Oleh Al-Abror Mohd Yusuf
Mengapa perlu buku setebal lebih 800 muka surat untuk sebuah buku tentang Ahmad Lutfi Othman dan hal sekitar kebebasan media?
Judul Lorong Sunyi Media Bebas memang agak menjanjikan, terutama di
kalangan seseorang yang pernah - atau masih - bergelumang dengan dunia
kewartawanan atau persuratkhabaran.
Selain itu mungkin hanya orang yang berminat kepada dunia berkenaan
yang ingin mengetahui apa yang terkandung dalam buku ini. Juga sesiapa
yang mengenali nama Ahmad Lutfi yang terkenal itu.
Lorong Sunyi Media Bebas dibidani sebagai suatu 'hadiah' kepada bekas
ketua pengarang Harakah yang terlibat selama 30 tahun dalam dunia
kewartawanan.
Keuzuran membuatkan buku ini diusahakan oleh "rakan-rakan Ahmad Lutfi" yang karib.
Buku ini terbahagi kepada beberapa bahagian dan setiap bahagian dipisah-pisahkan pula oleh bab berasingan.
Bahagian pertama memuatan dua temu bual agak panjang bersama Ahmad
Lutfi, manakala kedua berisi 54 rencana daripada 54 penulis berbeza yang
bercerita mengenai Ahmad Lutfi.
Beberapa bab (entah mengapalah agaknya ia diberi nama "bab" bagi
memisahkan seorang penulis dengan penulis lain) awal memang menggiurkan.
Bermula dengan prakata oleh Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, tulisan awal bahagian kedua itu dengan mudah mengasyikkan.
Penulis terlalu ramai
Sebahagiannya memberikan gambaran dan maklumat awal mengenai Ahmad
Lutfi dan kesukaran - serta kegigihannya - memperjuangkan kebebasan
media.
Janet Steel misalnya menghidangkan tulisan yang santai, selesa dan
bersahaja tapi tetap memberitahu banyak tentang Ahmad Lutfi. Malah dari
sisi tertentu tulisannya begitu terasa berbeza berbanding penulis lain.
Melalui pertemuan Janet dan Ahmad Lutfi, pembaca diberitahu bahawa
sebahagian wartawan media arus perdana "tidak ada semangat dan keinginan
untuk berjuang".
Ia mungkin mengejutkan bagi sesetengah orang tetapi hal yang sudah disedari sejak sekian lama oleh sebahagian yang lain.
Janet juga bercerita bagaimana Ahmad Lutfi sendiri mendedahkan "orang politik, secara umumnya" tidak suka kepada media bebas.
Selepas itu ada beberapa nama lain menulis mengenai Ahmad Lutfi,
seperti Zin Mahmud, Noor Azam Shairi, Shahbudin Husin, Helmi Khalid dan
anak Ahmad Lutfi sendiri, Ahmad Luqman Hakim.
Jumlah penulis yang terlalu ramai itulah masalahnya, kadang-kadang.
Selain cara penyampaian yang sesekali amat lewah, pengulangan beberapa
maklumat berkali-kali agak mengganggu.
Ia
kira-kira sama seperti 'keluhan' Ahmad Lutfi ketika dia dikunjungi
ramai orang selepas dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam
Negeri (ISA).
Kerimasan Ahmad Lutfi ialah kerana dia terpaksa bercerita hal-hal yang sama berulang-ulang kepada orang yang berbeza.
Limpahan penulis yang - barangkali - diundang menyiapkan Lorong Sunyi
Media Bebas menjadikan beberapa maklumat sama diceritakan berkali-kali
oleh penulis yang berlainan.
Antaranya mengenai kegigihan Ahmad Lutfi menerbitkan majalah dan
tabloid tidak berkala, berlawan dengan kehendak Kementerian Dalam
Negeri, menguruskan pejabat di Medan Idaman di Gombak dan menguruskan
Harakah.
Dan kebiasaannya rencana yang pendek dan ringkas itu jauh lebih
'sedap' berbanding tulisan meleret-leret dan lewah. Pada bab (saya masih
terganggu dengan penggunaan "bab" dalam buku ini) tertentu penulis
kelihatan seperti mahu bercerita lebih tentang dirinya sendiri
berbanding Ahmad Lutfi.
Namun kebosanan itu diselamatkan pada bab yang lebih terkemudian. Ada
beberapa cerita dan sisi menarik diceritakan. Misalnya mengenai detik
Ahmad Lutfi ditahan di Balai Polis Brickfields (oleh Zul Mohamad) serta -
hal yang penting - mengenai hubungan antara watak itu dengan
allahyarham Tan Sri Azizan Razak (oleh Helmi Khalid).
Semangat membaca kembali ada
Bahagian ketiga pula rasanya akan digemari oleh sesiapa saja yang suka kepada tulisan Ahmad Lutfi.
Ia memuatkan 24 petikan rencana ditulisnya pada masa terpilih. Antara
isu disentuh Ahmad Lutfi yang dipilih dimuatkan pada buku ini ialah
tentang isu majalah Detik dan Wasilah, ketokohan allahyarham Datuk
Fadzil Noor, penggantungan Harakah serta kesan penahanan ISA.
Beberapa tulisan mengenai Ahmad Lutfi yang pernah tersiar dalam media
pula mengisi bahagian keempat buku Lorong Sunyi Media Bebas ini.
Bahagian kelima pula berisi empat "analisis teman-teman" Ahmad Lutfi
mengenai isu kebebasan bersuara yang memang menjadi perjuangan utama
bekas Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia
itu.
Ia boleh memarakkan semula minat pembaca yang tidak hanya terikat
dengan tulisan Ahmad Lutfi semata-mata. Misalnya rencana Taufek Yahya
tentang perubahan Harakah daripada suara rakyat menjadi suara sejati
parti dan bahaya tiadanya "naluri lawak" kerajaan (oleh Zunar).
Bahagian keenam pula memuatkan dua temu bual media dengan Ahmad Lutfi
yang bercakap mengenai nasib majalah Detik yang diusahakannya serta isu
Anwar Ibrahim.
Terakhir pada bahagian ketujuh memaparkan "pengalaman berkaca" Ahmad
Lutfi menulis dan menerbitkan buku politik. Bermula daripada bab pertama
buku hasil Penerbitan Pemuda ini ditutup oleh bab ke-104. Ya, bab
ke-seratus-empat!
Biasalah. Hidup yang panjang akan ada cerah redupnya, panas dan
hujannya. Begitu juga Lorong Sunyi Media Bebas ini - ada sedap dan
asyiknya, tapi ada juga sedikit bosan dan deranya.
Namun
secara umum Lorong Sunyi Media Bebas ini berbaloi untuk didapatkan dan
dibaca.
Ketika kesihatan Ahmad Lutfi masih tetap tidak mengizinkan, buku
ini dapat mendekatkan pembaca dengan susuk terpuji dan kental ini.
Ahmad Lutfi bukan saja berdepan dengan kerajaan sepanjang kerjayanya
bergelar penulis dan wartawan, malah dihadapkan juga dengan kekangan
parti yang selama ini dibanggakan ramai orang.
Lorong Sunyi Media Bebas bukan saja tentang membebaskan media di
negara ini, malah memberi pencerahan tentang hal-hal yang banyak belum
diketahui umum, terutama pada era WhatsApp, Facebook, Twitter dan
Instagram mewabak kini.
Ia memang berbaloi untuk dimiliki.
Bagi sesetengah pembaca pula, Lorong Sunyi Media Bebas adalah seasyik
mengunyah nasi Arab disediakan isteri Ahmad Lutfi, Siti Hawa Samsam.
Judul: Lorong Sunyi Media Bebas Ahmad Lutfi Othman
Penerbit: Penerbitan Pemuda (Mei 2016)
Halaman: 831 muka surat
Harga: RM45
No comments:
Post a Comment