Thursday, May 19, 2011

Jangan guna ISA, AMCP kepada Utusan

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Utusan Malaysia memang kebal. Ya... apalah nak dihairankan, bukankah Utusan dan Umno sukar dicerai tanggal, berpisah tiada? Ketua Pengarang Kumpulannya, Aziz Ishak hanya mendapat surat teguran daripada Kementerian Dalam Negeri walaupun paparan berita utamanya pada 7 Mei lalu dilihat telah menimbulkan keributan dan kegemparan.

Seksyen 7, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (AMCP) cukup tidak gemar dengan hasil penerbitan "yang mungkin menggemparkan fikiran orang ramai" tetapi apabila ia membabitkan Utusan, segalanya okey, 'kan?

Seksyen 8 dan 73, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) memberi kuasa kepada menteri dan polis untuk menahan mana-mana orang yang "telah bertindak atau hampir bertindak atau mungkin bertindak dengan apa-apa cara yang mendatangkan mudarat kepada keselamatan negara", tetapi ia hanya digunakan kepada seteru politik Umno-BN sahaja, 'kan?

Seksyen 3, Akta Hasutan 1948, antara lain mentafsirkan "kecenderungan menghasut" ialah "kecenderungan bagi mengembangkan perasaan jahat dan permusuhan antara beberapa kaum atau golongan penduduk Malaysia", tetapi pentafsiran akta ini bergantung rapat dengan kehendak politik penguasa, 'kan?

Saya tidaklah faham sangat dengan undang-undang, terutama yang berkaitan dengan amalan kewartawanan di negara ini, termasuk Akta Fitnah 1957 dan juga Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. apatah lagi sepanjang terbabit dengan dunia penulisan hampir 30 tahun lalu, saya berpegang dengan nasihat agar "jangan merujuk kepada peraturan atau akta sebelum mula berkarya, nanti tiada apa yang boleh ditulis".

Lebih istimewa lagi, sehari selepas "hanya ditegur" KDN -- satu bentuk 'hukuman' yang paling ringan -- Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein berkata 'ada asas' dalam laporan Utusan berhubung konspirasi bagi menjadikan Kristian agama rasmi di negara ini dan melantik seorang perdana menteri di kalangan penganut agama berkenaan.
(Imuniti Utusan lebih terjamin berbanding The Star dan Sunday Star, milik MCA, yang pernah digantung pada Oktober 1987 ekoran Operasi Lalang).

Beliau merujuk kepada laporan polis terbaru yang dibuat di Pulau Pinang, pada 13 Mei, yang khabarnya dapat mengukuhkan lagi berita muka depan Utusan 7 Mei. Ini bukan kali pertama sikap memihak Hishammuddin terserlah. Ketika video seks yang didakwa membabitkan Anwar Ibrahim mula ditayangkan, awal-awal lagi beliau menyalahkah Ketua Pembangkang itu.

Pihak polis pula seperti melupakan orang yang membuat tuduhan palsu (blogger) dan pihak yang menghebahkannya (Utusan). Amat memalukan apabila Utusan, seperti kata pensyarah media, Dr Abu Hassan Hasbullah, hanya bersandarkan rujukan yang sangat daif dan lemah, iaitu blog peribadi yang diragui wibawanya. Dakwaan itu tidak diperkuatkan dengan sumber yang kukuh dan jelas, sebaliknya lebih bersifat tohmahan, tuduhan, prasangka dan prejudis.


"Tentulah perbuatan ini bukan sahaja bertentangan dengan etika dan disiplin kewartawanan, malah tidak pernah digunakan dalam mana-mana amalan media profesional dan intelektual lainnya, yakni dengan menumpang sejenis tulisan prasangka sebagai sumber utama," ujarnya, sambil menambah ia "kemalangan besar buat maruah sebuah akhbar perdana."


Banyak pihak tidak berpuas hati dengan tindakan KDN terhadap Utusan, termasuk daripada kalangan komponen BN sendiri. Presiden MCA, Dr Chua Soi Lek mahu pemberita dan editor Utusan Malaysia digantung tugas jika laporannya mengenai isu Kristian dan agama Islam adalah tidak benar. Baginya, teguran KDN ke atas akhbar milik Umno itu tidak mencukupi.

