BAHAGIAN PERTAMA
Sehingga 2015, bermula daripada pertengahan 1970-an, apabila minat
siyasah saya berputik, saya tidak pernah terfikir untuk menyokong
mana-mana parti politik, selain Pas.
Saya pernah memberitahu Dr Janet Steele, sarjana media Universiti
George Washington, Amarika Syarikat, yang membuat kajian khusus tentang
jurnalisme dan politik Islam di Asia Tenggara, berdasarkan kes antara
lain, Harakah, bahawa sokongan terhadap Pas bukan pilihan saya, tetapi
ia merupakan satu kewajiban dan tuntutan agama.
Selemah mana pun Pas, saya tidak terfikir untuk memilih parti lain.
Alasan tunggalnya kerana Pas satu-satunya parti Islam yang ada. Titik.
Dalam satu konferen di Universiti Oxford, 2016, Janet sewaktu membentangkan hasil kajiannya, antara lain:
Lutfi was born into a family that was “all PAS,” and everyone in his
kampung belonged to the Islamic party. “If there were Umno members, they
didn’t want to admit it,” he says, laughing (interview, July 25, 2013).
“Since the time I was little,” he said, “my family, my father, always
emphasized the importance that as a Muslim person, in our entire life,
Islam has to be followed. By our worship, our ritual, praying, fasting –
even the issue of politics.”
“In Malaysia, there is only one Islamic party, so even if its
leaders were “not perfect,” Lutfi believes that he had no choice but to
follow it. “If there is only one Islamic to straighten it out from the
inside,” he says.
Pada malam keputusan pilihan raya Kelantan, 1978, yang menyaksikan
Pas kalah teruk, tinggal dua kerusi Dun, dan hilang pemerintahan ke atas
negeri itu, saya menangis teresak-esak, sambil mendengar berita sedih
itu melalui radio, di rumah kedai kami, di Pekan Tunjang, Jitra. Umur
saya, 15 tahun.
Biarpun kekalahan itu cukup memedihkan, namun ia tidak sedikit pun
memalukan, malah mendorong semangat, sekurang-kurangnya untuk terus
memberi sokongan dan berkempen kepada kawan-kawan sekolah – yang belum
cujup umur untuk menjadi pengundi – agar menyokong Pas.
Apalah sangat yang boleh dibuat oleh budak kampung, Tingkatan 3 waktu
itu. Dapat sedikit kesedaran politik pun melalui ceramah-ceramah
berdekatan yang saya ikuti sekitar Kubang Pasu menemani abang ipar.
Terpegun juga mendengar pidato bersemangat dan indah bahasanya oleh
Datuk Asri Muda, Yang Dipertua Agung Pas di Kodiang. Kebetulan pada
1978, Asri berpindah dari kawasan parlimennya Nilam Puri, Kelantan ke
Padang Terap, Kedah.
Malangnya, Asri yang menjadi tokoh kesayangan saya, tewas. Semasa di
Sekolah Teknik Alor Setar, 1979-80, saya teruja dengan demonstrasi
petani yang menuntut kenaikan harga padi. Rakyat miskin dan tertindas
bangun menuntut hak. Penggunaan ISA terhadap pemimpin tunjuk perasaan
itu menebalkan lagi amarah saya kepada regim pemerintah.
Saya juga didedahkan dengan taktik kotor permainan perkauman yang
menjadikan pelajar sekolah sebagai sasaran. Bangsa Cina dan DAP
digambarkan sebagai hantu yang berbahaya dan menakutkan.
Pelbagai cerita
tentang tragedi berdarah 13 Mei 1969 dikisahkan secara dramatik, dalam
keadaan bilik yang dipadam lampu, bagi memudahkan imiginasi palsu itu
mempengaruhi budak-budak sekolah.
Alhamdulillah, berkat asuhan politik sejak kecil, saya menganggapnya
tidak lebih daripada propaganda murahan, untuk mengekalkan sokongan
kepada Umno-BN.
Ketika rakan-rakan lain nampak gerun dan bermuka pucat mendengar
kisah sadis pelampau Cina nembunuh orang Melayu, saya lebih berhati-hati
menyaringnya, dan ferfikir apa solusi Islam untuk kita hidup harmonis
dan saling mempercayai sesama warga. Bukankah kita daripada pelbagai
kaum dan agama, sudah ditakdirkan hidup berjiran, satu kelas dalam
sekolah yang sama, justeru mengapa harus disuntik kecurigaan dan
benci-membenci.
1979, Tingkatan 4, saya berpindah ke Sekolah Teknik, Alor Setar.
Menetap di asrama. Jarak daripada rumah 20 batu. Di sini, sebagai budak
kampung yang malu dan gagap, mulai terdedah dengan dunia luar.
1980, berlaku pilihan raya kecil Dun Bukit Raya. Ustaz Fadzil Mohd
Noor yang saya kenal dari jauh dipilih untuk mewakili Pas. Mengenalinya
sebagai tokoh muda ABIM, selain Anwar Ibrahim. Tentunya saya mendoakan
agar Ustaz Fadzil dapat masuk sidang Dun.
Ada yang memberitahu saya, inilah pemimpin masa depan Pas, yang
tinggi ilmu agamanya dan berpengalaman dalam gerakan Islam. Beliau boleh
mengangkat martabat Pas sebagai parti Islam yang dihormati. Malang
sekali, pada malam keputusan pilihan raya, Ustaz Fadzil yang bertanding
buat kali kedua, sejak 1978, diumumkan tewas, dengan majoriti tipis.
Air mata saya mudah tumpah. Tetapi harapan saya lebih besar. Saya
meneka, bintang baru Pas sedang menyinar. Ya, selepas kekalahan itu,
bermula 1982, Ustaz Fadzil tidak pernah kecundang lagi apabila
bertanding di kerusi Dun.
Seingat saya, pertama kali berdepan Ustaz Fadzil adalah semasa beliau
berceramah Maulid Nabi di Pondok Tok Guru Haji Abu Bakar Palestin, Air
Hitam, Jerlun. Tok Guru Haji Bakar mempunyai kuliah tetap di madrasah
kampung saya, Kampung Raja.
Saya berdiri tidak jauh daripada tempat Ustaz Fadzil bersyarah, di
pintu sebuah rumah. Dengan lantunan suara yang mersik, tinggi-rendah,
disulami jenaka yang tidak berlebihan, petikan ayat Quran dan Hadis
mengukuhkan hujah, saya terpesona dan lantas menjadi peminat nombor
satunya.
Saya terbayang, alangkah segak dan padan jika Anwar dan Ustaz Fadzil
bergandingan sebagai dua pimpinan tertinggi Pas! Sejak itu, saya kerap
mencari kaset-kaset ceramah Ustaz Fadzil. Apabila menjejakkan kaki ke
kampus Universiti Teknologi Malaysia, Jalan Gurney, sekitar 1981, dua
tiga kali juga saya terserempak dengan Ustaz Fadzil ketika menapak ke
dewan kuliah. Nampak beliau mudah mesra dan rendah diri.
Kemudian baru saya tahu, Ustaz Fadzil dipecat UTM kerana menjadi
calon pilihan raya, dan beliau menang apabila kesnya dibawa ke mahkamah,
serta mendapat pampasan. (Semasa Ustaz Fadzil meninggal dunia di HUKM,
pada 2002, saya berselisih dengan bekas Naib Canselor UTM, Tan Sri
Ainuddin Abd Wahid, yang berkerusi roda, berhimpit-himpit di antara8
ribuan orang untuk mengunjungi jenazah di surau berdekatan. Orang yang
pernah memecatnya datang untuk memberi penghormatan terakhir).
Semasa mengikuti kursus kejuruteraan awam di UTM, selama lima tahun,
saya dekat dengan rakan-rakan sealiran, iaitu bersama-sama mendukung
perjuangan Pas. Tidak seperti sahabat yang lain dalam jamaah Hizbi
Islam, saya agak liat menghadiri program-program rutin, seperti usrah,
tamrin dan pengajian.
Namun keprihatinan dan minat saya dengan isu-isu politik tetap
menonjol. Jika sembang-sembang hal semasa, dua atau tiga jam terasa
singkat sahaja. Menjelang pilihan raya umum 1982, yang menyaksikan Dr
Mahathir Mohamad buat pertama kali mengemudi kempen BN, ada khabar yang
tidak menyenangkan bertiup kencang. Ura-ura Anwar telah dipancing
Mahathir untuk bersama Umno. Pastinya sebagai anak muda yang
mengimpikan, bukan hanya Anwar menyertai Pas, tetapi mengetuainya, saya
cukup kecewa sekali.
Semasa saya balik kampung, beberapa jiran penyokong kuat Pas pada
satu malam bertandang dan isu yang hangat dipersoalkan, tidak lain,
benarkah Anwar akan masuk Umno. Mereka agak keliru, bagaimana mungkin
Anwar boleh tertarik dengan Mahathir sedangkan beliau dikenali sebagai
tokoh yang pandangannya banyak bercanggah dengan Islam. Mereka merujuk
kepada buku Mahathir, Malay Dilemma yang diharamkan kerajaan terdahulu,
yang dikatakan kandungannya ada mengkritik ajaran agama. Mahathir adalah
ahli Parlimen kawasan kami, Kubang Pasu, sejak 1974.
Dalam pilihan raya 1969, Setiausaha Agung Umno dan Menteri
Penerangan, Senu Abd Rahman kalah di tangan calon Pas, juga di
konstituensi kami. Saya masih ingat lagi, seorang rakan abang ipar saya,
pada malam itu, dengan cepat menyanggah: “Aku dapat tahu, Ustaz Fadzil
menafikan khabar Anwar akan masuk Umno. Hubungan Anwar dengan Ustaz
Fadzil, ibarat kuku dengan isi. Jadj, toksah percayalah berita tu.”
Saya merasakan ketokohan Anwar, terutama berpengalaman dan teruji
dalam gerakan Islam, ABIM, juga legasinya bersama pertubuhan mahasiswa,
serta menjadi juara isu-isu rakyat terpinggir, malah dikenali di
peringkat antarabangsa, mampu membantu Pas memulihkan imej dan
prestasinya selepas kalah pada 1978. Partisipasi rakan-rakannya dalam
ABIM untuk terlibat aktif dengan Pas, seperti Ustaz Fadzil, Ustaz
Nakhaie Ahmad dan Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman, semacam membuka laluan
kepada Anwar untuk terjun sama ke dalam parti Islam.
Namun, Anwar mempunyai perkiraan dan sifir politik tersendiri.
Keputusannya bukan sahaja menghampakan ramai orang tetapi cukup
mengecewakan. Anwar memilih Umno dan Mahathir. Mungkin itu jalan
praktikal untuknya mendaki takhta kuasa yang diidamkan. Pas tidak
berupaya memberi laluan singkat ke puncak.
Saya, seperti penyokong gerakan Islam yang lain, terkedu sedih, pedih
terhiris. Kami yakin Anwar telah memilih jalan yang salah; cita-cita
Islam tidak dapat dicapai melalui kaedah yang batil. Anwar hanya
dipergunakan untuk menyekat gelombang kebangkitan Islam awal abad ke-15
Hijrah. Dia akan berlumuran najis setelah masuk ke dalam tong tahi
walaupun niatnya untuk membersihkan daripada dalam! Paling pokok,
penyertaannya bersama Umno adalah bercanggah dengan kehendak syarak.
ABIM yang dilihat merestui langkah songsang Anwar itu turut mendapat
tempias buruk. Pas menjadi lebih popular di kalangan anak muda,
khususnya mahasiswa. Regim Mahathir-Musa pula hanya mengemukakan Islam
sebagai kosmetik, dan Anwar menjadi alat untuk Umno berdepan kebangkitan
Pas di bawah kepimpinan ulama selepas Datuk Asri Muda dijatuhkan. Saya
menghadiri satu pidato di Gombak, bertajuk Pas tuduh Umno kafir: Anwar
jawab! Dan dalam pilihan raya umum 1982, Anwar bertanding di Permatang
Pauh menentang penyandang daripada Pas, Haji Zabidi Ali, dan menang
bergaya.
Di seluruh negara, Pas hanya menang 5 kerusi Parlimen, empat
daripadanya di Kelantan, satu di Kedah. Serambi Makkah masih kekal di
bawah BN. Di Terengganu, Pas berjaya menang lima kerusi Dun. Namun
begitu, ungkapan Ustaz Hadi Awang menjadi azimat: “Lima kerusi itu
ibarat lima jari yang bila digenggam menjadi satu penumbuk yang kuat!”
Meskipun gagal diterjemahkan dalam bentuk undi yang berkesan pada
hari mengundi, pengaruh dan kekuatan Pas tetap terasa – khususnya bagi
kami, penyokong tegar-fanatik – makin membesar. Majlis-majlis ceramah
dan himpunan dihadiri puluhan ribu orang.
Kepimpinan baru Yusof Rawa menampilkan dua tokoh pemidato, iaitu
Ustaz Fadzil dan Ustaz Hadi. Kelantangan Ustaz Hadi menjadi tarikan
utama. Kampus yang masih terbuka kepada penceramah luar ketika itu
terhampar sebagai pentas untuk Ustaz Hadi menonjjolkan kepetahannya
menundukkan wakil Umno. Kaset ceramahnya begitu laris. Satu daripadanya,
yang saya ingat adalah syarahannya di Universiti Pertanian (sekarang,
Putra) Malaysia.
Saya sendiri menyaksikan dalam satu forum politik di Dewan Besar UTM,
wakil Umno seperti diperbudakkan oleh Ustaz Hadi. Dewan bergemuruh
dengan sorakan dan laungan takbir. Di lokasi yang sama, Anwar sebagai
timbalan menteri, dicabar oleh puluhan soalan, daripada mahasiswa
beratur panjang yang bersemangat bertanya, termasuk mempersoalkan
langkahnya menyertai Umno. Saya perasan Anwar seperti nampak gelabah dan
beremosi ketika menjawab serangan itu.
Tidak lama kemudian, pentadbiran universiti bertindak drastik
melarang tokoh-tokoh pembangkang daripada menghadiri program dalam
kampus. Maka hilanglah seri menara gading yang sekian lama menjadi wadah
percambahan minda kritis warganya dan platform membincangkan isu-isu
kontroversi secara bebas.
Ketika itu juga, sekitar 1983, mahasiswa semakin ramai mendukung
perjuangan Islam Pas. Identiti dan jatidiri Pas sebagai gerakan Islam
diperkukuhkan. Pengaruh revolusi Islam Iran berkembang pesat dan
menyuntik rasa yakin pemerintahan “jahiliyah” mampu ditumpaskan walaupun
bersandar kuasa besar dunia.
Buku-buku Ikhwan Muslimin dan Jamaat Islami menjadi rujukan.
Pemikiran tokoh-tokoh seperti Hassan al-Banna, Syed Qutb, Fathi Yakan,
Maududi, disanjung, dikupas dan dihayati. Antara karya yang dihadam
ialah Petunjuk Sepanjang Jalan dan Apa Erti Saya Menganut Islam. Kisah
Imam Khomeini bersenjatakan tangan kosong menjatuhkan regim Shah Iran
juga menimbulkan inspirasi berpanjangan.
Rakan-rakan saya turut meminati buku-buku terjemahan daripada ulama
dan pemikir Iran. Isu Syiah tidak begitu ketara lagi. Tumpuan lebih
kepada mengambil semangat daripada kebangkitan golongan tertindas,
mustadhafin, menentang golongan mustakbirin, penindas.
Saya juga pernah mengikuti program anjuran penyokong revolusi Iran di
sebuah hotel dekat Kampung Baru, Kuala Lumpur. Di waktu yang sama,
beberapa aksi Musa Hitam, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam
Negeri dilihat sebagai anti-Islam, serta menimbulkan kegelisahan,
sehingga ada sahabat-sahabat saya nekad menelefon rumah Musa untuk
menyuarakan amarah mereka!
Ya, walaupun kami masih di tahun-tahun awal pengajian, berusia dalam
lingkungan awal 20-an, berjumlah hanya sekitar 30-40 orang, namun impian
dan harapan adalah untuk mengubah dunia, kembali tunduk menyerah kepada
Allah.
Tiada solusi terbaik kepada segala masalah, kemelut dan krisis di
muka bumi ini kecuali penyelesaian yang dikemukakan Islam. Dan apabila
rakan-rakan saya ini menyertai pilihan raya kampus, motto yang digunakan
mereka semua seragam, iaitu Allah Matlamat Kami. Sokongan pelajar pula
hampir menyeluruh. Kami menang besar.
Di kala Pas kalah teruk dalam pilihan raya umum, tapi di kebanyakan
kampus, “anak-anak Pas” bukan sahaja menguasai Majlis Perwakilan
Pelajar, malah membentuk kekuatan yang dihormati. Ia berjaya menyemai
personaliti yang berakhlak, walaupun terdapat elemen memandang agak
rendah kelompok lain.
