Monday, March 14, 2011

Tenang: Cabaran getir, kritikal PAS tetap di kampung Melayu tradisi, Felda

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Keputusan pilihan raya kecil Tenang memang tidak mengejutkan. BN mempertahankan kemenangan di kubu kuatnya. PAS pula belum berjaya menambah dua kerusi DUN di negeri yang menyediakan "simpanan tetap" buat BN di Semenanjung itu. Untuk mengharapkan sesuatu yang luar biasa dalam pilihan kecil, selalunya ia didahului dengan beberapa perkembangan yang juga "luar biasa". Perjalanan kempen di Tenang tidak menyaksikan sesuatu yang "luar biasa" itu.

Mungkin kepada pemimpin BN, angka-angka yang dipamerkan melalui kemenangan itu mengujakan tetapi sebenarnya trend mengundi pilihan raya umum ke-12 kelihatan kekal. BN tidak boleh mendabik dada bahawa ia sudah melepasi tahap kritikal dan mulai diterima umum seperti sebelum PRU12. Bagi saya, situasi politik bertahan, tidak banyak berubah. Kedudukan BN dan Pakatan Rakyat masih dalam pertarungan sengit merebut sokongan.

Umumnya masyarakat Melayu di Tenang nampak sukar berubah, tetapi tidak bermakna keadaan itu dapat berterusan selamanya tanpa gangguan. Kawasan Felda masih utuh di bawah pengaruh BN sehingga menyukarkan usaha penerangan calon PAS untuk bersemuka masyarakat peneroka. Banyak rumah pengundi tertutup rapat buat kempen PAS. Ia suatu cabaran besar yang perlu ditangani secara serius oleh petugas parti Islam.

TAK AMBIL MUDAH

Sebenarnya Umno pun tidak mengambil mudah cabaran di kubu kuat mereka itu. Pengerusi BN, Najib Razak, turun berkempen lebih awal di kawasan berkenaan -- sebelum hari penamaan calon, yakni bercanggah dengan peraturan pilihan raya sendiri -- menggunakan sepenuhnya kedudukannya sebagai perdana menteri. Banyak janji yang ditabur dan jaminan yang diberikan. Ia menunjukkan Najib juga cuak dan gentar sehingga terpaksa menggula-gulakan pengundi, walaupun dianggap penyokong tegar Umno.

Apa pun, seperti ingatan Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, Felda tidak selamanya dilihat kubu Umno. Di Pahang, pada 1999, Umno tewas beberapa kerusi Dun di kawasan Felda, dan PAS memberi cabaran sengit untuk kawasan Parlimen tertentu. Pesuruhjaya PAS Pahang itu menyarankan aktiviti keagamaan seperti kuliah pengajian dan program kefahaman Islam digiatkankan, selain terus aktif menyelami dan mencari jalan penyelesaian masalah kebajikan peneroka. Kesedaran berpolitik secara matang harus diterapkan menerusi pendekatan jangka panjang.

Kawasan Felda dikatakan memberi sumbangan besar kepada survival Umno baik di peringkat persekutuan, mahupun negeri-negeri tertentu. Bebanan memulihkan sokongan terhadap PAS tidak harus dipikul NGO tertentu seperti Anak dan tokohnya, Mazlan Aliman sahaja. Masyarakat peneroka harus diangkat menjadi komuniti celik politik dan terbuka kepada kepelbagaian maklumat melalui media baru.

SITUASI BANJIR DIEKSPLOITASI

Di kawasan majoriti pengundi Tionghua, dua daripada tiga tempat mengundi yang dimenangi PAS tiga tahun lalu di sekitar pekan Labis kini dikuasai BN. Tetapi tumpuan jangan terhenti setakat itu. Lihat pula peratusan keluar mengundi. Banjir yang melanda Tenang pada hari mengundi dieksploitasi sepenuhnya Umno-BN, yang sejak lama bergantung harap kemudahan jentera kerajaan.

Ada pihak mendakwa sesuatu yang tidak kena berlaku kepada operasi bantuan banjir terutama misi membawa masyarakat Cina menunaikan tanggungjawab penting dalam proses demokrasi. Selain itu, banjir yang melanda secara tiba-tiba menjelang Tahun Baru Cina mengakibatkan ramai pengundi Tionghua tidak selesa untuk "bersusah-payah" meredah air ke pusat mengundi.

Sementara peratusan mengundi di kawasan Felda dan majoriti masyarakat Melayu meningkat, keadaan sebaliknya ditunjukkan di kawasan Cina. Peratusan keluar mengundi merosot teruk; ada kawasan mencatatkan peratusan mengundi sekitar 50 peratus sahaja. Itu pun majoriti pengundi Cina tetap memihak PAS. Dijangkakan mereka yang tidak turun mengundi berpotensi besar menyokong Cikgu Normala Sudirman.

PENGARUH ISU NEGARA ISLAM

Justeru, kenyataan Presiden MCA, Dr Chua Soi Lek yang menegaskan beliau berbangga undi kaum Cina telah beralih semula kepada BN boleh dipertikai. Lebih karut apabila bekas Ahli Parlimen Labis itu menyifatkan kejayaan BN sebagai penolakan jelas masyarakat Cina terhadap idea PAS untuk menubuhkan sebuah negara Islam. Semasa kempen Soi Lek banyak menimbulkan isu kontroversi yang menyinggung perasaan umat Islam seperti mempersenda sikap calon PAS memakai sarung tangan ketika bersalam dengan lelaki bukan muhrim.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, pihak yang kalah teruk masih MCA kerana walaupun semua usaha telah dilakukan, pendirian kaum Cina masih tidak berubah. Naib Presiden KeADILan, Tian Chua turut berpandangan sama, sambil menekankan: "MCA gagal menakutkan pengundi Cina dengan isu negara Islam."

Namun begitu, pemimpin PAS harus memandang berat jika terbukti memang benar isu negara Islam dan hal-hal berkaitan, seperti isu salam itu, membuatkan sebilangan pengundi Cina keliru dan salahfaham. Tidak sukar dibayangkan bahawa dalam setiap kali pilihan raya kecil membabitkan PAS di kawasan mengundi majoriti Cina, isu-isu "sensitif" kerap dimanipulasi secara besar-besaran.

Tanggapan bahawa semasa PAS semakin mendapat sambutan di kalangan orang Cina, maka ia perlahan-lahan kehilangan sokongan pengundi Melayu juga harus diteliti. Persepsi politik perkauman di negara ini masih tebal dan tidak boleh diremehkan, apatah lagi apabila mesin propaganda Umno melalui Utusan Malaysia dan siaran berita televisyen begitu intensif memainkan sentimen itu di kalangan orang Melayu, terutama pengundi di kampung tradisi dan masyarakat Felda.

POST-MORTEM PUNCA KEKALAHAN

Dalam pada itu, saya tetap melihat siri pengalaman pilihan raya kecil sebagai cukup bermanfaat untuk membantu persiapan PRU13 dan menilai kelemahan yang ada. Apatah lagi di kawasan yang menyaksikan kemerosotan undi Pakatan, iaitu di kerusi penyandang BN seperti di Bagan Pinang, Batu Sapi dan kali ini di Tenang. Dan tumpuan istimewa, dengan melakukan post-mortem menyeluruh, mesti diberikan kepada kerusi Pakatan yang terlepas kepada BN, misalnya di Galas dan Hulu Selangor.

"Ia juga (keputusan Tenang) bagus untuk Pakatan agar tidak dibuai mimpi," kata seorang bekas wartawan kanan politik. "Cuma saya musykil apakah benar siri PRK selepas Najib jadi Perdana Menteri lebih memihak BN, kecuali Sibu, atau kebetulan ia diadakan di kubu kuat BN? Walaupun saya tidak meramalkan trend kini menuju situasi politik seperti pilihan raya 2004, tetapi Pakatan mesti berhati-hati dan jangan ambil mudah," tambahnya.

"Di Kelantan sendiri, sudah ada sungutan wakil rakyat tidak menghiraukan masalah pengundi. Jangan sampai fenomena 2004 berulang apabila ramai pengundi memprotes dan hasilnya PAS hampir tumbang," kata seorang peniaga kecil di Ketereh. Beliau ternyata bimbang PAS bersikap selesa di kubu kuatnya, manakala pengaruh di luar wilayah tradisi masih belum berjaya ditingkatkan sebaiknya.

Ramai juga mengingatkan, kawasan majoriti Melayu seperti Felda dan kampung tradisi memerlukan perhatian khusus -- kalau pun tidak formula baru -- PAS. Pengaruh media baru seperti internet dan akhbar alternatif mesti dinilai di kawasan berkenaan selain beberapa persepsi kuno terhadap PAS harus dipecahkan segera. Bukan saja keputusan Tenang perlu post-mortem mendalam tetapi prestasi Pakatan di seluruh negara wajar diteropong.

KESAN INTERNET MASIH TERBATAS

"Sepatutnya Tenang dijadikan kajian kes secara sistematik menilai keberkesanan pengaruh internet kepada masyarakat Melayu luar bandar," kata seorang blogger politik Pro-Pakatan.

"Tidak banyak gunanya kita berbangga dengan kejayaan revolusi Tunisia dan kebangkitan rakyat Mesir melalui laman-laman sosial internet sekiranya di negara sendiri, Malaysia, yang lebih maju berbanding rantau Arab, kesan kuasa siber masih terbatas di kalangan masyarakat terpelajar dan kawasan kota dan pinggir

bandar," tambahnya.

No comments: