apatah lagi di bulan Ramadan - dipamerkan dalam banyak hadis Rasulullah s.a.w.

Antaranya: "Sesungguhnya Allah Taala menggandakan di kalangan kamu (pahala derma) sebiji kurma atau sesuap makanan, sebagaimana digandakan di kalangan kamu ternakan anak kuda atau anak unta, sehingga derma itu menjadi sebesar gunung Uhud." Dan dalam hadis riwayat Ahmad, maksudnya: "Tidak akan berkurangan duit orang yang bersedekah."

Di sini saya nukilkan kembali kisah tentang keajaiban sedekah, yang dipetik dari buku Ajaibnya Sedekah: Semakin Bersedekah Semakin Kaya, terbitan PTS. Moga-moga kita beroleh manfaat bersama.

Kisah teladan cukup bermanfaat

Sebaik pulang dari rumah Nabi, Ali bin Abu Talib menemui isteri tercintanya, Fatimah az-Zahra dan bertanya: "Wahai wanita mulia, adakah kamu mempunyai manakan untuk suamimu?"

Fatimah menjawab: "Demi Allah, saya tidak mempunyai makana sedikit pun. Tetapi ini ada enam dirham yang saya terima daripada Salman sebagai upah memintal. Saya mahu belikan makanan untuk Hassan dan Husain." Ali berkata: "Biar saya sahaja yang pergi membeli makanan."

Fatimah segera menyerahkan enam dirham itu kepada suaminya. Ali keluar lagi bagi membeli makanan. Di tengah jalan, Ali bertemu seorang lelaki yang berkata: "Siapa yang mahu memberikan pinjaman kepada Tuhan yang maha pengasih dan selalu menepati janji?"

Tanpa berfikir panjang, Ali menyerahkan semua wangnya sebanyak enam dirham. Lalu dia pulang dengan tangan kosong. Fatimah, yang melihat suaminya pulang tanpa membawa makanan, menangis. Ali pun bertanya: "Wahai Fatimah mengapa kamu menangis?"

"Wahai suamiku, kamu pulang tanpa membawa apa-apa," kata Fatimah. Ali menjawab: "Aku meminjamkan wang itu kepada Allah."

Fatimah berkata: "Sekiranya begitu, saya menyokong tindakanmu." Ali kemudian keluar rumah lagi dan berniat hendak menemui Nabi s.a.w. Di tengah jalan seorang Arab Badwi yang sedang menuntun seekor unta menghampirinya, dan berkata: "Wahai Aba-al Hassan, belilah unta ini."

Ali berkata: "Saya tidak mempunyai wang." "Kamu boleh membayarnya pada bila-bila masa," kata Badwi itu. "Berapa harganya?" tanya Ali. "Tidak mahal, 100 dirham sahaja."

"Baiklah, saya beli," kata Ali yang kemudian meneruskan perjalanannya menuntun unta. Baru beberapa langkah Ali berjalan, seorang Badwi lain menghampirinya dan bertanya: "Hai Abu Hassan, adakah kamu hendak menjual unta ini?" "Ya," jawab Ali.

"Berapa?" Tanya Badwi itu. "300 dirham," jawab Ali.

"Baiklah saya beli," kata Badwi itu dan terus memberikan wang RM300 dirham kepada Ali.

Ali segera pulang ke rumah kerana hendak menceritakan peristiwa itu kepada Fatimah. Setibanya di rumah, Fatimah bertanya: "Apa yang kamu bawa itu wahai Abu Hassan?" "Wahai Fatimah, saya membeli seekor unta dengan harga 10 dirham, kemudian saya menjualnya dengan harga RM300 dirham," jawab Ali.

Seterusnya Ali pergi menemui Nabi s.a.w. di masjid. Melihat Ali sampai di masjid, Nabi tersenyum dan berkata: "Wahai Abu Hassan, adakah kamu mahu bercerita ataupun biarkan saya sahaja yang bercerita?"

"Kamu sahaja yang bercerita, wahai Rasulullah," kata Ali. "Hai Abu Hassan, tahukah kamu siapa orang Badwi yang menjual unta dan Badwi yang membeli unta daripada kamu tadi?" Ali menggeleng: "Tidak, Allah dan rasul-Nya yang lebih tahu."

Nabi menjelaskan: "Berbahagialah kamu. Kamu meminjamkan enam dirham kepada Allah. Allah memberikan kembali kepadamu 300 dirham. Setiap satu dirham mendapat ganti 50 dirham. Orang Badwi yang pertama menemuimu itu adalah malaikat Jibrail dan yang kedua adalah malaikat Mikail."


II. TERJEMAHAN AL-QURAN TERBAIK DAN PENJAGAAN KESIHATAN

Terjemahan al-Quran yang dekat di hati saya sehingga kini masih Pimpinan Ar-Rahman, terbitan Darul Fikir yang diusahakan oleh Jakim. Versi jawinya, memang tebal, lebih 1,500 halaman, tetapi cukup memikat dan mengesankan sekali.

Saya rasa ia mungkin terjemahan terbaik dalam bahasa Melayu. Kitab besar ini diusahakan (diterjemah serta diberi penjelasan) oleh Sheikh Abdullah bin Muhammad Basmeih, yang dimulakan oleh Ustaz Faisal Othman, dan disemak dan disahkan oleh Dato' Muhammad Npor Ibrahim, bekas Mufti Kerajaan Negeri Kelantan. Cetakan pertamanya pada tahun 1968.

(Saya kira alangkah elok jika pihak penerbit dapat mengemaskinikan bentuk kitab ini, terutama dalam edisi rumi, yang lebih mesra pembaca. Untuk edisi jawi, rasanya sudah cantik. Kitab ini sepatutnya dimiliki oleh setiap rumah Muslim).

Bagaimanapun, untuk menghadiahkan kepada rakan-rakan sempena Ramadan saya berhasrat mencari yang lebih nipis dan ringan. Anak saya menunjukkan kitab terjemahan yang nampak menarik, terbitan Al-Hidayah House of Quran.

Penerbit berjaya

Pejabat penerbitnya dekat Batu Caves, berhampiran PTS juga. Saya pernah berurusan dengan pemiliknya, Kamaluddin Ibrahim, lama dahulu semasa saya aktif menerbitkan buku-buku politik dari rumah di Selayang Baru. Melihat senarai buku-buku best seller syarikatnya, ternyata beliau kini seorang penerbit yang cukup berjaya.

Lama tidak berjumpa dengannya. Namun dalam pertemuan Rabu lalu, kami lebih banyak bercerita soal kesihatan. Tentu sahaja hal pembedahan pintasan jantung saya dan perkembangan pemulihannya.

Kelihatan Kamal begitu berminat. Rupanya beliau mengikuti perkembangan saya melalui Harakah. Dia mencadangkan agar Harakah memperuntukan kolum khusus untuk kesihatan. Katanya, orang Melayu khususnya harus didedahkan dengan ilmu berkaitan penjagaan kesihatan, terutama sekali mengenai pemakanan yang sihat.

Saya segera teringat nasihat seorang ibu tua dari Surabaya, Indonesia, semasa menemani anak sulungnya menjalani rawatan angioplasti di sebuah pusat perubatan dekat KLCC.

Ketika itu saya terbaring di katil, juga menunggu giliran masuk ke bilik bedah.

"Yang penting kena jaga ini," kata ibu peramah itu kepada isteri saya, sambil melekapkan jarinya ke mulut.

Jahatnya mulut

"Jahat ini ... jahatnya mulut, di sinilah bermulanya bermacam-macam penyakit," tambahnya. Berdasarkan bual bicaranya, jelas dia mempunyai kefahaman yang tinggi terhadap penjagaan kesihatan. "Selain jaga mulut, exercise juga penting, malah amat penting," pesannya lagi.

Sepanjang menunggu - dilihat daripada riak dan geraknya di hadapan katil saya, beliau pasti gementar dan cemas - ibu tadi tidak henti-henti berdoa, menurut amalan agamanya, rasanya Kristian, dalam bahasa Melayu yang fasih. Anak lelakinya tersumbat hampir 100 peratus pada empat saluran darah ke jantung.

Sebaik anaknya disorong keluar, saya pula masuk, dan 30 minit kemudian, saya dimaklumkan bahawa operasi angioplasti ketiga saya itu gagal dan perlu "by-pass".

Semasa mengucapkan selamat tinggal kerana dia dan keluarganya harus bergegas balik ke Surabaya, ibu yang sudah kembali berwajah ceria itu berkata sambil tersenyum: "Moga ketemu lagi ... tapi jangan di sini, ya."

Saya bersetuju apabila Kamal menyatakan budaya pemakanan orang Melayu perlu diperbetulkan. Katanya, lihat saja berapa ramai anak Melayu kini yang mengalami obesiti. "Ramai orang kita bukan saja gemuk, malah terlalu gemuk. Dan ia sudah satu keadaan yang biasa kita tengok di mana-mana."

"Apa tidaknya, pagi nasi lemak dengan ayam, tengahari nasi dengan ayam, malam nasi goreng dengan ayam. Di restoran pula order teh tarik gelas besar, dan kedai-kedai makan berlumba-lumba menawarkan jus gelas paling besar," tambahnya.

Kolum kesihatan dalam Harakah

Bukan Kamal seorang, ramai kawan-kawan lain juga, selain pembaca dari merata tempat, memberi cadangan agar Harakah memperkenalkan kolum khas tentang kesihatan. Media lain sudah ke hadapan, malah ada akhbar yang dicari kerana ruangan kesihatannya yang menarik dan begitu bermanfaat untuk panduan seharian.

"Maaf cakap, saya perhatikan ramai juga aktivis PAS, termasuk yang muda-muda nampak terlebih berat," telefon seorang yang menggelarkan dirinya Makcik Kedah, dari Gombak.

"Bersenam dan jagalah makan sikit, bukankah perjuangan kita masih panjang," tambahnya. Saya sekadar dapat mengiyakan, sambil dalam diam berazam untuk membuang segala tabiat buruk terutama berkaitan dengan pemakanan.

Kita terpaksa akur bahawa gejala penyakit kronik seperti diabetis, darah tinggi, kanser, kadar kolestrol yang tinggi dan serangan jantung tidak lagi mengenal usia dan profil pesakit. Kalau dahulu sebahagian penyakit itu dikatakan hanya menyerang "orang kaya" dan berumur 40 tahun ke atas, tetapi tidak lagi sekarang. Data pada tahun 2007 menunjukkan lebih 3 juta rakyat Malaysia mempunyai kadar kolestrol yang tinggi.

Jangan ambil mudah diabetis

Strok boleh melumpuhkan anak-anak muda di bawah 30 tahun. Diabetis pula semakin "kejam" apabila anak-anak yang belum bersekolah pun tidak lagi selamat. Lima tahun lalu, dianggarkan 8 peratus penduduk Malaysia menghidap kencing manis dan tinjauan di hospital-hospital seluruh negara mendapati hanya 10.5 peratus pesakit diabetik berada dalam keadaan "under control". Seorang daripada 3 pesakit tidak menerima rawatan yang sepatutnya.

Sepanjang 20 tahun menghidap diabetik, selalunya semasa berjumpa doktor, saya selalunya akan ditanya soalan wajib, "jaga tak makan?"

Tersipu-sipu saya membalas perlahan, "jaga sikit-sikit."

Mendengar alasan itu, doktor cepat membidas, "tak ada jaga sikit-sikit, itu tandanya awak tak jaga makan."

Mengenali rakan-rakan yang turut menderita penyakit sama, saya perhatikan majoriti daripadanya bukan "pantang makan" tetapi "pantang tengok!"

Ramai lagi yang langsung tidak mengetahui kaedah merawat diabetis. Meskipun kesannya cukup buruk, seperti kerosakan serius pada saraf, buta mata, dipotong kaki, kegagalan buah pinggang, tersumbat arteri, mereka - termasuk saya - mengambil mudah sehinggalah petaka benar-benar terjadi!

NOTA: Sumbangan untuk golongan yang memerlukan di bulan Ramadan ini boleh disalurkan kepada akaun Maybank 564025400533 (atas nama Parti Islam Semalaysia), yang diselenggarakan oleh Dewan Muslimat PAS Pusat dan Bilik Berita Harakah.


Baca Seterusnya......

Thursday, August 12, 2010

Usah melatah dengan kenyataan Soi Lek ....

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

PILIHAN RAYA umum 2008 memang satu kejutan tidak terjangka dan pengalaman paling buruk buat MCA. Parti komponen BN itu kalah teruk di Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan. Igauannya pasti berterusan apabila semua pilihan raya kecil selepas itu menyaksikan tiada langsung petanda bahawa pengundi Cina bersedia untuk menyokongnya kembali.

Malah, difahamkan, di Perak misalnya, ekoran rampasan kuasa yang didalangi Dato' Seri Najib Razak bagi menggulingkan kerajaan negeri Pakatan, kemungkinan besar masyarakat Tionghua menjadi bertambah marah dan seolah-olah tidak sabar lagi untuk menunggu pilihan raya umum ke-13 untuk "mengajar BN".



WAJAH PARTI YANG MURAM

Meskipun teraju MCA bertukar daripada Tan Sri Ong Ka Ting kepada Dato' Seri Ong Tee Kiat, wajah parti itu tetap suram. Susulan itu, penampilan bergaya Dato' Seri Chua Soi Lek (walaupun skandal seksnya belum dilupakan) seperti cuba melakarkan pendekatan baru menjinakkan "kemarahan" pengundi Cina kepada BN.

Tanpa perlu menanti lama, Chua bukan sahaja gagal mempengaruhi bangsanya sendiri, kenyataannya pada Konvensyen Tahunan ke-33 MCA Kedah di Alor Star, 6 Ogos lalu mengundang petaka baru. Pengundi Melayu - yang dikira sebagai penyelamat BN pada Mac dua tahun lalu - marah dengan pandangan sempitnya yang melabelkan bahawa majoriti negara Islam sebagai tidak progesif, mundur, terkebelakang dan korup.

Chua turut berpandangan, dalam konteks Malaysia, Umno menjadi lebih konservatif untuk bersaing dengan PAS bagi mendapatkan sokongan orang Melayu. Apabila dua parti Melayu yang dominan itu bersaing, dakwa Chua, kesannya akan wujud dasar-dasar yang tidak progresif, menyebabkan negara terperangkap dalam kategori penduduk berpendapatan sederhana.

Ucapan Chua itu banyak merujuk kepada buku tulisan Syed Akbar Ali, "Malaysia and the Club of Doom". Ternyata rujukan beliau tersasar, tetapi lebih malang apabila pemimpin utama Umno tidak bersedia menegurnya.

Secara peribadi saya tidak berasa pelik dengan pandangan dan niat Chua. Beliau sekadar mahu menakutkan orang Cina terhadap PAS, yang kini semakin mesra dan intim dengan masyarakat Tionghua.

MAKIN CEMAS

Beberapa pendekatan baru PAS, misalnya penubuhan Dewan Himpunan Penyokong, menjadikan MCA lebih cemas, manakala percubaan media untuk melaga-lagakan parti Islam itu dengan DAP - dua parti yang dahulunya dianggap berada di dua kutub berbeda - langsung tidak menggugat persefahaman erat dalam Pakatan.

Sebelumnya, di Kota Bharu, Presiden MCA itu berkata, seandainya Pakatan menang dalam pilihan raya umum akan datang, maka yang bakal menjadi Perdana Menteri bukannya pemimpin KeADILan atau DAP, tetapi adalah calon PAS.

(Pengulas dan veteran politik, Tan Sri Abdullah Ahmad dalam tulisannya berpendapat ucapan Chua itu "satu pendekatan dan kenyataan takuk lama, dan lebih buruk pula kerana dia membuat kenyataan itu di Kelantan. Cina Kelantan arif berpolitik!")

