Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN
PILIHAN RAYA umum 2008 memang satu kejutan tidak terjangka dan pengalaman paling buruk buat MCA. Parti komponen BN itu kalah teruk di Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan. Igauannya pasti berterusan apabila semua pilihan raya kecil selepas itu menyaksikan tiada langsung petanda bahawa pengundi Cina bersedia untuk menyokongnya kembali.
Malah, difahamkan, di Perak misalnya, ekoran rampasan kuasa yang didalangi Dato' Seri Najib Razak bagi menggulingkan kerajaan negeri Pakatan, kemungkinan besar masyarakat Tionghua menjadi bertambah marah dan seolah-olah tidak sabar lagi untuk menunggu pilihan raya umum ke-13 untuk "mengajar BN".
WAJAH PARTI YANG MURAM
Meskipun teraju MCA bertukar daripada Tan Sri Ong Ka Ting kepada Dato' Seri Ong Tee Kiat, wajah parti itu tetap suram. Susulan itu, penampilan bergaya Dato' Seri Chua Soi Lek (walaupun skandal seksnya belum dilupakan) seperti cuba melakarkan pendekatan baru menjinakkan "kemarahan" pengundi Cina kepada BN.
Tanpa perlu menanti lama, Chua bukan sahaja gagal mempengaruhi bangsanya sendiri, kenyataannya pada Konvensyen Tahunan ke-33 MCA Kedah di Alor Star, 6 Ogos lalu mengundang petaka baru. Pengundi Melayu - yang dikira sebagai penyelamat BN pada Mac dua tahun lalu - marah dengan pandangan sempitnya yang melabelkan bahawa majoriti negara Islam sebagai tidak progesif, mundur, terkebelakang dan korup.
Chua turut berpandangan, dalam konteks Malaysia, Umno menjadi lebih konservatif untuk bersaing dengan PAS bagi mendapatkan sokongan orang Melayu. Apabila dua parti Melayu yang dominan itu bersaing, dakwa Chua, kesannya akan wujud dasar-dasar yang tidak progresif, menyebabkan negara terperangkap dalam kategori penduduk berpendapatan sederhana.
Ucapan Chua itu banyak merujuk kepada buku tulisan Syed Akbar Ali, "Malaysia and the Club of Doom". Ternyata rujukan beliau tersasar, tetapi lebih malang apabila pemimpin utama Umno tidak bersedia menegurnya.
Secara peribadi saya tidak berasa pelik dengan pandangan dan niat Chua. Beliau sekadar mahu menakutkan orang Cina terhadap PAS, yang kini semakin mesra dan intim dengan masyarakat Tionghua.
MAKIN CEMAS
Beberapa pendekatan baru PAS, misalnya penubuhan Dewan Himpunan Penyokong, menjadikan MCA lebih cemas, manakala percubaan media untuk melaga-lagakan parti Islam itu dengan DAP - dua parti yang dahulunya dianggap berada di dua kutub berbeda - langsung tidak menggugat persefahaman erat dalam Pakatan.
Sebelumnya, di Kota Bharu, Presiden MCA itu berkata, seandainya Pakatan menang dalam pilihan raya umum akan datang, maka yang bakal menjadi Perdana Menteri bukannya pemimpin KeADILan atau DAP, tetapi adalah calon PAS.
(Pengulas dan veteran politik, Tan Sri Abdullah Ahmad dalam tulisannya berpendapat ucapan Chua itu "satu pendekatan dan kenyataan takuk lama, dan lebih buruk pula kerana dia membuat kenyataan itu di Kelantan. Cina Kelantan arif berpolitik!")
Mengulas tanggapan Chua di Alor Setar, Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim, berkata Chua telah mempamerkan kejahilan dan begitu bongkak. "Bagi saya, ini tidak dapat diterima. Saya tidak tahu,tetapi berdasarkan pergaulannya dengan Umno itu langsung tidak memperlihatkan bahawa beliau memahami dan menghargai perasaan prihatin masyarakat Islam,” katanya.
TIDAK MAHU TERLALU DEFENSIF
Apa pun, saya tidaklah mahu menjadi terlalu defensif dengan beberapa ciri umum negatif, yang dikaitkan dengan majoriti negara-negara umat Islam hari ini, terutama jika dilihat dalam konteks demokrasi, hak asasi, rasuah, keadilan, jurang kaya-miskin yang melebar.
Yang salahnya dan merupakan satu pendustaan besar apabila Chua mengaitkan kemunduran itu dengan Islam, walhal pemerintahan kuku besi, regim yang menekan dan amalan korupsi - yang bukan saja berlaku di negara umat Islam tertentu - adalah disebabkan tuntutan agama itu sendiri dipinggirkan. Islam kerap dihiaskan untuk menutup wajah hodoh pemerintahan autoritarian. Saya sendiri mengimpikan akan tersenarai negara-negara Muslim dalam ranking tertinggi indeks rasuah, demokrasi dan juga kebebasan akhbar, seperti yang pernah saya ulas dahulu dalam ruangan ini .
Kini posisi utama lebih dimonopoli oleh negara-negara Scandinavia. Malah, dalam World Corruption Ranking 2008, hanya sebuah negara Muslim dapat menandingi kedudukan Israel! Meneliti tangga 20 teratas negara yang bersih rasuah, kita tidak terjumpa nama negara umat Islam.
Amat sedih melihat negara Muslim yang begitu kaya dengan hasil-mahsul buminya, dan pemimpinnya dengan bangga mempamerkan kehidupan mewah, sedangkan majoriti rakyatnya terperosok dalam kemunduran, kemiskinan dan kefakiran. Dalam sejarah moden pun kita dihidangkan dengan kisah-kisah tragis penyeksaan di luar batas kemanusiaan oleh regim penguasa terhadap pemimpin gerakan Islam.
KEKUATAN ISLAM
Dalam konteks Malaysia, sepatutnya Chua menyedari bahawa kekuatan PAS, sama ada menghadapi cabaran berbentuk tekanan dan penindasan pemerintah, atau dugaan menggiurkan semasa berkuasa, adalah berpunca daripada benteng iman dan Islam para aktivisnya.
Keupayaan PAS mempertahankan Kerajaan Negeri Kelantan (2008-3008) walaupun hanya mempunyai kelebihan satu kerusi Dewan Undangan Negeri, dilihat pemerhati politik, adalah difaktorkan oleh komitmen wakil rakyatnya terhadap Islam.
Usah dibandingkan dengan kepalsuan rakan-rakannya dalam Umno, walaupun nampak berusaha untuk meninggikan syiar Islam tetapi masih berselimut selesa dengan "gebar" rasuah, pilih-kasih, salahguna kuasa.
Sepatah kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ketika merasmikan persidangan integriti: "Dr Chua sepatutnya mendidik dirinya dengan mendalami sejarah tamadun Islam yang mencerminkan kegemilangan yang tidak hanya terhad kepada empayar global malah di dalam pembangunan seni, pembelajaran, pengenalan angka, algebra dan astronomi."
II.
Dalam politik, setiap kesempatan harus direbut atau dimanfaatkan, biarpun ketika sesuatu isu itu dilihat memakan diri. Kontroversi selalunya menarik perhatian umum. Ia membuka peluang untuk rakyat mendengar penjelasan.
KEBIJAKSANAAN MENGOLAH ISU
Justeru, isu panas tidak perlu dihindari sangat, apatah lagi digeruni. Yang penting adalah kebijaksanaan dan kecekalan untuk menekuni dan mengolahnya agar isu kontroversi (apatah lagi yang sengaja diputar-belitkan pihak lawan) itu menjadi modal berbisa untuk kembali mendominasikan pemikiran umum.
Banyak perkara yang pada awalnya nampak menggugat diri, tetapi selepas diberi penerangan sejelasnya dapat memukul balik seteru politik. Seingat saya banyak tohmahan yang dilemparkan kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat misalnya, sama ada memakan diri Umno atau akhirnya senyap begitu sahaja.
Apabila cadangan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Tony Pua untuk memansuhkan diskaun Bumiputera terhadap pemilikan rumah mewah (bernilai RM500,000 ke atas) dan bangunan komersil (lebih RM2 juta) dijadikan isu kontroversi, memang media pemerintah melihatnya seperti bola tanggung untuk "melibas maut" DAP, dan sekali gus mencari peluang mengheret PAS.
Harus diakui, asas kekuatan PAS tidak dapat lari daripada sokongan pengundi Melayu. Jadi, ia tentu tidak mahu membazirkan masa untuk bergelut dalam gelanggang ciptaan Umno.
Seperti ditunjukkan dalam kes Selangor dan Pulau Pinang - juga dahulunya Perak - Umno hanya menunggu saat sesuai untuk mengapi-apikan sentimen perkauman bagi mencalar imej dan identiti "kemelayuan" PAS.
PENGUNDI MAKIN MATANG
Bagaimanapun, pengundi tidak semestinya menelan bulat-bulat apa yang dimuntahkan media Umno. Mungkin ada sebilangan orang Melayu termakan dengan "racun" itu, tetapi ia juga menyediakan peluang untuk PAS dan Pakatan merongkai kecelaruan. Sama juga seperti ada kritikan keras terhadap pelaksanaan DEB (antaranya dikemukakan Dato' Seri Anwar Ibrahim) yang memperalatkan nama Melayu untuk kepentingan suku-sakat elit penguasa.
Apabila penjelasan diberikan, dan ia disebarkan secara terancang dan berkesan, rakyat dapat melihat kepincangan di sebalik gimik hak istimewa Melayu itu.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sudah pun menekankan bahawa beliau tidak pernah menyokong penghapusan kuota dan keistimewaan bumiputera; dalam kes hartanah, khususnya rumah kos rendah dan sederhana. Malah, diskaun untuk rumah mewah itu boleh dimasukkan dalam tabung untuk membantu rakyat berpendapatan rendah memiliki rumah.
ORANG KAYA, SAUDAGAR BESAR NIKMATI SUBSIDI
Asasnya, bantuan atau subsidi adalah untuk keperluan golongan miskin dan rakyat bawahan. Malang sekali, di negara ini, golongan kaya dan saudagar besar lebih banyak menikmatinya. Di kala senang mereka membolot pelbagai projek, kebanyakannya melalui rundingan terus, manakala di waktu susah kerajaan juga yang menyelamatkan mereka melalui operasi bail-out dan sebagainya.
Tetapi rakyat, termasuk orang Melayu, bukan buta untuk melihat realiti yang menjolok mata ini. Mereka melihat masih ramai rakyat, tanpa mengira kaum, yang susah hidupnya dan tertekan dengan kenaikan kos sara hidup selepas subsidi dipotong (atau istilah pemerintah, "diselaraskan"). Keistimewaan layanan kerajaan, melalui TNB, terhadap syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP), selalu menjadi rujukan awam.
Saya tetap yakin bahawa perubahan yang bermula dalam pilihan raya 1999 - ketika itu lebih membabitkan pengundi Melayu - tidak boleh disekat. Jangan memandang rendah kematangan rakyat dalam menilai dan memerhati gelagat pemimpin politik, BN mahupun Pakatan Rakyat.
Cuma, seperti pandangan seorang pembaca kepada saya, mungkin lebih elok jika kritikan berkaitan "hak istimewa orang Melayu" datangnya daripada pemimpin Melayu itu sendiri. Tambahnya, kritikan Anwar terhadap pelaksanaan DEB agak sukar disensasikan berbanding jika Lim Kit Siang yang mengemukakan teguran itu.
III.
Saranan agar Akta Universiti dan Kolej Universiti dipinda - termasuk dari Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Dato' Saifuddin Abdullah - bagi membolehkan mahasiswa terbabit dengan politik kepartian disambut baik banyak pihak, terutama pemimpin pelajar bukan kumpulan Aspirasi, yang bebas daripada pengaruh Umno.
BANTUTKAN PROSES KEMATANGAN
Bagaimanapun parti-parti dalam Pakatan Rakyat sejak lama melihat Auku sebagai halangan besar yang membantutkan proses kematangan warga kampus, termasuk tenaga akademiknya.
Lebih menarik apabila beberapa pemimpin muda dalam BN sendiri menyokong agar mahasiswa dibenarkan menganggotai parti politik. Antaranya, Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda Umno dan Dato' Dr Wee Ka Siong, Ketua Pemuda MCA. Namun, Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Seri Khaled Nordin, nampaknya agak keberatan, mungkin menunggu isyarat jelas Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak terlebih dahulu.
Pastinya, bagi Najib, pertimbangan utama tertakluk kepada manfaat atau bencana politik yang bakal diterima BN dalam pilihan raya umum akan datang.
KEBEBALAN MANTAN NAIB CANSELOR
Saifuddin, jelas konsisten dalam pendiriannya, seperti yang ditunjukkan dalam program Soal Jawab TV3 minggu lalu, ketika membidas "kebebalan" bekas Naib Canselor UiTM, Tan Sri Ibrahim Abu Shah. Di Georgetown, pada 9 Ogos, Saifuddin mengulangi pandangannya tentang keperluan pindaan Auku itu: "Apa yang penting ialah soal hak mereka (mahasiswa) untuk bersuara dan berorganisasi yang dijamin oleh Perlembagaan. Di samping itu ia penting untuk mematangkan demokrasi kita."
Saya harap kerajaan tidak menunggu lama untuk memecahkan belenggu yang memasung gerakan pelajar sejak 35 tahun itu. Di waktu ramai resah dengan sikap tidak peduli golongan muda dengan persoalan di sekitar mereka, apatah lagi hal-hal politik, sehingga hak paling asas dalam sistem demokrasi, iaitu tanggungjawab mendaftar sebagai pengundi pun diabaikan, maka menara gading kita mesti segera dipulihkan autonominya, selain membiarkan mahasiswa bebas "mencabar dan dicabar". Lambat atau cepat, segala kongkongan itu perlu dimansuhkan juga nanti, bukan sahaja dalam Auku, tetapi juga akta-akta drakonian lain seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP).
KERAJAAN PEKAK TELINGA
Anak muda, yang sering dikaitkan dengan idealisme luhur, bukan sahaja mudah berang apabila dianggap "budak mentah dan belum matang" sehingga perlu ditunjuk-ajar (diikat) dengan pelbagai peraturan "karut-marut", malah tidak mustahil mereka bakal bangkit "memberontak" menuntut hak jika kerajaan terus memekakkan telinga.
Apabila tekanan kini datang daripada dalam sendiri, kata putus Perdana Menteri begitu ditunggu-tunggu. Sekiranya Najib merasakan belum masanya mahasiswa dan pensyarah"dibebaskan", maka yang lebih menarik untuk diperhatikan, apakah Saifuddin, Khairy dan Ka Siong tetap bertahan dengan prinsip mereka?
(Tulisan ini disiapkan sehari sebelum Kabinet memutuskan tidak membenarkan mahasiswa terlibat dalam politik kepatian).
No comments:
Post a Comment