Oleh Ahmad Lutfi Othman
Memang sedih dan pilu menyaksikan parti Islam yang saya dokong sejak
zaman sekolah rendah lagi digugat konflik dan krisis dalaman yang parah.
Cuma saya rasa agak lega kerana terhindar daripada dilema menjadi
ketua pengarang Harakah susulan saya bercuti sakit, dan kemudiannya
dipindahkan ke posisi lain, iaitu unit latihan kewartawanan.
Tidak dapat bayangkan, bagaimana harus saya membuat pilihan tepat
untuk mengisi halaman akhbar apabila berlaku percanggahan pendapat
sesama pimpinan, yang mendedahkan kelemahan ketara parti.
Berselisih pandangan merupakan kelaziman, tetapi menjadi isu besar
kepada Pas adalah kegagalan pemimpin tertinggi, khususnya presiden,
untuk menangani konflik dalaman secara hikmah dan bijaksana.
Presiden tidak bertindak sebagai pendamai atau pemersatu, sebaliknya menjadi penyumbang terbesar kepada masalah itu sendiri.
Walaupun hampir dua pertiga pimpinan Pas Pusat dilihat mempunyai idea
berbeza, namun presiden seperti tidak mengendahkan kelompok majoriti
ini.
Sebaliknya Majlis Syura Ulama digunakan untuk membatalkan keputusan
eksekutif parti yang dikira tidak selari dengan pendirian presiden.
Pas tidak dapat menyembunyikan krisis yang tambah rumit. Ia bukan
lagi ribut dalam cawan. Air sudah tumpah dan cawan pecah berderai.
Kumpulan yang berbeza idea itu dilabelkan sebagai antiulama, mahu
membawa parti ke dalam neraka, barua kepada musuh, lebih setia terhadap
rakan sekutu, Anwarinas dan pelbagai gelaran lagi.
Kami di Harakah pula dipanggil jebon, dan dianggap lebih mengagungkan
pemimpin PKR dan DAP daripada jemaah sendiri. Harakah turut dicop bukan
lagi akhbar Pas kerana membuka ruang berlebihan untuk tokoh-tokoh
Pakatan Rakyat.
Mungkin saya dilihat umpama ketua platun tentera yang engkar atau
sering mempertikai arahan panglima di medan tempur. Memang dalam operasi
perang fizikal, tiada tempat untuk mempersoalkan perintah ketua
walaupun kita tidak nampak rasionalnya.
Namun berdepan perang untuk saling mempengaruhi minda dan hati
pembaca, kita perlukan gerak kerja yang halus, sistematik, bijaksana,
disokong fakta dan persembahan menarik. Mungkin cara insan media sedikit
berlainan dengan gaya orang politik walaupun objektifnya tetap sama,
iaitu menarik simpati dan sokongan.
Medium penulisan tidak boleh bersandarkan semangat, sentimen dan
emosi; ia harus dimantapkan dengan pengukuhan idea dan logika. Semua
pihak yang bertentangan menawarkan alternatif, yang terbuka kepada
perdebatan dan perbahasan.
Era langit terbuka
Kini, dalam era langit terbuka, tiada mana-mana pihak yang memonopoli saluran maklumat. Sekarang informasi pun boleh “dicipta”.
Ada pihak mengingatkan saya bahawa Harakah adalah akhbar parti dan
berperanan khusus untuk memperkenal dan mempromosi Pas, serta menjaga
kepentingan dan imej jemaah.
Ia hanya diterbitkan dua kali seminggu – dan dalam tempoh yang
panjang, dari awal tahun 2000 hingga hujung 2008, kekerapannya hanya dua
kali sebulan – dan dibelit banyak keterbatasan.
Jadi, kata mereka, Harakah beroperasilah sebagai organ parti, usah
berlagak untuk menjadi akhbar alternatif, atau untuk semua parti
pembangkang. Akhbar oposisi yang lain pun tidak memberi ruang kepada
Pas, sepertimana Harakah yang cuba menaungi semua kolompok yang mahu
menjatuhkan Umno-BN.
Apakah Harakah harus membataskan fungsinya sebagai lidah rasmi parti
atau bertindak sebagai akhbar alternatif telah menimbulkan konflik dan
polemik berpanjangan.
Kami pernah nenganjurkan satu diskusi khas di sebuah hotel bagi
membincangkannya. Kebanyakan wakil Pas memilih jalan sempit, iaitu demi
maslahat parti yang lebih utama tetapi saya amat memahami mengapa mereka
berfikiran begitu.
Saya melihat Harakah berbeda dengan Suara Keadilan ataupun Roket.
Perjalanannya yang panjang, terutama selepas mendapat sambutan amat
menggalakkan sesulan Anwar dipecat dan diaibkan pada hujung 1998,
meletakkan Harakah sebagai akhbar alternatif yang ditunggu peminat
setiap Khamis dan Ahad.
Selain isu panas dan sensasi ketika itu, lonjakan tersebut didorong
oleh cengkaman keterlaluan oleh peraturan regresif dan undang-undang
drakonian mengenai kebebasan dan pemilikan permit. Akhbar atau majalah
lain tidak dibenarkan oleh KDN untuk menyiarkan laporan yang mengkritik
kerajaan.
Contoh paling ketara, dua majalah kendalian saya, Detik dan Wasilah
diharamkan. Akhbar Eksklusif turut menerima nasib sama, iaitu sekitar
tahun 2000, sejurus selepas keputusan PRU 1999, yang menyaksikan
sokongan pengundi Melayu kepada Barisan Alternatif.
Daripada dicetak dalam lingkungan 60,000 naskhah meningkat kepada
lebih 350,000 kerana faktor Anwar. Tentunya banyak manfaat yang dapat
diraih Pas apabila akhbarnya begitu laris di pasaran. Ia membuatkan
masyarakat lebih mengenali dan memahami sosok parti Islam ini dan
memudahkan berkembang lagi pengaruhnya.
Selain itu, kewangan parti turut dijana bagi membiayai program yang
dirancang. Satu dana khas dilancarkan melalui akhbar yang mendapat
sambutan hangat, Tabung Kemiskinan Harakah. Jutaan ringgit dikumpulkan
dan mampu menyumbang bantuan kepada golongan memerlukan.
Bagi kumpulan yang mahu Harakah menjadi lidah rasmi semata-mata,
pemaparan foto dan berita Anwar di muka depan boleh sahaja menjadi isu
sensitif.
Kadang-kadang gambar Ustaz Hadi yang kecil atau diletak pada posisi
yang tidak dominan mengundang rasa tidak puas hati. Walhal kami
mengambil pertimbangan kewartawanan tanpa mengabaikan keperluan untuk
mengutamakan mesej parti.
Harakah bukannya terbit sebulan sekali: ia sampai kepada pembaca
setiap tiga hari sekali. Maknanya, agak kerap juga. Jadi, dapatlah kita
gilirkan isu atau gambar yang wajar diberikan prioriti. Kami di Harakah
juga sedar, tugas yang utama adalah mempromosi dan “menjual” parti,
tetapi ada kalanya dengan cara kewartawanan yang sedikit berbeda.
Secara peribadi, jika diberi pilihan, saya lebih selesa menguruskan
akhbar atau penerbitan saya. Dan saya sudah memohon permit majalah Kini
seawal tahun 1989 tetapi ditolak mentah-mentah oleh KDN.
Kebetulan permohonan itu saya ajukan seminggu selepas saya ditahan
ISA, maka mudahlah pihak Menteri Dalam Negeri menolaknya, dan
membariskan nama saya dalam senarai hitam.
Saya kemudiannya menumpukan usaha menulis dan menerbitkan sendiri
makalah dan buku politik, yang tidak memerlukan lesen dan keizinan KDN.
Urusan pengedaran dan pemasaran juga dilakukan sendiri. Namun, tiada
pencetak yang berani mengambil risiko mencetak buku dan makalah politik
saya, kecuali seorang usahawan kecil Cina, Leong Beng Chai, di Plaza
Pekeliling, Kuala Kumpur.
KDN mensyaratkan setiap bahan bercetak dipaparkan nama dan alamat
penuh pencetak, dan mereka juga terdedah kepada tindakan undang-undang,
sama seperti penerbit. Leong diperkenalkan oleh kekanda sulung saya,
Dinsman yang berpejabat di tingkat atas , lokasi sama.
Antara bahan yang dicetak Leong adalah Selepas 3 Tahun Memali,
Demokrasi Zaman Mahathir, Kes Pemecatan Tun Salleh Abas, Anwar Lawan
Ghafar, Krisis Mahathir-Anwar, Selepas Mahathir Peluang Pas, Siapa
Dalang?, dan banyak lagi. Berurus-niaga dengan Leong cukup selesa,
dengan terma yang tidak menyusahkan. Ada duit, bayar, kalau tidak ada,
jual dulu.
Beberapa kali pihak penguatkuasa menyerbu kilangnya dan memberi
amaran, tetapi dia tetap berdegil. Sesungguhnya Leong cukup banyak
membantu dan memudahkan langkah awal saya bertapak dalam dunia
penerbitan buku. Dan kini, lama saya tidak berhubung dengan Leong. Moga
dia sukses dan sihat.
Berdepan dengan pelbagai karenah penyokong, ahli dan pemimpin Pas,
membantu saya memahami kompleksiti tingkah-laku dalam sebuah organisasi.
Ia menuntut kebijaksanaan dan kesabaran.
Walaupun semuanya mendakwa sayang kepada parti, dengan gaya dan cara
tersendiri, tetapi bukan sedikit gelagat yang boleh merencatkan objektif
dan matlamat organisasi jika tidak dipandu oleh kepemimpinan yang
bervisi jelas dan berpandangan jauh.
Niat yang ikhlas sahaja tidak memadai, apatah jika dimanipulasi pihak
musuh. Seringkali sikap ekstremisme boleh menjurumuskan. Kadang-kadang
mereka menggunakan dalil Al-Quran dan Hadis di luar konteks, untuk
memenangkan hujah peribadi.
Saya pernah menyaksikan satu perbahasan isu dalam Muktamar Pemuda
Pas, seorang wakil mengemukakan hujah Al-Quran untuk menyokong
argumennya membantah usul asal tetapi tidak mampu disanggah balik
pembawa usul kerana dia bukan seorang ustaz.
Sedangkan usul itu hanya berkaitan strategi atau pendekatan politik
yang boleh diulas oleh sesiapa sahaja. Tetapi ia seperti diikat dan
dikunci oleh nas Al-Quran dan menghalang penggunaan akal untuk
merongkainya.
Bukan sekali rujukan nas atau kisah sejarah yang dikemukakan adalah
di luar konteks. Misalnya, jika mahu mengadakan sebarang perjanjian atau
kerjasama politik dengan pihak luar, acap kita membandingkan perjanjian
Nabi dengan golongan kafir.
Saya tertanya-tanya juga, apakah sesuai rakan-rakan sekutu sesama
pembangkang mahu disamakan dengan Quraisy Makkah, hatta merujuk Umno
seumpama kuffar di zaman Nabi pun nampak janggal. Situasinya jauh
berbeda.
Tidak adakah rujukan yang hampir sama dan senario yang ada
bibit-bibit keserasian dengan suasana yang kita hadapi? Atau kita
sendiri, dengan kepakaran ilmu dan pengalaman bermuamalah dengan situasi
setempat berusaha membentuk fiqh Malaysia?
Ukhuwwah yang dirobek
Ukhuwwah yang terjalin indah selama ini rupanya mudah dirobek. Hanya
disebabkan perbedaan kecil – tetapi disangka menyangkut isu dasar dan
prinsip, malah dianggap bab aqidah – sikap hormat-menghormati,
rai-meraikan, saling bertasamuh dan bertoleransi ditolak ke tepi.
Suara berbeda dipandang umpama kecaman yang membinasakan. Teguran
dianggap mahu menghancurkan. Ulama seolah-olah lembaga suci yang maksum.
“Masakan ulama nak bawa kita ke neraka, mereka arif tentang soal dosa
pahala dan lebih faham ilmu dan kehendak agama,” itu antara kaliamah
yang mengunci-mati ruang untuk bertukar fikiran.
Saya kerap tertanya-tanya, apakah kita sudah hilang skil komunikasi
sehingga perasaan marah dan bebal payah dibendung lagi. Kita sukar
berkepala dingin dan berfikiran terbuka untuk duduk berunding mencari
jalan keluar.
Serentak sama panggilan jahat dan menyakitkan hati dihamburkan sesuka
hati. Mana akhlak Islami dan budaya sopan Melayu; mana tutur kata yang
beradab dan ramah? Sahabat karib sejak berdekad lamanya bertukar menjadi
seteru ketat: salam tidak lagi disambut, wajah manis kini dipalingkan
penuh mencuka. Sedangkan kedua-duanya adalah parti Islam.
Jika kita boleh teruskan hubungan persahabatan selepas rakan sesama
Pas, menyertai Keadilan misalnya, ataupun memilih bersama DAP, hatta
menyeberang kepada Umno sekalipun, mengapa kawan boleh bertukar lawan
apabila seorang daripadanya bertukar wadah kepada Amanah?
Bukankah Pas mempunyai banyak persamaan dan keserasian dengan Amanah,
berbanding parti-parti lain? Sekurang-kurangnya dari segi dasar,
landasan dan matlamat perjuangan, semuanya bertekad untuk berpaksikan
Islam. Berbeda wadah bukan berlainan aqidah. Ia merupakan persoalan
ijtihad, demi merumuskan kaedah atau jalan terbaik untuk menyalurkan
khidmat bakti buat umat dan negara.
Seorang rakan memberitahu, “kami semasa aktif dalam Pas dulu pernah
membayangkan, bagaimana kalau … walaupun kita dalam satu jamaah tetapi
mempunyai dua parti yang berbeda, tapi saling menghormati.”
Saya tidak terkilan, malah dapat memahami, jika penyokong atau ahli
bawahan Pas dan Amanah sukar menerima realiti kewujudan dua parti Islam.
Setiap parti, terutama yang berasaskan ideologi, selalunya mempunyai
pengikut tegar atau fanatik; mereka dijalin dengan semangat berkobar
atau keyakinan yang teguh.
Dalam kamus hidup, tiada kompromi kepada anasir yang dilihat cuba
menggugat kepercayaan mereka. Aksi serang menyerang, kecam mengecam,
apatah lagi di zaman media sosial ini, menyerlahkan lagi perbalahan
tajam.
Namun, saya yakin, jika kepemimpinan kedua-dua belah pihak bersikap
demokratik, menghargai perbedaan, maka boleh sahaja terus bersaing,
saling hujah menghujah. Situasi sukar dikawal jika pimpinan utama mudah
berang, mengungkit hal sensitif, gagal mengawal bicara dengan wajah
bengis, tidak boleh bersemuka di meja rundingan. Sehingga kita payah
membedakan siapa sebenarnya ketua, siapa pengikut.
Cuma, yang lebih menyukarkan ialah pendirian politik berbeda terhadap
regim atau elit penguasa. Pas dilihat bersikap lunak atau dikira
mempunyai persepsi positif termasuk kepada Perdana Menteri, Najib Razak
yang terkenal sebagai kleptokrat no 1 dunia. Tentulah pemimpin Pas
menafikan tanggapan itu.
Memang tidak ada persefahaman atau kerjasama politik secara formal,
di antara Pas-Umno, tetapi orang ramai merasakan hubungan kedua-dua
parti sudah tidak seperti dahulu. Pas seperti memperlahankan kritikan
dan penentangannya, walaupun di kala banyak peluru boleh dihamburkan.
Serangannya seolah-okah sengaja dilembutkan.
Jika ada dua pilihan, ia lebih suka memilih opsyen yang tidak begitu
mencederakan Umno. Malah ia gemar mencari sengketa sesama pembangkang,
dan cuba mencari keserasian dengan Umno.
DAP yang dianggap Umno musuh, maka itulah juga menjadi seteru utama
Pas. MCA dan Gerakan, sekutu Umno dalam BN: itulah juga yang diakui Pas
sebagai mempunyai sikap lebih lembut terhadap Islam. Maknanya, identiti
sebagai pembangkang sudah terhakis pada tubuh Pas.
Parti Islam itu seperti cuba mempamerkan wajah baru – parti yang
tidak bersama Pakatan Harapan dan tidak juga mendukung BN – tetapi sukar
difahami rakyat. Tidak pelik, jika Pas dianggap parti opurtunis yang
mahu memperdagangkan undi rakyat apabila berulang kali ia
mengisytiharkan dengan bangganya sebagai king maker.
Berbeda keadaannya pada huung 2001apabila DAP keluar Barisan
Alternatif. Sama ada Pas, DAP, PRM mahupun Keadilan, tiada parti yang
dilihat atau disyaki bermain mata dengan Umno. Sifat-sifat
kepembangkangan tidak luntur, justeru pertandingan satu lawan satu masih
boleh dipertahankan walaupun tidak berada dalam satu front lagi.
Situasi sekarang berbeda, Pas secara terbuka memperagakan sosoknya
yang tidak mungkin berpakat lagi dengan PH, sekali gus mendakwa kolisi
baru itu anti-Islam, diketuai penyangak dan seumpamanya.
Pas penentu kuasa
Hairan juga saya, Pas bercita-cita tinggi menjadi penentu kuasa,
tetapi ia awal-awal telah menutup pintu untuk rundingan. Satu kesilapan
Pas dalam langkah diplomatiknya adalah mengunci-mati ruang untuk
bereksperimen dan memaksa pihak lain mengikutnya, hanya kerana ia parti
Islam.
Sengaja dipilih jalan mati atas alasan berpegang kepada prinsip yang
tidak boleh dikompromi sedangkan ia berdepan dengan persoalan strategi
dan teknik, yang menuntut kebijaksanaan untuk mencapai maslahah terbaik.
Mana-mana pemimpin besar tentu mempunyai misi tersendiri, yang ada
kalanya tidak dipersetujui sepenuhnya oleh rakan-rakan pimpinan,
termasuk peringkat pertengahan dan akar umbi. Pemimpin yang berwawasan
jauh, sabar dan berhemah akan cuba menjelaskan, sambil mendengar
pandangan berbeda ahli-ahli, serta mengolah rumus yang boleh diterima
parti.
Semasa Ustaz Fadzil mahu mengadakan kerjasama politik dengan Tengku
Razaleigh Hamzah pada 1989, tidak sedikit dalam Pas yang membantah,
namun berkat kesediaan presiden Pas itu menjelajah pelosok negara,
berdialog dengan ahli parti, termasuk secara santai, dia mendapat mandat
untuk mencipta sejarah.
Begitu juga dengan muafakat bersama Anwar Ibrahim. Laluannya tidak
mudah, walaupun secara perubadi Ustaz Fadzil rapat dengan Anwar.
Keberanian Ustaz Fadzil bereksperimen, tanpa persetujuan awal pimpinan
Pas lainnya, tidak menghalang pembentukan Gerak, yang akhirnya
menatijahkan Pas memperolehi 27 kerusi Parlimen.
