Oleh Ahmad Lutfi Othman'
Sejak hari penamaan calon, kudrat saya terjejas. Sekadar perhati perkembangan kempen PRU14 dari jauh.
Memang agak sukar untuk buat penilaian menyeluruh dalam keadaan undi
tolak-BN berpecah, khususnya apabila Pas berusaha menarik keluar
sokongan pembangkang.
Namun begitu, nurani saya berbisik, mungkin BN bakal tumbang dalam situasi ramai menjangka Najjb Razak dapat kekalkan kuasa.
Peralihan takhta di Putrajaya berlaku tanpa gegak gempita dan riuh rendah.
Orang ramai sudah muak dan jelak dengan pemerintahan zaman berzaman,
mewarisi kebobrokan yang tambah membarah. Rakyat mahu rasai pentadbiran
kerajaan yang baru.
Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, juga dalam tempoh singkat Perak, Kedah dan Terengganu, elok sahaja di bawah kerajaan-bukan-BN.
Kenapa tidak dicuba pula pentadbiran kerajaan persekutuan yang baru.
Lebih enam dekad Malaysia di bawah regim yang sama. Penuh rasuah,
penuh nepotisme, penuh kronisme. Khazanah negara diagihkan bagai harta
pusaka datuk nenek sendiri.
Sebenarnya terlalu banyak alasan kukuh untuk rehatkan Umno-BN. Biar ia pula belajar menjadi pembangkang.
Ramai mahu saksikan bagaimana rupa bentuk Umno apabila dicerai-tanggalkan dengan kuasa.
Cukuplah dengan alasan Umno-BN sudah terlalu lama memerintah sehingga
kukunya mencengkam dalam setiap penjuru dan sudut; jadi gantikanlah
dengan Pakatan Harapan yang bertekad untuk melakukan pembaharuan dan
perubahan mendasar.
Beri peluang kepada Dr Mahathir Mohamad dan regu barunya dari PKR,
DAP, Amanah serta teman-temannya dalam Bersatu untuk memulihkan negara.
Mahathir yang baru, dengan tekad politik yang lebih segar dan murni.
Dan kita, rakyat biasa, jangan serahkan cek kosong untuk diisi nilainya secara sewenang-wenang kepada mereka yang menang nanti.
Rakyat prihatin harus terus berpartisipasi secara proaktif. Terus
tegur. Terus kritik. Terus bantah mana-mana yang salah dan silap. Bentuk
NGO yang progresif, gemblengkan tenaga dan pemikiran kritis yang saling
membawa untuk pulihkan negara.
Desak dan tuntut pelaksanaan reformasi institusi, cantas senarai
panjang kuasa perdana menteri dan menteri besar/ ketua menteri, bebaskan
cengkaman eksekutif ke atas badan kehakiman, media, jabatan peguam
negara, suruhanjaya pencegah rasuah, polis.
Hidupkan demokrasi yang matang, suburkan perasaan hormat menghornati, raikan perbedaan pendapat dan kepercayaan berbeda.
Pemimpin menunjuk teladan baik, mengharmonikan setiap lapisan
masyarakat, menghayati keluh-kesah rakyat terpinggir sehingga kelompok
bawahan terasa aman di bawah teduhan negara tercinta.
Ya, kemenangan Pakatan Harapan nanti bukannya penamat larian yang
cukup menenatkan tetapi permulaan kepada perjalanan yang panjang.
Tiada masa berbulan madu. Tanggungjawab besar menunggu. Langkah
pembaharuan menuntut tekad politik yang cukup luar biasa. Setiap warga
adalah aset yang tidak boleh dibazirkan.
Insya’Allah saya bersedia untuk terus menjadi wartawan cabuk tanpa
akhbar, yang akan terus mengkritik dan menegur, walaupun di bawah
kerajaan baru PH.
Ooop, terlalu jauh saya berimiginasi. Walhal laluan masih kita
terlalu sukar. Berbaki tidak sampai seminggu sebelum hati mengundi,
cabaran sengit bertambah getir.
Kadang-kadang hampak gerakerja kempen masih perlahan, jentera bagai
tidak tersusun. Ia boleh menjejaskan semangat, namun hati kecil saya
merasakan segalanya mungkin berubah dengan gelombang perubahan yang
bergerak dalam senyap.
Keperluan untuk menukar kerajaan tidak boleh ditangguh lagi.
Benar, Umno-BN memperkakaskan apa sahaja untuk kekal berkuasa,
ternasuk memperkudakan SPR dengan begitu dahsyat sekali, seperti
ditunjukkan dalam amalan persempadanan semula kawasan pilihan raya dan
pengendalian penamaan calon.
Hanya kesatuan suara rakyat mempu berlawan dengan semua tentangan itu.
No comments:
Post a Comment