Thursday, May 26, 2016

Lidah Kebenaran

Oleh Dinsman
Aku tiba-tiba jadi kosong, bagaimana nak kususun
ingatan mengenainya, saat ini, sejak berminggu sudah
ku cuba, ku cuba dan ingatanku lemah dan patah
aku tak betah lagi, aku tahu, tapi dia sudah berkurun
menahan sakitnya, bertahun-tahun
Banyak sebenarnya hendak kurakam kisah peristiwa
ketika tekun bekerja bersungguh siangmalam itu misalnya
tak peduli garis waktu pabila malam pabila siang
tenaganya tumpuannya mencurah nekad mencipta
ku ingat lagi ketika pintu di Pekeliling itu kubuka pagi
udara dingin menyentuh kulit, terasa baru dipadamkan
dialah itu – baru pulang ketika kita akan mulai

Memang umurnya baru lepas universiti ketika itu

Kejuruteraan bidangnya ditinggalkan tak dipeduli
dan aku pun tak ingat lagi bagaimanakah ia bermula
atau aku pun tak tahu; yang ku ingat di Seri Gombak
dia sering bertandang bercerita penulisan, politik dan
kewartawanan, bukan kejuruteraan, dan tiba-tiba
ada buku diterbitkannya

Tragedi Memali itu – menangkap kemanusiaannya
Soalan-soalan tak berjawab, menggetar saraf keinsafan
Jiwa pejuang muda menggelodak menjerit tak puas
Mendesak mendesah bakat seninya mengalir
catatan-catatan awal yang tajam

Dan kemudian 1992-99
tahun-tahun prolifik buku politik seorang penulis muda
duapuluh tujuh buku, lapan tahun analisa beracun berani
cermin minda meneropong permainan politik Malaysia
dalam tulisan segar memikat, disambut ghairah pembaca
adalah pemikirannya; sorotan maklumat yang luas bernas
aku masih ingat sebuah berwajah majalah judul menghasut
“Bagaimana Mahathir boleh ditumbangkan”, dan
sekarang mereka bertanya ke kiri ke kanan tercari-cari
bagaimana Najib nak ditumbangkan?

Aduh, apa yang nak kutulis sebenarnya ini?
Tidak jelas di kepala hanya cebisan-cebisan fikir
mengenang orang seperti dia itu macam apa sebenarnya?
Berbicara dan faham dari bukti pejal pengalamannya
membancuh dan membentuk perwatakan aneh-nekad
sejak di kampus di Jalan Gurney mencabar menteri, isu
hijab, pemimpin siswa bikin berita muka depan akhbar
dan selepas itu orang paling banyak terbitkan akhbar
sendiri – dialah, atau siapakah lagi?

Medan Idaman, pernah aku bersama di situ
bekerja dengannya, setelah dia bermula dengan Detik
dan majalah itu diharamkan, diterbit pula Wasilah
diharamkan juga diterbit lain lagi diharam diterbit lagi
haram jua, satu dan satu berpuluh, minggu dan minggu
Haraki, Alternatif, Reformis, Memo bersiri dan berbagai lagi
permit pun dimohon dan terus dimohon, berpuluh
semuanya ditolak dihalang, tak satu pun dibenarkan
Inilah Malaysia negara demokrasi yang sedang kita bina
Kebebasan akhbar bukan untuk yang tahu, hanya
untuk yang ampu, biar tak tahu dan tak mampu
maka kerandalah diusungnya

Sebelum itu, belum lama menjadi wartawan
dia ditahan di suatu demo di kampus, akta zalim
walau tak sampai Kamunting, cukup membangkitkan
keprihatinan, dia membela tiap mangsanya di mana jua
Sampoerna, Sandakan, sebuah dana dicipta di Harakah
istimewa buat mereka, dan dia sendiri kembara walau
bertongkat, membalut luka keluarga-keluarga terlara
– Akta zalim ISA