Mengulas tanggapan Chua di Alor Setar, Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim, berkata Chua telah mempamerkan kejahilan dan begitu bongkak. "Bagi saya, ini tidak dapat diterima. Saya tidak tahu,tetapi berdasarkan pergaulannya dengan Umno itu langsung tidak memperlihatkan bahawa beliau memahami dan menghargai perasaan prihatin masyarakat Islam,” katanya.

TIDAK MAHU TERLALU DEFENSIF

Apa pun, saya tidaklah mahu menjadi terlalu defensif dengan beberapa ciri umum negatif, yang dikaitkan dengan majoriti negara-negara umat Islam hari ini, terutama jika dilihat dalam konteks demokrasi, hak asasi, rasuah, keadilan, jurang kaya-miskin yang melebar.

Yang salahnya dan merupakan satu pendustaan besar apabila Chua mengaitkan kemunduran itu dengan Islam, walhal pemerintahan kuku besi, regim yang menekan dan amalan korupsi - yang bukan saja berlaku di negara umat Islam tertentu - adalah disebabkan tuntutan agama itu sendiri dipinggirkan. Islam kerap dihiaskan untuk menutup wajah hodoh pemerintahan autoritarian. Saya sendiri mengimpikan akan tersenarai negara-negara Muslim dalam ranking tertinggi indeks rasuah, demokrasi dan juga kebebasan akhbar, seperti yang pernah saya ulas dahulu dalam ruangan ini .

Kini posisi utama lebih dimonopoli oleh negara-negara Scandinavia. Malah, dalam World Corruption Ranking 2008, hanya sebuah negara Muslim dapat menandingi kedudukan Israel! Meneliti tangga 20 teratas negara yang bersih rasuah, kita tidak terjumpa nama negara umat Islam.

Amat sedih melihat negara Muslim yang begitu kaya dengan hasil-mahsul buminya, dan pemimpinnya dengan bangga mempamerkan kehidupan mewah, sedangkan majoriti rakyatnya terperosok dalam kemunduran, kemiskinan dan kefakiran. Dalam sejarah moden pun kita dihidangkan dengan kisah-kisah tragis penyeksaan di luar batas kemanusiaan oleh regim penguasa terhadap pemimpin gerakan Islam.

KEKUATAN ISLAM

Dalam konteks Malaysia, sepatutnya Chua menyedari bahawa kekuatan PAS, sama ada menghadapi cabaran berbentuk tekanan dan penindasan pemerintah, atau dugaan menggiurkan semasa berkuasa, adalah berpunca daripada benteng iman dan Islam para aktivisnya.

Keupayaan PAS mempertahankan Kerajaan Negeri Kelantan (2008-3008) walaupun hanya mempunyai kelebihan satu kerusi Dewan Undangan Negeri, dilihat pemerhati politik, adalah difaktorkan oleh komitmen wakil rakyatnya terhadap Islam.

Usah dibandingkan dengan kepalsuan rakan-rakannya dalam Umno, walaupun nampak berusaha untuk meninggikan syiar Islam tetapi masih berselimut selesa dengan "gebar" rasuah, pilih-kasih, salahguna kuasa.

Sepatah kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ketika merasmikan persidangan integriti: "Dr Chua sepatutnya mendidik dirinya dengan mendalami sejarah tamadun Islam yang mencerminkan kegemilangan yang tidak hanya terhad kepada empayar global malah di dalam pembangunan seni, pembelajaran, pengenalan angka, algebra dan astronomi."

II.

Dalam politik, setiap kesempatan harus direbut atau dimanfaatkan, biarpun ketika sesuatu isu itu dilihat memakan diri. Kontroversi selalunya menarik perhatian umum. Ia membuka peluang untuk rakyat mendengar penjelasan.

KEBIJAKSANAAN MENGOLAH ISU

Justeru, isu panas tidak perlu dihindari sangat, apatah lagi digeruni. Yang penting adalah kebijaksanaan dan kecekalan untuk menekuni dan mengolahnya agar isu kontroversi (apatah lagi yang sengaja diputar-belitkan pihak lawan) itu menjadi modal berbisa untuk kembali mendominasikan pemikiran umum.

Banyak perkara yang pada awalnya nampak menggugat diri, tetapi selepas diberi penerangan sejelasnya dapat memukul balik seteru politik. Seingat saya banyak tohmahan yang dilemparkan kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat misalnya, sama ada memakan diri Umno atau akhirnya senyap begitu sahaja.

Apabila cadangan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Tony Pua untuk memansuhkan diskaun Bumiputera terhadap pemilikan rumah mewah (bernilai RM500,000 ke atas) dan bangunan komersil (lebih RM2 juta) dijadikan isu kontroversi, memang media pemerintah melihatnya seperti bola tanggung untuk "melibas maut" DAP, dan sekali gus mencari peluang mengheret PAS.

Harus diakui, asas kekuatan PAS tidak dapat lari daripada sokongan pengundi Melayu. Jadi, ia tentu tidak mahu membazirkan masa untuk bergelut dalam gelanggang ciptaan Umno.

Seperti ditunjukkan dalam kes Selangor dan Pulau Pinang - juga dahulunya Perak - Umno hanya menunggu saat sesuai untuk mengapi-apikan sentimen perkauman bagi mencalar imej dan identiti "kemelayuan" PAS.

PENGUNDI MAKIN MATANG

Bagaimanapun, pengundi tidak semestinya menelan bulat-bulat apa yang dimuntahkan media Umno. Mungkin ada sebilangan orang Melayu termakan dengan "racun" itu, tetapi ia juga menyediakan peluang untuk PAS dan Pakatan merongkai kecelaruan. Sama juga seperti ada kritikan keras terhadap pelaksanaan DEB (antaranya dikemukakan Dato' Seri Anwar Ibrahim) yang memperalatkan nama Melayu untuk kepentingan suku-sakat elit penguasa.

Apabila penjelasan diberikan, dan ia disebarkan secara terancang dan berkesan, rakyat dapat melihat kepincangan di sebalik gimik hak istimewa Melayu itu.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sudah pun menekankan bahawa beliau tidak pernah menyokong penghapusan kuota dan keistimewaan bumiputera; dalam kes hartanah, khususnya rumah kos rendah dan sederhana. Malah, diskaun untuk rumah mewah itu boleh dimasukkan dalam tabung untuk membantu rakyat berpendapatan rendah memiliki rumah.

ORANG KAYA, SAUDAGAR BESAR NIKMATI SUBSIDI

Asasnya, bantuan atau subsidi adalah untuk keperluan golongan miskin dan rakyat bawahan. Malang sekali, di negara ini, golongan kaya dan saudagar besar lebih banyak menikmatinya. Di kala senang mereka membolot pelbagai projek, kebanyakannya melalui rundingan terus, manakala di waktu susah kerajaan juga yang menyelamatkan mereka melalui operasi bail-out dan sebagainya.

Tetapi rakyat, termasuk orang Melayu, bukan buta untuk melihat realiti yang menjolok mata ini. Mereka melihat masih ramai rakyat, tanpa mengira kaum, yang susah hidupnya dan tertekan dengan kenaikan kos sara hidup selepas subsidi dipotong (atau istilah pemerintah, "diselaraskan"). Keistimewaan layanan kerajaan, melalui TNB, terhadap syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP), selalu menjadi rujukan awam.

Saya tetap yakin bahawa perubahan yang bermula dalam pilihan raya 1999 - ketika itu lebih membabitkan pengundi Melayu - tidak boleh disekat. Jangan memandang rendah kematangan rakyat dalam menilai dan memerhati gelagat pemimpin politik, BN mahupun Pakatan Rakyat.

Cuma, seperti pandangan seorang pembaca kepada saya, mungkin lebih elok jika kritikan berkaitan "hak istimewa orang Melayu" datangnya daripada pemimpin Melayu itu sendiri. Tambahnya, kritikan Anwar terhadap pelaksanaan DEB agak sukar disensasikan berbanding jika Lim Kit Siang yang mengemukakan teguran itu.

