Friday, September 23, 2011

Implikasi mansuh ISA

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Sememangnya tidak pelik apabila banyak pihak masih sangsi dan curiga dengan jaminan Dahttp://media1-cdn.malaysiakini.com/235/922ec9f4d39a7e59ae2e825cad5517b5.giftuk Seri Najib Razak untuk memansuhkan undang-undang rimba, ISA.Menghapuskan akta drakonian, sekali gus menyediakan ruang lebih kondusif buat kebebasan bersuara harus dipuji tetapi rekod Umno-BN selama ini membuatkan rakyat lebih cermat dan berhati-hati untuk memberikan kata-kata sanjungan.

Tambahan pula ramai masih mengingati banyak janji-janji kerajaan, termasuk selepas Najib menjadi Perdana Menteri, yang bukan saja belum tertunai tetapi dimungkirinya.

Bagaimanapun, secara peribadi, saya tidak fikir kenyataan Najib di malam Hari Malaysia itu suatu umpan politik semata-mata. Beliau menjerat lehernya sendiri jika menyangka rakyat boleh "terpedaya" dengan janji-janji kosong. Hak asasi manusia bukan lagi isu absurd yang sukar ditanggapi rakyat.

Tentulah kita akui tindakan populis ini mempunyai kaitan rapat dengan usaha terakhir Najib memikat pengundi, khususnya bukan Melayu, agar kembali menyokong BN dalam PRU13. Ya, tidak usahlah kita berdebat panjang soal "keikhlasan" dan "kejujuran" Najib. Semua faham muslihat itu.

Dan, tidak salahkan jika mana-mana tokoh atau parti politik mengharapkan manfaat untuk diri dan kelompoknya, di atas apa jua tindakan atau kenyataan yang dibuat, apatah lagi semasa demam pilihan raya memuncak?

Pada hemat saya, kalaupun ISA tidak dimansuhkan dalam waktu terdekat, penggunaannya semakin terbatas. Selain momokan memerangi keganasan, ia kian sukar diperalatkan pemerintah untuk berdepan seteru politiknya.

Justeru, daripada menanggung "biawak hidup" (yang sentiasa menjejaskan nama Malaysia dari segi amalan demokrasi) tanpa mendapat sebarang keuntungan politik (kerana semakin payah menggunakan ISA ke atas aktivis politik), lebih baik dimansuhkan sahaja. Apatah lagi, dengan menghapuskannya, Najib beroleh satu lagi talian hayat!

Selepas Operasi Lalang 1987 membabitkan penahanan borong lebih 100 orang, tangkapan besar-besaran ISA ke atas Anwar dan penyokongnya pada akhir 1998, dilihat kesempatan terakhir regim pemerintah menjadikan akta ini sebagai perisai. Tangkapan aktivis reformasi, seperti Saari Sungip dan Hishamuddin Rais, beberapa tahun selepas itu adalah penyudahnya.

Era reformasi turut menyuburkan budaya politik baru, perkembangan pesat teknologi maklumat, pembesaran kelas menengah dan pengaktifan masyarakat sivil. Internet memecahkan kawalan maklumat yang selama ini menjadi monopoli kerajaan.

Selepas itu, tiada pemimpin politik pembangkang yang dikurung ISA. Biarpun ramai yang merengkok di Kem Tahanan Kamunting, kebanyakannya didakwa terbabit dengan aktiviti keganasan dan militan.

Namun, penentangan rakyat terhadap ISA, yang digembleng Gerakan Mansuh ISA (GMI) bertambah hebat. Harakah secara aktif mendokong usaha itu. Saya sendiri terlibat menyalurkan bantuan kewangan kepada keluarga tahanan dan bekas mangsa. Kami menubuhkan satu dana khas, dan sehingga Ramadan lalu, lebih RM700,000 telah diagihkan.

Malah, sehari selepas Najib mengumumkan mengejutkan itu, seorang penyumbang menderma RM3,000 untuk tabung mansuhkan ISA. Sedangkan ada rakan-rakan mencadangkan agar saya menutup sahaja tabung berkenaan kerana ia tidak relevan lagi!

Rasanya, tangkapan terakhir membabitkan tokoh politik ialah pemimpin kanan DAP, Teresa Kok, yang juga Ahli Parlimen Siputeh dan anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor, yang dikurung pada 12 September 2008; itu pun hanya selama seminggu. Turut ditahan bersamanya adalah pengendali laman Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin dan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng. Tan sekadar ditahan selama sehari.

Episod itu menyaksikan kerajaan tidak mudah lagi untuk melunakkan kemarahan rakyat dengan salahguna ISA. Kuasa siber dan jaringan maklumat alternatif yang lebih pantas dan efektif memaksa tempoh tangkapan dipendekkan.

Saya kira pemimpin Pakatan Rakyat tidak wajar meremehkan pengumuman Najib. Harus dibincang secara teliti impak politik terhadap "keterbukaan" itu, selain kebijaksanaan Pakatan memposisikan diri dengan situasi baru.

Menjelang PRU13 yang begitu genting, Pakatan harus kalkulatif terhadap setiap gerak dan riak, biarpun kelihatan kecil, apatah lagi jika ia dipersepsikan sebagai agenda besar transformasi politik.