Jadi, apa bedanya Ustaz Hadi dengan Ustaz Fadzil, berdepan kemelut
dalaman ini? Mungkin Ustaz Fadzil mahu meneroka perubahan dan bergerak
dalam gelanggang yang lebih luas, manakala Ustaz Hadi dilihat mundur ke
belakang, dan paling penting, dia tidak berani mengemukakan gagasan
kepercayaannya secara terus-terang.
Tiada diolog terbuka tentang kerajaan perpaduan atau wacana politik
Melayu-Islam berdasarkan kehendaknya, yang memungkinkan Ustaz Hadi
menawarkan pencerahan kepada khalayak yang keliru. Ketika wakil Pas
memaklumkan secara rasmi setiap rundingan dalam Pakatan Rakyat, pihak
yang berbisik dalam gelap bersama Umno terus berahsia.
Bagi saya, eksperimen politik dengan sekutu dalam Pakatan Rakyat
ataupun untuk bersama Umno, boleh sahaja diusahakan, asalkan dibuat
secara telus dan terbuka, serta mendapat mandat majoriti ahli melalui
kaedah yang sah.
Pemimpin utama juga harus cerdik, pintar, bijaksana dan boleh membaca
perancangan licik musuh serta mengstur strategi setapak ke depan
Elakkan diri daripada terpedaya dengan umpan seteru atau terpesona
dengan gimik murahan. Bukan seperti mendengar guruh di langit, air di
tempayan dicurahkan.
Kita sedia maklum, muafakat pembangkang, terutama mempertemukan
parti-parti dua kutub berbeda (Pas, DAP) bukan senang dan Umno
bertungkus-lumus berikhtiar memisahkannya. Pemerintah sedia
menghanguskan jutaan ringgit menjayakan plot itu.
Justeru, mengapa mudah sangat terpikat dengan perangkap, walaupun
dihiasi gemerlap Islam, misalnya dalam isu RUU355. Rela membuang aset
sedia ada, sedangkan barang yang dihasratkan bagai wap air di padang
pasir. Lalu, untuk menutup malu, terkeluar daleh, “biar kita ditipu,
asalkan jangan kita yang menipu”.
Amanah boleh dikatakan beruntung kerana dapat menterjemahkan
pengalaman baik-buruk Pas untuk memandu parti, di samping melakukan
penambahbaikan. Tinjauan rambang menunjukkan imej dan citra Amanah belum
begitu dikenali.
Keadilan sewaktu awal penubuhan, begitu juga Bersatu, lebih mudah
diperkenalkan, sekurang-kurangnya sebagai parti reformasi dan parti
Mahathir. Mungkin agak ramai melihat Amanah sebagai “parti Mat Sabu” ,
berbanding parti Islam yang progresif dan inklusif.
Umum juga keliru apa bedanya Pas dan Amanah. Pas sinonim dengan
jenama parti Islam, sementara Amanah memerlukan usaha dan gerak kerja
yang luar biasa untuk membina identiti. Label negatif seperti khadam DAP
yang dipalit oleh Ustaz Hadi juga tidak boleh diremehkan.
Amanah memang membawa gagasan yang murni, serta cuba merintis
pembaharuan, tetapi dari segi realiti politik, kumpulan idealis kerap
kecundang, apatah lagi jika pendekatannya dianggap asing dan mencarik
adat.
Walaupun berbekalkan tokoh-tokoh dan aktivis berpengalaman dan tahan
uji daripada Pas, namun Amanah harus meluaskan lagi spektrum
kepemimpinan dan pendukungnya, terutama dari kalangan kelompok beragama
yang belum berparti.
Pemantapan jati diri sebagai parti Islam yang progresif dan peduli
perlu diperkukuhkan. Di dalam perlembagaan parti, sudah tercatat kemas
dan tersimpul rapi, dalam Fasal 3, ditambah peruntukan dalam Fasal 16
bahawa presiden dan timbalan presiden harus mempunyai kefahaman yang
mendalam dan komitmen yang jitu terhadap Islam.
Majlis Perundingan Pakar (MPP) pula menyuntik keyakinan bahawa parti
Islam ini akan dikelola secara Islami. Bagaimanapun, semua itu harus
diperagakan sebaik dan sejujurnya sehingga dapat dirasai oleh rakyat
keberadaannya sebagai pendamping, pembimbing dan penyelesai kemelut
masyarakat.
Saya agak kurang jelas tentang pengaruh Amanah dalam sektor anak
muda. Nampak seperti kurang menonjol, termasuk di kampus-kampus. Proses
perkaderan Pas di universiti mungkin boleh diambil iktibar. Mendekati
golongan belia memerlukan aktiviti yang rencam dan santai, tanpa
melupakan keperluan kehidupan mereka yang mencabar.
Personaliti menarik dan karismatik wajar ditampilkan. Peluang mengasah
bakat jangan ditutup sehingga memaksa orang muda berbaris panjang
menunggu giliran. Dalam keadaan tertentu, pemimpin mesti berani
mendedahkan pelapis baru dan dipertanggungjawabkan dengan tugas
strategik.
Masa depan Amanah sering dikaitkan dengan keputusan PRU14. Jika PH
menang tentu tidak banyak spekulasi negatif, bagaimana pula jika
kemenangan tertangguh? Mampukah Amanah meredah kesuraman dan kesugulan
itu, di kala ia belum bertapak kukuh? Saya tidak mahu meramalkan, tetapi
percaya Amanah adalah parti Islam masa depan.
Ya, mungkin ia menempuh jalan sukar dan berliku, tetapi parti
progresif ini tidak mudah ditumpaskan dengan keputusan PRU14 yang tidak
memihaknya. Apa pun, saya lebih mengharapkan untuk melihat sumbangan
besar Amanah dalam kerajaan baharu nanti, untuk membina semula tanahair
kita yang hampir punah. Ia bagaikan kembara panjang yang baru bermula.
Gandingan aset dan sumber berkualiti dalam Pakatan Harapan, termasuk
Amanah, adalah potensi terbaik, untuk membawa Malaysia ke era lebih
sejahtera, adil, berkat dan dipayungi Rahmat Ilahi.
Saya tutup buku ini dengan memetik pandangan Dr Yusof Qaradawi dalam bukunya, Min Fiqh Ad-Daulah Fil Islam:
Adalah harus menubuhkan pelbagai parti Islam dalam sesebuah negara
islam, yang setiap satunya memiliki ciri-ciri pemikiran, metodologi dan
pendekatan politik yang berbeza-beza. Setiap parti islam mestilah
disokong dengan hujjah-hujjah dan riwayat-riwayat yang sahih dalam
tindakan mereka.
Oleh itu sesiapa sahaja boleh menyokong mana-mana parti islam yang
telah ditubuhkan mengikut keyakinan mereka masing-masing. Sesiapa pun
boleh menolak jika didapati ada parti lain yang lebih baik.
Pelbagai parti dalam bidang politik adalah sama seperti pelbagainya
mazhab dalam bidang fekah. Perbezaan pelbagai mazhab tidak boleh dielak
disebabkan setiap madrasah pemikirannya memiliki dasar-dasarnya yang
khusus di dalam memahami syariat dan mempunyai perbezaan cara
mengeluarkan hukum daripada dalil-dalilnya yang komprehensif.
Oleh kerana parti politik Islam juga mengambil hukum dan nas daripada
pelbagai mazhab yang berbeza aliran pemikirannya ini, maka cara,
pendekatan dan metodologi politiknya juga tidak sama. Maka wajar
berlakunya kepelbagaian parti politik.
———
Tulisan ini dipetik dari buku “PARTI AMANAH NEGARA”. Ahmad
Lutfi Othman menghasilkan catatan penutup buku ini dalam keadaan uzur,
di atas pembaringan. Impiannya hanya satu, mahu menawarkan bahan bacaan
yang lebih adil dan menyeluruh tentang parti Islam, Amanah.
No comments:
Post a Comment