Sekitar pertengahan 1980-an, waktu Anwar menjadi Menteri Pendidikan,
hanya Universiti Kebangsaan Malaysia dimenangi kumpulan pelajar
pro-Umno. Kampus-kampus di utara Semenanjung, Universiti Utara Malaysia
dan Universiti Sains Malaysia turut kritikal dengan pemerintah.
Bayangkan, Pas hanya memperolehi satu kerusi Parlimen pada 1986 -Tok
Guru Nik Aziz Nik Mat pun kalah di Bachok – tetapi pengaruh Umno di
menara gading seperti tersudut. Justeru, kami yang terasuh dengan
tarbiyyah Pas, tetap melihat masa depan Islam dengan penuh optimis.
Sekurang-kurangnya masyarakat terpelajar menjadi aset berharga untuk
membentuk masa depan gemilang buat Islam. Itulah keyakinan kami tentang
potensi yang menjanjikan.
Sesuatu yang indah dalam kehidupan berjemaah di kampus adalah jalinan
ukhuwwah yang akrab dan ikhlas. Dan kami diasuh bahawa persaudaraan
yang berpaut erai itu bukannya dirapatkan oleh faktor keturunan atau
keluarga atau kepentingan tertentu, tetapi dinaungi faktor aqidah dan
perjuangan yang satu. Kita boleh sahaja berpisah atau bercerai, walaupun
daripada satu keluarga, jika tidak disatukan oleh asas perjuangan yang
sama. Wah, bersemangat betul ketika itu!
1987. Saya mula berkhidmat dengan Harakah, akhbar rasmi Pas yang baru
mendapat lesen atau permit penerbitan seminggu sekali. Untuk
bulan-bulan awal, staf Harakah tidak mendapat gaji; kami diberi
kemudahan makan percuma. Alhamdulillah, saya yang tinggal serumah
bersama sahabat-sahabat jemaah dikecualikan daripada bayaran sewa dan
keperluan dapur. Malah, ada sedikit sumbangan wang tunai untuk saya,
yang dikumpulkan dari beberapa rakan yang prihatin. Terasa manisnya
persahabatan dan segarnya idealisme yang dikongsi bersama, meskipun
selepas keluar kampus.
Semasa dua tahun bergiat aktif dalam gerakan mahasiswa (1984-86),
saya belajar erti kesabaran demi matlamat yang lebih besar, memahami
perbedaan di antara jemaah, memaksa diri untuk bertolak ansur, mengenali
birokrasi yang dicipta untuk menekan kebebasan, meraikan kepelbagaian
yang nampak menyulitkan tetapi sebenarnya mendewasakan, bekerja keras
dalam tekanan yang tinggi termasuk bergerak solo apabila rakan sepasukan
dihimpit masalah, tidak memandang rendah saingan dan berusaha menangkap
peluang yang melintas laju di hadapan.
Dalam diam, sesama jemaah Islam yang pelbagai itu, rupanya ada rasa
keakuan yang “membunuh”. Usaha menambah keahlian baru juga boleh
menimbulkan sengketa; masing-masing mahu melepaskan pucuk. Apabila ada
rundingan, keputusan bukan ditentukan dalam mesyuarat tetapi harus
dirujuk sepenuhnya kepada pihak di belakang tabir.
Apa pun, bagi saya, ia adalah permulaan satu proses kematangan yang
panjang. Bukankah kampus itu medan atau operasi kepada rantaian
eksperimen, yang tidak seharusnya dikunci oleh pantang larang dosa
pahala semata? Ia gelanggang usaha saling mempengaruhi dan membina
ketrampilan. Jika ada kumpulan merasakan mereka yang terbaik, itu juga
sentimen yang lumrah bagi kelompok idealis.
Masa dan perubahan zaman
adalah penawar paling ampuh untuk merawat “penyakit” itu.
Saya sedikit resah apabila ada pihak mahu memastikan jalur gerakan
mahasiswa terkurung dengan jemaah atau pertubuhan di luar. Mereka hanya
mengaminkan titah ketua yang tidak menghayati idealisme perjuangan
pelajar. Sedangkan, bukankah tabiat anak muda itu ghairah dengan
eksperimen dan siri percubaan?
Apa salahnya memberikan ruang selesa untuk mereka beraksi berani
mencetuskan pembaharuan, biarpun nampak nakal dan sedikit “gila”.
Lepaskan mereka untuk merintis, dan sesekali tersadung atau terjatuh.
Pengalaman, kekhilafan dan kesalahan makin cepat mendewasakan.
Harungilah krisis, kemelut dan konflik. Belajarlah untuk berkomunikasi
dengan semua pihak yang mempunyai pemikiran, idea dan pendekatan
berbeda. Usah hidup di bawah tempurung dan sangkar sempit. Pelangi
warna-warni alam kampus jangan dicat hitam-putih.
Kampus bukan hanya membekalkan pemimpin masa depan atau generasi
intelek yang berkemahiran dan beradab untuk mengisi posisi kritikal di
hari muka. Ia juga berperanan besar menyediakan satu kekuatan
(ketumbukan) luar biasa yang tiada berkepentingan, sebagai penggerak
zaman, pengawas elit penguasa, jurubicara masyarakat yang dipinggirkan,
penggegar pemerintah korup, penyedar rakyat tentang hak dan kewajipan
mereka.
Tentunya peranan penting itu hanya dapat dijayakan semasa masih
bergelar mahasiswa dan sama sekali tidak boleh ditebus selepas
meninggalkan kampus. Jangan menjadi orang tua yang berlagak dewasa dan
matang ketika rakyat mendambakan gerakan anak muda yang nenggelegak
darah dan berkobar semangat mereka. Usah risau, sabarlah, nanti anda
juga akan menjadi tua, dewasa, lebih cermat, terlalu berhati-hati dan
“berpandangan jauh”.
Meskipun saya aktif bersama jemaah Pas di kampus, semasa menerajui
Persatuan Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (PMUTM), saya membuka
peluang kepada pimpinan ABIM – yang dilihat rapat dan dekat dengan
Umno-Anwar – untuk mengisi program kami. Nampak seperti biasa sahaja,
tetapi ia sebenarnya memecah adat. Saya dianggap “budak Pas” yang keras
kepala, degil dan tidak bertolak ansur dengan pentadbiran universiti,
terutama dalam menangani isu kontroversi ketika itu, pengharaman purdah,
namun ia tidak menghalang saya untuk kerap berbincang dan
bertukar-tukar pandangan dengan Naib Canselor, Tan Sri Ainuddin Wahid
dan timbalannya, Prof Anuar Maarof. Selalunya saya bertamu di pejabat
mereka selepas solat Asar.
Anuar pernah menghadiahkan buku tentang militan Islam. Itu pada tahun
1985. Dia menasihatkan saya jangan bersikap terlalu keras seperti Ikhwan
Muslimin di negara Arab. Belajarlah, tambahnya, daripada pengalaman
Nusantara dan tokoh-tokoh Islam Indonesia.
Anuar juga mencadangkan saya menelaah kitab Buya Hamka, Tafsir Azhar
dan bukan hanya merujuk karya Syed Qutb. Ainuddin, yang mesra dipanggil
Bapak Tan Sri, semasa diwawancara wartawan Harakah, sekitar 2006,
melahirkan rasa pelik dengan watak saya, “Lutfi tu nampak aja lembut dan
mudah berbincang, tapi keras masa dia pimpin persatuan siswa dulu.”
Saya hanya mampu tersenyum bila diberitahu begitu,Namun begitu, pengalaman kewartawanan saya, bermula sebagai pemberita
sambilan untuk tabloid polbitik, seperti Mingguan Tanahair, dan kerap
menulis untuk Watan dan Mingguan Bumi sekitar pertengahan 1980-an,
kemudiannya didisiplinkan lagi semasa menjadi warga Harakah pada 1987,
mengajar saya untuk menjadi lebih kritis, sering bertanya dan meragui
khabar yang diterima, mempastikan dan berusaha mengesahkan info yang
dimaklumkan.
Selain itu, saya diasuh untuk meneliti dan menekuni pelbagai sudut
pandang sebelum merumuskan. Sekiranya timbul juga keraguan tetapi perlu
membuat keputusan segera, maka dengarlah apa kata hati kecil atau
nurani. Lebih baik untuk tidak menyiarkan berita yang dicurigai
kebenarannya, walaupun datang daripada pimpinan tertinggi parti.
Ya, benar, saya ada pengalaman tersendiri, apabila siarkan juga
khabar yang disangsikan kerana dimaklumkan oleh seorang pemimpin yang
rapat, dan nurani saya berbisik untuk menolaknya, tetapi kerana “malu
alah” saya siarkan juga. Akhirnya, terbukti berita itu hanya propaganda
dan saya berasa bersalah untuk tempoh yang lama. Kadang-kadang kita
takut menggunakan neraca logika mudah dan pertimbangan rasional
semata-mata kerana menurut arahan pihak atasan.
Benar kata beberapa teman penulis, bahawa saya bukanlah seorang
editor yang baik untuk lidah rasmi parti seperti Harakah. Bagi mereka,
ketua pengarang organ parti hanya menerima satu arahan, iaitu daripada
pimpinan parti dan tiada dolak-dalik lagi. Sedangkan saya, tambah
mereka, banyak pula karenahnya, apatah lagi saya turut aktif
memperjuangkan kebebasan akhbar.
Ada kalanya, dilihat pertimbangan kewartawanan melebihi kepentingan
atau muslihat (strategi) politik parti (atau tokoh tertentu). Misalnya,
menjelang PRU13, saya pernah mengabaikan arahan pimpinan tertinggi
Harakah agar tidak menyiarkan di muka depan, foto perdana menteri
memegang bahu bekas ratu cantik yang terdedah. Saya mempersoalkan rakan
wartawan yang memaklumkan perintah itu kepada saya, “kenapa bos tak
arahkan terus kepada saya, boleh juga saya bertanya kenapa tak boleh
siar, sedangkan gambar itu eksklusif untuk Harakah”.
Sejurus selepas disiarkan, bos besar itu segera menelefon saya, marah
dengan keengkaran saya itu. Saya hanya memohon maaf tidak mahu
memanjangkannya sambil memberi jaminan perkara seumpama itu tidak akan
berulang. Dalam diam, saya memegang prinsip, “lebih baik minta maaf
daripada minta izin!”
Saya juga membuat pertimbangan sendiri dalam pemilihan berita,
susulan Langkah Kajang bagi mengenepikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri
Khalid Ibrahim. Pergeseran Pas dengan Keadilan nampak ketara. Serang
menyerang berlaku secara terbuka.
Dalam satu majlis tertutup, yang dihadiri 5,000 orang, dekat Rusila,
Terengganu, Ustaz Hadi melemparkan kritikan keras, dan agak personal,
terhadap Presiden Keadilan, Dr Wan Azizah Wan Ismail, bagi menafikan
kelayakan Ketua Pembangkang itu sebagai calon pengganti Khalid. Wakil
Harakah Terengganu menghantar transkrip ucapan Ustaz Hadi itu. Pelik
juga, taklimat dalam majlis tertutup mahu dihebahkan seluas-luasnya.
Saya cuba menyemak program itu dalam youtube.
Suasananya nampak seperti
dalam majlis terbuka. Saya merasakan kandungan ucapan Presiden Pas itu
tidak sesuai disiarkan kerana boleh mengundang perpecahan lebih serius
dalam barisan oposisi.
Dalam hati saya terlintas, kalaupun Pakatan
Rakyat akan bercerai-berai, janganlah ia berpunca daripada Harakah.
Biarlah ia menjadi viral dalam media sosial, namun organ parti tidak
perlu menyebar-luaskan lagi.
Satu lagi insiden, yang membuktikan saya bukan editor Harakah yang
baik, adalah liputan muktamar Pas 2014 di Batu Pahat. Saya tidak pasti
bagaimana bentuk laporan “doa laknat” yang dibacakan oleh perwakilan
Wilayah Persekutuan, seorang ulama. Rasanya ia tidak ditonjolkan kerana
aksi melampau itu begitu memalukan.
Wakil Kuala Kedah yang secara spontan bangun menegur cara perbahasan
berselindung di sebalik doa itu, dihalang oleh pihak keselamatan, walhal
Pengerusi Tetap muktamar belum membuat apa-apa ruling. Namun, apa yang
pasti, ucapan penggulungan presiden – yang kontroversi dengan ungkapan
barua, broker – yang saban tahun disiarkan Harakah secara penuh, kaki
itu hanya dibuat berita ringkas.
Saya masih ingat, dalam mesyuarat editorial di bilik kerja Pengarah
Urusan, saya mencadangkan agar ucapan penuh amarah presiden itu, tidak
disiarkan secara verbatim, kerana ia boleh mendorong kepada suasana
lebih gawat dan memburukkan lagi keadaan.
