Thursday, February 17, 2011

Hubungan PAS-DAP ada pasang-surutnya ...

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Ia bukan bermula dengan tsunami politik Mac 2008 yang menggemparkan itu. Secara rasmi tiada pakatan antara PAS dan DAP semasa menyertai pilihan raya umum ke-12. Hubungan PAS hanya dengan KeADILan, yang kemudiannya menjalin persefahaman politik dengan DAP.

Pakatan Rakyat terbentuk selepas menyaksikan keputusan luar biasa yang langsung tidak terduga dan keperluan menyusun kerajaan-kerajaan negeri yang baru. Sejarah dicipta, dan paling menonjol di Perak, negeri yang langsung tidak terbayang bahawa BN akan terlucut kuasa dalam sekelip mata.

Cukup unik dan menarik sekali apabila apabila wakil parti yang memiliki kerusi Dun terkecil, PAS, dipilih sebagai menteri besar. Mohammad Nizar Jamaluddin tidak memerlukan masa lama untuk memecahkan tanggapan palsu terhadap keupayaan PAS untuk memikul amanah rakyat, sekali gus membuktikan kemampuannya menerajui negeri yang berada di luar "wilayah tradisinya".

Di Selangor, Dr Khir Toyo menggelongsor mudah, dan PAS diperlukan oleh setiap parti yang mahu membentuk kerajaan. Ada percubaan nakal daripada Umno untuk menawarkan PAS kerusi menteri besar sekiranya membentuk kerajaan campuran bersama BN di negeri termaju itu, tetapi ditolak tanpa ragu oleh parti Islam.

Jelas, PAS mementingkan permuafakatan walaupun ia terbentuk secara tidak formal di peringkat awal, dan mengetepikan kepentingan sempit kelompok.

Di Pulau Pinang dan Kedah, menurut pandangan pemerhati politik, kerjasama PAS-DAP mungkin terjalin lebih kemas dan akrab jika masing-masing mempunyai wakil dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri. Apa pun, Lim Guan Eng dan Ustaz Azizan Abdul Razak berjaya meletakkan batu asas yang kukuh untuk perkongsian kuasa lebih mantap.

Beberapa eksperimen politik PAS, terutama dalam era kepimpinan ulama, menunjukkan kematangannya berdepan real politik di Malaysia. Misalnya seperti membentuk Majlis Perundingan Cina (CCC) terutama di Lembah Kinta, mengadakan persefahaman politik dengan parti-parti kecil seperti Nasma, SDP dan PSRM dalam Harakah Keadilan Rakyat menjelang pilihan raya umum 1986.

Jalinan kerjasama dengan parti-parti lain kian menonjol apabila PAS di bawah Ustaz Fadzil Mohd Noor mengorak langkah awal mendekati kumpulan Tengku Razaleigh Hamzah. Ku Li dan Musa Hitam bersama ramai lagi pemimpin kanan Umno, termasuk menteri kabinet, membentuk Team B dikecewakan oleh Dr Mahathir Mohamad melalui taktik kotor dalam pemilihan Umno, 24 April 1987.

Hasilnya terbentuk Angkatan Perpaduan Ummah menjelang pilihan raya umum 1990, yang menyebabkan Umno kalah semua kerusi di Kelantan, Dun dan Parlimen. Satu catatan rekod!

Kepemimpinan Ustaz Fadzil juga membuka jalan terhadap gabungan politik lebih mantap dalam Barisan Alternatif pada 1999. Dan PAS sendiri juga yang membuka laluannya.

Jika pada 1990, PAS memerlukan Semangat 46 sebagai "orang tengah" merapati DAP, kali ini empat parti termasuk KeADILan dan PRM berdiri sama tinggi. Kalau pada 1990, terbentuk dua gabungan iaitu Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat, dalam PRU ke-10, semuanya berpakat dalam satu kesatuan.

Buat pertama kali, pada 24 Oktober 1999, manifesto bersama BA dilancarkan di Hotel Federal, Kuala Lumpur. Bagaimanapun, keputusan pilihan raya ke-10 itu begitu menyakitkan buat DAP, meskipun ia menghadiahkan Terengganu kepada PAS, selain mengekalkan Kelantan. PAS juga menjadi parti pembangkang terbesar di Parlimen dengan merangkul 27 kerusi, iaitu peningkatan tiga kali ganda berbanding 1995.

Kini, dua parti yang dahulunya dikenali sebagai berbeda kutub, sedang melakar sejarah yang cukup merisaukan BN. Komitmen aktivis PAS dan DAP terhadap perjuangan jarang dipertikai meskipun berdepan onak dan duri. Diuji keperitan dan sekarang dilambung "kesenangan", namun kesetiaan dan istiqamah sukar digugat.

Seperti kata Lim Guan Eng, apa pun "perselisihan faham" yang timbul di antara PAS dan DAP, yang penting kedua-dua tokoh utama parti, iaitu Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Lim Kit Siang sentiasa saling percaya-mempercayai antara satu sama lain. Pengalaman menempuh zaman sukar mengikat mereka.

Sesungguhnya Malaysia berada di persimpangan, antara mengekalkan stail lama yang penuh kebobrokan dan merugikan rakyat, dengan pengharapan besar bagi membawa satu perubahan ke atas sistem politik yang bakal menyelamatkan dan membawa kesejahteraan.

Umno-BN terbukti tidak berupaya melakukan reformasi ke arah kebaikan, ia sekadar cuba menampung dan menampal sistem yang korup dan sudah rosak teruk. Selagi rasuah terus menanah dan membarah, khazanah negara akan terus diperkosa dan dirompak.

Teraju Putrajaya perlu diganti segera. Imej "kerajaan menanti" harus meyakinkan. Gabungan baru politik Pakatan Rakyat mesti dibebaskan daripada sebarang elemen yang meragukan. Khususnya kerjasama PAS dan DAP, yang dilihatkan menyediakan asas sistem dua parti di negara, usah biarkan ia dilemahkan dengan pelbagai karenah dan fitnah.

Harus diakui, tidak mudah untuk meleraikan segala kekusutan atau salah faham antara PAS dan DAP, sama ada di peringkat pimpinan atasan, pertengahan atau akar umbi. Tentunya timbul beberapa kesulitan, terutama apabila sentimen perkauman masih menjadi modal utama Umno-BN untuk mengekalkan sisa-sisa kuasa mereka yang berbaki itu.

Selain sentiasa menganjurkan majlis bersama bagi mendekatkan hubungan di antara kedua-dua parti ini, penyokong masing-masing juga harus dieratkan lagi.

Dalam politik, termasuk di Malaysia, ada kalanya persefahaman politik tidak dibentuk di peringkat tertinggi parti tetapi didorong atau sekurang-kurangnya dimudahkan oleh penyokong bawahan.

Syak wasangka boleh saja timbul dan kadang-kadang dimarakkan, namun dengan melihat kepentingan bersama yang lebih besar dan menyeluruh, terutama dalam konteks harapan baru rakyat Malaysia, segala "sok-sek" yang muncul dalam hubungan PAS-DAP ini dapat diatasi dengan dada terbuka.


No comments: