Oleh Ahmad Lutfi Othman
Dalam pertemuan sidang editorial Harakah dengan AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad, membincangkan isu-isu kritikal Selangor, baru-baru ini, Ahli Parlimen Kuala Selangor itu seperti mengulangi penekanan yang kerap saya catatkan dalam kolum ini: "Pihak yang bakal menang dalam PRU13 nanti adalah mereka yang paling sedikit melakukan kesilapan, dan bukannya parti yang mengemukakan banyak gagasan atau idea yang hebat."
Ingatan dalam nada serupa juga ditekankan oleh ramai pemerhati politik, dengan mengambil kira kesalahan yang kelihatan kecil boleh menyumbang impak yang agak besar dalam pilihan raya umum nanti. Lagipun, dijangkakan tiada perbedaan undi yang menyerlah di antara pemenang dengan pihak yang tewas.
Ya, bayangkan, jika dilihat mampu dieksploit demi kepentingan politik, misalnya hanya berbekal telefon bimbit model lama, rakaman boleh dibuat terhadap kenyataan atau aksi pemimpin Pakatan Rakyat, walaupun berkaitan program dalaman parti, dan kemudiannya secepat kilat disiarkan melalui siaran televisyen ke seluruh negara.
Esoknya akan disambut tanpa tangguh lagi oleh akhbar-akhbar harian, untuk meneruskan propaganda murahan secara bercetak, bagi membentuk persepsi tertentu, dengan satu tujuan: Melanjutkan kuasa BN dan mempertahankan Putrajaya.
Kesilapan kecil oposisi akan diperbesarkan, hatta ucapan bernada seloroh atau jenaka turut boleh dipaparkan sebagai komitmen serius, jika impaknya dirasakan dapat memburukkan penampilan Pakatan. Apatah lagi sekiranya, tanpa sedar, disogok peluang terbentang luas kepada strategis media Umno-BN untuk menghalakan serangan bertubi-tubi, membelasah seteru politiknya.
Saya tidak pula sampai menyimpulkan segala kontroversi terkini, misalnya berkaitan ucapan Nurul Izzah Anwar tentang kebebasan beragama, doa kehancuran Umno di Kota Bharu dan cadangan Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai Perdana Menteri jika Pakatan menang PRU13 sebagai kesilapan yang membawa padah.
Cuma sekadar mahu menunjukkan bahawa, selepas program Jelajah Janji Ditepati Najib Razak tidak dipedulikan rakyat, tawaran Bajet 2013 kurang membekas, pelbagai insentif one-off mudah dilupakan, kini Umno-BN bertarung seperti parti pembangkang, dengan cuba menyelongkar apa juga yang dilihat sebagai "keburukan atau sisi negatif", termasuk menyiarkan kembali ucapan Anwar Ibrahim, semasa dalam kerajaan dahulu, yang mengecam PAS dan DAP.
Semasa menunggu pesawat di LCCT, Sepang, tengahari 14 November lalu, untuk sama-sama ke Kota Bharu mengikuti Muktamar Tahunan PAS Ke-58, saya cuba berkongsi rasa dengan Mahfuz Omar, tentang laporan meluas media mengenai kenyataan Nurul Izzah dan usaha terancang menimbulkan keraguan pengundi terhadap kewibawaan Pakatan sebagai parti yang dapat mempertahankan kepentingan Melayu dan Islam.
Naib Presiden PAS itu tenang saja dan menganggapnya ia siri serangan media bagi menjauhkan orang Melayu daripada Pakatan. "Ini bukan kali pertama, mereka telah mencubanya banyak kali sebelum ini, dan terbukti ia tidak berkesan," tambahnya. "Apa pun," pintas saya, "kita tidak boleh memandang remeh gerak kerja mereka."
Selepas dua tahun berturut-turut tidak menghadiri muktamar, saya -- seperti juga para pemerhati dari seluruh pelosok tanahair -- mengharapkan, daripada perhimpunan terbesar yang sepatutnya diadakan Jun lalu, PAS dapat membuat lonjakan besar, terutama untuk meraih sokongan dan kepercayaan pengundi Melayu.
Keyakinan awal terserlah melalui pesanan Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali, disiarkan Harakah, yang dipasarkan sehari sebelum perasmian muktamar. Tokoh berpengalaman itu mahu muktamirin bukan saja tidak terpengaruh dengan usikan nakal media, yang mahu memesongkan tumpuan, malah memanfaatkan perbahasan untuk "mengisi kemenangan" membebaskan Putrajaya.
Meskipun agak penat untuk mendengar Ucapan Dasar Presiden, Tuan Guru Abdul Hadi Awang, namun saya terasa puas, lega dan beruntung. Teks setebal 27 halaman, 107 perenggan itu, begitu kejap, menyeluruh dan menyentuh hampir semua isu-persoalan penting dan kritikal. Saya kira ia pidato rasmi terbaik yang pernah dihasilkannya sejak 10 tahun lalu. Ia cukup bertenaga, memberikan pengarahan yang jelas dan mampu mempengaruhi.
Difahamkan, Setiausaha Agung KeADILan, Saifuddin Nasution Ismail, yang turut mendengar ucapan berkenaan, menyifatkan banyak penekanan Ustaz Abdul Hadi seperti ditujukan kepada semua parti dalam Pakatan Rakyat sendiri.
Huraian yang memperincikan konsep Negara Berkebajikan cukup jelas dan menarik. Begitu juga singgungannya terhadap persoalan ekonomi, sistem pendidikan dan komitmen PAs untuk kesejahteraan rakyat, yang merangkumi pelbagai golongan termasuk petani, wanita, peneroka bandar, bekas tentera, selain bersikap serius menangani kes FGV, AES, Pengerang dan projek mega yang lain.
Saya lebih teruja dengan penekanan terhadap kesediaan rakyat untuk berubah. "Kepada rakyat seluruhnya, jangan takut untuk berubah kepada yang lebih baik (dalam PRU13). Maka sekiranya kita gagal melaksanakan amanah itu, rakyat boleh menghukum kami dalam pilihan raya seterusnya," tegas Presiden PAS itu, sambil memberi jaminan pegawai kerajaan di setiap peringkat tidak akan dizalimi atau dibalas dendam.
Keuzuran menghalang saya daripada menekuni setiap isi perbahasan para perwakilan. Sepanjang di dalam dewan Putik, secara umumnya saya dapati setiap mereka yang berucap menunjukkan kesungguhan. Bagaimanapun ada pemerhati yang membisik kepada saya: "Sayang sekali, Ucapan Dasar Presiden yang cukup bermutu dan selari dengan mood menjelang PRU13, tidak disusuli dengan perbahasan bernas yang mengungkapkan isu-isu kritikal yang digariskan Tok Guru Haji Hadi."
Beliau merujuk kepada lima bentuk tindakan yang ditekankan Presiden bagi menghadapi PRU13, iaitu persediaan menjaga benteng masing-masing (Parlimen atau Dun), menangani kompleksiti pengundi Melayu khususnya anak muda, cabaran memenangi sebanyak mungkin kerusi, meningkatkan jentera penerangan, termasuk Harakah dan Harakahdaily serta merancakkan persiapan menjuarai perang siber.
"Macam ada kempen tersirat menjelang pemilihan parti tahun depan, aja?" ujar seorang pemerhati, dari Kedah, yang duduk di sebelah saya, berdekatan ruang media. Beliau kemudiannya ketawa kecil tanda hanya bergurau dengan usikannya itu.
Apabila ada perwakilan menimbulkan cadangan Presiden PAS patut dicalonkan sebagai Perdana Menteri sekiranya Pakatan menang dalam PRU13 nanti, saya sudah menjangkakan ia akan disensasikan oleh media, terutama TV3 dan Utusan Malaysia.
Sememangnya jentera kempen tidak rasmi Umno-BN itu sentiasa menunggu kesempatan untuk memecah-belahkan persefahaman di kalangan pemimpin dan penyokong Pakatan. Umum mengetahui sebaik saja keputusan PRU12 diketahui, Mac 2008, perang saraf adu-domba untuk memisahkan PAS dengan DAP sudah bermula, tidak terkecuali juga usaha menyuntik kecurigaan di antara PAS dan KeADILan.
"Kalau Najib yakin parti-parti Pakatan berselisih faham hingga memungkinkan mereka bertanding sesama sendiri, pasti Parlimen akan dicadang dibubarkan serta-merta," kata seorang pensyarah politik. "BN sudah tidak ada kekuatan sendiri lagi, mereka begitu harapkan persefahaman Pakatan pecah dan terburai," tambahnya.
Tidak sedikit rakan-rakan yang menelefon dan menghantar SMS, melahirkan kebimbangan isu cadangan ustaz Hadi ke jawatan PM akan menyebabkan BN mendapat keuntungan. "Paling tidak pun, kita akan membuang masa yang cukup berharga ini, bagi melayan karenah dan menjawab persoalan yang bukan pun satu isu buat Pakatan," kata seorang daripadanya.
"Biarkanlah ... setiap perwakilan berhak menyuarakan pandangan dan pendapat. Muktamar adalah medan untuk meluahkannya, inikan demokrasi, dan tanda PAS terbuka untuk ahlinya bercakap," saya menjawab mudah. Saya pasti rakan saya itu tidak berpuas hati apabila dia mencelah: "Jangan sampai masyarakat luar, orang awam yang memerhati muktamar dengan penuh minat, merasakan sesama Pakatan pun tidak sepakat, masing-masing ghairah merebut jawatan besar."
Awal pagi Ahad, pada hari terakhir muktamar, kenalan saya, seorang profesor turut menegur, melalui SMS: "Kajian kami menunjukkan pengundi amat prihatin dengan percanggahan yang berlaku dalam Pakatan Rakyat. Polemik tentang siapa Perdana Menteri tidak menguntungkan, termasuk kepada PAS. Sebagai parti yeng melewati 60 tahun usianya, PAS harus sedar di mana kekuatan dan kelemahan parti."
Saya kira rakan saya itu memberi reaksi mungkin selepas membaca muka depan The Sunday Star, yang melaporkan perbahasan di muktamar PAS, dengan tajuk "Ulama for Hadi". Hiasan foto Presiden PAS begitu menonjol.
Akhbar yang dimiliki MCA itu sememangnya dikenali menjalankan usaha terancang untuk menakutkan pengundi Cina terhadap Pakatan, dengan mendakwa PAS akan menjadi parti paling dominan jika BN dapat ditumbangkan.
Beberapa kali, Presidennya, Dr Chua Soi Lek bersungguh-sungguh memberikan gambaran bahawa sekiranya Pakatan menguasai Putrajaya, PAS akan menerajui kerajaan baru nanti. Sebagai ahli Parti Islam, saya tentulah gembira dengan pujian itu. Ya, tiada keindahan melebihi kesyukuran melihat Islam didaulatkan dalam sistem pemerintahan negara. Namun, kita tidaklah terlalu naif untuk membaca perangkap musuh.
Kepada audien Melayu, yang membaca Utusan Malaysia dan menonton TV3, PAS digambarkan parti paling corot dalam Pakatan, hanya mengikut telunjuk KeADILan dan diperkudakan DAP. PAS juga ditohmah sudah menyimpang daripada landasan asal perjuangan.
Manakala berdepan masyarakat bukan Melayu, khususnya Cina, seperti sering dilaporkan dalam The Star, PAS tiba-tiba disuntik dengan seribu satu kekuatan. Tujuannya agar pengundi Tionghua teragak-agak untuk menyokong Pakatan; sedangkan realitinya PAS kini didekati komuniti pelbagai kaum dan agama. Dalam muktamar lalu, beberapa aktivis Dewan Himpunan Penyokong (DHPP) berucap mempertahankan prinsip-prinsip Islam yang diperjuangkan PAS.
Selama ini saya beranggapan The Star, walaupun turut menjadi mesin propaganda BN, tetapi masih menjaga profesionalisme pemberitaannya, tidak seperti Utusan Malaysia. Saya terkejut melihat tajuk depan edisi Isnin, 19 November, "Hadi ready to be PM", dengan gambar menarik Ustaz Hadi mengenggam tangannya ke atas. The Star juga sudah hilang kewarasan!
"Dua hari berturut-turut muka depan The Star mengalahkan Harakah, dengan hiasan gambar Presiden PAS yang memikat," saya bercanda dengan rakan-rakan grafik di pejabat. "Tapi, beritanya tidak betul, dah sama macam Utusan."
Walhal sebenarnya, cukup dengan menonton YouTube, anda segera mengesan bahawa apabila Ustaz Hadi mengatakan "syok juga sepintas lalu (dengan cadangan nak lantik jadi PM)", nadanya berseloroh dan wajah ceria tersenyum.
Apatah lagi selepas beliau menyambung: "Tetapi saya kata di sini, saya minta Tuhan jadikan cita-cita saya ini biar menangkan Islam, kemudian kalau nak mati, matilah."
Ustaz Hadi seterusnya memberi satu perumpamaan yang cukup menarik untuk difikirkan: "Saya tak mahu macam cerita saya dengan Ustaz Azizan. Ustaz Azizan tahu saya minat memancing. Saya pergi Kedah, dia ajak saya memancing di laut Yan.
"Sebelum pergi, dia berpaling ke anak buah dia, dia kata, tumbuk rempah siap-siap. Nak masak ikan tenggiri, ikan jenahak. Saya pun pergilah, dia pun pergi juga ke laut. Bila balik, boleh ikan belukang sebesar kelinking je. Saya tak mahu jadi macam itu. Belum apa-apa dah tumbuk rempah."
No comments:
Post a Comment