Oleh Ahmad Lutfi Othman
Dua buku yang saya hasilkan dalam tempoh dua bulan mencerminkan kerisauan saya terhadap senario politik tanahair.
Memang berlaku gelombang kebangkitan rakyat termasuk di kawasan kubu tradisi Umno, khususnya di kampung dan penempatan Felda.
Umno berdepan keretakan besar apabila Dr Mahathir Mohamad bukan
sahaja keluar parti dan menubuhkan Bersatu, tetapi hampir setiap malam
menjelajah segenap pelosok negara berkempen untuk menjatuhkan regim
korup Najib Razak.
Malah, kritikan dan kecaman Mahahir itu merupakan teguran paling
keras dan amat berbisa pernah dilemparkan kepada mana-mana perdana
menteri.
Sambutan rakyat pula cukup luar biasa, bukan hanya dilihat daripada
jumlah hadirin di lokasi ceramah, tetapi juga yang melayari siaran
langsung melalui Facebook.
Wilayah yang selama ini sukar ditembusi oleh pembangkang, termasuk pada era kehebatan Anwar Ibrahim, dapat diterobosi Mahathir.
Orang-orang tua dan warga emas juga terpanggil untuk sama-sama
bersesak berdiri atau duduk berlapek tanah, mendengar pidato bekas
perdana menteri selama 22 tahun. Kehadiran generasi “pop yeh-yeh” ini
menggambarkan tiada lagi segmen yang dianggap kebal untuk melindungi
kuasa Umno-BN.
Lalu, apa yang saya perlu risaukan, dalam gemuruh sokongan rakyat
untuk menolak Najib-BN ini? Bukankah gelombang ini dijangka menghasilkan
tsunami rakyat, yang bakal menenggelamkan regim kleptokrat dan
membentuk kerajaan baru di Putrajaya?
Awalnya memang nampak ada kekeliruan dan kebimbangan terhadap
cadangan Mahathir sebagai PM ke-7. Ada kecurigaan bahawa segala janji
pembaharuan dan reformasi tidak dapat dilaksanakan.
Bagaimanapun, perlahan-perlahan kerisauan itu dapat diatasi. Faktor
Mahathir sudah dapat diterima, antaranya, sebagai pendorong kepada
kesedaran masyarakat luar bandar dan komuniti yang selama ini berpegang
kepada fahaman karut bahawa Umno selamanya tidak dapat dikalahkan.
Buku saya, Mengapa Mahathir?, juga bertujuan menangkis serangan yang
menjadikan pengundi was-was bagi melakukan perubahan. Saya sempat
berpesan, kalaupun anda tidak dapat melihat PRU14 sebagai medan untuk
memilih sesuatu yang lebih baik, anggaplah pilihan raya ini peluang
untuk menyokong yang lebih kecil mudaratnya, dengan menolak mudarat yang
lebih besar.
Mahathir yang ditemani rakan-rakan baru, daripada PKR, Amanah dan
DAP, sudah tentu berbeda dengan Mahathir yang dikelilingi pak angguk
daripada sekutu BN. Malah Mahathir dalam partinya, Bersatu, berlainan
dengan Mahathit dalam Umno dahulu. Realiti Pakatan Harapan juga tidak
sama dengan Barisan Nasional dahulu, walapun pengerusinya orang yang
sama, Mahathir.
Namun kekhuatiran saya masih belum padam. Keyakinan saya untuk
melihat Umno-BN ditumbangkan, terbantut dengan faktor Pas, yang
khabarnya mahu bertanding sehingga 160 kerusi Parlimen.
Ya, pengaruh Pas mungkin tidak sebesar mana, memandangkan ramai juga
ahli dan aktivisnya sudah keluar menyertai Amanah. Tetapi saya tidak
mahu mengambil risiko dengan memandang rendah keupayaan Pas mencuri undi
penyokong pembangkang.