III.

Saranan agar Akta Universiti dan Kolej Universiti dipinda - termasuk dari Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Dato' Saifuddin Abdullah - bagi membolehkan mahasiswa terbabit dengan politik kepartian disambut baik banyak pihak, terutama pemimpin pelajar bukan kumpulan Aspirasi, yang bebas daripada pengaruh Umno.

BANTUTKAN PROSES KEMATANGAN

Bagaimanapun parti-parti dalam Pakatan Rakyat sejak lama melihat Auku sebagai halangan besar yang membantutkan proses kematangan warga kampus, termasuk tenaga akademiknya.

Lebih menarik apabila beberapa pemimpin muda dalam BN sendiri menyokong agar mahasiswa dibenarkan menganggotai parti politik. Antaranya, Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda Umno dan Dato' Dr Wee Ka Siong, Ketua Pemuda MCA. Namun, Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Seri Khaled Nordin, nampaknya agak keberatan, mungkin menunggu isyarat jelas Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak terlebih dahulu.

Pastinya, bagi Najib, pertimbangan utama tertakluk kepada manfaat atau bencana politik yang bakal diterima BN dalam pilihan raya umum akan datang.

KEBEBALAN MANTAN NAIB CANSELOR

Saifuddin, jelas konsisten dalam pendiriannya, seperti yang ditunjukkan dalam program Soal Jawab TV3 minggu lalu, ketika membidas "kebebalan" bekas Naib Canselor UiTM, Tan Sri Ibrahim Abu Shah. Di Georgetown, pada 9 Ogos, Saifuddin mengulangi pandangannya tentang keperluan pindaan Auku itu: "Apa yang penting ialah soal hak mereka (mahasiswa) untuk bersuara dan berorganisasi yang dijamin oleh Perlembagaan. Di samping itu ia penting untuk mematangkan demokrasi kita."

Saya harap kerajaan tidak menunggu lama untuk memecahkan belenggu yang memasung gerakan pelajar sejak 35 tahun itu. Di waktu ramai resah dengan sikap tidak peduli golongan muda dengan persoalan di sekitar mereka, apatah lagi hal-hal politik, sehingga hak paling asas dalam sistem demokrasi, iaitu tanggungjawab mendaftar sebagai pengundi pun diabaikan, maka menara gading kita mesti segera dipulihkan autonominya, selain membiarkan mahasiswa bebas "mencabar dan dicabar". Lambat atau cepat, segala kongkongan itu perlu dimansuhkan juga nanti, bukan sahaja dalam Auku, tetapi juga akta-akta drakonian lain seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP).

KERAJAAN PEKAK TELINGA

Anak muda, yang sering dikaitkan dengan idealisme luhur, bukan sahaja mudah berang apabila dianggap "budak mentah dan belum matang" sehingga perlu ditunjuk-ajar (diikat) dengan pelbagai peraturan "karut-marut", malah tidak mustahil mereka bakal bangkit "memberontak" menuntut hak jika kerajaan terus memekakkan telinga.

Apabila tekanan kini datang daripada dalam sendiri, kata putus Perdana Menteri begitu ditunggu-tunggu. Sekiranya Najib merasakan belum masanya mahasiswa dan pensyarah"dibebaskan", maka yang lebih menarik untuk diperhatikan, apakah Saifuddin, Khairy dan Ka Siong tetap bertahan dengan prinsip mereka?

(Tulisan ini disiapkan sehari sebelum Kabinet memutuskan tidak membenarkan mahasiswa terlibat dalam politik kepatian).

Baca Seterusnya......

Monday, August 9, 2010

Apabila Ibrahim Abu Shah tidak lebih bagai ketua cawangan Umno ...

Oleh Ahmad Lutfi Othman

SELALUNYA hari Rabu agak lapang buat saya dan rakan-rakan editorial Harakah. Tiada deadline pada hari itu. Kesempatan untuk melepaskan lelah seketika. Juga memanfatkan waktu luang untuk mencari informasi secara lebih santai. Walaupun masih bercuti sehingga akhir Ramadan nanti, saya cuba hadir ke pejabat, agar tidak terputus denganperkembangan semasa, juga mengatur perencanaan lobi Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) bagi memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984.

Kaki saya masih lemah. Terpaksa mengajak sahabat baik menemani. Agak lama tidak menjengah kedai buku. Di waktu ilmu dan maklumat "bertebaran" di alam maya, atau semudah di hujung jari, saya masih selesa dengan buku.

Dan buku bagi saya tidak dapat menggantikan internet. Ia lebih asyik dan mengesankan.

KURANG MESRA

Membaca di hadapan komputer mungkin baik untuk menangkap info terkini, lintasan berita tetapi saya masih kurang mesra untuk mengunyah dan menghadam ilmu melalui cara itu. Banyak bahan internet agak tohor nilai ilmunya; penggarapannya seperti tergesa-gesa.

Antara lokasi popular saya adalah Koperasi Kedai Buku Universiti Malaya. Tengah hari Rabu lalu saya berhasrat untuk singgah di situ. Kampus tertua di Lembah Pantai itu rupanya sesak. Patutlah, ada pesta konvokesyen (bukan pesta ilmu!).

Parking berdekatan kedai buku penuh dengan gerai-gerai jualan. Saya tidak boleh berjalan jauh, walaupun dibantu tongkat hadiah teman lama sekampus dulu, sama-sama aktif gerakan pelajar Universiti Teknologi Malaysia, Jalan Semarak. Hasrat untuk "menggelidah"kedai buku UM terbantut. Tak terlarat nak mengheret kaki di celah-celah keriuhan.

Semasa melewati Dewan Tunku Canselor (DTC) yang sesak dengan siswazah dan keluarga yang mahu bergambar kenangan, teringat peristiwa lebih 20 tahun lalu.

Malam itu, DTC menjadi saksi himpunan tunjuk perasaan mahasiswa membantah konsert Sheila Majid, juga sewaktu pesta konvo. September 1989, saya hadir selepas solat Isya sebagai wartawan yang baru berkhidmat dengan Harakah. Saya memang diamanahkan untuk mengendalikan kolum siswa.

Mungkin kepada editor Harakah, Zin Mahmud, pengalaman sayasebagai Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (PMUTM) 1985-86 boleh membantu.

BUKAN TENTANG KONSERT

Zahirnya isu penentangan pelajar adalah konsert. Namun asas bantahan bukan sangat kepada persembahan Sheila Majid tetapi lebih kepada sikap hipokrasi universiti dalam menangani penganjuran aktiviti kampus.

Kegiatan yang menyuburkan daya intelektualisme dan budaya ilmu, seperti seminar, konvensyen dan forum-forum isu semasa dilarang atau sekurang-kurangnya menghadapi laluan sukar untuk diluluskan urusetia Hal Ehwal Pelajar (HEP).

Penceramah atau penalis parti pembangkang seperti diharamkan terus. Sebaliknya, aktiviti hiburan seperti konsert begitu mudah dilepaskan. Tidak banyak soal jawab.

Saya kira aktivis pelajar Islam juga mendambakan aktiviti santai yang menghiburkan jika dilaksanakan dalam batas akhlak luhur.

Dalam kes protes konsert itu, mesej yang mahu diluahkan kepada dunia luar adalah mengapa pentadbiran HEP tiba-tiba menjadi begitu tertutup apabila diajukan permohonan program yang dikira dapat menyegarkan idealisme universiti itu sendiri.

Sebaliknya, minda masyarakat diasak dengan tohmahan oleh tukang canang pihak penguasa bahawa Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) hanya sibuk-ghairah bantah konsert hiburan - lalu dilabelkan mereka jumud, fanatik, berfikiran tertutup dan antihiburan.

DEMONSTRASI YANG MENGEJUTKAN

Protes yang didahului solat hajat di perkarangan DTC itu memang mengejutkan. Dikepung puluhan anggota Unit Tindakan Ringan polis sambil diperhatikan pasukan keselamatan universiti, demonstran -- majoritinya mahasiswi -- tidak berganjak walaupun diberi amaran awal bahawa mereka akan digempur jika tidak bersurai.

