Saturday, July 9, 2011

Bersih 2.0 :Dari tingkat 14, hotel dekat Stadium Merdeka

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Ketika menulis catatan ini, jam 11 malam Jumaat, 8 Julai, saya di tingkat 14, sebuah hotel berdekatan Stadium Merdeka.Saya terpaksa menyelinap masuk Kuala Lhttp://4.bp.blogspot.com/-W0bS0zCupik/ThSV-FBlYKI/AAAAAAAAOcU/3bANdZ4PtBo/s1600/bersih-stadium%2Bmerdeka.gifumpur lebih awal bagi mengelak sekatan pihak polis, apatah lagi dalam keadaan agak uzur dan masih bertongkat ini, kudrat amat terbatas untuk mengharung gangguan yang disengajakan pemerintah.

Selepas solat Maghrib tadi, bersama seorang teman, kami "bersiar-siar" sekitar bandaraya. Dari Kampung Baru, melalui Jalan Tunku Abdul Rahman, menuju Masjid Negara, seterusnya meninjau kawasan sekitar stadium yang menjadi tumpuan himpunan aman Bersih 2.0 esok petang. Tiada tanda-tanda ketegangan, cuaca pula menyenangkan, cuma orang ramai seperti menghindari jantung ibu kota.



"Memang dalam KL tak terasa gangguan polis. Sekatan dibuat di pintu-pintu masuk kotaraya," kawan saya di hujung talian menjawab bila saya beritahu Kuala Lumpur sunyi. "Orang yang terjejas kerana KL ditutup, khususnya peniaga, tak pasti akan mendendami siapa. Polis, Umno atau Bersih, ya ... Pakatan Rakyat?" tambahnya.

Polemik siapa bakal meraih keuntungan politik daripada "pengurusan" demonstrasi Bersih ini memang cukup menarik. Sejak Yang di-Pertuan Agong menyampaikan titah khas baginda, diikuti jaminan Perdana Menteri menyediakan stadium untuk perhimpunan, juga perisytiharan pengharaman Bersih, dan didahului oleh penangkapan dan rampasan gelombang kuning (termasuk penemuan senjata parang dan molotov *****tail yang meragukan), semuanya membuka ruang kepada pelbagai tafsiran.

Rupanya, cara dan gaya pengendalian himpunan ini tidak hanya tertumpu kepada aspek keselamatan dan ketenteraman awam tetapi sarat dengan percaturan politik. Umno yang nampak keseorangan (tanpa sokongan pemimpin sekutunya dalam BN) dan hanya didukung Perkasa, di samping barisan pimpinan mudanya dalam Patriot (dengan lagak bagaikan kumpulam samseng), ternyata gelisah.

Umno jelas tersepit dengan titah Agong. Selama ini, para pemimpinnya begitu ghairah mengeksploitasi titah Raja-Raja Melayu yang dilihat boleh membawa keuntungan politik kepada parti itu. Pemimpin dan aktivis Pakatan Rakyat sentiasa dimomokkan dengan pelbagai istilah yang boleh memberi gambaran bahawa mereka sanggup memperjudikan kepentingan dan masa depan Melayu, demi survival politik.

Sasaran akhirnya masih tidak berubah, iaitu usaha merebut sokongan dan simpati pengundi Melayu luar bandar, yang dilihat cukup kritikal dalam menentukan siapa bakal menerajui kerajaan selepas pilihan raya umum ke-13 nanti. Saya kira himpunan Bersih 2.0 ini bakal menarik lebih sokongan masyarakat bukan Melayu berbanding perarakan pertama pada 2007 dahulu. Malah, pendekatan keras kerajaan menanganinya menjauhkan lagi pengundi Cina daripada BN.

Yang lebih diperhatikan, bagaimana akhirnya persepsi masyarakat Melayu, terutama di kampung-kampung, terhadap demonstrasi ini? Berkesankah propaganda Umno untuk memalit imej negatif kepada Pakatan Rakyat, khususnya para pemimpin Melayu di dalamnya? Justeru, dari awal, "sisi negatif" Pengerusi Bersih, Ambiga Sreenevasan, sengaja diperbesar-besarkan, termasuk oleh Najib Razak sendiri.

Khutbah Jumaat yang disediakan Jakim pada 8 Julai turut secara tidak langsung mengecam Ambiga dan menyifatkan "sesiapa sahaja yang terlibat dan bersekongkol dengan golongan ini telah mengkhianati agama Allah, terpesong dari ajaran Rasulullah dan melakukan dosa besar".