Benar, sokongan Pas bukanlah hebat sangat, namun ia merupakan sebuah
parti yang boleh dikira mempunyai penyokong tegar-fanatik paling ramai
berbanding parti lain.
Dalam keadaan tertentu Pas bukan hanya dianggap wadah politik, tetapi berjaya membentuk komuniti kemasyarakatan yang erat.
Justeru, walaupun ada ahli atau penyokongnya yang sudah tidak dapat
menerima pendekatan Ustaz Hadi Awang, tetapi mereka hanya berdiam diri
demi menjaga kerukunan hidup bermasyarakat.
Memang kita mengharapkan mereka ini dapat membuat keputusan tepat,
dengan mengundi Pakatan Harapan, sekalipun masih menjadi ahli Pas.
Mereka terpaksa bersama dalam riuh-rendah bergotong-royong menyiapkan
bilik gerakan pilihan raya Pas, bimbang dipulaukan atau demi menjaga
Bukankah ahli dan penyokong Pas sentiasa dilatih untuk mengutamakan dalil dan hujah, bukan dipengaruhi sentimen dan emosi?
Mereka sudah pasti tidak boleh menerima hakikat bahawa begitu banyak
aksi, tindakan, kenyataan dan mesej tersirat yang disampaikan Pas hari
ini, yang bertentangan dengan kepercayaan tradisi selama ini, bahawa
kerajaan zalim dan menindas tidak wajar sama sekali diberi talian hayat
untuk terus berkuasa.
Ahli dan penyokong Pas sendiri merasakan tekanan hidup tambah berat,
harga barangan asas naik mendadak, dana awam dicuri secara terbuka,
beban menampung kos kesihatan dan pendidikan kian perit, sebahagian
besar terpaksa melakukan dua tiga jenis pekerjaan serentak.
Dalam masa sama, seolah-olah ada main mata di antara pimpinan
tertinggi Pas dan Umno. Betul, kedua-dua parti tetap berentap dalam
pilihan raya, namun ada khabar yang disahihkan kemudiannya, ada individu
yang rapat atau berkepentingan, dengan Umno, menyalurkan wang jutaan
ringgit ke dalam kantung Pas.
Mana-mana pemerhati politik, termasuk penganalisis antarabangsa,
secara mudah, dapat menangkap bahawa Umno paling beruntung apabila Pas
masuk bertanding walaupun di kerusi yang hampir mustahil ia menang.
Permainan apakah ini? Sandiwara apa yang sedang berlangsung? Ahli Pas
ditanamkan bahawa apa sahaja dakwaan yang memburukkan parti itu adalah
fitnah, apatah lagi jika dibawa oleh “pengkhianat”.
Saya perhatikan, penyokong Pas dalam keadaan keliru dan ragu-ragu. Di
kala rakyat biasa seperti sudah sepakat mahu menubuhkan kerajaan baru,
dalam kesempatan terbaik pernah terhidang, penyokong Pas mahu
mensia-siakannya.
Undi strategik mereka bakal menjadi penyelamat kleptokrat, yang
memecahkan sokongan pembangkang, dan menggagalkan impian ramai. Apatah
lagi dengan persempadanan semula kawasan pilihan raya, gerrymandering,
yang bertujuan mengekalkan kuasa golongan minoriti.
Apa pun, izinkan saya untuk berkhayal, sebelum hari mengundi,
rakan-rakan Pas dapat menyedari tanggungjawab besar mereka, bagi
meruntuhkan elit penguasa sejak enam dekad lalu. Kekal saja dalam Pas
tetapi mengundilah mengikut gerak hati yang bersih, dengan memangkah PH
berlogokan PKR.
Masa berbaki untuk berkempen hanya berbaki lebih kurang 10 hari.
Tidak mudah mempengaruhi khalayak Pas yang tertutup fikiran mereka,
apatah lagi bagi segmen yang dikuasai secara tradisi oleh faham
dogmatik.
No comments:
Post a Comment