Saya sendiri agak kaget dengan keberanian mereka. Pelajar hanya bersedia berkompromi jika konsert yang sedang berlangsung dalam DTC ditamatkan. Satu syarat yang cukup mencabar keegoan pentadbiran universiti.

Polis selamanya memang sukar memahami bahasa diplomasi. Mereka diajar untuk menurut perintah dan kehendak elit penguasa, tidak kira apa implikasinya.

Akhirnya rempuhan secara kasar (dan itulah pendekatan tradisi polis, lihat saja tangkapan ke atas himpunan vigil anti-ISA di seluruh negara, halangan ceramah Pakatan Rakyat di Johor dan program berkaitan Felcra di Perak, baru-baru ini) dibuat.

Ramai yang ditangkap, termasuk pengunjung awam pesta konvo. Memang ia satu berita besar buat saya sebagai pemberita yang mengendalikan kolum siswa. Apa pun saya tidak dapat pulang awal ke pejabat di Jalan Pahang kerana "terpaksa" menjadi penjamin salah seorang pelajar yang ditahan di balai polis Jalan Pantai Baru.

Saya bukan saja tidak kenal pelajar berkenaan malah tidak perasaan pun namanya. Yang penting, pelajar itu tidak wajar dibiarkan bermalam dalam lokap.

PENCEROBOHAN POLIS

Harakah memberi liputan besar penangkapan dan pencerobohan polis itu. Banyak foto-foto menarik kami petik dari akhbar Cina. Satu muka penuh disiarkan.

Jurugambar amatur bersama saya tidak dapat merakam sudut-sudut menarik, apatah lagi kameranya pun begitu "ketinggalan zaman".

Jelas, universiti sudah lama hilang autonominya. Lebih teruk perbezaan pandangan jarang disanggah dengan pendapat lebih bernas. Hujah pelajar yang konkrit dihadapi dengan tekanan, ugutan dan intimidasi.

Malam itu, tragedi lebih dahsyat lagi apabila polis diperkakaskan, walaupun pendekatan berhikmah lain masih boleh digunakan.

Kisah tidak berakhir pada malam bersejarah itu sahaja. Saya langsung tidak menduga nama saya tersenarai dalam operasi borong Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bersama empat lagi pemimpin kanan PMIUM (hanya dua daripadanya dapat ditahan).

Sewaktu mahu memperbaharui jaminan terhadap seorang pelajar yang ditahan seminggu sebelum itu, di Balai Polis Brickfield, saya diminta masuk ke sebuah bilik, lantas seorang pegawai polis membacakan perisytiharan kuasa mutlak akta rimba itu.

Ya, siapa yang tidak terkejut ... tapi saya lebih tidak menduga polis mencari jalan mudah memberkas saya ketika berkunjung ke kubu sendiri. Senangnya kerja!


II.

Yang dapat Rabu itu hanya penat, apatah lagi sudah lama tidak meredah kesesakan lalulintas, walaupun hanya duduk di sebelah pemandu.

Memang Kuala Lumpur menagih perencanaan sebelum kita bergerak menuju ke sesuatu destinasi. Jika tidak, seperti yang saya perolehi hari itu, sekadar lenguh anggota badan sahaja.

Malam itu saya mahu tidur awal tetapi diganggu SMS seorang kawan jam 11.15: "Saifuddin Abdullah dan Ibrahim Abu Shah, program Soal Jawab TV3".

SAIFUDDIN YANG MENGUJAKAN

Walaupun agak lewat kerana program bermula jam 11 malam, tapi saya bingkas bangun, kerana teruja dengan nama Saifuddin, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, seorang tokoh yang sinonim dengan tuntutan agar belenggu kampus ditamatkan.

Saya sudah merasakan bahawa mantan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, Ibrahim, akan bertindak tidak lebih daripada "kehebatan" seorang ketua Umno cawangan diceruk kampung, manakala Saifuddin, walaupun seorang Ahli Majlis Tertinggi Umno, tapi dijangka mempertahankan hak dan kepentingan mahasiswa, selain terpaksa menjadi pemimpin "pembangkang" kepada menterinya sendiri, Mohamed Khaled Noordin!

Andaian saya agak menepati sasaran. Saifuddin nampak cukup tenang, mengatur bicara secara tersusun, mengemukakan hujah bagai cendekiawan, manakala Ibrahim sekadar memomokkan pandangan dangkal dan mencerminkan kebebalan yang tinggi menggunung.

Saya hairan bagaimana beliau dianugerahkan darjat profesor (pastinya pangkat naib canselor tidak lebih daripada jawatan politik), yang sepatutnya dimiliki para sarjana ulung yang disaring daripada kelompok the best minds.


Anda pastinya terkejut jika sempat mengikuti pengalaman buruk pelajar-pelajar UiTM yang dilihat mempunyai idea berbeda dengan elit pemerintah.

UiTM TERKENAL KERANA MENDERA PELAJARNYA

Sekurang-kurangnya itulah yang saya rasakan bila pertama kali didedahkan dengan taktik licik-kotor pentadbir UiTM bagi mengekang gerakan pelajar di zaman Ibrahim.

Pengganti beliau cukup padan apabila mewarisi "bebalisme" dan terus menghina keupayaan mahasiswa untuk terlibat dalam perkembangan semasa di luar kampus. Rujuk wawancara Mingguan Malaysia dengan Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar.

Malam itu Saifuddin memang bintang dan wira bagi gerakan pelajar. Beliau mencadangkan, selain guru, pensyarah patut diberi peluang bergiat aktif dalam parti, manakala mahasiswa dipertimbangkan untuk terbabit menjadi ahli parti politik.

"Jika sekarang guru siswazah DG41 hingga DG48 dibenarkan berpolitik, mengapa tidak kita memberipeluang yang sama untuk mahasiswa berbuat demikian," katanya.

Kerajaan, tambah beliau, wajar menerima mahasiswa sebagai rakan kepemimpinan, selain menghargai peranan pelajar sebagai sebahagian masyarakat sivil yang mempunyai tugas penting dalam sistem demokrasi.

Apabila Ibrahim cuba mencari daleh di sebalik artikel seorang pemimpin pelajar, yang mahukan "mahasiswa tidak diganggu pemimpin politik", Saifuddin tangkas memintas.

Bagi timbalan menteri yang mula memperkenalkan kembali Sudut Pidato (yang juga diakuinya penuh kekangan mengarut) itu, pandangan aktivis pelajar yang menjadi sandaran Ibrahim merupakan aliran lama yang ketinggalan zaman.

Agak kerap Saifuddin menyindir Ibrahim, yang kata beliau, sepatutnya lebih bersikap terbuka, berjiwa besar dan berlapang dada. Apa pun saya tak pasti sama ada Ibrahim terasa dengan kilasan itu, atau sudah "tebal telinga".

SYUKUR KONTRAK IBRAHIM TIDAK DISAMBUNG

Malah, Saifuddin seperti melahirkan "kesyukuran" di awal program apabila merujuk Ibrahim yang tidak disambung kontrak sebagai Naib Canselor UiTM selepas memegang posisi strategik itu selama sembilan tahun! (Apa pun saya kira masih ramai pentadbir utama di universiti-universiti awam yang mempunyai mentaliti hampir sama dengan Ibrahim).

Ibrahim mendakwa kebanyakan mahasiswa yang aktif di kampus dari kumpulan anti-establishment, yang bersikap rebellious. Justeru, kecenderungan itu mesti disekat.

Sedangkan bagi Saifuddin, soal itu bukan isu besar. Yang penting kita mesti menghargai hak mahasiswa dan apa jua pilihan mereka. Tambahnya, tidak ada statistik yang menunjukkan bahawa mahasiswa yang terlibat dengan politik di universiti terkemuka, seperti di Yale, Harvard, Oxford dan Cambridge, menyebabkan rankingnya jatuh.