Saya menerima teguran, “susahlah kalau ucapan presiden dalam muktamar
pun mahu disekat dan digelapkan oleh akhbar parti sendiri.”
Saya yang diamanahkan sebagai ketua pengarang Harakah pada awal 2006,
selepas dipindahkan daripada akhbar Siasah, cuba membuat beberapa
perubahan, antaranya dengan memuatkan temubual panjang tokoh-tokoh bukan
Pas, malah bukan daripada kalangan politikus pun. Misalnya, Tan Sri
Ainuddin Wahid, Prof Emiritius Abu Bakar Hamid dan Tan Sri Basir Ismail.
Selain itu, saya mempelawa beberapa pimpinan DAP dan Keadilan untuk
menjadi kolumnis, selain pemikir bebas Wan Saiful Wan Jan. Agak
mengejutkan, sebaik tersiar tulisan pertama Nurul Izzah Anwar, sudah ada
bantahan serius daripada Muslimat Pas. Aneh juga, mengapa perlu protes,
Nurul Izzah bukannya mengambil ruang orang lain. Dan kami bersedia
untuk menghamparkan peluang kepada pemimpin Muslimat Pas jika mereka
berhasrat untuk menulis.
Malang sekali, itulah kali pertama dan terakhir Nurul Izzah menulis
walaupun sambutan pembaca baik sekali. Kolum pemimpin muda DAP, Liew
Chin Tong bertahan lama tetapi sering mendapat rungutan terutama apabila
menyinggung isu-isu sensitif, seperti hudud, hak non Muslim dan
sebagainya. Ruang tetap rakan saya, Lim Hong Siang ada kalanya turut
dikritik tetapi saya mempertahankannya. Hujah saya mudah, daripada
kedua-dua kolum Liew dan Lim itu, kita mendapat maklum balas respons
masyarakat bukan Islam terhadap Pas. Kalau ada yang mahu mengkritik
kolum tersebut, silakan menulis, Harakah pasti menyiarkannya. Tetapi
haruslah bersedia jika berlaku polemik berpanjangan.
Hayat kolum Wan Saiful tidak panjang kerana ada keputusan muktamad
bagi menamatkannya dari pihak atasan, walaupun jelas ia didorong oleh
sentimen lama yang hanya difahami oleh orang-orang tertentu sahaja.
Walaupun perubahan kecil untuk memperbaiki citra dan kandungan Harakah
menemui sedikit kesulitan, namun saya tidak menyalahkan pimpinan Pas
sepenuhnya. Ia satu cabaran yang menggalakkan saya kebih kreatif.
Di mana-mana juga penerbitan akhbar, apatah lagi organ parti, akan
berdepan pelbagai rintangan, hambatan dan pantang-larang. Malah,
sesungguhnya, di atas segala kekangan itu, saya mengangap pemimpin Pas
secara umumnya masih menghormati kebebasan ketua pengarang. Namun
begitu, suasana selesa dan kondusif itu hanya dibenarkan sehingga hujung
tahun 2014, berbetulan sehingga khidmat saya ditamatkan.
Apa pun saya yakin, faktor yang lebih penting adalah sikap editor itu
sendiri: apakah dia bersedia untuk menurut apa jua arahan tanpa
soal-jawab, ataupun bersikap kritis dan berdiri atas profesionalisme
kewartawanan tetapi masih bertanggungjawab untuk memajukan parti.
Alhamdulillah, saya agak lega meniti detik-detik sukar ketika Pas
mula retak sekitar hujung 2014. Tempoh meruncing itu datang sewaktu
kesihatan saya merosot dengan begitu teruk. Kualiti penglihatan
menjunam, pandangan kabur sehingga hampir tidak mampu membaca sama
sekali. Kadang-kadang terpaksa dituntun untuk berjalan, terutama apabila
pendarahan berlaku pada kedua-dua mata.
Masa sama, kegagalan buah pinggang sudah di tahap serius. Fungsi
ginjal jatuh di bawah 12 peratus. Kerap muntah, mual, dan pening yang
kuat. Payah untuk bergerak, apatah lagi untuk memandu ke pejabat. Saya
seperti berada dalam dunia tersendiri, halusinasi. Mendengar berita TV
pun sudah merimaskan. Berat badan menurun 20kg. Selera makan terpadam.
Lidah terasa bagai ada logam, tanda toksik berkumpul dalam badan.
No comments:
Post a Comment