Najib juga, pada 6 Julai, siap dengan pakaian "pahlawan Melayu" dalam majlis silat lincah, mempertahankan kumpulan yang mana mahagurunya, Omardin pernah memberi amaran kepada Bersih supaya membatalkan hasratnya jika tidak mahu "berperang" dengan pengamal silat di negara ini.

Selain itu, paparan kain rentang dalam demonstrasi Ketenteraman Awam sempena Eksesais Bersatu Aman 2/2011 di antara Angkatan Tentera Malaysia dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Kem Sungai Besi di Kuala Lumpur, pada awal minggu lalu juga menimbulkan kontroversi. "Bersurailah kamu kalau tidak kami tembak" - tertera di kain rentang itu yang turut memuatkan maksud yang sama dalam tulisan Jawi, Cina dan Tamil.

Namun, yang lebih menimbulkan masalah kepada saya adalah deadline Harakah yang mesti dibereskan sebelum tengah malam ini, sedangkan esok petang baru berlangsung satu babak penting yang ditunggu-tunggu ramai. Harakah edisi Isnin akan berada di pasaran, seawalnya pada pagi Ahad, 10 Julai, tetapi kami tidak sempat untuk membuat liputan apa-apa perkembangan yang berlaku mulai jam 1 pagi Sabtu, 9 Julai.

Ketika akhbar-akhbar harian menghidangkan pelbagai perspektif tentang demonstrasi Bersih itu pada subuh Ahad dan media elektronik sudah melaporkannya petang Sabtu lagi, manakala dunia siber heboh sejak petang 9 Julai melalui laporan langsung, Harakah nampaknya begitu ketinggalan zaman.

Kami hanya mampu membentangkan analisis dan liputan Harakah untuk tatapan pembaca pada pagi Khamis, 14 Julai, iaitu selepas lima hari perhimpunan penuh bersejarah itu. Demikianlah kedudukan Harakah, sebagai lidah rasmi PAS, yang dibenarkan terbit dua kali seminggu, dan terus terikat dengan pelbagai kongkongan dan peraturan "karut-marut".

Dalam keadaan itu, ia mengingatkan saya tentang lapan tuntutan Bersih bagi mereformasikan sistem pilihan raya negara; antara lain adalah akses kepada media. Pada hemat saya, berbanding dengan tuntutan yang lain, Bersih sepatutnya memberikan lebih tumpuan dan penekanan dalam aspek yang cukup penting dan harus disegerakan ini.

Lihat saja gelagat media mutakhir ini, mengulas isu perhimpunan Bersih. Terutama dalam media berbahasa Melayu, yang dikuasai pemerintah, hampir tiada ruang buat pemimpin Bersih dan Pakatan Rakyat mengemukakan pandangan, apatah lagi menjawab segala tohmahan, sebaliknya audien terpaksa menerima muntahan propaganda yang memualkan.

Dalam memorandum yang diserahkan Bersih kepada Agong pada 10 November 2007, dijelaskan tiga tuntutan mengenai media:

1. Merombak undang-undang yang sedia ada yang telah membolehkan media cetak dan penyiaran dimonopoli oleh para proksi Barisan Nasional;

2. Peruntukan undang-undang bagi membolehkan semua parti politik mendapat akses atau capaian percuma kepada TV dan radio awam serta akses secara adil (percuma atau berbayar) kepada media swasta;

3. Peruntukan undang-undang bagi menjamin hak semua parti politik dan calon untuk menjawab segala bentuk tuduhan dan kritikan ke atas mereka menerusi media.

Saya kira, selepas demonstrasi Bersih 2.0 ini, Harakah perlu untuk memperincikan, bukan sahaja 8 tuntutan Bersih tetapi juga membedah seluruh sistem demokrasi dan proses pilihan raya yang serba pincang dan tempang ini.

2 comments:

Mat Luku said...

salam tuan,
saya fiir HARAKAH kene up-to-date dan cuba lepasi masalah masa dan kekangan waktu dalam memberi dan menyampaikan maklumat.sedikit revolusi dalam penerbitan saya fikir dapat menjadikan harakah akhabar penuh informasi dan mesra isu2 semasa..saya tidak pernah sangsi dgn tulisan dan kupasan politik tuan selama bertahun2 semenjak saa dari bangku sekolah!!

webmarhaen said...

Hello tuan,Bolehkah anda bertukar-tukar link? saya telah dikaitkan web yang bagus anda, supaya anda boleh link blog saya?Saya berharap anda tidak keberatan ...
ini adalah blog saya http://webmarhaen.blogspot.com/

nasib baik

Blog Archive