"Saya yakin, walaupun mahasiswa dibenarkan berpolitik, mereka nantinya lebih suka bersikap non-partisan. Mereka akan lebih tertarik dengan politik ilmu, dan bukannya politik ampu," tegas Saifuddin.

Beliau turut tidak bersetuju dengan pendekatan legalistik yang sering diamalkan pentadbir universiti ketika mengendalikan konflik kampus. Baginya, jika pelajar dibenarkan menjadi ahli pertubuhan politik, tiada syarat perlu dikenakan kerana peraturan sedia ada sudah mencukupi.

Malah Saifuddin sebelum itu secara terbuka mahu peruntukan mengongkong dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dimansuhkan.


III.

Kempunan kerana tidak sempat memborong buku Rabu itu, saya membelek-belek koleksi lama. Saya kira ramai seperti saya juga; banyak buku yang dibeli tidak sempat dijamah dan terperuk dalam timbunan.

TIADA LAGI DEBAT ILMIAH DI KAMPUS

Menunggu masa lapang untuk menghadamnya hanya impian semata. Tersua buku "Mengangkasa Pengajian Tinggi" oleh teman lama, Zaini Ujang, kini Naib Canselor UTM.

Kebetulan, ketika mengulas syarahan perdana Zaini sebagai VC bertajuk "Universiti, Kreativiti, Inovasi" pada 11 Ogos 2009, saya dalam kolum ini juga, turut mengaitkan Saifuddin selaku perasmi majlis.

Dalam buku itu, Zaini mengungkapkan fenomena yang menyedihkan di universiti hari ini: "Aspek yang menjurus kepada pembinaan minda kelas pertama dan pembudayaan ilmu seperti wacana, diskusi dan persekitaran yang mesra intelektualisme tidak lagi menjadi trend dan aset penting.

"Bahkan personaliti sedemikian tidak lagi menyerlah di kampus, malah semakin pupus melawan arus masa.

"Tidak ada lagi debat atau diskusi ilmiah tentang isu-isu pokok yang membabitkan perkembangan semasa dalam arena politik, ekonomi, sosial, sains atau teknologi.

"Kalaupun ada jarang-jarang sekali dianjurkan. Itu pun dengan dengan segala perkiraannya supaya tidak bersifat sensasi dan sensitif. ...

"Keadaan ini mewujudkan persekitaran akademik yang agak pudar dan mengurangkan aktiviti serta kemeriarahan dalam konteks percambahan daya fikir dalam komuniti akademik."

Akhirnya, pesanan untuk semua, termasuk dan terutamanya, untuk saya sendiri, marilah bersama-sama kita menghidupkan Ramadan ... lutfi_detik@yahoo.com
Baca Seterusnya......

Saturday, August 7, 2010

Umno macam buku, perangkapnya mudah dibaca!

Oleh Ahmad Lutfi Othman

PEMIMPIN PAS, saya kira, sudah memberi jawapan muktamad terhadap pelawaan Umno untuk "bersatu" atau "berunding" mengenai perpaduan Melayu. Orang yang jahil politik pun tahu bahawa Umno tidaklah mengharapkan sangat ajakannya itu menjadi kenyataan. Umno yang hampir lemas hanya mahukan persefahaman dalam Pakatan Rakyat terjejas dan PAS dicurigai oleh rakan-rakannya.

Keretakan dalam Pakatan - apatah lagi apabila tercetus rasa "dikhianati" - boleh melemahkan kesepaduan yang terjalin selama ini.

Lebih buruk lagi, keyakinan rakyat yang bersedia untuk menukar kerajaan dalam pilihan raya akan datang, tergugat dengan teruk. Dalam politik, kepercayaan rakyat adalah aset yang cukup besar dan pantang untuk dinodai. Tetapi bagi Umno, sama ada PAS menolak atau menerima "pinangannya", ia tidak rugi apa-apa.

MENCUBA NASIB

Selepas menggambarkan melalui manipulasi media bahawa kepentingan Melayu terancam selepas pilihan raya Mac 2008, Umno "mencuba nasib" dengan melontarkan isu perpaduan, dan pada kiraannya, jika pemimpin PAS menolak, maka akan dilabelkan bahawa parti Islam itu bersikap angkuh, egois serta "gila kuasa" meskipun "terpaksa memperjudikan nasib bangsa sendiri".

Dalam masa sama, imej Dato' Seri Anwar Ibrahim, sebagai tenaga utama dan pemersatu Pakatan, turut cuba dicemarkan, khususnya pada pandangan orang Melayu, apabila dikaitkan hubungannya dengan Yahudi.

Pada awalnya, kebimbangan sesetengah pihak terhadap PAS, mungkin ada asas. Ya ... dalam politik, banyak perkara ditentukan oleh persepsi walaupun ia mungkin tidak berasas sama sekali. Strategis dalam Umno juga melihat hal ini. Bukan sahaja Pakatan mahu "dihuru-harakan", malah dalam PAS sendiri, kalau ada ruang, mahu "diadu-dombakan".

TIDAK MAHU DIJERAT

Tentulah mudah untuk menolak cadangan perpaduan yang sarat dengan motif politik itu, namun PAS tidak mahu dijerat atau terperangkap dengan kontroversi yang tidak berfaedah, atau terus-terusan bersikap defensif.

Berdepan pengundi kelas menengah atau yang mahir-arif dengan sepak terajang politik, yang terdedah kepada pelbagai sumber maklumat, adalah tidak menjadi masalah besar, tetapi konstituensi tradisi PAS dilihat masih mudah dipengaruhi propaganda murahan Umno.

Lagi pula PAS harus sentiasa konsisten mendasari hujah-hujah agama atas apa jua gerak politiknya. Selain perlu menjelaskan konsep dan prinsip Islam, terutama berkaitan dengan perpaduan, berdasarkan al-Quran dan Sunnah, PAS juga harus istiqamah dengan pelbagai eksperimen politiknya.

Mungkin kepada parti-parti lain, keputusan lebih mudah dibuat, tetapi bagi PAS, umum memerhatikan dengan cermat apakah tindakannya melanggar asas-asas agama yang menjadi paksi kegiatan siasahnya.

Dari segi ini PAS boleh berbangga dengan rekod cemerlangnya. PAS tidak pernah mengkhianati persefahaman politik walau dengan siapa pun ia berhubung.

MERONGKAI IKATAN

Dalam politik, kesempatan dan peluang sentiasa terbuka, namun PAS tetap memegang dengan janji. Justeru, tidak timbul PAS akan meninggalkan rakan-rakan dalam Pakatan, biar sehebat mana pun ganjaran ditawarkan, memandangkan persefahaman sudah dibentuk sebelum pilihan raya lagi. Buruk sekali imej pihak yang merongkai ikatan janji disebabkan keghairahan mengejar kepentingan sempit.

Malang bertindan bagi pemimpin Umno jika mereka merasakan PAS mudah termakan dengan umpan politik itu, apatah lagi jika memandang pimpinan PAS naif untuk mengesan perangkap yang dipasang.

PAS sebuah parti yang cukup berpengalaman merentasi segala komplot dan pakatan jahat. Ia bukan saja terbukti berjaya melepaskan diri daripada kepungan musuh, tetapi selepas itu dapat melonjakkan lagi pengaruhnya.

PELUANG TERBUKA

Kini peluang PAS terbuka luas. Rakyat sudah berani melakukan perubahan dan memberi kesempatan buatnya membuktikan keupayaan. Pengaruhnya melangkaui wilayah tradisi. Tiada siapa menduga PAS tiba-tiba diberi amanah mengetuai kerajaan negeri Perak, meskipun dalam tempoh singkat, sebelum dijatuhkan secara tidak demokratik.

Sokongan pengundi Melayu tidak pernah lari, biarpun terpaksa mengakui Umno masih mendahului di kawasan pinggir bandar. Hubungannya dengan masyarakat bukan Melayu makin intim. Tidak menang tangan pemimpinnya menghadiri majlis penerangan, termasuk di gereja dan kuil. Segala tohmahan buruk terlerai begitu sahaja.