Apa yang nak kutulis barangkali tidak jelas, hanya
cebisan-cebisan fikir mengenangkan orang seperti dia
Ahmad Lutfi Othman – siapakah lagi? mengusahakan
majalah-akhbar sendiri senekad segila itu semangatnya
mengangkat lidah kebenaran rakyat. Aku ulangi: Lidah
Kebenaran Rakyat, tanpa peduli dibenar atau diharam
dirampas di kedai atau di kilang atau didakwa ke
mahkamah. Ketahanannya keyakinannya tak terjejas
dek sekian peluru dihunjam ke diri peribadinya
Tetapi akhbar-majalah itu niaga perlu dijual dan
dibeli. Entah di manalah silapnya aku pun tak cekap
berbisnes, apabila hutang bertimbun tiga juta RM
pohon niaga sedang menjulur akar mengejap nafas
itupun rebah ke tanah bersama sang pengusaha
lidah kebenaran rakyat

Aku masih ingat cerita rasuah seorang MB
berhabis-habisan Lutfi bagai tiada hujungnya mem-
bongkar menjejaki menyiasat kepastian ke akar umbi
merakam bukti-bukti ke video dokumentari akhbar-
majalahnya, dan aku mempimpin krew dokumentari
masuk segala lorong sempit segala padang belukar
dan pabila siap bukti itu dibawanya ke mana saja –
aduan rasuah, polis, sidang media, pilihanraya kecil
tiada kena mengena MB tersebut tetapi poster risalah
sepanduk terpampang tersebar; bersungguh-sungguh
dia, memang, bagai suatu peperangan, dan akhirnya
kesalahan MB disahkan mahkamah

Seorang pejuang kebenaran-keadilan memilih jalan
cara tersendiri, bekerjalah pula dengan pimpinan politik
tapi berfikiran bebas waras terbuka bersedia berisiko
berhujah membawa analisa baru lebih munasabah dan
Tamadun, Harakah melonjak media dipercayai rakyat
ketika rakyat hilang percaya media perdana, di musim
Reformasi. Sayangnya keislaman mereka menggerutu
selepas itu dan mereka kehilangan arah dek ‘presideng’
nan bercelaru walau bernaung di ‘arasy agama

Atas nama apa? – kita bertanya parti agama bercelaru
Atas nama apa mereka mahu singkirkan seorang editor
pemikir penulis penganalisis politik berani dan bebas
telah menyumbang sedemikian kepada parti dan rakyat?
Tentu bukan atas nama Islam kerana Islam takkan tega
menyingkir pekerja yang sedang keuzuran, dan
saat dia memerlukan bantuan majikan

Maaf aku tersasul sedikit. Memang otakku marah
orang mempersenda agama Allah, al-Quran pun banyak
menyebut hal senda-senda ini dimarahi Allah

Dan aku bukan tidak tahu apa hendak ku tulis barangkali
hanya ingatanku terpecah-pecah, melihat adik sendiri
semakin lelah dipukul masalah kesihatan dirinya. Hari ini
dia sedang belajar untuk kembali ke medan analisis politik
dan menulis semula seperti dahulu setelah sekian lama
uzur dan belajar bersabar melayan sakit. Namun taqdirkah
masih enggan melepaskan dia dari kesakitan, atau Allah
masih menyembunyikan hikmah-Nya

ketika Ahmad Lutfi disantuni kesabaran dan ketaqwaan
ketika jemarinya bermain air di bawa ke bibir ke muka ke
kepala; pinggangnya tak mampu lagi berfungsi normal
dan dia masih berbicara buku barunya

Allah ar-Rahmaan ar-Rahiim
Dialah yang maha tahu segalanya, yang nyata dan yang
tersembunyi, dan Dia telahpun mengatur tiap sesuatu
dengan qadarnya, dengan sempurnanya, maka kepada-
Nya-lah bertawakal orang-orang yang bertawakal

DINSMAN
USJ Subang
Februari 2016

 (Puisi ini mengisi halaman 482-487 buku terbaru
Ahmad Lutfi Othman, "Lorong Sunyi Media Bebas"
setebal 811 halaman)

Nota:

Buku ini satu tribute khas pengalaman kewartawanan politik Ahmad Lutfi Othman selama 30 tahun. Lebih 50 rakan media berkongsi rasa merakamkan penghargaan dengan menulis sudut pandangan tersendiri terhadap aktivisme dan penulisan Ahmad Lutfi

Antara nya

Kata Pengantar oleh Sasterawan Rakyat: Pak A Samad Said
Zin Mahmud
Dr. Janet Steele
Adam Adli Abd Halim
Ali Bukhari Amir
Noor Azam Shairi
Aziz Muda
Hasni Abas
Dr Mohammad Agus Bin Yusoff
Dr. Jeniri Amir
Kassim Muhamad
Khairul Azlam Mohamad
Lim Hong Siang
Mohsin Abdullah
Mohd Nasir Awang
Wan Nordin Wan Yaacob
Pyanhabib
Rayusa
Razali Endun
Rossem
Mohd Sayuti Omar
Selena Tay
Shahbudin Husin
Suria Janib
Ahmad Tajdid
Mohd Arif Juhani
Yusri Yusof
Zulkifli Sulong
Zulkifli Yahaya
Zunar
Bashir Ishak
M Faqih
Muqit Muhammad
Muhammad Najib Abdurrahim
Faiz Abdullah
Helmi Khalid
Abd Shukur Harun
Mohd Masyaal Hasbullah
Sabri Said
Baharuddeen Abu Bakar
Dr Md Yusoff Abd Wahab
Dr Dzulkefly Ahmad
Norlaila Othman
Johari Jaafar
Hayatul Kamil Termudi
Mohd Shuhaimi Almaniri
Dr. Nasruddin Faisol
Zul Mohamad
Mohd Zamri Dali
Natjman Zakaria
Khairul Hartimi Mohd Tajudin
Roy Rasul
Ahmad Luqman Hakim Ahmad Lutfi
Dinsman
Hanif Mahpa

Dr Syed Husin Ali dalam ucapan peluncuran buku Lorong Sunyi Media Bebas berkata, Ahmad Lutfi yang dikenalinya sejak tahun 1980-an merupakan seorang wartawan yang dihormati memandangkan prestasinya semasa memimpin Harakah, Siasah, Detik, Tamadun, Dunia Islam, Muslimah dan pelbagai penerbitan, termasuk buku-buku politik.

 Dapatkan segera buku yang turut memuatkan wawancara panjang Zin Mahmud dan Lim Hong Siang dengan Ahmad Lutfi. Banyak persoalan menarik dikemukakan dalam sesi interbiu dari hati ke hati itu, termasuk isu-isu politik mutakhir yang tidak pernah ditulis oleh Lutfi

 Untuk sesiapa yang mahu pesan melalui pos, sila Whatsapp/Sms ke Ahmad Luqman Hakim bin Ahmad Lutfi (019-2903291) NAMA, ALAMAT DAN KUANTITI BUKU serta RESIT PEMBAYARAN. Harga asal RM45 (832 ms), sempena harga pembukaan hanya RM 40 termasuk postage. Boleh bank in ke akaun Maybank Ahmad Luqman Hakim (1621-7967-0906).

Untuk mendapatkan informasi lanjut mengenai buku ini, boleh hubungi Ahmad Lutfi sendiri, 016 2090279

1 comment:

Mazlum Syahid said...

https://drive.google.com/file/d/0B6ut4qmVOTGWMkJvbFpZejBQZWM/view?usp=drivesdk

Web: almawaddah.info

Salam


Kepada:

 

Redaksi, rektor dan para akademik


Per: Beberapa Hadis Sahih Bukhari dan Muslim yang Disembunyikan


Bagi tujuan kajian dan renungan. Diambil dari web: almawaddah. info

Selamat hari raya, maaf zahir dan batin. 


Daripada Pencinta Islam rahmatan lil Alamin wa afwan