Oleh Ahmad Lutfi Othman
Kolum ini lama tidak terisi dengan komentar segar. Dua kali tulisan
pemanas badan dikutip daripada buku Parti Amanah Negara: Cabaran,
Halangan dan Potensi Sebagai Parti Islam Berpengaruh, Berintegriti.
Memang sudah terlalu lewat untuk saya memulakan. PRU14 sekitar dua
minggu sahaja lagi. Namun, langsung tidak mempedulikan momen terpenting
untuk bersama-sama merakam sejarah baru buat tanahair tercinta lagilah
merupakan sikap tercela.
PRU14 dianggap gelanggang paling sengit, medan tempur memakan korban
terbesar dan ibu segala pilihan raya. Itulah juga yang pernah dilabel
kepada PRU1990, PRU1999, PRU2013. Masing-masing mempunyai keunikan
tersendiri. Paling penting, dalam pilihan raya berkenaan, harapan dan
impian rakyat untuk melihat kerajaan bertukar begitu tinggi.
Berbanding siri pilihan raya sebelumnya, bermula 1990, kali ini saya
secara peribadi sekadar menjadi pemerhati pasif. Ya, benar-benar terpaku
di rumah, hospital dan pusat dialisis. Tidak lagi berpeluang untuk
meninjau di tengah lapangan atau turun merasai keresahan dan harapan
rakyat di peringkat akar umbi.
Tengku Razaleigh Hamzah membentuk gabungan pembangkang, Angkatan
Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat pada 1990. Anwar Ibrahim, walaupun
jasadnya terpenjara pada 1999, tetapi berjaya menyatukan oposisi dalam
kolisi yang lebih mantap.
Pas dan DAP yang dianggap berbeda kutub, boleh bersemuka di meja
rundingan dan menubuhkan Barisan Alternatif. Juga dibantu oleh sikap
terbuka dan berpandangan jauh Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor.
Dr Mahathir Mohamad, dengan segala kontroversi, seolah-olah
menyempurnakan impian sejak sekian lama, iaitu mendirikan Pakatan
Harapan, yang mempunyai struktur rasmi, dengan lambang dan simbol yang
satu. Kini pembangkang diikat secara formal dan buat pertama kali dalam
sejarah, bertanding dengan satu logo.
Lebih menakjubkan, empat parti berbeda, mengambil masa paling singkat
melupakan pertikaian dan pertembungan sesama sendiri, bagi menumbangkan
kleptokrat termasyhur.
Seteguh mana pun persepakatan pembangkang diikat, sehebat mana pun
panglima perang mengatur strategi, seefisyen mana pun jentera disusun,
tanpa penglibatan rakyat di segenap peringkat, misi kali ini mungkin
mengulangi kegagalan.
Justeru, nurani saya seperti memberontak, masakan aku hanya diam di
atas pembaringan, sekadar
menyaksikan proses sejarah baru bakal
terbentuk, dan mendoakan agar segalanya berjalan lancar.
Apakah semudah itu regim Umno-BN yang berakar teguh sejak enam dekad lalu, dapat dicabut?
Najib Razak, yang menyedari hari esoknya bukan sahaja suram dan
kelam, tapi dibayangi kehidupan di balik tirai besi, sudah tentu
mengerah serta memperalat apa saja aset, kemudahan dan sumber bagi
menyelamatkan diri.
Ya, tidak mudah untuk negara dunia ketiga yang defisit demokrasinya,
bagi menyaksikan peralihan pemerintahan. Mahathir boleh membantu. Roh
perjuangan Anwar boleh menyuntik inspirasi.
Segenap ketumbukan parti Amanah, Keadilan, DAP dan Bersatu boleh
mendukung misi besar ini.
Namun, jika rakyat terbanyak masih boleh
diperdaya dan dikelirukan di saat-saat akhir, antaranya dengan racun
perkauman dan slogan murahan agama, dibimbangi, regim korup terselamat
lagi.
Dalam diam, sementara menghadapi rutin rawatan yang mengambil
sebahagian besar masa, saya bertambah resah dan gelisah. Seperti
kebanyakan warga lainnya, saya turut mengimpikan Malaysia yang baru,
adil dan mampu menjadi pelindung buat golongan terpinggir, bakal
menjelma seawal tengah malam 9 Mei nanti.
Bagaimanapun, dalam politik, sehari sudah terlalu lama, apatah lagi 2
minggu sebelum PRU14, macam-macam boleh berlaku. Kita mesti terus
berwaspada dan berhati-hati. Elak daripada melakukan kesilapan yang
boleh dimanipulasi. Perangkap sentiasa mengintai. Kelalaian, kealpaan
dan sikap syok sendiri bakal membawa padah.
Kelihatan seperti ada yang masih was-was dan bimbang, termasuk
daripada kelompok pembangkang sendiri, yang akhirnya mungkin akan
menyusutkan undi Pakatan Harapan.
Saya cuba dengan kudrat terbatas, untuk bersama-sama rakyat, saling
membahu, merangsang proses penukaran kerajaan, melalui kolum ini, bagi
menawarkan pencerahan kepada yang masih keliru dan musykil.
Bukankah setiap satu undi itu penting dan tidak boleh dibazirkan sama
sekali? Sudahlah kita berdepan dengan seribu satu kemungkinan penipuan
elit penguasa, kita juga kini dicabar dengan jumlah undi pembangkang
yang tidak kecil, yang mungkin tercicir!
No comments:
Post a Comment