REHATKAN UMNO


Beberapa kenyataan Tuan Guru Presiden PAS bagi memperkasakan pengaruh PAS, terutama di kawasan Melayu, bagi "merehatkan" Umno yang terbukti gagal memikul tanggungjawab, amat menarik.

"Sudah tiba masanya Umno-BN berehat dan bercuti untuk membina partinya dan membentuk dirinya semula. Sebagaimana yang berlaku dalam negara demokrasi, dia boleh kembali berkuasa selepas diperbaiki dan kita boleh buat silap kalau kita memerintah," katanya dalam wawancara bersama wartawan Harakah pertengahan Julai lalu.

Beliau turut menggariskan cabaran besar PAS, iaitu bersedia untuk mengubah minda orang Melayu agar kembali kepada Islam dan tidak bermusuh dengan bangsa-bangsa lain di negara ini.

"Umno setiap kali tersepit akan menimbulkan isu kemelayuan dan sikap fanatik yang boleh menghuru-harakan negara," kata Ustaz Abdul Hadi Awang.

Beliau memandang serius prestasi setiap wakil rakyat, apatah lagi kerajaan negeri yang diterajui PAS, serta keupayaan wakilnya dalam kerajaan campuran.

Ustaz Abdul Hadi mahu mereka menunjukkan keikhlasan dan tidak menipu dalam menunaikan tanggungjawab: "Hingga hari ini tahap konsisten wakil rakyat PAS di semua kawasan adalah teguh, tiada yang lompat parti, dan tiada yang khianat dengan janji."

PROSES PENDEMOKRASIAN

Saya sentiasa menekankan bahawa kematangan rakyat dalam menilai percaturan politik makin meningkat dan berkembang dengan pesat. Proses pendemokrasian tidak boleh disekat lagi.

Sampai ketikanya nanti setiap pelosok kampung akan diterjah dengan informasi tanpa saringan. Apa pun para aktivis harus proaktif bagi mempercepatkan proses itu, bukan hanya menunggu.

Dan harus diingat, apabila pengundi bijak memilih, ia tidak secara automatik menguntungkan Pakatan jika rakyat melihat kita juga tidak berupaya memenuhi harapan tinggi mereka.

Sikap Ustaz Hadi terhadap amalan demokrasi jelas terpancar apabila beliau mengingatkan fenomena silih bergantinya pemerintahan: "Parti yang demokratik ikhlas dalam menyelamatkan negara. Apabila parti pemerintah terbabit dengan skandal, lemah dalam pentadbiran, mereka terbuka untuk rakyat menolak dan bagi parti lain memerintah, seterusnya parti itu memulihkan diri mereka."

UMNO MACAM BUKU

Seorang teman yang sering menonton sinetron Indonesia di TV9 "menyesuaikan" dialog yang digemarinya: "Umno ini macam buku."

Saya bertanya bodoh, "apa kena dengan buku pula?"

"Yalah," sambutnya, "ia mudah dibaca ... strateginya mudah dibaca!" Beliau merujuk kepada usaha Umno untuk memerangkap PAS dengan ajakan perpaduan yang kini "tidak laku" lagi
Baca Seterusnya......

Monday, August 2, 2010

Khairy berani sanggah politik kuno Umno?

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Kewujudan kepelbagaian parti politik yang bersaing untuk mendapatkan kuasa pemerintahan, disusuli dengan kebebasan-kebebasan sivil seperti bebas bersuara dan dengan itu timbul suasana perdebatan ekoran bercanggah pendapat, merupakan antara ciri-ciri utama sebuah negara yang mengamalkan demokrasi.

Persaingan kuasa ini pula berjalan secara terbuka dan bukan secara rahsia. Situasi berbeza pandangan, sama ada dalam isu-isu dasar atau persoalan semasa, tidak sewajarnya menimbulkan kerisauan atau kegusaran, malah ia petanda proses pendemokrasian menuju ke arah kematangan.

PERDEBATAN DAN KONFLIK

Proses memberi pandangan, saling mengkritik, berwacana, perdebatan dan konflik tanpa kekerasan harus dianggap sebagai normal dan itulah hakikat demokrasi. Penyertaan rakyat dalam hal-hal politik bukan semata-mata dengan mengundi dalam pilihan raya, misalnya lima tahun sekali, tetapi berlaku setiap masa, untuk bersama-sama membangunkan negara.

Perubahan kerajaan dalam sistem demokrasi adalah lumrah. Kestabilan terjamin jika parti yang menang bertindak adil untuk semua rakyat, tanpa mengira fahaman politik, serta mengelak daripada amalan diskriminasi (sehingga tidak perlulah mewujudkan Jabatan Pembangunan Persekutuan di "negeri-negeri pembangkang") dan pihak yang kalah pula menerima baik keputusan pilihan raya (yang harus dijalankan secara bebas dan adil).

Pembangkang selama ini bersikap terbuka menerima kekalahan demi kekalahan, walaupun proses pilihan raya begitu tempang, dan ini satu sumbangan utama mereka mengukuhkan sistem demokrasi.

Masalah timbul apabila kelompok yang menang sejak merdeka tiba-tiba dikejutkan dengan isyarat bahawa mereka "boleh dikalahkan" dan segera bertindak kotor-licik, sama ada dengan memanipulasi proses persempadanan semula kawasan pilihan raya (gerrymandering) dan daftar pemilih seperti berlaku selepas pilihan raya 1999, atau bertindak lebih drastik dan ganas melalui "rampasan kuasa" di Perak selepas pilihan raya 2008. Kini usaha menawan kembali Selangor digerakkan secara besar-besaran.

SIAPA SEBENARNYA TERANCAM?

Dalam negara demokrasi sepatutnya tidak timbul tanggapan perpecahan bangsa disebabkan perbedaan anutan ideologi politik, apatah lagi tohmahan bahawa kepentingan Melayu terancam hanya kerana elit pemerintah, misalnya Umno, tidak lagi dapat memonopoli kuasa.

Memang sejak merdeka, Umno sama ada menerusi Perikatan mahupun Barisan Nasional, terus-menerus menerajui kerajaan persekutuan tanpa dicabar secara berkesan oleh pembangkang. Apabila majoriti dua pertiganya di Parlimen dinafikan dua tahun lalu, dan ini sebenarnya perkembangan sihat memperkukuhkan amalan "semak dan imbang", tiba-tiba Umno-BN menjadi panik.

Selain pada 1969, sememangnya Umno agak tergugat pada pilihan raya umum 1999 dan 2008. Dan selepas dua pilihan raya itulah isu "penyatuan Melayu" dicanangkan ke seluruh pelosok tanahair. Orang Melayu digambarkan dalam keadaan tersepit dan perlu duduk semeja berunding untuk kepentingan bersama.

Tun Dr Mahathir Mohamad, selepas dimalukan oleh keputusan pilihan raya ke-10, sanggup "mengemis" simpati pemimpin PAS semata-mata untuk bertemu muka dengan Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor. Kini, gendang lama dipalu semula, juga cuba menggambarkan bahawa kuasa politik orang Melayu akan berakhir jika terus berpecah kepada tiga parti utama.

(Sedangkan dalam satu parti pun, selepas cabaran Tengku Razaleigh Hamzah bersama Team B hampir dapat menewaskan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1987, sehingga menyebabkan Umno diharamkan, Melayu turut berpecah. Tetapi ia bukan disebabkan perbedaan pendekatan politik Ku Li dan Mahathir, namun difaktorkan oleh tindakan pihak yang menang menindas kumpulan yang kalah.

(Umno juga menyaksikan ada pemimpinnya sanggup membunuh demi kuasa. Dalam satu kempen pilihan raya kecil di Kedah, seorang petugas PAS terbunuh angkara penyokong Umno. Demi kuasa, Dato' Seri Anwar Ibrahim diaibkan sebegitu rupa oleh rakannya sendiri, juga dari parti yang sama, selain disumbat ke penjara selepas dibelasah nyawa-nyawa ikan dalam keadaan bogel).

SERANGAN BERTALU-TALU

Penyebar dakyah, yang tentunya menguasai media utama, menghalakan propaganda murahan mereka kepada negeri-negeri Pakatan Rakyat, iaitu Pulau Pinang, Selangor dan dahulunya Perak. Benar komposisi wakil rakyat dalam kerajaan negeri berkenaan nampak seolah-olah lebih berat kepada bukan Melayu, tetapi tiada hujah konkrit bahawa orang Melayu dizalimi.

Yang dipermainkan hanyalah sentimen perkauman yang memang mudah ditiup. Yang dibakar adalah api kebencian antara kaum yang mudah dimarakkan. Sedangkan usaha pembaharuan dan reformasi menguntungkan semua rakyat

Umno yang selama ini survive melalui pendekatan kaum bagi mengukuhkan kuasa rupanya belum terjaga dari mimpi lama. Pemimpinnya tetap beranggapan modal usang boleh dikitar semula. Seolah-olah orang Melayu masih terkurung dan terkepung dengan dogma Biro Tata Negara (BTN).

Lim Guan Eng dilabelkan menekan masyarakat Melayu di Pulau Pinang, sedangkan selama 50 tahun memerintah, kaum bumiputera ketinggalan jauh. Dato' Seri Nizar Jamaluddin dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dituduh pengkhianat Melayu dan bersekongkol dengan DAP, walhal urus tadbir kerajaan negeri semasa Umno berkuasa sarat dengan rasuah yang menompokkan pemimpinnya dengan kekayaan.

"Yang terancam kehilangan kuasa bukan orang Melayu tetapi Umno," sanggah seorang pembaca Harakah kepada saya, melalui telefon. "Bukankah di beberapa kawasan seperti Kota Raja, Telok Kemang dan Hulu Selangor, wakil bukan Melayu dalam BN kalah kepada wakil Melayu Pakatan Rakyat? Dan orang Melayu di Perak, Pulau Pinang dan Selangor sepatutnya menambah wakil Melayu dalam kerajaan negeri Pakatan dalam pilihan raya akan datang dengan memenangkan lebih ramai calon PAS. Cukuplah dengan peluang yang begitu lama diberikan kepada Umno," tambahnya.

"PAS wajib berhati-hati dan bertindak bijaksana menolak kerja jahat Umno pecah-belah Pakatan melalui momokan perpaduan Melayu," ujarnya.

PERANG PSIKOLOGI

Benarlah pandangan banyak pihak bahawa Umno hanya berbicara tentang perpaduan Melayu apabila kepentingan politiknya terancam. Seperti kata bekas Presiden ABIM, Dr Muhammad Nur Manuty, "Umno sedang menggunakan politik Micheavelli yang dianutinya; isu perpaduan Melayu dikumandangkan lagi sebagai strategi perang psikologi memecahbelahkan Pakatan Rakyat. Umno juga menjadikan slogan perpaduan Melayu sebagai gendang perang terakhir sebelum terus tumbang ditelan gelombang rakyat yang menuntut keadilan."

Sarjana politik sering melihat demokrasi yang wujud di Malaysia dianggap demokrasi bersifat dominasi pemerintah. Kadang-kadang ia hampir disamakan dengan keadaan di Singapura, iaitu kewujudan satu parti politik yang mendominasi demokrasi (single dominant political party) di mana sejak merdeka pada 1965, PAP (People's Actin Party) yang diketuai Lee Kuan Yew tidak pernah mengalami kekalahan, malah sentiasa menguasai lebih 95 peratus kerusi Parlimen.

Begitu juga dengan perkembangan demokrasi di Indonesia, yang dikuasai Golkar, antara 1960 hingga 1998. Umno-BN juga pada 2004 menang lebih 90 peratus kerusi Parlimen.

Malaysia dan Singapura, jika dibandingkan dengan Negara Sedang Membangun lain, memang lebih maju dari segi ekonomi, tetapi amalan demokrasinya ketinggalan jauh. Pemerintah mahu menentukan segala-galanya buat rakyat terutama dalam aspek kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Kebebasan yang dituntut rakyat sering dipersepsikan secara negatif dan dikaitkan dengan nilai yang boleh mengundang kekacauan sosial. Persaingan politik, walaupun dilihat datang bukannya dari parti siasah, akan dimomokkan sebagai penderhaka kepada "sistem sosial" sedia ada.

Mereka yang mengkritik jarang dihadapi dengan hujah dan rasional, tetapi akan dilabelkan dengan pelbagai tanggapan negatif seperti anasir subversif, pemecah-belah kaum.

Banyak tulisan cuba menjelaskan pelbagai cara dan alat sekatan yang digunakan pemerintah, kononnya untuk mempastikan keselamatan negara terkawal tetapi sebenarnya seringkali diperalatkan elit pemerintah untuk mengawal kepentingan.

Dr Nidzam Sulaiman dalam tulisannya mengenai pendekatan kaum dan kelas di Malaysia merumuskan tulisan-tulisan itu: "Para pemimpin bijak mempamerkan ciri-ciri demokrasi dengan mengadakan pilihan raya apabila sampai waktunya, membenarkan kehadiran pembangkang, tidak melarang pergerakan NGO serta menonjolkan bahawa persaingan memang, tetapi hakikatnya segala manipulasi dan penggunaan segala jentera pemerintah (state) yang dimonopoli serta media yang dikuasai sepenuhnya telah membolehkan mereka memperoleh kemenangan dalam setiap pilihan raya.

"Persaingan dibenarkan pembangkang boleh bergerak tetapi mereka bagaikan bersaing dengan musuh besar (kelas atasan) yang berkuasa dan bersenjata. Mereka dibenarkan bergerak tetapi dilarang mengadakan perhimpunan secara aman, menggunakan dewan yang besar atau stadium untuk tujuan politik, apatah lagi menggunakan media seperti radio, televisyen mahupun akhbar utama. Sebaliknya elit politik pemerintah bebas dalam segala aspek, mendapat segala macam kemudahan berkempen serta dibantu jentera pentadbiran.

"... Dari segi teorinya mereka (massa atau kelas bawahan) memiliki kuasa mengundi, memilih kerajaan dan menukarnya, tetapi dalam realiti kuasa itu tidak dilaksana kerana tindakan hegemoni, manipulasi dan indoktrinasi pemimpin."

DAKYAH PALSU

Selain itu, terutama melalui media yang dikawal ketat oleh akta drakonian dan dasar pemilikan, diulang-ulang bahawa hanya Umno-BN mampu mengekalkan kestabilan politik dan keharmonian kaum. Umno pula telah dikonstruksikan sebagai parti pelindung (van-guard) kepada masyarakat Melayu; masa depan masyarakat Melayu bergantung kepada sokongan orang Melayu terhadap Umno.

Dakyah palsu ini mungkin berpengaruh satu waktu dulu, dan mungkin masih dapat mengelirukan sebahagian masyarakat Melayu hari ini, namun dengan kepesatan teknologi maklumat, peningkatan kualiti pendidikan dan pembesaran kelas menengah di kalangan orang Melayu, "kubu terakhir" Umno itu sudah hampir dirobohkan.

Sentimen kaum yang sering dikaitkan dengan pelbagai slogan muluk seperti setia, demi bangsa, nasionalisme - dahulunya berjaya menjadi umpan sokongan - beransur-ansur kehilangan daya penarik.

Beberapa individu dalam Umno sendiri menyedarinya, antara lain, Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin. Khairy yang sudah jauh dari serambi kuasa nampak mempunyai idea menarik dalam "politik baru" sekurang-kurangnya jika diteliti sanggahannya terhadap Ibrahim Ali dan Perkasa, yang disokong penuh Dr Mahathir!

Sikap Khairy terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) juga menarik. Jangan pula ada pihak dalam Pakatan Rakyat tertinggal jauh mengekori Khairy.

Baca Seterusnya......