Begitu juga dengan sikap berhati-hati bagi mengelak sebarang kesilapan dan kealpaan yang boleh mengundang petaka atau musibah dahsyat. Suka saya mengulangi ingatan seorang teman: "Dalam PRU13, mungkin pihak yang bakal menang adalah yang paling sedikit melakukan kesilapan, bukannya yang paling hebat mengemukakan gagasan besar."

Semasa meneliti tulisan lama saya mengenai debat isu ISA, saya tertarik dengan respons Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Abd Aziz. Katanya, selagi BN memerintah, selagi ada bulan dan bintang, jangan harap ISA akan dimansuhkan. Penegasan sama dikemukakan Naib Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Sekarang, mungkin tidak cukup kata-kata untuk mereka memuji langkah Najib itu ...


II.

Seperti kontroversi ceramah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mengenai Mat Indera dan serangan ke atas balai polis Bukit Kepong yang memaksa saya menelaah kembali buku-buku mengenai sejarah perjuangan kemerdekaan, termasuk meneliti peranan besar golongan kiri dan agamawan, maka "pemansuhan ISA" turut mendorong saya membelek kembali buku-buku pengalaman tahanan borong itu.

Karya Kassim Ahmad, bekas Pengerusi Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM), bertajuk Universiti Kedua (terbitan Media Intelek, 1983), yang mengisahkan babak hitam ditahan tanpa bicara mulai 3 November 1976 hingga 29 Julai 1981, cukup menyentuh hati saya.

Tulisan Kassim memang menarik. Bahasanya mudah dan santai. Tajuk buku itu juga memikat dan membawa makna mendalam. Universiti Kedua berpindah dari tangan ke tangan, terutama di kalangan rakan-rakan sekampus di UTM, Jalan Gurney (kini Jalan Semarak).

Kezaliman ISA, termasuk taktik licik tidak bermoral polis Cawangan Khas (SB), ditelanjangi Kassim. Saya menjadi marah dan benci apabila mengetahui banyak keluarga porak-peranda dan suami isteri bercerai-berai ekoran ISA.

Operasi Lalang, Oktober 1987, menyerlahkan kekejaman Dr Mahathir Mohamad. Konflik dalaman Umno ekoran pemilihan parti, April tahun sama, menyaksikan Dr Mahathir hampir ditewaskan Tengku Razaleigh Hamzah.

Sejumlah lebih 100 aktivis pelbagai parti dan NGO ditahan. Antara nama-nama besar adalah Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Ustaz Halim Arshat, Mohamad Sabu, Mahfuz Omar, Dr Chandra Muzaffar, Suhaimi Said dan Dr Nasir Hashim.

Ramai juga tokoh pendidikan dan NGO Cina dikurung, termasuk Dr Kua Kia Soong, aktivis Dewan Perhimpuna Cina Selangor. Kisah deritanya semasa di lokap polis dan Kamunting dibukukan dalam 445 Days Behind The Wire (untuk edisi ketiga, 445 Days Under The ISA).

Walaupun Dr Syed Husin Ali ditahan ISA pada awal pagi 7 Disember 1974 dan dibebaskan hampir enam tahun selepas itu, pada 25 September 1980, pengalamannya penuh warna-warni itu hanya dapat dikongsi dengan pembaca selepas bukunya, Dua Wajah, diterbitkan pada 1996.

Secara peribadi saya menunggu-nunggu buku tersebut. Gaya penceritaan Dr Syed Husin menangkap perhatian kita untuk berterusan "mengunyah" karyanya itu. Dua Wajah masih menjadi buku kegemaran saya sehingga kini.

Pengalaman berkaca Said Zahari, bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu, yang dizalimi ISA selama 17 tahun, yang diungkapkan melalui buku setebal 474 muka, Meniti Lautan Gelora, Sebuah Memoir Politik, seharusnya menjadi bacaan wajib.

Tempoh penahanannya di bawah regim Lee Kuan Yew begitu lama sekali. Sukar untuk saya bayangkan kesengsaraan yang ditempuhnya, terutama oleh isteri dan anak-anak Pak Said.

Buku-buku mengenai ISA turut menemukan saya dengan sosok pejuang kemerdekaan, Ahmad Boesthttp://photo.goodreads.com/books/1297113594l/10409686.jpgamam. Memoirnya, Merdeka dengan Darah dalam Api, merupakan kompilasi buku Lambaian dari Puncak, Merintis Jalan ke Puncak dan Tujuh Tahun Malam Memanjang.

Gaya bahasanya juga menyentuh nurani. Tujuh Tahun Malam Memanjang adalah kisah beliau ditahan. Air mata saya menitis membaca penderitaan yang dialaminya, termasuk untuk mencari sesuap nasi.

Saari Sungib, yang ditahan dua kali (pertama, Oktober 1998 dan kedua, April 2001), mempunyai keistimewaan tersendiri. Bukan hanya buku Sengsara Kem Kamunting, tetapi beliau menulis lebih 10 judul buku mengenai kezaliman ISA, satu pencapaian luar biasa!

Beliau turut menyusun buku mengenai catatan peribadi Dr Burhanuddin Al-Helmy, Hari-Hari Aku Dizalimi. Ya, bayangkan bagaimana seorang pejuang berhati luhur dan berakhlak mulia itu disakit hampir setiap hari, melalui proses soal siasat yang menyeksakan dan layanan di luar batas peri kemanusiaan.

Apa kata jika anda mencari buku-buku tersebut atau bagi yang sudah memilikinya, bacalah semula ....

1 comment:

pujangga kaki lima said...

klu bawa kebaikan, kita sokong