Presiden Gerakan, Dr Koh Tsu Koon mahu pihak polis menyiasat kebenaran laporan Utusan itu. Baginya, adalah tidak benar bagi sesebuah akhbar melaporkan sesuatu berita hanya berdasarkan khabar angin. Tambahnya, tindakan melaporkan sesuatu secara berlebih-lenih boleh mengakibatkan ketegangan antara agama, mengganggung keharmonian dan menggugat perpaduan rakyat.

Tidak kurang juga desakan agar editor Utusan ditangkap ISA, selain akhbar itu digantung atau diharamkan. Kerajaan negeri Pulau Pinang memfailkan satu aduan rasmi mendesak KDNM mengambil tindakan terhadap Utusan. Ketua Menterinya, Lim Guan Eng berkata keputusan itu dibuat selepas sidang Dun sebulat suara menyokong usul itu termasuk dua wakil rakyat Umno yang tidak mempercayai laporan tersebut.

Keengganan mengambil tindakan terhadap cetusan berbahaya Utusan menunjukkan Umno terlibat secara langsung dengan laporan itu, kata Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar. "Bila Suara Keadilan siarkan berita Felda mungkin bankrap, begitu pantas KDN menggantung permit akhbar itu. Tetapi bila Utusan siarkan berita tanpa bukti kononnya Kristian hendak dijadikan agama rasmi yang jelas boleh mencetuskan rusuhan antara agama dan kaum, Menteri Dalam Negeri bukan sahaja tidak mengambil tindakan, malah memberi respon yang dilihat menyokong perbuatan Utusan itu," tambahnya.

Sebelum itu, Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Hata Wahari, ketika bercakap kepada Free Malaysia Today, mendakwa agenda mingguan Utusan Malaysia ditetapkan oleh Biro Politik Umno yang dipengerusikan Najib Razak. Wartawan kanan Utusan yang dipecat itu berkata, agenda dalam mesyuarat itu akan disampaikan kepada Ketua Pengarang Utusan melalui pejabat Perdana Menteri.

Secara peribadi, saya membantah apa jua saranan agar ISA digunakan kepada wartawan, selain tidak bersetuju AMCP diperalatkan untuk mengharamkan atau menggantung akhbar, termasuk kepada Utusan. Malah saya sejak sekian lama berusaha melobi agar akta-akta drakonian itu dimansuhkan sama sekali. Kedua-dua akta itu memberikan kuasa mutlak kepada menteri untuk mengambil apa-apa tindakan perlu, dengan mengetepikan fungsi mahkamah dan menafikan hak membela diri.

Saya yakin banyak lagi undang-undang lain yang boleh dirujuk bagi mengadili Utusan, misalnya kanun kesiksaan, asalkan bukan ISA dan AMCP. "Permainan" Utusan memang merbahaya, sekali gus mengundang sengketa dan permusuhan di atas imiginasi jahat. Saya lebih suka "hukuman" ke atas Utusan dibuat oleh pasaran atau pembaca, bukannya melalui penguatkuasaan undang-undang zalim.

Apa pun, kemunafikan KDN jelas sekali. Jika membabitkan media bebas atau propembangkang, hukuman paling berat dijatuhkan tanpa sebarang belas kasihan. Keangkuhan Seksyen 13B AMCP terus menjerut, iaitu peruntukan "tiada seorang pun boleh diberi peluang untuk didengar berkenaan dengan permohonannya untuk mendapatkan lesen atau permit atau berhubungan dengan pembatalan atau penggantungan lesen atau permit".

Kepada media talibarut BN, segalanya dibolehkan, dan kalaupun ada desakan daripada publik, tindakan sekadar "teguran". Janganlah bermimpi untuk melihat Utusan digantung, apatah lagi diharamkan, hatta untuk mendengar wartawan atau ketua pengarangnya digantung tugas pun mustahil berlaku.

Hipokrasi ini akan terus berlanjutan. Ini baru babak-babak awal, plotnya akan berkembang menjadi lebih mendebarkan. Harapnya anda jangan terkejut. Putar-belit, penipuan, pendustaan sudah menjadi kelaziman Najib dan Umno-BN. Ingat, PRU13 penentu hayat politiknya.

No comments: