Friday, January 27, 2012

Exco Agama: Imej PAS Selangor tercalar?

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Seolah-olah ada kocakan dalam Pakatan Rakyat di Selangor sejurus pelantikan Dr Ahmad Yunus Hairi sebagai anggota Exco Kerajaan http://www.mstar.com.my/archives/2012/1/18/mstar_berita/dr%20yunus_new.jpgNegeri, bagi menggantikan Dr Hasan Ali. Sekurang-kurangnya itulah yang mahu dipersepsikan media milik Umno. Sebagai negeri yang paling dihajati untuk direbut semula, dengan apa jua cara oleh Najib Razak, setiap peluang akan dimanipulasi sepenuhnya.

selaku musuh tradisi Umno sejak berzaman, apatah lagi dalam pilihan raya umum ke-13 nanti PAS dilihat faktor paling penting dan kritikal untuk memudahkan laluan Pakatan ke Putrajaya, maka usaha menjauhkan pengundi Melayu-Islam dengan PAS dikira dapat mempertahankan survival Umno-BN.

Portfolio Dr Ahmad Yunus -- Adun muda yang berminat melakukan kerja amal dan tidak terpalit dengan sebarang isu kontroversi -- berkaitan adat Melayu, belia dan sukan, dikatakan hanya menggambarkan bahawa PAS tidak begitu dipandang penting oleh rakan-rakannya dalam Pakatan di negeri termaju itu, khususnya KeADILan.

Beberapa akhbar mengulas bahawa apabila tiga portfolio penting, yakni agama, kemudahan awam dan infrastruktur, disandang Menteri Besar, ia hanya menunjukkan satu mesej jelas: PAS telah dipinggirkan.

Bekas Naib Presiden PAS, Ustaz Nakhaie Ahmad tiba-tiba kerap ditemubual sebuah stesen TV secara sinis berkata, Parti Islam itu hanya diperlukan untuk mengumpulkan orang ramai bagi tujuan politik sekutunya. Sudah tentu ia bermotif negatif, untuk membangkitkan rasa tidak senang penyokong PAS akar umbi, seolah-olah mereka yang komited dengan perjuangan itu sekadar menjadi alat atau perkakas KeADILan dan DAP.

Menerusi internet, pelbagai komentar dilontarkan. Ada yang bersetuju portfolio agama diserahkan kepada Abd Khalid Ibrahim, terutama untuk menyelesaikan pelbagai "kekusutan" yang timbul dalam institusi tertentu. "Kerumitan" di peringkat yang sensitif itu memerlukan tokoh berprofil tinggi, seperti Menteri Besar, bagi menanganinya secara cermat dan berhemat.

Namun tidak kurang pula posting yang memperlekehkan PAS, dengan memainkan sentimen bahawa imejnya sebagai Parti Islam tercalar teruk. "Bukankah aktivis PAS selama ini yang menggerakkan institusi masjid dan surau? Memang tiada tokoh ulama daripada kalangan Adun PAS, seperti juga Hasan Ali dulu pun bukan ustaz, tetapi PAS itu sendiri mengumpulkan ramai ilmuan dan pencinta Islam," salah satu tulisan dipetik.


Saya turut menerima SMS, yang menyokong penuh kenyataan sarjana sains politik, Dr Mohammad Agus Yusof yang menyifatkan portfolio agama dan adat Melayu sebagai "saling berkaitan seperti kembar siam, dan tidak sepatutnya dipisahkan".

Malah, ada yang mencadangkan portfolio kemudahan awam dan infrastruktur kekal di bawah Exco PAS, dengan mempelbagaikan bidang kuasa seorang lagi Exco daripada PAS, Iskandar A Samad, yang kini mengendalikan perumahan, pengurusan bangunan dan setinggan.

Sememangnya keputusan mutlak di tangan Menteri Besar. Beliau diyakini melihat senario ini secara keseluruhan; selain memperkemas struktur dan jentera pentadbiran, juga sebagai persiapan terakhir menghadapi PRU13. Tentulah jika ia dilihat boleh membawa mudarat kepada PAS -- sekurang-kurangnya daripada segi persepsi orang ramai -- itu hanya satu kebetulan yang menyedihkan.

Saya tidak percaya isu portfolio yang disandang Dr Ahmad Yunus itu membawa kesulitan besar kepada PAS. Penjelasan awal yang diberikan, antara lain oleh Timbalan Presiden, Mohamad Sabu dan Ketua Penerangan, Tuan Ibrahim Tuan Man, dapat menjernihkan. Mainan musuh akhirnya akan tertolak begitu sahaja.

Kenyataan Iskandar, yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, bagi penyokong parti lebih melegakan. Katanya, keputusan mengambil alih portfolio agama itu hanya sementara. Ia akan diserahkan semula kepada Exco PAS dalam masa yang sesuai.

Bagaimanapun, Saifullah Zulkifli, Ketua Penerangan AMK Selangor menyimpulkan: "Umno-BN sering menggunakan isu agama seperti isu kuil, isu murtad, isu pentauliahan dan sebagainya sebagai modal dangkal untuk menyerang kerajaan Pakatan Rakyat. Justeru adalah wajar aspek-aspek yang melibatkan portfolio agama ini diberi perhatian khusus kepada pimpinan tertinggi kerajaan negeri."

"Minta saudara Lutfi jelaskan, apakah Pakatan Rakyat di negeri-negeri yang dikuasainya, mengadakan rundingan terlebih dahulu sebelum apa-apa keputusan besar dibuat? Bukankah itu amalan yang baik, menandakan parti yang menguasai kerajaan? Saya difahamkan, kalau benar memang menyedihkan, hanya Perak di bawah Nizar Jamaluddin dahulu yang melaksanakan amalan itu. Saya bukan merujuk kepada Selangor sahaja, tetapi juga Kedah dan Pulau Pinang juga," seorang anak muda, bekas pemimpin pelajar, menghantar emel kepada saya.

Selain itu, ada juga yang menghargai situasi tokoh no 1 PAS Negeri, Dr Rani Osman yang tidak dilantik Exco. "Ya, tidak semestinya PJ akan jadi Exco, 'kan? Banyak tugas lain, demi kepentingan rakyat dan menjamin urusan kerajaan tidak menyeleweng, boleh dilakukannya. Seperti juga Ketua KeADILan Selangor, Azmin Ali tidak memegang sebarang jawatan strategik dalam kerajaan," saya menerima panggilan telefon seorang pembaca Harakah.

Apa pun, saya lebih teruja dengan SMS seorang pemimpin Umno Selangor: "Dr Ahmad Yunus punya masa depan cerah. Tapi lebih penting, baru orang sedar, dalam PAS rupanya ramai profesional hebat, termasuk doktor perubatan. Yang dipecat doktor, penggantinya juga doktor. Hebat lagi bila ketiga-tiga calon yang disebut ganti Hasan Ali semuanya doktor. Ini cabaran besar kepada Umno, yang juga mesti sediakan profesional dan tokoh muda dalam PRU13 nanti."


Dalam pada itu, Adun Bangi, Dr Shafie Abu Bakar, yang juga Pembantu Exco Hal Ehwal Agama Selangor, yakin segala urusan berkaitan hal ehwal agama di Selangor akan lebih licin selepas portfolio itu dipegang sendiri Menteri Besar. Katanya, dengan kelebihan yang ada pada Khalid, ia akan memudahkan 'banyak benda' termasuk dalam urusan dengan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Harakahdaily melaporkan, ditanya beban tugas selepas pertukaran ketuanya, Dr Shafie berkata, beliau yakin kerjanya sebagai pembantu exco agama akan lebih berat di bawah Khalid. "Oleh kerana dia sibuk dengan pelbagai tugas, mungkin peranan (exco agama) ini banyak diturunkan kepada saya. Barangkali saya akan lebih banyak menjalankan tugas yang sepatutnya dijalankan Menteri Besar kerana masa dia tak banyak," katanya yang juga Pengerusi Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (Padat).

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor pula menyifatkan tindakan Menteri Besar itu sebagai langkah untuk memastikan Umno-BN tidak akan menggunakan portfolio berkenaan sebagai sasaran mudah.

Tambahnya, Dr Ahmad Yunus Hairi, adalah ‘orang baru’ yang belum berpengalaman menguruskan portfolio tersebut.

"Portfolio hal ehwal Islam itu merupakan lubuk Umno BN untuk menyerang PAS, jadi tindakan yang dibuat MB adalah tindakan wajar,” jelas Khalid ketika dihubungi The Malaysian Insider. Tambahnya, tindakan menteri besar itu juga bertepatan pada masanya memandangkan tempoh untuk menghadapi pilihanraya yang semakin hampir.

Manakala seorang rakan lain, yang sering saya ajak bicara tentang cabaran sengit PAS di Selangor, mengingatkan: "Di kawasan Parlimen Sabak Bernam, Sungai Besar, Tanjung Karang dan Kuala Selangor, PAS bertanding 5 kerusi Dun dan 3 Parlimen, tetapi pemimpin negeri dan pusat jarang datang. Aktiviti dan ceramah sekali sekala sedangkan Umno terus dengan program sukan, karaoke tiap minggu, begitu juga ceramah agama. PAS tertinggal jauh ...."

Saya tidak pasti apakah rungutan sahabat saya itu berasas atau setakat berkongsi rasa ... Namun ia menyedarkan saya bahawa laluan PAS sebagai "pengganti Umno", dalam konteks pengundi Melayu, masih berliku tajam.

Sebenarnya, jika diikutkan hati, saya lebih suka untuk mengulas isu pengisytiharan harta dan aset milik menteri dan keluarga mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan bukan hanya kepada Perdana Menteri. Lebih menarik, respons Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz terhadap cadangan Pengerusi Lembaga Penasihat panel SPRM, Zaitun Zawiyah Puteh itu.

"Jika kita umumkan butiran (pengisytiharan aset) itu kepada orang ramai, ini akan membahayakan individu berkenaan," kata Nazri. Ha ha ha ...

Baca Seterusnya......

Demontrasi Pelajar KUIN depan Pejabat Agung PAS ,Untungkan Umno ?

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Fenomena kebangkitan gerakan pelajar mutakhir ini mempamerkan beberapa kelainan dan keistimewaan.http://www.edidik.com/wp-content/uploads/2012/01/mahasiswa-bangkit1.jpg Biarpun nampak mereka menghadapi pelbagai cabaran dan kesulitan, sehingga ada yang diugut, tercedera, ditahan polis dan digantung pengajian, namun apa yang pasti semangat anak-anak muda ini untuk mengungguli kebenaran tidak mudah dilunakkan.

Walau dihalang dan juga dicemuh (ada kalanya oleh rakan-rakan sendiri), langkah mereka tetap maju menggugat. Idealisme "student power" terasa membahang. Jika kita sempat menghadiri perhimpunan (apatah lagi demonstrasi) mereka, semangat itu bagaikan membuak-buak. Panas menggelegak.

Menariknya, ia bukan ledakan amarah tanpa asas, atau hanya untuk melampiaskan dendam kesumat, sebaliknya ditunjangi kesedaran mendalam tentang tangungjawab besar insan berilmu.

Memang lantunan bicara mereka dalam aksi protes kedengaran garang berbisa, tetapilah itulah hakikatnya dunia anak muda. Bersedia untuk mencabar dan dicabar. "Gas pemedih mata dan belantan adalah asam garam dalam perjuangan mahasiswa. Semua itu pahit bila dilalui tetapi manis untuk di kenang," kata seorang rakan, yang pernah aktif dalam dunia kampus 1970-an.

Kepedulian sosial dan keprihatinan politik pelajar kini sekali lagi menembusi tembok menara gading, menganggu mimpi enak elit penguasa yang zalim dan korup. Benarlah ungkapan keramat, "gema suara mahasiswa kuat dan lantang bukan disebabkan loud-hailer tetapi berpunca dari nilai kebenaran yang dibawa".

Ada rakan-rakan cuba membayangkan bahawa zaman kegemilangan mahasiswa bakal berulang. Tafsiran "gemilang" mungkin menimbulkan perdebatan. Ramai yang merujuk era kegemilangan itu berlaku sebelum penguatkuasaan Akta Universiti. Pandangan itu sendiri terbahagi, sama ada sebelum pengenalan Auku 1971 atau beberapa ketika menjelang ia dipinda pada 1975.

Bagaimanapun, saya melihat setiap zaman ada kelebihan masing-masing. Generasi selepas pindaan Auku pun tidak semestinya ditanggap sebagai lesu dan beku. Aksi unjuk rasa memang tidak dapat dipisahkan daripada kegiatan tradisi mahasiswa, tetapi ia bukan kata kuncinya. Jiwa mereka resah gelisah melihat kemunafikan, penindasan dan kekejaman.

Ruang untuk bereksperimen tetap terbuka luas walaupun dikongkong peraturan ketat. Dan di sinilah kreativiti anak muda teruji. Perkembangan dakwah dan kesedaran menghayati cara hidup Islam, ketika aktiviti mahasiswa dicantas ciri "advokasi"nya (meminjam istilah Saifudddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi) juga satu episod penting yang merakam sejarah.

Kini generasi Adam Adli dan Safwan Anang sedang membuka babak-babak kegemilangan mereka sendiri.

Keyakinan yang utuh terhadap akar perjuangan "kebebasan akademik" menjalar ke seluruh negara, bukan lagi terbatas sekitar dua tiga kampus utama di Lembah Klang. Malah, ekspedisi mereka melanggar negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat, yang juga mempunyai institusi pengajian tinggi tersendiri.

Jika mereka berani berarak ke Ibu Pejabat Umno di PWTC demi autonomi universiti dan mencipta kejutan dengan menurunkan buat seketika bendera berwajah Najib Razak pada 17 Disember 2011, anak-anak muda ini juga turun menuntut kebebasan akademik di hadapan Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, pada 18 Januari 2012.

Mungkin ramai terkejut dan tidak kurang yang melatah dengan himpunan bantahan "ekoran sikap membisu PAS terhadap penggantungan lima pelajar Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di Kedah. Masakan tidak ... kumpulan mahasiswa pemberani itu sering dikaitkan dengan Pakatan Rakyat, dan KUIN merupakan IPTS dimiliki penuh kerajaan negeri Kedah, yang diterajui PAS.

Malaysiakini melaporkan kenyataan seorang daripada pelajar yang digantung itu, Mohd Aiman Abd Razab: "Kami akan terus berjuang demi menegakkan prinsip-prinsip kami (berhubung kebebasan akademik). Ini bukan tentang parti atau warna kulit, kita tidak mengamalkan dwi-standard. Di mana suara kita boleh diluahkan jika di bawah Pakatan kita juga cuba disenyapkan?"

Banyak pihak membandingkan janji Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga dan hasrat PAS dalam Dokumen Negara Berkebajikan, dengan pentadbiran KUIN (terutama pengendalian perbicaraan lembaga tatatertibnya) dan sikap kerajaan Kedah itu. Penyokong Pakatan mengharapkan isu penggantungan lima pelajar itu dapat ditangani dengan bijaksana dan berhemah.

"Dengar suaralah mahasiswa biarpun mungkin terasa agak menyakitkan bagi orang politik. Usah pertikai keikhlasan dan kejujuran mereka, apa lagi meremehkan. Tunjukkan sikap terbuka dan jiwa besar dengan meraikan luahan rasa anak-anak muda itu," seorang pembaca Harakah, dari UKM, menghantar SMS.

Dari sudut lain, generasi "yang tidak berkepentingan" ini sebenarnya berpotensi mewujudkan satu kekuatan baru, yang sebenarnya amat diperlukan rakyat dan negara, bagi menjamin pelaksanaan dan pemerataan keadilan.

Bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Prof Ungku Aziz dalam kata pengantar buku Mahasiswa Menggugat, tulisan Mohamad Abu Bakar (1973) mencatatkan: "Mahasiswa bukan sahaja berhak mengeluarkan suara intelek mereka, akan tetapi boleh dikatakan mereka wajib memberi syor serta teguran ..."

Tempoh mahasiswa di universiti cukup singkat, sekitar tiga tahun, tetapi masa efektif untuk terbabit aktif hanya lebih kurang setahun sahaja, namun bisa suara gerakan pelajar cukup menikam, seperti dibuktikan di negara-negara luar, malah berupaya menjatuhkan sesebuah regim.

"Saya lebih percaya ketulusan suara mahasiswa," kata seorang veteran politik, "dan jangan sakitkan hati mereka dengan membuat dakwaan melulu bahawa mereka diperalatkan oleh pihak tertentu. Kalau nak sanggah hujah mereka pun tolaklah dengan baik, jangan perlekeh seperti budak sekolah."

Baca Seterusnya......

Salahkah bayangkan situasi terburuk Pakatan dalam PRU13?

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Agak ramhttp://media1.malaysiakini.com/29/f847ec23e41b5f6f20bba87fc9ab222b.jpgai rakan-rakan yang gusar dan tidak senang dengan "keraguan dan kemusykilan" yang sering saya timbulkan apabila membicarakan potensi serta peluang Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-13. Ada juga yang menyifatkan persoalan yang saya bangkitkan itu hanya akan mengurangkan keyakinan rakyat terhadap keupayaan Pakatan menerajui Putrajaya.

Saya akui, saya lebih cenderung untuk menanggapi situasi politik semasa daripada sudut pandang yang lebih berwaspada.

Saya cuba membayangkan apakah keadaan terburuk yang bakal PAS atau Pakatan hadapi, dengan harapan bahawa baki masa yang ada dapat dimanfaatkan bagi melakukan pelbagai usaha penambahbaikan, memperkemas persiapan, dan memperbaiki kelemahan.

Misalnya, jika ditanya pendapat saya tentang kemungkinan BN merebut semula Selangor, tanpa ragu saya membalas, "tidak mustahil". Bukan pula bermakna saya meremehkan usaha berterusan kerajaan negeri pimpinan Khalid Ibrahim menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat, malah perubahan yang dicetuskannya, terutama dari segi ketelusan, anti-rasuah dan akauntabiliti, cukup memberangsangkan. Begitu juga gaya hidup sederhana wakil-wakil rakyatnya.

Saya lebih risau dengan peluang dan potensi Umno-BN, yang masih menguasai pelbagai sumber -- kewangan dan kemudahan strategik -- khususnya melalui penguasaan di peringkat kerajaan persekutuan terhadap agensi penting, untuk melakukan bermacam-macam manipulasi, sabotaj, konspirasi dan pakatan jahat.

Semasa berdepan PRU12, Mac 2008, Umno-BN pastinya tidak dapat membaca mesej awal rakyat yang berazam untuk menampilkan aksi protes besar-besaran melalui peti undi, menyebabkan mereka lalai dan alpa. Kali ini segalanya tentu berbeda ... Bukankah pemimpin Umno sendiri sering mengingatkan: "Zaman BN menang mudah walaupun hanya dengan meletakkan songkok sudahpun berlalu; tiada lagi kawasan yakin selamat termasuk di kubu kuat seperti di Johor, yang dahulunya saingan Umno sering hilang deposit".

Mungkin pengalaman buruk PRU11 pada 2004 -- apabila PAS kalah mengejut dan tumbangnya kerajaan Islam di Terengganu, serta hampir berputih mata di Kelantan -- dan juga kegagalan mencipta kejutan pada 1990 meskipun mood pada awalnya dilihat menyebelahi Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat -- kecuali 'sapu bersih' semua kerusi Parlimen dan Dun di Kelantan -- menjadikan saya terlalu berhati-hati untuk memberi ramalan positif bertaraf lima bintang!

Selagi Parlimen atau Dun belum dibubarkan, malah sehingga detik-detik akhir hari pengundian, proses untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya masih terbuka luas, sama ada bagi Pakatan mahupun Barisan. Biar dalam keadaan sedaif mana sekalipun, termasuk diasak siri penipuan melibatkan persoalan paling asas, iaitu senarai daftar pemilih, kita tetap berpeluang untuk mengatasi perangkap itu.

Ya, siapa sangka, persempadanan semula kawasan pilihan raya (gerrymandering) yang dibentuk pada 2002 atas kepercayaan tinggi BN kepada pengundi Cina (faktor penyelamatnya pada 1999), juga sikap prejudis kepada pengundi Melayu, memang membawa kemenangan luar biasa pada 2004, tetapi mengundang bahana terburuk empat tahun kemudian, iaitu tsunami politik 2008. Namun, menyerah atau sekadar mengharapkan nasib merupakan tindakan paling bebal.


Penggunaan dakwat kekal bagi mengelak pengundian berganda dalam PRU13hanya satu daripada lapan tuntutan asasi reformasi pilihan raya. Masih banyak yang belum disentuh, misalnya membersihkan senarai daftar pemilih, termasuk juga akses yang saksama kepada media. Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menyifatkan tuntutan Bersih 2.0 bagi membebaskan media adalah yang paling sukar dilaksanakan kerajaan.

Dalam pada itu, keyakinan awam bahawa Pakatan mampu membawa perubahan, sekali gus membebaskan negara daripada belenggu dan menyelamatkan Malaysia daripada cengkaman Umno-BN, harus dipupuk dan dibajai. Barisan kepemimpinan Pakatan harus membuktikan mereka layak diamanahkan kepercayaan buat menerajui kerajaan baru nanti.

"Sebarang persoalan titik-bengik dan masalah remeh-temeh di antara parti dalam Pakatan wajar diketepikan," kata seorang wartawan portal berita, yang sentiasa membuat liputan kegiatan Pakatan.

"Tonjolkan perpaduan dan imej sebuah kerajaan menanti yang hebat. Kepincangan Umno-BN selama memerintah cukup luar biasa. BN mesti diganti! Terbaru, kakitangan awam marah dengan SBPA yang hanya menguntungkan segelintir kecil pegawai Jusa," tambahnya.

Rakyat kini menyedari, jika dibiarkan Umno-BN terus berkuasa, negara bukan saja akan bankrap disebabkan kepincangan pengurusan ekonomi dan keghairahan melampau untuk membeli undi, malah terjebak dalam krisis yang sukar dipulihkan dalam masa singkat. Justeru, jangan sama sekali merosakkan keyakinan mereka itu.

Meskipun sentiasa mengingatkan pembaca Harakah (khususnya aktivis dan penggerak parti) agar jangan memandang mudah perancangan, taktik dan strategi BN, saya agak terkesan dengan kritikan seorang pengamat politik terhadap prestasi wakil-wakil rakyat Pakatan.

"Maksud saya, di negeri-negeri yang Pakatan menang, rakyat lebih cermat menilai sikap proaktif YB untuk menyelesaikan masalah masyarakat," katanya. "Jangan pandang ringan isu-isu longkang tersumbat, lampu malap, atau jalan yang tidak berturap. Memang penting hal-hal besar seperti isu penyelewengan, rasuah, pentadbiran yang baik, hak asasi, tetapi usah perkecil problem harian mereka."

"Mungkin ada wakil rakyat yang hebat mengungkapkan isu-isu nasional, hatta perkembangan luar negara, tetapi penduduk di kawasan pilihan raya jarang dijenguk. Ada juga berlaku di sebaliknya. Kita harapkan ada keseimbangan dan pemimpin Pakatan dapat menunjukkan teladan unggul. Rakyat mahu wakil mereka yang prihatin, turun padang, pintar berbahas dan cekap menyelesaikan masalah," ujarnya.

Sarjana politik ini seterusnya mengingatkan: "Harapan rakyat untuk melihat perubahan terlalu tinggi. Ya... cukup tinggi. Buktinya dalam konvensyen Pakatan Rakyat di Alor Setar baru-baru ini. Mereka sudah bosan dengan regim lama. Bagi yang tinggal di negeri-negeri Pakatan, mereka tidak sabar lagi untuk melihat kerajaan persekutuan ditukar."

Kehadiran konvensyen, walaupun cuba diperlekeh media milik Umno, ternyata menyuntik keazaman dan keyakinan baru rakyat. Wartawan Malaysiakini, Susan Loone melaporkan suasana Rapat Rakyat Perdana pada malam 14 Januari itu: "Kereta hadirin berbaris sepanjang dua kilometer akibat kesesakan dan orang ramai terpaksa berjalan kaki ke tapak ceramah yang penuh sesak sehingga ada yang terpaksa duduk di luar stadium. Ketayap putih yang dipakai sebahagian besar hadirin mejadikan suasana di padang stadium itu dipenuhi pandangan putih yang cukup memukau jika dilihat dari atas tempat duduk di stadium itu."

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, ketika hendak memulakan ucapannya malam itu, berhubung jumlah hadirin, dilaporkan Malaysiakini, sebagai berkata: "Macam duduk di Padang Arafah."


Sementara itu, Naib Presiden PAS, Husam Musa dalam ucapannya di konvensyen merumuskan: "Lebih 50 peratus kakitangan awam memihak Pakatan kerana mereka merasakan Pakatan lebih "fatherly and motherly". Simbol "fatherly" ada pada Tuan Guru Nik Aziz dan tokoh "motherly" pada Dr Wan Azizah, sementara dinamisma ada pada Lim Guan Eng."

Apa pun, segala kisah menarik dan ungkapan istimewa itu belum tentu menjamin laluan ke Putrajaya menjadi lebih mudah. Saya mahu menutup rencana ini dengan petikan ucapan Tuan Guru Presiden PAS di majlis sama: "Jalan untuk ke sana (Putrajaya) sangat berliku dan penuh cabaran."

Baca Seterusnya......

Sunday, January 15, 2012

Tangguh dulu merayakan "kemenangan"!

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Tidak ramai menduga keputusan kes pertuduhan liwat Anwar Ibrahim, 9 Januari lalu, akan berakhir dengan pembebasannya. Apa pun, yang pahttp://pemudasarawak.files.wordpress.com/2009/02/jul07_anwaribrahim.jpgsti, kali ini semua orang yang tersalah jangka itu, terutama yang memenuhi kawasan lapang berhampiran mahkamah, langsung tidak kecewa sebaliknya mereka saling mengucapkan tahniah.

"Saya rasa beban berat yang terpikul sejak tiga setahun lalu itu terangkat ... sungguh lega, umpama dapat melunasi timbunan hutang," ujar seorang penyokong Anwar, dari Gombak, yang menelefon saya. Beliau masih dalam perjalanan ke mahkamah semasa berita pembebasan Anwar mula tersebar luas.

AJK PAS Pusat, Khalid Samad, yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, melalui blognya mencatatkan: "Amat jarang sekali seseorang berasa gembira apabila terbukti jangkaan dan ramalannya meleset dan tersilap. Barangkali ini adalah di antara masa-masa yang jarang itu."

Sehari sebelum itu, juga dalam blognya, Khalid meramalkan "Anwar akan didapati bersalah dan akan dipenjarakan, bukan kerana beliau bersalah tetapi kerana pihak berkuasa tiada pilihan melainkan mendapati beliau bersalah."

Rata-rata rakyat Malaysia mempunyai tanggapan hampir seragam terhadap badan kehakiman. Mahkamah dilihat boleh ditekan dan dipengaruhi, terutama oleh elit penguasa, khususnya yang membabitkan kes-kes kritikal terhadap pemerintah.

"Lebih teruk jika ada pihak yang mendakwa hakim juga boleh dibeli oleh orang yang kaya-raya. Ini lagi berbahaya, pelabur akan lari," kata seorang wartawan, berpengalaman lebih 20 tahun.

Ulasan seorang lagi sahabat saya, seorang wartawan penyiaran, apabila ditanya reaksinya dengan penghakiman 901, membalas: "Suatu yang menarik, baik orang itu suka Anwar bebas atau tidak suka, dalam kepalanya terlintas keputusan itu bukan semata-mata berdasarkan hukum dan fakta. Betapa rosakanya kehakiman Malaysia."

Persepsi itu mungkin tidak seratus peratus benar, namun tanggapan itulah yang dikongsi majoriti rakyat sejak sekian lama.

Pakar Perlembagaan, Prof Dr Aziz Bari berkata, dari awal lagi rakyat -- baik yang tahu undang-undang atau rakyat biasa -- dapat melihat yang kes Anwar ini luar biasa dan tidak mengikut undang-undang. "Dan kita jangan lupa bahawa kebebasan kehakiman ialah satu persepsi; kalau rakyat sangsi dan tidak yakin, mahkamah tidak boleh berbuat apa-apa," tegasnya, seperti dipetik Merdeka Review.

Mungkin Dr Mahathir Mohamad bukannya orang yang mula menyebabkan orang ramai memandang serong terhadap kebebasan dan integriti institusi penegak keadilan itu, tetapi bagi saya, beliau bertanggungjawab sepenuhnya menjerumuskan badan kehakiman ke dalam "gaung paling dalam". Pengganti beliau, Abdullah Ahmad Badawi cuba berusaha memulihkannya tetapi gagal.

Di bawah Najib Razak, bukan saja semakin ramai memperlekehkan usaha transformasinya, beliau dilihat akan memperalatkan apa jua bagi memastikannya bukan PM terakhir daripada Umno. Dan Anwar adalah seteru utama yang mesti dijinakkan, kalaupun tidak dapat ditumpaskan, sebelum pilihan raya umum ke-13 berlangsung.


Kita tentunya belum lupa begitu banyak "keganjilan" dalam perbicaraan kes pembunuhan Altatuya Shaariibuu, yang terus meninggalkan seribu satu misteri. Nama Najib dan isterinya, Rosmah Mansor terpalit teruk dengan kes tersebut.


"Sukar untuk menyanggah tanggapan bahawa keputusan Isnin lalu dipengaruhi tekanan politik. Jika pendakwaan kes ini sejak awal sudah sarat dengan elemen politik, mana mungkin kita mengharapkan keputusan akhirnya langsung tidakl dicemari pengaruh politik," pandangan rakan lama saya, seorang peguam berpengalaman.

"Bagi saya, sebagai pengamal undang-undang, tidak ada apa-apa yang boleh digembirakan dengan keputusan kes ini. Takkan hanya dengan satu kes, tiba-tiba hakim-hakim di Malaysia sudah terlepas daripada sebarang kongkongan dan gangguan. Langsung tidak masuk akal," tambahnya.

Beliau seterusnya meminta saya membidas contoh yang sering diberikan oleh pemimpin Umno, khususnya Dr Mahathir, bagi membuktikan kehakiman di Malaysia adalah bebas dan berintegriti. Iaitu kes pengharaman Umno pada 1988 oleh Hakim Harun Hashim.

"Saya sudah menulis banyak kali kes ini," balas saya. Ada nada kemalasan untuk mengulanginya lagi.

"You kena terus jelaskan bahawa dalam kes tersebut peguam Dr Mahathir sendiri yang mahu Umno diharamkan. Hakim tiada pilihan selain mengharamkan Umno atas kehendak presidennya sendiri. Kemudian Mahathir mudah menubuhkan parti baru, dengan memastikan hanya ahli yang setia menyertainya, dan menyingkirkan kumpulan Tengku Razaleigh Hamzah yang hampir menewaskannya pada April 1987, serta dapat pula mewarisi aset dan kewangan Umno lama," tegasnya.

Rakan saya ini berpandangan, Umno dan Najib lebih mendapat manfaat politik dengan pembebasan Anwar, berbanding jika Ketua Pembangkang itu dipenjarakan.

"Dulu Mahathir telah memenjarakan Anwar, hasilnya orang Melayu marah dan menolak Umno pada 1999. Kali ini keadaan akan menjadi lebih teruk jika Anwar dizalimi memandangkan majoriti masyarakat bukan Melayu awal-awal lagi sudah muak dengan BN. Undi pengundi Melayu yang bersimpati dengan Anwar itu akan berpadu dengan kemarahan pengundi Cina yang tidak boleh dilunakkan lagi," tambahnya.

Saya juga tertarik dengan Cikgu Bard (Badrul Hisham Shaharin): "Keputusan hakim itu harus dilihat sebagai kemenangan rakyat. Ia adalah hasil tekanan dan kesedaran rakyat terhadap kes tersebut. Bayangkan jika Anwar gagal memastikan maklumat bagaimana kepincangan kes tersebut kepada rakyat terbanyak dan gagal mengumpul sokongan, saya yakin Anwar akan didapati bersalah."

Justeru, laluan Pakatan Rakyat ke Putrajaya tidaklah semudah disangka. Banyak lagi ranjau yang perlu dibersihkan. Tangguh dulu majlis untuk merayakan "kemenangan" ini ....

Dan tidak mustahil juak-juak Umno sedang menunggu penghakiman bertulis Hakim Zabidin Mohd Diah bagi mencari ruang untuk terus menyerang Anwar, sekurang-kurangnya demi menyuntik rasa ragu dan curiga kepadanya. Mungkin pertarungan di mahkamah sudah berakhir tetapi pentas politik masih terbuka luas, 'kan?

II.

Di waktu ramai bergembira pada pagi Isnin lalu dengan keputusan kes Anwar di Jalan Duta, khabar di sebelah petangnya dari Tanjung Malim "mungkin" mendukacitakan. Anak muda yang mencipta kejutan, Adam Adli Abdul Halim, 22, mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) digantung tiga semester (satu setengah tahun) selepas didapati bersalah menurunkan bendera Najib Razak di ibu pejabat Umno bulan lalu.

Adam Adli dan rakan-rakannya yang giat berkempen memperjuangkan kebebasan akademik, juga mendesak dihapuskan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), bukan sekadar pindaan kosmetik seperti dijanjikan Perdana Menteri. Mereka turut menzahirkan hasrat murni itu, dengan turun menemui wakil-wakil kerajaan negeri Pakatan Rakyat, sebagai isyarat kebebasan akademik harus dinikmati semua warga kampus, di seluruh negara.

Kenapa pula saya menyebut "mungkin" mendukacitakan? Bukankah nasib dan masa depan Adam Adli yang digantung itu bakal menjadi tidak menentu, dan tentunya ia berita menyedihkan? Masakan hukuman zalim dan tindakan opresif itu, boleh merangsang satu kebangkitan lebih menyeluruh?

Sebenarnya tidak sedikit yang melihat keputusan jawatankuasa disiplin itu telah melonjakkan obor semangat mahasiswa mendepani cabaran melepaskan kongkongan di kampus. Malah, riak wajah Adam Adli, sejurus menerima hukuman, tetap ceria. Langsung tiada mendung di wajahnya.

Di depan pintu masuk UPSI, dikerumuni media dan teman-teman seperjuangan, selepas melaungkan slogan keramat "Hidup-hidup, mahasiswa! Tumbang-tumbang, tumbang Auku!", Adam Adli mahu pusat pengajian yang pernah melahirkan pejuang kemerdekaan itu, seperti Ibrahim Yaakob, segera dibebaskan daripada pembodek dan pengampu, untuk diserahkan kepada mahasiswa.

Ungkapan katanya tetap berbisa, selain terus sinis dan menyindir keanggotaan panel tatatertib, di antaranya Prof Dr Zainal Kling, yang dilihat akrab dengan UMno dan sentiasa memberi komentar negatif kepada pembangkang, selain pernah menyifatkan Tanah Melayu tidak pernah terjajah.

"Jelas, juri-jurinya adalah orang Umno, apa lagi yang dapat kita harapkan daripada jawatankuasa itu?" tegas Adam Adli.

Beliau bukan saja tidak akan merayu, malah tidak pernah mengiktiraf kedudukan "mahkamah Auku". "Saya akan buktikan kepada orang yang menghina perjuangan pelajar, yang menuduh aktivis mahasiswa sibuk berpolitik dan malas belajar, bahawa mereka semua salah," katanya. Beliau akan memfailkan permohonan mencabar keputusan itu di mahkamah terbuka.

Seterusnya Adam Adli dilihat mengoyak sekeping kertas, mungkin petanda penolakan total kepada hukuman gantung itu. Beberapa posting dalam internet mengaitkannya sebagai "Anwar Ibrahim dalam pembikinan". Beliau turut hadir ke perkarangan kompleks mahkamah Jalan Duta, menunggu penghakiman Anwar, dan diberikan penghormatan oleh hadirin dengan menjulangnya.

"Setahun setengah kena gantung sebab pejuang kebebasan akademik lebih mulia daripada setahun dipenjara makan rasuah," tegasnya.

"Memang watak anak jantan," kata seorang penerbit buku terkenal. "Itulah perjuangan yang Adam kena bayar, pemuda macam ini boleh buat menantu," SMS seorang pembaca Harakah, 'Makcik Kedah'. Tidak kurang yang menggesa Harakah menubuhkan tabung khas untuk membiayai Adam Adli meneruskan kesnya di mahkamah.


"Kalau Adam dihukum kerana didakwa telah mencemarkan reputasi UPSI, saya kira ramai lagi pentadbir kanan universiti, termasuk bertaraf profesor, yang patut didera dengan hukuman lebih berat, kerana mereka lebih-lebih lagi telah memalukan universiti, dengan gelagat pengampu dan kenyataan yang memperbodohkan taraf warga kampus," kata seorang rakan, pensyarah kanan IPTA.

Teringat pengalaman teman-teman di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), pada 1986, yang dihadapkan ke jawatankuasa disiplin atas dakwaan terbabit dalam demonstrasi membantah pemecatan saya. Mudah sekali, ada yang dihukum gantung pengajian, hanya selepas "bersembang-sembang kosong" dengan pegawai kanan Hal Ehwal Pelajar, yang bertindak sebagai pendakwa dan hakim sekali gus.

Jika satu waktu dahulu, ada pemimpin pelajar yang mohon bercuti untuk aktif berpersatuan, saya cuba mencongak bagaimana Adam Adli mahu menghabiskan tempoh penggantungannya yang agak lama itu. Mungkin kempennya menuntut kebebasan akademik dan pemansuhan Auku dapat dipergiatkan lagi.

"Kesempatan ini harus dimanfaatkan. Gelora perjuangan pelajar bukannya mudah untuk dicetuskan. Sekali membara, jangan biar ia padam. Ia harus digerakkan dalam satu pakej, menuntut perubahan lebih bermakna buat rakyat Malaysia," demikian emel yang saya terima, sambil meminta Harakah mengembalikan ruang khas buat aktiviti kampus.

Tulisan pertama Adam Adli sebagai kolumnis laman merdekareview, bertajuk "Mengapa saya pilih jalan raya?" menarik perhatian saya. Berbakat juga anak muda ini dalam penulisan. Gaya penceritaannya lancar dan tersusun.

"Saya sering tekankan kepada rakan-rakan, Parlimen hanya untuk 222 orang, sedangkan kita ada jutaan suara yang mahu didengari. Maka jalan raya adalah ruangnya. Ia terbuka, luas, dan pasti mendapat perhatian!" tulis Adam.

Baca Seterusnya......

Bebas atau penjara, Umno tetap tersepit

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Umno-BN dan Najib Razak memang jelas tersepit dan terperangkap.Apa pun keputusan mahkamah terhadap kes Anwar Ibrahim pada 9 Januari ini, Perdana Menteri masih sukar uhttp://www.selangordaily.com/wp-content/uploads/2011/05/anwar-n-cucu.jpgntuk menamatkan teka-teki tarikh pilihan raya umum, medan tempur paling sukar pernah dihadapi Pengerusi BN. Segalanya nampak serba tidak kena.

Sama ada Anwar didapati bersalah atau dilepaskan -- atau apa jua penghakiman yang bakal dibuat -- persepsi rakyat terhadap elit penguasa, terutama daripada segi pengaruh dan tekanan eksekutif terhadap mahkamah, tetap memburuk. Persepsi ini terbentuk kukuh sejak awal pemerintahan Dr Mahathir Mohamad lagi.

Apatah lagi dalam kes yang begitu kritikal dan dilihat mempunyai impak politik cukup tinggi, maka kehendak atau sekurang-kurangnya isyarat Jabatan Perdana Menteri  tidak boleh diremehkan. Malah, di negara-negara yang dikenali dengan sistem kehakiman berintegriti pun, kes-kes yang mempunyai implikasi besar politik sukar dijalankan secara adil.

Dalam konteks negara kita,  Peguam Negara mempunyai kuasa menurut budi bicaranya untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan. Beliau juga boleh memilih pertuduhan di bawah peruntukan undang-undang yang "disukainya". Jabatan Peguam Negara mempunyai kaitan erat dengan JPM.

Anwar sendiri mengakui, sekiranya Dr Mahathir masih berkuasa dan menyandang jawatan Perdana Menteri pada September 2004, belum pasti Mahkamah Persekutuan waktu itu akan membuat keputusan membebaskannya.

Manakan tidak, bagi seorang Dr Mahathir, parti Umno yang diterajuinya sendiri pun boleh diharamkan pada 4 Februari 1988 atas kemahuannya kerana itulah satu-satu pilihan yang ada bagi mengetepikan pencabarnya, Tengku Razaleigh Hamzah.

Pada persepsi umum, segala keterangan, bukti dan fakta kes adalah satu hal yang berbeda dan boleh diketepikan apabila dihadapkan dengan pertembungan kepentingan pemerintah, apatah lagi ia bersifat "hidup-mati" survival politiknya.

Sememangnya episod hitam-pekat pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas, diikuti penyingkiran dua hakim Mahkamah Agung di zaman Dr Mahathir, sudah berlalu hampir 23 tahun lalu, namun tiada siapa berani menafikan tanggapan bahawa kebebasan badan kehakiman negara belum dapat dipulihkan.

Isu kongkongan -- atau istilah lebih lembut lagi, pengaruh -- eksekutif terhadap judiciary masih menjadi polemik yang tidak berkesudahan di Malaysia. 

Jika penentuan pembubaran Parlimen empat tahun lalu difaktorkan oleh pertimbangan Abdullah Ahmad Badawi bahawa Anwar masih tidak layak untuk bertanding dalam pilihan raya umum 2008 (dan ternyata perkiraannya tersasar), maka kali ini Najib tetap melihat sosok Ketua Umum KeADILan itu sebagai kriteria terpenting.

Suka atau tidak, Anwar masih dikira watak paling dominan dalam percaturan siasah tanahair.  Najib tentunya mahu mengurangkan risiko dalam menghadapi PRU13, yang disifatkannya sendiri sebagai "ibu segala pilihan raya". Soalnya, apakah dengan memenjarakan Anwar boleh memudahkan laluannya untuk mempertahankan Putrajaya atau tambah menyukarkan beliau, segalanya masih menjadi perdebatan.

Najib mungkin dilihat tidak "seganas" mentornya, Dr Mahathir -- dengan rekod terburuk menyerang para hakim yang tidak memihak kepadanya, juga melumpuhkan kebebasan kehakiman secara sistematik melalui siri pindaan Perlembagaan, dan mengetatkan undang-undang yang sedia zalim -- tetapi situasi sulit yang terpaksa dilaluinya memaksa orang ramai menaruh sangkaan buruk terhadap Perdana Menteri keenam itu.

Kes Fitnah II Anwar diselubungi dengan pelbagai keanehan. Fakta kes yang dibentangkan di mahkamah sarat dengan bermacam-macam persoalan yang gagal terjawab.

Justeru, persepsi umum bahawa Anwar teraniaya cukup tebal. Kes liwat membaitkan Saiful Bukhari Azlan tetap dianggap semata-mata kes politik dan bukannya kes jenayah, sepertimana kes Azizan Abu Bakar dahulu. Ditambah lagi dengan pembabitan, secara langsung mahupun tidak langsung, personaliti politik, termasuk Najib, dan pegawai polis tertentu, yang dikaitkan dengan kes Fitnah I dahulu, khususnya Musa Hassan dan Rodwan Yusof.


"Sikap doule-standard kerajaan Ummno jelas dalam kes Anwar. Dan jangan perbodohkan rakyat dengan mendakwa himpunan 901 adalah sokongan membuta-tuli kepada peribadi Anwar. Ini perjuangan panjang rakyat menuntut perubahan," SMS seorang pembaca Harakah kepada saya.

Penghakiman kes Anwar ini melanjutkan lagi dilema berpanjangan Najib. Walaupun beliau cuba melakukan pelbagai bentuk transformasi, namun belantara politik yang diredah  semakin memerangkapnya. Kes Shahrizat Jalil, Jamil Khir Baharom, Awang Adek Hussin adalah contoh kecil yang tidak mudah ditanganinya.

Imej kelam-suram Umno-BN yang ditinggalkan Abdullah belum berjaya diceriakannya. Pelbagai bantuan one-off yang diumumkan dalam Belanjawan 2012 di tengah suasana ekonomi yang tidak menentu, dengan bebanan hutang negara yang begitu tinggi, tidak pula menarik simpati rakyat kepada Najib.

Sebaliknya ramai bertanya, mampukah kewangan negara bertahan lebih lama jika Najib meneruskan "keborosannya membeli undi" melalui bantuan one-off itu, sedangkan beliau sendiri curiga untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, bagi mencadangkan tarikh pembubaran Parlimen.

"Najib perlu adakan pilihan raya segera selepas segalanya dicurahkan untuk menarik sokongan pengundi. Kalau lambat, orang akan lupa jasa baiknya itu. Dari mana nak dikorek duit lagi untuk  beli undi itu. Lagi pun rakyat semakin bijak memperhatikan gelagat BN menggunakan wang negara," kata seorang pensyarah sains politik.

Sementara pengundi bukan Melayu, khususnya Cina, dijangka terus menjauhi BN, penghakiman kes 901 ini dilihat boleh mempengaruhi kecenderungan masyarakat Muslim. Secara automatik ramai merujuk situasi 1998-99, pada era reformasi, sebagai kemungkinan majoriti pengundi Melayu kembali memberi simpati kepada Anwar.

Sama ada penghakiman ataupun perhimpunan 9 Januari ini, kedua-duanya adalah "aksi politik" yang dipersembahkan oleh Najib dan Anwar ...

Bekas Ketua Pengarang NSTP, A Kadir Jasin yang juga merupakan blogger yang aktif, menyenaraikan beberapa "kalau" dengan penghakiman 9 Januari, antaranya: "Kalau Anwar masuk penjara, kesan undi simpati yang menyebabkan BN hilang banyak kerusi dan kalah Dun Terengganu dalam PRU 1999 mungkin berulang, dan alau hal ini berlaku, BN akan mendapati lebih sukar mempertahankan kedudukannya kerana ia kini jauh lebih lemah daripada tahun 1999."

Seingat saya, dalam satu wawancara dengan Harakah, Tengku Razaleigh Hamzah pernah membayangkan kedudukan Umno dijangka lebih sulit sekiranya Anwar sekali lagi dipenjarakan, dan rakyat khususnya orang Melayu mungkin menjadi lebih bersimpati dengan Ketua Pembangkang itu.

Bukan sahaja berbanding PRU10 pada November 1999, malah Pakatan Rakyat tentunya lebih bersedia menghadapi pilihan raya kali ini, mengatasi persiapannya empat tahun lalu. Ketika itu, Pakatan sendiri belum ditubuhkan secara rasmi, meskipun persefahaman sedia terjalin di antara ketiga-tiga parti, PAS, KeADILan dan DAP.

Selain itu, sumber, kemudahan, jaringan dan potensi Pakatan ketika ini tentunya lebih baik. Apatah lagi rakyat dapat menilai dan menghakimi pemerintahan kerajaan-kerajaan negeri yang ditadbir Pakatan, yang tentunya lebih telus, terbuka, demokratik dan antirasuah.

Lebih penting adalah kesederhanaan gaya hidup pemimpin-pemimpinnya, sedangkan masyarakat dapat menyaksikan perubahan drastik kehidupan pemimpin Umno selepas dipilih menjadi wakil rakyat.

"Apa pun, jangan hanya pandang daripada segi kelebihan," kata seorang penganalisis politik. "Peluang memerintah tidak semestinya memihak Pakatan. Ingat, PAS pernah kalah di Terengganu selepas sepenggal mentadbir. Apakah kerajaan Pakatan telah memenuhi harapan dan impian rakyat atau masih banyak yang terabai? Pakatan mesti nampak berkredibiliti dan berintegriti."

"Saya tidak bimbang sama ada Anwar akan dapat berkempen dalam PRU13 atau menggerakkan strategi bersama rakan-rakan dalam Pakatan. Keinginan rakyat untuk berubah cukup tinggi, melampaui faktor Anwar. Saya hanya risau prestasi kerajaan negeri Pakatan sejak 2008, begitu juga rekod kerja wakil-wakil rakyatnya. Lagi pun banyak kerusi yang menang dulu dengan majoriti tipis," tambah rakan saya itu.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini, 5 Januari lalu, Anwar yakin Pakatan dapat menumbangkan BN di Perak dan Negeri Sembilan dalam PRU13, selain mempertahankan negeri sedia ada. Timbul persoalan, mengapa pula Terengganu tidak dirangkaikan bersama? 

Namun, ujarnya, Pakatan akan tetap berjaya meraih lebih banyak kerusi di Melaka dan Johor, serta laba yang lebih besar di Sarawak dan Sabah.

Anwar juga  yakin sekiranya beliau terkeluar dari arena politik aktif sekalipun, Pakatan akan tetap mampu mengemudi jalan ke Putrajaya.
Ini kerana, menurutnya, Pakatan sudah ada formula dan kata sepakat tentang apa yang perlu dilakukan sekiranya keputusan 901 tidak memihak kepadanya.

Dalam ceramah di Melaka, pada 4 Januari lalu, Anwar menegaskan, keputusan sama ada beliau dipenjarakan atau tidak, adaalah tidak penting, namun apa yang dinantikan adalah keputusan rakyat menilai dan membuat pilihan pada pilihan raya akan datang untuk merubah kerajaan.

 

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mengaitkan perkembangan di dunia Arab, khususnya Tunisia sebagai bukti rakyat boleh bangun menukar regim pemerintahan walaupun tanpa mempunyai seorang ketua yang jelas.

Beliau yakin, impian Umno untuk melihat lumpuhnya kebangkitan rakyat dengan keputusan perbicaraan Anwar itu akan hangus terbakar dengan berapi-apinya semangat 'Asal Bukan Umno' (ABU) yang tidak lagi bergantung kepada mana-mana pemimpin.

Pengasasan budaya politik baru, dengan pertumbuhan kelas menengah yang lebih besar dan kemudahan jaringan maklumat melalui kuasa siber, memantapkan lagi keazaman politik rakyat untuk menolak penguasa yang terbukti korup dan bobrok.

Kebangkitan suara mahasiswa, seperti yang dijelmakan dalam kes Adam Adli dan Safwan Anang, menjanjikan kesedaran politik generasi muda yang lebih matang.

Ya, apa pun keputusan mahkamah Isnin ini, sukar sekali bagi Najib untuk meraih manfaat politik daripadanya.

 

Baca Seterusnya......

Fenomena Adam Adli, Safwan Anang

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Petang 31 Disember 2011, sewaktu menerima SMS daripada Kassim Muhamad, aktivis Paksi (Seniman Paksi Rakyat), yahttps://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiOqWqr_5SmPJWb5DNsNMtUjb0MKCaqPrBY0QQGqcGPWRR2Etrl1N3C7OXJ01mOVgtKxqxhVw48YWvFui61g9b3C_mQ12taBHecWrPCcdoXTp0WEr-XaZhHuvrSczcCWUR8E0Ig3nxFX2kL/s400/adam+adli.jpgng memaklumkan beliau bersama dua penyair muda, Benz Ali dan Ali Bukhari Amir berhajat ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada malam tahun baru, saya melintasi Sabak Bernam, dalam perjalanan balik bercuti dari Lumut ke Ampang.

Mesej Pak Kassim, ada program bacaan puisi di depan UPSI. Tanpa mengetahui lebih lanjut acara itu, nama UPSI sudah cukup untuk segera saya teringat si pemberani, Adam Adli Abd Halim yang mencipta kejutan baru-baru ini.

Pastinya ada kaitan dengan kes anak muda itu, yang bakal menghadapi perbicaraan jawatankuasa tatatertib universiti, 9 Januari nanti, ekoran tindakannya menurunkan bendera Najib Razak di Ibu Pejabat Umno, PWTC, 17 Disember lalu.

Sebelum ini, UPSI -- dahulunya Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), satu nama besar dalam proses kebangkitan bangsa Melayu menentang kolonial -- agak tercicir dalam senarai perjuangan gerakan mahasiswa, berbanding kampus di Lembah Klang. Tiba-tiba Adam Adli mengocakkan ketenangan UPSI dan memaling perhatian umum ke Tanjong Malim.

"Rupanya tidak semua calon guru dapat dijinakkan semasa latihan," kata seorang teman wartawan sejurus membaca interbiu Sinar Harian dengan Adam Adli. "Apabila guru bangkit menuntut hak kebebasan akademik dan mendesak autonomi kampus dikembalikan, BN pasti tidak senang duduk. Adam Adli bukan keseorangan," tambahnya.

Semasa melepasi Sungai Besar, saya agak terlelap, dan terlupa seketika isu Adam Adli dan SMS Pak Kassim. Sehinggalah apabila terpandang kediaman bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo, di kiri jalan, Simpang Lima, saya terasa lebih segar. Hampir sepuluh tahun lalu, saya bergelut dengan siri pendedahan amalan salahguna kuasa dan korupsi Khir, doktor gigi yang sekonyong-konyong dilantik mengetuai kerajaan di sebuah negeri paling maju.

Terhimpun segala memori pahit manis, bukan sahaja keletihan naik turun pejabat Biro Pencegah Rasuah (kini SPRIM) di Putrajaya dan Shah Alam, tetapi juga keceriaan turun padang menjejak bukti di Tanjung Karang, sehingga ke pusat penternakan ayam, jauh terperosok ke dalam, yang didakwa membekalkan bekalan daging untuk diagihkan Khir menjelang Aidilfitri, di depan rumahnya, di Simpang Lima itu.

Episod itu sudah lama berlalu. Saya pun sudah banyak berubah, terutama dari segi kecergasan fizikal. Khir akhirnya -- selepas terlucut dari takhta kuasa -- menjadi kerdil dan terpencil, seterusnya dihukum setahun penjara dan kediaman mewahnya dirampas, akibat pertuduhan rasuah, satu penghakiman yang mungkin dilihatnya bermotif politik.

Dalam blognya, 27 Disember lalu, Khir merakamkan: "Saya percaya sekiranya saya tidak mendapat keadilan di dunia ini pun, akan ada keadilan di hadapan yang Maha Berkuasa nanti."

Empat bulan sebelum itu, pada akhir Ramadan lalu, dalam ucapan selamat hari raya, Khir menulis: "Dalam bulan mulia ini saya ingin mengingatkan tiga sahabat yang menjadi menteri dalam kabinet agar jangan keterlaluan untuk mengenakan saya. .... Seorang menteri dilaporkan berkata kepada dua orang menteri lain bahawa jika mahu mendapat kembali Selangor maka Khir Toyo perlu didakwa. Sekarang menteri yang sama berkata jika mahu menang Selangor Khir Toyo perlu dipenjarakan."

Apa pun, kita fokuskan dahulu fenomena Adam Adli dan kebangkitan anak muda yang bingkas bangun menuntut hak. Suara kebenaran dan idealisme luhur perjuangan mahasiswa kembali lantang bergema, melantun dan saya percaya bingit di telinga elit penguasa. Mereka mungkin dilihat "kurang beradab" kerana berani tegas mengungguli keyakinan yang terpahat di dada.

Saya langsung tidak menyedari peristiwa bersejarah malam tahun baru yang panjang itu. Dan rakyat Malaysia yang menyambut kedatangan tahun 2012 pastinya tidak menjangka pada waktu sama berlaku insiden berdarah yang menyayat hati.

Pada pagi Ahad, saya menerima SMS tentang keganasan polis menyuraikan himpunan pelajar di UPSI, yang disifatkan melampau, tidak bertamadun dan pelbagai mesej lagi bersalut kemarahan. Namun saya masih belum mengetahui butiran terperincinya. Agakan saya, kalaupun demonstrasi digempur FRU, ia tidaklah sedramatik yang berlaku.

Saya cuba menghubungi Ali, tapi tidak berjawab. SMS Pak Kassim sedikit mencerahkan. Rupanya acara baca puisi tidak menjadi. Mahasiswa bertindak lebih nekad, membaringkan diri di atas jalan berdepan pintu masuk UPSI dan aksi mereka itu tentunya mengejutkan polis Tanjong Malim, terutama anggota Cawangan Khas (SB), yang rasanya agak asing dengan situasi seumpama itu.

Jarak kampus UPSI hanya lebih kurang 90km ke utara Kuala Lumpur, namun saya tidak pasti apakah wilayah sekitarnya pernah digegarkan dengan teriakan reformasi dan dibadai tsunami politik.

Memang Perak diterajui Pakatan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum 2008, namun kerusi Parlimen Tanjong Malim dan dua Dun di bawahnya, Sungkai dan Slim, masih dikuasai BN. Hanya Dun Behrang dimenangi calon KeADILan, Jamaluddin Mohd Radzi, yang kemudiannya keluar parti dan menyebabkan rampasan kuasa.

Jam 1.30 tengahari Ahad, seorang sahabat Zulaimi Kazin mengajak saya ke Tanjong Malim, melihat lebih dekat realiti yang mengukir sejarah itu. Mulanya kami berhajat makan ikan singgang di Setapak terlebih dahulu, tetapi terpaksa dibatalkan, bimbang semua 17 pelajar yang ditahan telah diikat jamin dan terlepas detik-detik penting itu.

Ruang di depan pintu pagar Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Tanjong Malim di Slim River sesak. Cuaca panas terik. Sebahagian besarnya anak-anak muda, lelaki dan wanita hampir sama ramai. Wajah mereka menzahirkan ketulusan dan iltizam tinggi berdepan sekatan dan hambatan. Kain pemidang mempamerkan tuntutan mahasiswa merentang jalan. Mereka menunggu rakan-rakan dibebaskan.

Slogan 'student power' saling bersahutan. Juga jeritan "Bebas bebas, kami semua Adam Adli". Keras dan senada, petanda tekad mereka tidak mudah goyah. Mereka langsung tidak hiraukan puluhan anggota polis di dalam kawasan IPD yang liar memandang.

"Hebat pelajar sekarang. Baru malam tadi kena belasah, kena pukul, tapi semangat tetap berkobar," bisik seorang teman yang baru saya kenali di situ.

"Saya tidak pernah saksikan keberanian anak-anak muda seperti ini. Bayangkan, di depan balai polis mereka kembali berhimpun, meluahkan apa yang terbuku tanpa sedikit pun rasa takut. Tabik saya kepada mereka," katanya sambil menunjukkan saya seorang pelajar yang menutup kepalanya. Baju pelajar berkenaan dilumuri darah kering. Rupanya malam tadi dia turut cedera dan mendapat beberapa jahitan di kepalanya.

Gelagat beberapa pimpinan pelajar yang saling berbicara lantang, termasuk Adam Adli dan seorang mahasiswi, menarik perhatian saya. Ungkapan kata mereka teratur kemas, menyuntik obor semangat. Ya, mahasiswa telah membuka lembaran baru tahun 2012 dengan hari pertama yang cukup meyakinkan.

"Apa pun yang terjadi kepada saya selepas ini, kita mahasiswa tidak lagi boleh berundur. Saya telah melakukannya dan saya pasti anda semua juga mampu melakukannya," tegas Adam, merujuk kes perbicaraannya yang mungkin mengundang risiko buruk.

Teriakan menuntut kebebasan akademik, pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) disulami pidato ringkas politik yang tegas. Saya kira kepercayaan mahasiswa terhadap jaminan Najib Razak untuk melonggar sekatan di kampus berada pada tahap paling tipis, apatah lagi selepas menyaksikan sendiri insiden keganasan polis.

Ketara sekali, luahan kemarahan sukar untuk diredakan biarpun semua rakan-rakan mereka telah dibebaskan.

Saya sempat mengunjungi Muhammad Safwan Anang Talib, pelajar Universiti Malaya, yang terlantar di Hospital Slim River, tidak jauh dari IPD. Beliau merupakan isteri kepada Masturah Abu Bakar, juga seorang aktivis mahasiswa UM, anak Mariam Abd Rashid, Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Selangor.

Raut wajah Safwan tenang meskipun masih menahan kesakitan terutama pada bahagian tulang rusuknya. Saya kira giginya turut patah. Bibirnya pecah. Sahabat-sahabat mengerumuni katilnya, saling bersalaman, erat tautannya. Ada yang memeluknya.

Saya cuba membayangkan perasaan masing-masing; terharu, sedih tapi bersyukur dan berbangga dengan cabaran perit itu. Mereka sebenarnya mengucapkan tahniah sesama sendiri.

"Kejam ... Safwan yang bertubuh kecil dipukul, dipijak, diterajang semahunya," cerita seorang pelajar kepada saya dan Kak Yam. Saya menyerahkan sumbangan wang tunai daripada pembaca Harakah kepada isteri Safwan.

Malamnya di TV, Ketua Polis Perak mendakwa Safwan cedera angkara tindakan sendiri. Ia sekadar satu lagi bukti bahawa pihak polis tidak layak menjalankan siasatan ke atas kes ini. Sewajarnya ditubuhkan satu badan bebas untuk menyiasat.

(Ketua Penerangan KeADILan Johor, Syed Hamid Ali menegaskan: "Kami menuntut kerajaan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) khasnya, segera mengadakan pendengaran awam dan siasatan terbuka (open inquest) berhubung kejadian di mana Safwan Anang telah cedera dan 17 yang lain ditangkap. Jawatankuasa siasatan awam itu hendaklah terdiri daripada pakar-pakar perundangan dan NGO yang bebas; selepas siasatan dilakukan. Laporannya hendaklah diumumkan.")


Semasa menuju masjid berdekatan untuk solat Asar, saya mengirim SMS kepada Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi. Ternyata beliau cukup prihatin dengan perkembangan Safwan.

Bagaimanapun saya lebih risau kedudukannya dalam kerajaan sekarang. Komitmen beliau untuk menjadikan kampus lebih kondusif untuk aktiviti intelektual seperti bakal menjerat dan menjerut dirinya.

Persatuan Alumni Aspirasi (kumpulan mahasiswa pro-Umno, yang diberikan segenap kemudahan oleh Hal Ehwal Pelajar untuk menang mudah dalam setiap kali pilihan raya kamopus) sudah memberi kata dua kepada Saifuddin, agar beliau beliau meletakkan jawatan berdasarkan memorandum 21 Disember lalu ekoran tindakan Adam Adli menurunkan bendera Najib. Saifuddin dilihat terlalu "memberi muka" kepada mahasiswa.

"Kami tidak lupa notis yang diberikan kepada Dato' Saifuddin," tegas Presiden Aspirasi, Mohd Shahar Abdullah pada 30 Disember lalu. Khabarnya, ramai Naib Canselor dan TNC Hal Ehwal Pelajar mencari peluang untuk "menyukarkan" Saifuddin dalam kerjaya politiknya. Shahar hanya jurucakap kepada sebilangan "kawan-kawan" Saifuddin dalam BN yang mahu melihat Ahli Majlis Tertinggi Umno itu "terkulai di pertengahan jalan".

Baca Seterusnya......

Segenggam pasir menjadi gunung?

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Biarpun isu dalaman parti dianggap kecil dan lumrah dalam perjuangan panjang PAS, namun dengan perkembangan mutakhir ini, ia begitu menggamit keprihatinan anggota jamaah dan masyarakat umum.

Ia petanda ahli-ahli PAS begitu sayang parti atau jamaah yang disertainya. Benar, PAS pernah mendepani "keretakan" yang jauh lebih besar dan sukar, tetapi kebanyakan ahli parti tidak mahu sebarang episod gelap berulang.

"Saya ingat hanya Umno dan parti komponen BN, atau mungkin KeADILan dan DAP sahaja, yang ada masalah dalaman. Rupanya PAS juga tidak terkecuali," kata jiran saya, seorang Tionghua, yang kerap memuji "dua tok guru" Mursyidul Am dan Presiden. "PAS bukan parti malaikat," pintas saya, sambil ketawa kecil, "tapi jangan risaulah, itu masalah kecik aja. Segenggam pasir yang digambarkan seperti bukit."

Rata-rata, sama ada dalam sessi perbincangan serius atau sembang-sembang santai, yang dahulunya terarah kepada krisis Umno-BN -- seperti isu "calon boleh menang" -- kini tertumpu pula kepada "ribut dalam cawan kopi". Mulanya seolah-olah tergambar pada sesetengah orang bahawa isu calon pilihan raya pun sudah menjadi masalah besar dalam PAS, seperti menimpa Umno, sedangkan realitinya tidaklah sebegitu rupa.

Saya sendiri dihujani pelbagai pertanyaan dan persoalan. Tidak kurang yang mengkritik keras laporan Harakah. Sesama ahli atau aktivis parti, mungkin tidak sedikit yang dapat mengikuti salur-galur konflik ini sejak awal dan dapat memahami kedudukan sebenar. PAS bermula tarikh penubuhannya 60 tahun dulu, seperti juga pertubuhan siasah lain, tidak pernah sunyi daripada masalah dalaman. Malah, yang keluar parti, bukan sekadar ahli biasa tetapi pimpinan tertinggi, termasuk presidennya.

"Apa pun, agak tidak manis jika kita sering menyandarkan rekod bahawa ramai pernah keluar parti bagi menjustifikasikan kemungkinan ada pemimpin yang bakal menuruti jejak itu. Benar, kadang-kadang kita perlu potong kaki bagi mengelak diabetis merebak, tetapi mengapa diabaikan rawatan lebih awal," kata seorang pemerhati politik, yang mengakui PAS merupakan parti politik paling unik dan cukup berpotensi di Malaysia.

"Orang ramai selama ini menyanjung tinggi PAS berdasarkan idealisme perjuangan Islamnya, komitmen tinggi pemimpin dan gaya hidup sederhana mereka meskipun selepas berkuasa, serta kesetiaan ahli-ahli parti yang tahan uji," tambahnya.

"Saya perhatikan, orang PAS walaupun ditekan, dipenjara, dilayan bagai warganegara kelas dua, mereka tetap istiqamah dengan perjuangan Islam, malah tidak pula memilih jalan atau pendekatan militan seperti yang berlaku kepada sesetengah gerakan Islam luar negara," kata seorang sarjana sains politik. "Tapi saya nak tengok juga keupayaan PAS hadapi cabaran dan dugaan apabila berkuasa dalam kerajaan," ujarnya lagi.

Justeru, saya kira, ramai yang berminat bukan sahaja untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku di antara Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali dengan Dr Hasan Ali dan Ustaz Nasharuddin Mat Isa, tetapi mereka juga begitu teruja untuk melihat bagaimana PAS mencari jalan keluar terhadap "kemelut kecil" ini.

Bukan sahaja aktivis parti yang risau dengan "perang di media" yang bagaikan tiada kesudahan (tetapi kini seperti melalui era "gencatan senjata), namun masyarakat umum akan membuat penilaian terhadap apa yang berlaku itu, dan sekali gus mungkin membentuk persepsi baru terhadap PAS, sebuah parti yang dianggap paling kritikal tetapi cukup penting dalam PRU13 nanti.

"Masalah dalaman bukannya pelik bagi mana-mana parti politik, terutama jika babitkan perbedaan pendekatan politik. Yang menarik perhatian adalah bagaimana konflik dalaman itu diselesaikan secara harmoni. Orang mahu melihat cara PAS, sebagai parti Islam, menangani perselisihan yang timbul, dan tentulah ia berbeda dengan Umno, 'kan?" lontaran pandangan seorang penggerak PAS, yang dahulunya aktivis Umno.

Selain melalui proses disiplin parti, beliau menekankan agar ia diuruskan secara Islami. Apabila saya bertanyakan lebih lanjut bentuk penyelesaian Islami itu, beliau tidak dapat menghuraikannya, sebaliknya mahu PAS sendiri menunjukkan model teladannya.

"Bukan sekadar terletak kepada kewibawaan Tok-Tok Guru untuk menanganinya, tetapi formula penyelesaian masalah dalaman harus terpahat dalam struktur dan budaya parti. Usah cepat melatah, isu seumpama ini memang mudah mencuit emosi, apatah lagi apabila berlaku perang mulut secara terbuka," tegasnya.

Beliau segera merujuk kepada kenyataan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat: "Selesaikan perselisihan pandangan melalui mekanisme dalaman parti dan tidak memberikan peluru kepada musuh. Saya yakin, apa yang berlaku kebelakangan ini hanyalah merupakan ribut kecil yang sengaja diperlihatkan kencang di dalam media massa. Apa yang pasti selepas ribut kecil ini, turunlah hujan yang menyejukkan, insya-Allah."

Lebih mengejutkan saya apabila seorang aktivis PAS, dalam usia 60-an, menangis di hujung talian selepas meluahkan rasa bimbang terhadap konflik dalaman. "Benar, parti mesti tegas dan segera bertindak, tapi saya amat takut jika kita sendiri terjebak dalam perangkap fitnah dan adu domba," ujarnya tersangkut-sangkut.

Semua maklum bahawa Najib Razak hanya mengintai tarikh paling sesuai untuk mencadangkan pembubaran Parlimen. Kontroversi berterusan yang membabitkan pimpinan partinya memang menggusarkan tetapi Najib juga melihat peluang yang boleh diraih daripada kekeliruan yang timbul dalam parti lawan.

Di atas kertas seolah-olah setiap parti Pakatan Rakyat menempuh "konflik" dalaman. KeADILan bakal melalui saat getir keputusan penghakiman Anwar Ibrahim, DAP belum reda pertembungan Dr P Ramasamy dengan Karpal Singh, dan terkini, PAS turut diuji. Membaca laporan dan siaran media yang dikawal mutlak Umno tentulah berbeda dengan realiti di akar umbi.

Tentulah masalah kecil yang menimpa PAS sekarang sukar untuk dieksploit Najib, namun saya masih memegang kata-kata seorang rakan: "Dalam PRU13, pemenangnya bukanlah pihak yang paling kuat, tetapi yang paling sedikit melakukan kesilapan."


(Ketika tulisan ini disiarkan , nampak petunjuk memberangsangkan, "perang media" seakan reda. Apabila pimpinan tertinggi memberi nasihat dan teguran, insya-Allah, segalanya terkawal dan patuh).

Baca Seterusnya......

"Sebelum berangan-angan menang, PAS kena banyak berubah,"

Oleh Ahmad Lutfi Othman
Selama ini saya cuba mengelak jika diundang ke majlis-majlis yang diadakan jauh di lhttps://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiLzHjTGnAa3n51fY48I3yHgKVyhf7YANIuLEMF_YJSh8ZFr4I5E0YO2yl76mhkWNjHVvePjvE7Iy0ABjNjQntvVr72j9UyYCCssWZ2U08RDezgGxfvdVtXywnektfNgL8xDWg4avC_BSN-/s1600/IMG_0065.jpguar Kuala Lumpur. Keuzuran memang membataskan pergerakan. Stamina berbaki wajar dimanfaatkan untuk membereskan tugasan di pejabat. Apa pun, menjelang PRU13, yang dianggap "ibu segala pilihan raya", realiti politik di lapangan harus dijengah. Situasi sebenar yang bergolak, terutama di kawasan tumpuan PAS, perlu didekati
Harakah pula wajar menjadi medium ampuh untuk melaksanakan misi penting, sekurang-kurangnya sebagai penyebar informasi, dan berupaya menyanggah tohmahan serta propaganda songsang Umno-BN.
Justeru, apabila rakan sekerja, Suhaimi Embong, yang juga Pengarah Jabatan IT PAS Pusat, menyampaikan undangan untuk mengisi slot dalam pertemuan Jentera Penerangan PAS Terengganu bersama Ketua Pengarang Harakah di Markas Tarbiyyah PAS Kawasan Kuala Terengganu, Kuala Ibai, 17 Oktober lalu, saya melihatnya sebagai kesempatan terbaik untuk menyelami pergolakan politik di sana.

PAS Terengganu pernah berkuasa pada 1959, tetapi usianya hanya setahun tiga bulan. (Tentunya ada keistimewaan tersendiri sehingga rakyat negeri itu, bersama jiran mereka di Kelantan, bersedia memilih PAS dalam piliohan raya pertama selepas negara merdeka). 40 tahun kemudian, pada 1999, peluang kedua diperolehi, dengan kemenangan lebih gemilang, atas nama Barisan Alternatif. Tempohnya juga tidak lama, sekadar sepenggal.

Ketika negara digemparkan dengan tsunami politik, Mac 2008, Terengganu agak terlindung. Memang penambahan kerusi Dun meningkat sekali ganda berbanding 2004, tetapi ia masih jauh daripada target untuk kembali memayungi pemerintahan. Ada pihak mendakwa rekod pentadbiran PAS semasa era 1999-2004 turut menyumbang kesan negatif kepada persepsi pengundi, selain senarai daftar pemilih yang meragukan.

Meskipun kunjungan saya Sabtu lalu lebih bertujuan mendapatkan respons terhadap kandungan dan persembahan Harakah (sememangnya banyak penambahbaikan perlu segera dilakukan), dan mengutip pandangan langsung tentang situasi politik mutakhir daripada aktivis akar umbi, saya sempat menekankan kepentingan politik negeri Darul Iman itu dalam konteks PAS, terutama pada kacamata masyarakat Melayu.

Dalam suasana PAS difitnah tidak lagi mewakili aspirasi kelompok Islam di negara ini, Terengganu yang mempunyai penduduk majoriti Melayu -- hatta melebihi komposisi di Kelantan -- harus menjadi negeri yang diperintah Parti Islam. "Politik adalah bilangan", justeru, kekuatan sesebuah parti itu diukur melalui kemenangannya dalam pilihan raya, bukan setakat idealisme perjuangan dan kesetiaan ahli-ahlinya.

"Dalam PRU13 nanti, kalaupun ditakdirkan kalah di negeri lain, PAS wajib pertahan Kelantan sebagai asas kekuatannya dalam masyarakat Melayu. Tetapi, tentunya PAS juga perlu kekal terajui Kedah dan melakukan come back di Terengganu," kata seorang pemerhati politik, yang kemudiannya saya ungkapkan kembali.

Saya cukup bimbang sekiranya Terengganu sekali lagi tertinggal dalam PRU13 nanti. Rata-rata berpandangan bahawa pengundi bukan Melayu, terutama Cina, akan tetap menyokong Pakatan, malah mungkin dalam skala lebih besar. Ini memberi kelebihan kepada pembangkang di Pantai Barat, khususnya di Pulau Pinang, Perak, Selangor dan tidak mustahil di Negeri Sembilan, yang melorongkan laluan ke selatan.

("Saya yakin Pakatan boleh tebus kembali Perak, tetapi saya masih ragui sikap majoriti pengundi Melayu di negeri itu. Ya, Nizar Jamaluddin telah disepakati oleh PAS, DAP dan KeADILan sebagai MB Perak jika Pakatan mengulangi kemenangan, tetapi untuk menjadikan negeri itu stabil politiknya dan kebal daripada serangan tohmahan perkauman Umno, PAS harus memiliki jumlah kerusi yang berganda banyaknya berbanding 2008," pandangan seorang pensyarah sains politik).

Trend mengundi itu juga satu kelegaan buat PAS Kedah kerana bilangan pengundi bukan Melayunya agak signifikan, berbanding Terengganu. Sebelum ini, dengan kekuatan asas PAS-Umno yang agak seimbang dalam masyarakat Muslim, maka pengundi Cina dan India, termasuk Siam, menjadi faktor penentu. Semasa PRU13, kemenangan calon PAS lebih awal diketahui daripada kawasan di selatan Kedah, yang selama ini menjadi kawasan kelabu disebabkan kehadiran pengundi bukan Melayu.

Di atas kertas, jika pengundi Melayu tidak dapat diyakinkan oleh PAS untuk bersama-sama melakukan perubahan, tentunya Terengganu sekali lagi bernasib malang. Dan mungkin tohmahan bahawa masyarakat Islam telah meragui kewibawaan PAS sebagai komponen penting Pakatan agak sukar ditepis. Dengan itu, misi rakan-rakan di Terengganu menjadi lebih mencabar, sekali gus bertambah penting.

Seolah-olah, dari satu sisi, jatuh-bangun PAS di Terengganu bakal mempengaruhi persepsi rakyat seluruhnya terhadap kemampuan PAS. Asas sokongan masyarakat Melayu mesti dimantapkan lagi dan salah petunjuknya adalah di Terengganu. Dengan itu, saya cuba menyampaikan mesej bahawa cabaran jentera penerangan PAS Terengganu menjadi berlipat kali ganda pentingnya. Kemenangan di Terengganu mampu menjawab pelbagai keraguan dan

Selama ini Terengganu diakui berjaya membekalkan begitu ramai pemimpin PAS bertaraf nasional, untuk menduduki jawatan-jawatan strategik, termasuk Presiden, Setiausaha Agung, Ketua Dewan Ulama Pusat, dan sebelum ini Ketua Muslimat Pusat dan Ketua Pemuda Pusat. Semasa memerintah 1999-2004, anggota Exco Kerajaan Negerinya juga lebih dikenali berbanding Kelantan.

Saya ditanya soalan paling sukar, tentang ramuan kemenangan Terengganu. Ada peserta yang mengimbau senario gemilang 1999, dengan mengaitkannya dengan kemelut dalaman Umno yang cukup parah di peringkat pusat dan begitu kritikal di Terengganu: Faktor Anwar Ibrahim dan Wan Mokhtar Ahmad.

Asas kekuatan PAS memang teruji di Terengganu walaupun diakui pada beberapa kawasan Umno lebih ke hadapan. 12 tahun lalu, Wan Mokhtar dan regunya dianggap terlalu lama memerintah. Ini mencetuskan rasa tidak senang di kalangan Umno sendiri. Kini, parti itu tidak sunyi daripada masalah dalaman. Sejak hari pertama lagi, wibawa MB Ahmad Said dipersoal secara terbuka.

Soalnya, apakah krisis atau pertembungan dalaman Umno itu memberikan bonus buat PAS? Atau, mampukah PAS memanfaatkan situasi meruncing itu untuk mendekatkan rakyat dengannya? Saya perhatikan ada peserta yang menggelengkan kepala dengan pertanyaan itu.

"Umno negeri mana yang berpecah teruk seperti di Terengganu ini? Tak ada, di sini, mereka boleh berbalah di depan publik termasuk semasa sidang Dun. Yang pertikai prestasi Ahmad Said adalah Adun Umno sendiri. Tapi, apakah kita diberi laluan mudah dengan percakaran sesama sendiri itu. Saya rasa tidak," kata seorang rakan seusai majlis.

Ada juga yang membangkitkan begitu banyak projek bermasalah di Terengganu seperti stadium runtuh, lebuh raya tidak siap dan sebagainya. "Apakah rakyat terkesan dengan gejala menjolok mata itu?" seorang aktivis penerangan parti.

Saya turut menimbulkan persoalan: "Maklumat dan data lebih mudah diakses, termasuk rakyat di ceruk-ceruk kampung. Masalahnya, apakah fakta yang mereka baca itu dapat mengubah persepsi terhadap kerajaan BN? Informasi yang sama, tetapi sampai kepada khalayak yang berbeda, mungkin menghasilkan impak yang berlainan."

"Kami lebih terasa dengan bebanan kos barangan keperluan harian. Harga di sini mungkin lebih mahal daripada Kuala Lumpur," keluhan seorang rakan lama yang berhijrah ke Kuala Terengganu. "Tetapi aku tak yakin rakyat dapat mengaitkannya dengan begitu banyak pembaziran dan rasuah BN. Hasil mahsul negeri banyak tapi rakyatnya tetap miskin," sambungnya.

Tiga hari sebelum ke KT, saya menelefon beberapa rakan untuk mendapatkan pandangan terhadap politik Terengganu. "Sebelum berangan-angan menang, PAS kena banyak berubah," kata seorang tenaga akademik terkemuka.

"Maaf, rekod memerintah PAS banyak kelemahannya. Pelikkan apabila rakyat tidak merindui untuk kembali ke zaman itu, zaman yang dilihat Islam didaulatkan dan banyak perubahan dibuat. Ahmad Said tidak perlukan slogan atau projek besar seperti zaman Idris Jusoh untuk raih sokongan. Tapi terus terang saya katakan politik Ahmad Said lagi berbisa, ia lebih merakyat, beri bantuan langsung kepada sasaran," tambahnya.

"Jadi, yang penting calon. You kena tekankan hal ini. Bukan saja soal strategi penting, tapi lebih mustahak perhubungan awam pemimpin parti. Dahulu, orang selalu kata ada jurang besar di antara PAS dengan rakyat, apatah lagi penyokong Umno, saya harap sekarang tidak lagi, contohilah Kelantan," katanya menyampaikan pesanan.


Semasa sesi soal jawab, peserta pertama menimbulkan masalah dalaman parti membabitkan kepemimpinan tertinggi yang terdedah kepada media. Kebetulan isu membabitkan Dr Hasan Ali dan Ustaz Nasharudin Mat Isa tengah bergelegak. Beliau jelas bimbang hal itu boleh merencatkan komitmen petugas di peringkat bawahan.

Persepsi negatif terhadap PAS juga disentuh. "Jangan pandang mudah dakwaan bodoh seperti DAP ganti PAS atau PAS penyokong komunis. Kita harus ada jawapan atau rasional yang memuaskan untuk semua persoalan, termasuk yang nampak bodoh," kata seorang daripadanya.

Sudah tentu Harakah dituntut lebih berketrampilan terutama menyediakan penjelasan dalam bentuk yang mudah terhadap isu-isu yang dikitar semula Umno. Maklumat semata-mata tidak mencukupi jika ia tidak berupaya menyanggah tohmahan berterusan.

"Memang dalam Harakah ada banyak info termasuk pendedahan siri skandal dan penyelewengan pemimpin Umno. Tetapi kadang-kadang ia berubah terlalu pantas tanpa sempat membekas kepada pembaca. Sedangkan isu-isu asas yang menjadi serangan Umno kepada kita tidak dapat dijawab dengan baik."

Persoalan seumpama itu menyedarkan saya bahawa banyak lagi yang perlu diperbaiki. Selagi gong belum dipalu, gendang perang belum dipukul, segalanya terbuka kepada usaha penambahbaikan, termasuk Harakah, apatah lagi persiapan menghadapi PRU13 yang lain
Baca Seterusnya......

Menyanggah dakyah PAS ketepi perjuangan kerana DAP

Ahmad Lutfi Othman

Meskipun Umno menjadikan DAP sebagai sasaran utamanya dalam perhimpunan agung Umno 2011, target sebenarnya adalah untuk melemahkan PAS atau sekurang-kurangnya terus meletakkan parti Islam itu dilihat sebagai komponen terkecil dalam Pakatan Rakyat.

Ia bagi memudahkan Umno memainkan emosi dan sentimen pengundi Melayu, serta menyuntik keraguan tentang keupayaan PAS untuk "menggantikan Umno" sebagai teras dalam kerajaan baru nanti


Melalui kolum ini, agak kerap juga saya mengingatkan bahawa seteru politik Umno yang utama, daripada dahulu hingga sekarang, tetap sama, iaitu PAS. Justeru, walaupun ada suara pemimpin tertinggi Umno untuk mengajak PAS mengadakan persefahaman politik, seperti pada 1999 dan 2008 -- setiap kali sebaik saja keputusan pilihan raya yang menjejaskan Umno --  ia lebih kepada usaha terdesak parti itu bagi mengekalkan kuasa.

(Menjelang pilihan raya 1990, yang menyaksikan persefahaman politik pembangkang yang menggusarkan Dr Mahathir Mohamad, PAS juga didekati dengan motif menggagalkan barisan Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat, yang diketuai tengku Razaleigh Hamzah).

Demi survival kuasa, Umno bersedia melakukan apa jua, termasuk menyembah dan mengemis individu atau parti yang dimusuhinya sejak lama. Pada 1999, Dr Mahathir beberapa kali beria-ia memohon untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor, untuk membincangkan isu-isu "perpaduan ummah".

Ya, kita tidak boleh bayangkan bagaimana wajah Umno tanpa singgahsana kuasa. Benar, Umno tewas beberapa kali, di beberapa negeri, tetapi ia tetap dapat berpaut erat dengan kuasa kerajaan persekutuan, yang masih menjanjikan pelbagai "keasyikan". Kekayaan, prestij dan pengaruh terus terpelihara.


Apabila kedudukan Umno yang tergugat teruk dalam pilihan raya 1999, sehingga mencalarkan imejnya sebagai parti terbesar orang Melayu, telah dapat dipulihkan dalam pilihan raya 2004, maka tawaran atas nama "perpaduan ummah" itu tidak timbul lagi. PAS kembali digasak dan diasak. Pelbagai istilah dan label negatif yang dilemparkan sebelum itu timbul kembali. Aktivisnya seolah-olah menjadi warganegara kelas kedua, ditekan dan ditindas jika ada peluang berbuat demikian.

Sebaik saja kuasa Umno kembali terancam, seperti berlaku pada 2008, maka kedengaran kembali suara-suara merintih dan merayu untuk menjalin kerjasama dan muafakat, atas nama kepentingan bangsa dan memartabatkan agama. Seolah-olah selama ini Umno begitu prihatin dengan degup jantung penderitaan umat ... Didengungkan bahawa Melayu akan kehilangan kuasa politik sedangkan yang panik menanti saat-saat kejatuhan adalah Umno.

Namun, selepas ajakan atau pelawaan ditolak, secara tiba-tiba PAS akan dituduh sudah terpesong jauh, serta menyeleweng daripada prinsip dan perjuangannya yang asal, walhal selama ini Umno tidak pernah pula menghormati dasar Islam yang diasaskan sejak penubuhan PAS 60 tahun lalu itu.

Oleh kerana imej buruk DAP di kalangan masyarakat Melayu-Islam dikira masih belum dapat dibersihkan, maka wajah PAS akan dihodohkan dengan bermacam-macam dakwaan dan tohmahan seperti "PAS alat DAP", "PAS menjadi biro agama DAP", "PAS diperkudakan DAP". Segala perubahan pendekatan yang diambil oleh PAS -- sesuatu yang lazim bagi mana-mana parti politik yang dinamik -- akan dikaitkan dengan "ketamakan untuk berkuasa" dan "keghairahan untuk mendakap Putrajaya".

Kebetulan pula dalam PRU12, DAP menunjukkan prestasi paling cemerlang berbanding PAS dan KeADILan. Dalam masa sama, politik sering dikaitkan dengan bilangan atau nombor. Meskipun diakui bahawa dalam Pakatan Rakyat, tiada mana-mana parti, walaupun mempunyai kerusi lebih banyak, boleh memaksa kehendaknya kepada pihak lain, sepertimana Umno sering bertindak kepada komponen BN, namun real politik harus diambil kira.

Apa pun, tohmahan Umno tidak akan berhenti di situ. Misalnya, apabila PAS melancarkan Dokumen Negara Berkebajikan baru-baru ini, susulan daripada tema muktamar tahunan Jun lalu, strategis Umno terus menuduh bahawa DAP menjadi faktor utama PAS beralih daripada memperjuangkan Negara Islam kepada Negara Berkebajikan.

Dalam berita Bernama TV, malam Jumaat lalu, Naib Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi melemparkan tuduhan sama. Katanya, perubahan dasar dalam PAS ditentukan oleh taukeh politiknya, DAP. Sedangkan tema Negara Berkebajikan ini bukan perkara baru. Model negara yang diiktibarkan daripada al-Quran dan Sunnah ini terakam sejak penubuhan PAS lagi, dengan ungkapan "Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur", bermaksud "Negara yang sejahtera dan (mendapat keampunan) Tuhan Yang Maha Pengampun".

Malah, tema manifesto PAS dalam pilihan raya 2008, yang dilancarkan Tuan Guru Abdul Hadi Awang, di Pejabat Agung, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, pada 21 Februari 2008 adalah "Kerajaan Beramanah, Adil dan Bersih: Menuju Negara  Berkebajikan". Harus diingat bahawa ketika itu belum lagi ditubuhkan Pakatan Rakyat, dan PAS juga tidak mengadakan kerjasama politik secara langsung dengan DAP, selepas parti itu keluar daripada Barisan Alternatif sebelum pilihan raya 2004.

Dalam ucapan pelancaran manifesto itu, Ustaz Hadio berkata, tanggungjawab menunaikan Negara Berkebajikan ini adalah lebih luas daripada istilah yang difahami di politik Barat 'welfare state'. "Walaupun sebahagiannya dilaksana oleh negara-negara Barat, objektif yang dimaksudkan oleh PAS dalam negara ini adalah lebih luas. Bagi merealisasikan tema ini PAS menonjolkan tiga ciri yang penting bagi pemerintahan dan pentadbiran negara iaitu beramanah, adil dan bersih," katanya.

Ternyata Umno bertungkus-lumus berusaha menyambung talian hayatnya di atas siri pembohongan dan penipuan .... 

Baca Seterusnya......

Pindaan AUKU Dan Kebebasan Siswa Berkempen PRU13

Oleh Ahmad Lutfi Othman

APAKAH kongkongan yang membelit ketat dunia kampus sejak hampir 40 tahun lalu dapat dileraikan melalui cadhttps://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhfpLcUR40ksZSjwduvwl1Vn5hElXJ6boJe9Vp5yLv46oefKEgE5cDmde7dAk45-cLQW68AEV1mCSV4IX3ZzbwFjLoWaZENIUCtZkPFdt8yGBLZ1-ZcvgKMREaNSTADQtgprpOFmj4HPbll/s400/az3.jpgangan pindaan ke atas Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku)?

Menteri pengajian Tinggi, Khaled Nordin – yang tidak pernah menunjukkan sikap berlapang dada terhadap idea kebebasan akademik dan berpersatuan – mengumumkan draf pindaan Auku akan disiapkan sebelum akhir Januari 2012, sebelum dibentangkan di Parlimen, Mac berikutnya.

 

Secara peribadi, saya mengharapkan warga kampus segera dipulangkan hak yang sepatutnya dinikmati rakyat biasa, antaranya menjadi ahli parti politik dan bebas menyuarakan pendapat mengenai perkembangan semasa.

Za man gelap sejak 1975 itu perlu ditamatkan dan diberikan nokhtah terakhir.

Namun impian itu tidak semudah diharapkan. Melihat realiti di menara gading hari ini, se ma sa isu hak berpolitik mahasiswa di bincangkan, anak-anak muda kampus masih bergelut hal remeh-temeh, terutama apabila berdepan karenah birokrasi Hal Ehwal Pelajar dan sikap pegawai kanan universiti.

Dilaporkan bahawa beberapa program, seperti debat Auku di Universiti Malaya, minggu lalu, disekat dan diganggu pihak keselamatan.

Lampu dewan ditutup beberapa kali semasa perdebatan berjalan. Bayangkan, sikap “keanak-anakan” ini. Sepatutnya program mahasiswa terutama untuk membincangkan isu-isu serius seperti pindaan Auku dipermudahkan, bukannya dipersulitkan.

Ini mengingatkan saya tentang gambar ‘bersejarah’ seorang aktivis pelajar daripada kumpulan Pro-M, yang ditekap mulutnya oleh seorang pengawal keselamatan UM apabila beliau berkeras mengadakan sidang media mengenai pilihan raya kampus (PRK), Februari lalu. (PRK menyimpan pelbagai cerita “lucu dan hodoh” tentang keghairahan Umno mengeksploitasi HEP, termasuk peraturan pilihan raya, demi memenangkan kumpulan Aspirasi).

Baru-baru ini, Timbalan Menteri, Saifuddin Abdullah dihalang menyertai program e-buku beliau sendiri, Kalau Saya Mahasiswa, di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM). Nah, kebebasan intelektual langsung tidak dihargai, apatah lagi untuk memberikan pelajar hak berpolitik.

Bagi saya, ia hanya menunjukkan kecelaruan (juga kebebalan) sikap dan minda pegawai kanan universiti, khususnya Naib Canselor (atau Rektor), untuk memahami apa sebenarnya kehendak ketua-ketua mereka, sama ada di Kementerian Pengajian Tinggi atau Jabatan Perdana Menteri.

Pemegang jawatan kanan kampus – khususnya Timbalan Naib Canselor HEP – sentiasa berusaha memastikan tiada tindakan mere ka yang bakal menyebabkan pihak atasan “berkecil hati”. Lebih baik mereka bertindak “bodoh som bong”, yang ternyata memperlekehkan daya intelektual dan keilmuan mereka sendiri, daripada disergah menteri atau bos politik.

Situasi ini tidak payah difahami jika kita meneliti proses pelantikan naib-naib canselor, yang sarat dengan agenda politik itu.

Tentulah tidak mudah mencari seorang naib canselor yang terpaksa menguruskan kelompok pa ling sukar dikendalikan, tenaga akademik dan para mahasiswa, yang cenderung untuk berhujah dan berbahas. Autonomi universiti dan integriti akademik adalah cabaran besar tetapi seperti tidak pernah dipedulikan.

Bagaimanapun, Menteri Penga jian Tinggi dan Perdana Menteri (kini ditambah perkenan se orang lagi, isteri PM) hanya begitu cerewet me milih seorang pengurus universiti yang diharap dapat menjayakan misi mereka di kampus, yang memiliki pemikiran dan gerak hati dalam jalur yang sama, serta berupaya “menjinakkan” war ga kampus yang “nakal”.

Saya tidak pasti sejauh mana peranan dan pengaruh ja watankuasa yang dibentuk untuk me nasihati menteri dalam pemilihan naib canselor ataupun ia sememangnya kekal sebagai kuasa mutlak PM dan kroninya.

Sebelum itu, kita dapat menyaksikan dengan jelas, ekoran ke putusan Hakim Hishamuddin Yunus mengenai rayuan UKM4, yang menyifatkan Seksyen 15 Auku bercanggah dengan Perlem bagaan Persekutuan, majoriti pe mimpin BN memberi reaksi ne gatif, kecuali Saifuddin dan be berapa kerat rakannya. Hanya selepas Najib Razak memberi jaminan seksyen itu akan dipinda barulah pemimpin kerajaan yang lain menunjukkan riak positif tetapi tetap dengan nada penuh hati-hati.

Apa pun jangkaannya, diharapkan Auku yang mengongkong itu segera dihapuskan sebelum PRU13 nanti. Kebimbangan kampus akan bertukar menjadi gelanggang siasah kepartaian sekiranya dibenarkan mahasiswa aktif berpolitik adalah ketakutan tidak berasas elit penguasa dan suku-sakat mereka.

Mahasiswa yang independen selalunya berpijak di atas kebenar an dan sentiasa berazam untuk mengungguli idealisme luhur itu. Mungkin ketika itu parti politik ti dak lagi penting buat mereka ber banding suara kebenaran yang ma hu diluahkan. Ya, sediakan ruan g kebebasan itu, dan percayalah kepada kebijaksanaan anak bangsa sendiri.

Baca Seterusnya......

Bila Najib menyambung lidah perkauman Muhyiddin...

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Di hari-hari awal perhimpunan Umno 2011, Timbalan Presidennya, Muhyiddin Yassin cuba mempamerkan "watak wira http://cdn.radionetherlands.nl/data/files/imagecache/must_carry/images/lead/PM%20Malaysia,%20Moh.%20Najib%20bin%20Abdul%20Razak%20-%20Wikipedia%20INA.jpgMelayu" dan "juara Islam". Diserangnya DAP dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan. Komponen Pakatan Rakyat itu didakwa mahu menubuhkan sebuah republik, yang "mengetepikan jati diri Malaysia berpaksikan kedaulatan Raja-Raja Melayu dan Islam sebagai Agama Persekutuan".

(Di hari akhir persidangan, Muhyiddin dalam ucapan penggulungan -- selepas mengetuai lafaz ikrar taat setia 'Kami Orang Umno' --  menutupnya dengan doa Rabitah al-Ma'thurat, iaitu doa yang selalu diamalkan aktivis gerakan Islam, sambil membaca terjemahannya. Mukadimah doa itu berbunyi:

"Ya Allah, sesungguhnya Engkau Mengetahui bahawa hati-hati ini telah berhimpun kerana mengasihani-Mu, bertemu untuk mematuhi (perintah) Mu, bersatu memikul beban dakwah-Mu, hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariat-Mu.")


Masa sama, seteru tradisi Umno,  iaitu PAS, tidak pula dibelasah seperti lazimnya. Malah ada pemerhati, termasuk penalis program TV semasa siaran langsung hari terakhir persidangan,  melihat pendekatan Umno agak lunak terhadap parti Islam itu. Pelik juga ya, saingan Umno dalam PRU13 bukannya DAP tetapi parti itu pula yang diserangnya kiri-kanan.


Namun, muslihat ini tidaklah sukar untuk dibaca. Motif memburuk-burukkan DAP adalah bertujuan menghasut pengundi Melayu agar tidak mengundi PAS dalam PRU13. Ia selari dengan kempen intensif Umno sejak Mac 2008, yang memalitkan PAS sebagai kuda tunggangan atau alat perkakas DAP dan pelbagai label jahat lain. PAS juga digambarkan sebagai parti yang sanggup menjual prinsip perjuangan Islam, sekali gus mengetepikan kepentingan Melayu, dek keghairahan untuk "memeluk kuasa".

Dalam ucapan penangguhan, pada 3 Dis, Najib Razak, menuruti jejak Muhyiddin, dengan turut menimbulkan isu sama, sambil cuba menampilkan imej Umno sebagai pelindung bangsa. Melayu digambarkan berada di tepi jurang dalam, yang akan terjunam jatuh jika mereka memilih Pakatan sebagai kerajaan persekutuan.


Nada amaran dipertegaskan Najib: "Tunggulah kehancuran, akan terbangsatlah Melayu, merempat di tanah sendiri." Segera saya teringat lirik lagu yang sering didendangkan dalam program Biro Tata Negara (BTN), Anak Kecil Main Api: "... bumi dipijak milik orang ... hasil mengalir ke tangan yang lain, pribumi merintih sendiri ..." Ya, masih tidak berubah Umno, selain terus memainkan lagu lama, bagi meruntun emosi dan perasaan orang Melayu, sedangkan parti itulah  yang menerajui kuasa sejak merdeka!

Untuk melengkapkan lagi "ancaman terhadap orang Melayu", Najib turut menyimpulkan: "... Andainya Umno sudah tersungkur rebah dan andainya Umno lenyap, apakah masih terjunjung Islam yang suci? Apakah masih terpandang mulia orang Melayu? Apakah masih disanjung raja-raja kita?" Wah, sadis sekali!

DAP telah dilabel sebagai parti rasis dan orang Melayu di dalam Pakatan Rakyat disifatkan sebagai pak turut golongan Cina. Seolah-olah apabila Pakatan menguasai Putrajaya, maka yang menerajui kerajaan adalah pemimpin DAP.

Ini memaksa Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyanggahnya: "Dalam Pilihan Raya Umum 2008, DAP bertanding 47 kerusi Parlimen, PAS 66 dan KeADILan 97. Macam mana sebuah parti yang hanya bertanding 47 kerusi boleh memimpin Pakatan? Jelas ini adalah permainan perkauman bahaya untuk menimbulkan kebencian dan ketakutan ke atas DAP dan bukan Melayu."

Dua hari selepas berakhirnya persidangan Umno, di Shah Alam, berdepan ribuan anggota Persatuan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida), Najib melanjutkan misinya. Katanya, jalan tunggal menjamin depan bangsa Melayu dan melindungi maruah agama Islam, adalah dengan mengekalkan kerajaan Umno-BN.

Selain mendakwa pakatan pembangkang akan menghakis hak istimewa Melayu, dan menggadai maruah  Islam, Najib melempar fitnah yang diulanginya semasa perhimpunan Umno: "Belum lagi  berkuasa, mereka telah berhasrat untuk mengurangkan separuh daripada kakitangan awam, termasuk para guru, anggota polis dan tentera. Siapa yang jadi mangsa kalau ratusan ribuan penjawat awam dibuang kerja mengikut perancangan mereka itu? Mereka juga ingin mengubah bendera Malaysia, mencemar kemuliaan Raja-Raja Melayu dan mempersoalkan dasar-dasar untuk membantu orang-orang  Melayu dan Bumiputera."

Najib menegaskan beliau tidak akan bertolak ansur berhubung hak-hak istimewa orang Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan. "Jangan sekali-kali mereka (orang bukan Melayu) mencuit perasaan orang-orang Melayu dengan hendak ubah apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan dan apa yang sudah pun kita rundingkan waktu merdeka dahulu," ujarnya.

(Setiausaha Agung DAP, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mencabar Perdana Menteri membuktikan segala tuduhannya itu. Jika tidak, menurut beliau adalah lebih baik bagi Najib mengeluarkan “sijil kematian" untuk 1Malaysia yang diciptanya itu. "Adakah dengan memainkan sentimen perkauman terhadap orang Melayu dan melaungkan diri sebagai pembela bangsa itu memberi hak kepada Umno untuk melibatkan diri dalam skandal RM250 juta “lembu dan kondo” melalui syarikat keluarga seorang menteri persekutuan Umno?" tegas Guan Eng).

Meskipun perbahasan perhimpunan Umno tidak disiarkan secara langsung sepertimana pernah diusahakan Astro di zaman Abdullah Ahmad Badawi -- yang kemudiannya menyebabkan masyarakat Cina bertindak nekad dalam PRU12 -- maka apa yang dilafazkan Najib dan Muhyiddin (yang disiarkan TV), termasuk di hadapan Pekida, umpama telah menamatkan peluang BN untuk mendekati pengundi Tionghua.

 

Sebelum ini mungkin yang tercedera hanyalah wajah Muhyiddin, tetapi kini palitan hodoh perkauman itu terpercik ke muka Najib. Saya tidak pasti mengapa Najib seperti sudah putus harap untuk meraih sokongan pengundi Cina. Sedangkan masa sama, sikap politik masyarakat Melayu yang terdedah dengan pelbagai medium informasi, semakin terbuka. Ataupun Umno tetap yakin kecenderungan mengundi majoriti orang Melayu tetap bersama mereka dan jalan mengekalkan sokongan itu adalah dengan terus menimbulkan sentimen perkauman?

 

Atau mungkin ini penyakit tradisi yang menimpa mana-mana pemimpin atau parti yang berada di ambang kejatuhan? Mereka gagal membaca maksud isyarat atau mesej yang jelas terpampang di hadapan mata?

Justeru, saya bersetuju dengan pandangan beberapa tokoh, termasuk Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Annuar Musa bahawa masalah besar parti itu bukannya isu "winnable candidate" tetapi mampukah Umno meletakkan dirinya sebagai "winnable party"?

Dalam siaran berita Awani, Annuar  berkata, makin diperkatakan soal "calon boleh menang", maka tergambar seolah-olah isu calon ini merupakan krisis besar kepada Umno sedangkan persoalan lebih penting apakah Umno itu sebuah "parti boleh menang"?


Dalam pada itu, kesimpulan yang dibuat Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS, dalam surat terbukanya kepada orang Melayu, menarik perhatian: "Ucapan berapi dalam perhimpunan agung Umno baru-baru ini lebih banyak membedil diri sendiri, bukan sahaja ada yang menikam dari belakang bahkan ada yang berani menikam secara berhadapan. Walaupun pada zahirnya menyerang lawan dan kawan. Yang tidak faham bertepuk tangan syok sendiri sehingga membengkak tangan. Adapun yang  faham pula berubah wajah kerana kebimbangan bahteranya menunggu karam ditebuk kelasi sendiri."

Dan tepat sekali rumusan Ustaz Hadi: "Sudah tiba masanya orang Melayu memberi peluang kepada Umno berehat atau bersara atau berhenti terus."

Baca Seterusnya......

PAS Terengganu dan iltizam Wahid

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Kekuatan PAS di Terengganu memang sudah teruji. Dalam pilihan raya pehttps://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEibU8EW6CJf-rQmvOb2RW0hZZydGNwqW2iN2HeS0yW9eNel5Ss6yURHyhaM16u0yoeQrcLKntHQXTZywKSdEwtkfgEPOwIzrm7HJxVJ94MDUITg3HqLHjPoUBpgzrXX5exSCx_nCrViXAKX/s1600/WEWE.pngrtama selepas merdeka, pada 1959, PAS dapat menguasai negeri itu, bersama Kelantan. Selepas 1969, Kedah turut dirangkaikan sebagai wilayah tradisi atau kubu kuat PAS.

Ketiga-tiga negeri majoriti Melayu ini sering dirujuk sebagai penanda aras kekuatan PAS. Sebelum pengaruh PAS melewati kawasan Malay belt itu -- dan timbulnya nama Tengku Razaleigh Hamzah dan Anwar Ibrahim sebagai seteru ketat -- perhimpunan agung Umno sentiasa panas dengan serangan terhadap PAS di negeri-negeri berkenaan, khususnya Terengganu.

Ketika pengundi Melayu bangun lantang menzahirkan protes terbuka kepada Umno dan Dr Mahathir Mohamad pada 1999, Terengganu mencatat sejarah gemilang. Semua lapan kerusi Parlimennya dimenangi Barisan Alternatif, manakala Umno hanya bertahan empat daripada 32 kerusi Dun.

Selepas 40 tahun, PAS kembali menerajui kerajaan negeri. Pelbagai perubahan bagi membela kebajikan dan kepentingan rakyat segera dilaksanakan. Suara mereka juga dirujuk sebelum polisi penting negeri digubal. Namun, tiada siapa dapat menghidu perancangan jahat Umno, yang dibantu rapat agensi kerajaan pusat, untuk merampas negeri yang kaya dengan hasil petroleum itu.

Usia kemenangan pada 1959 tidak sampai dua setengah tahun, apabila pelbagai taktik jelik-kotor digunakan Perikatan untuk menggulingkan kerajaan pimpinan Allahyarham Daud Samad, dengan membeli wakil rakyat. Rupanya, menjelang pilihan raya 2004, rakyat Terengganu pula yang "dibeli" Umno, melalui taburan wang ehsan, selain manipulasi senarai daftar pemilih yang menjolok mata.

Maknanya, rampasan kuasa di Perak pada 2009, yang menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan Nizar Jamaluddin, bukanlah perkara baru. Begitu juga dengan strategi Umno memperalatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), khususnya untuk menawan kembali Selangor dalam PRU13 nanti, juga telah didahului di Terengganu.

Difahamkan bekas Menteri Besar, Idris Jusoh diberi peranan penting menterjemahkan pengalaman merampas Terengganu untuk aplikasi Umno di negeri-negeri Pakatan Rakyat sekarang.

PAS Terengganu dilihat tercicir daripada bersama-sama membentuk tsunami politik, Mac 2008. Memang ia dilihat berupaya bangkit daripada kekalahan teruk 2004, namun penguasaan lapan kerusi Dun dan satu Parlimen (ditambah satu lagi di Kuala Terengganu dalam pilihan kecil), ternyata belum memadai di kala PAS menerajui kerajaan campuran di Kedah (juga Perak selama setahun), selain mengekalkan kemenangan sejak 1990 di Kelantan dan menjadi sekutu penting dalam kerajaan negeri Selangor.

"PAS perlu kembali berkuasa di Terengganu, sekurang-kurangnya dengan itu, dapat menyanggah dakwaan yang timbul selepas tahun 2008 bahawa PAS telah kehilangan sokongan pengundi Melayu. Dengan menerajui ketiga-tiga negeri Melayu, termasuk Kelantan dan Kedah, maka secara automatik PAS merupakan parti yang mewakili aspirasi majoriti orang Melayu," kata seorang pemerhati politik.

Jika dihitung isu semasa, pelbagai masalah besar melanda Terengganu. Daripada kos sara hidup meningkat, terutama dengan kenaikan harga barangan asas, juga rekod buruk pengurusan kerajaan negeri membelanjakan dana awam (cerita runtuhnya bangunan-bangunan baru yang dibina sudah dianggap perkembangan biasa), sehingga konflik dalaman Umno negeri yang parah dan tidak dapat disembunyikan.

Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad banyak menulis mengenai kepincangan pentadbiran Ahmad Said, terutama keghairahannya untuk "terus berbelanja besar di tengah-tengah kesempitan dan keperitan hidup golongan marhaen di Terengganu, yang hanya mengharapkan sesuap nasi bagi menampung keperluan keluarga yang miskin".

Beliau kerap membangkitkan perbelanjaan mengurus Kerajaaan Terengganu yang cukup tinggi, malah "jauh lebih tinggi berbanding dengan negeri-negeri maju seperti Selangor, Johor dan Pulau Pinang". Bagaimanapun rakyat negeri yang kaya dengan hasil buminya ini masih terperangkap dengan putaran kemiskinan.

Dalam pertemuan sidang editorial Harakah dengan Abdul Wahid Endut pada 1 Disember lalu, ternyata beliau yang berpengalaman luas sebagai Adun selama lima penggal, berhati-hati apabila membicarakan peluang PAS Terengganu yang baru diterajuinya.

Beliau tidak mahu menyandarkan perpecahan dalaman Umno sebagai faktor utama kemenangan, sebaliknya mahu membina kekuatan tersendiri, sambil menyedari misinya dipagari pelbagai halangan sukar. Segala sekatan psikologi yang terbina di antara PAS dengan rakyat selama ini mesti diruntuhkan.

Lagi pun, bukan mudah mengepalai badan perhubungan di negeri-negeri tradisi PAS seperti Kelantan, Kedah dan juga Terengganu. Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat masih diperlukan mengemudi PAS Kelantan, begitu juga Ustaz Azizan Abd Razak di Kedah. Malah di Terengganu, ramai pemimpinnya bertaraf nasional, misalnya Presiden sendiri, Tuan Guru Abd Hadi Awang; Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Harun Taib; dan Setiausaha Agung, Mustafa Ali.

Rakan saya, Sayuti Omar dalam blognya, mempersoalkan keberkesanan pimpinan Wahid untuk mencetuskan perubahan di Terengganu ketika masih ramai pemimpin veteran dilihat menaungi PAS Terengganu. "Wahid yang kini menjadi pesuruhjaya menggantikan Harun Taib tidak berjaya membawa perubahan atau melakukan proses penyalinan kepimpinan seperti diharapkan. PAS Terengganu memerlukan pendekatan baru yang kontemporari dan memenuhi selera semasa," tulis Sayuti.

Apa pun saya yakin, Wahid mempunyai perkiraan tersendiri dalam mengatur rentak dan strategi, termasuk mengambil kira semua sumber kekuatan yang ada. Sekurang-kurangnya pendekatannya lebih membumi dan mesra rakyat, serta berupaya memecahkan tembok psikologi yang mungkin terbina sejak sekian lama.

Semasa melayari enjin pencari Google tentang Wahid, saya terjumpa tajuk berita yang menarik dalam Harakahdaily, "Wahid sedang 'lembutkan' imej PAS Terengganu". Berita bertarikh 2 Sept, yang memetik kenyataannya semasa meraikan perantau Terengganu yang beraya di kampung itu merumuskan: "Masalah besar yang dihadapi Wahid adalah persepsi yang diletakkan kepada PAS Terengganu yang dilihat keras dan kasar dengan lawan masing-masing."

Saya sendiri agak keliru dengan ungkapan "PAS Terengganu yang dilihat keras dan kasar ..." Mengapa boleh terjadi sedemikian rupa, namun lebih penting apakah persepsi itu dapat diperbetulkan sekarang? Saya sendiri menekankan kepada Wahid, kes Terengganu mungkin berbeza daripada negeri lain disebabkan negeri itu pernah menang sepenggal (1999-2004) dan kemudiannya kalah, lalu apakah kemungkinan kekalahan itu boleh diertikan dengan penolakan rakyat terhadap kepemimpinan kerajaan negeri? Justeru, ia boleh memberi implikasi terhadap pemilihan calon PRU13.


Berbicara hampir sejam dengannya, saya kira Wahid mempunyai iltizam tinggi untuk mendampingi rakyat, dengan memenangi hearts and minds pengundi. Beliau tentu tidak mahu Terengganu terpisah dengan arus perubahan, malah menjadi penyumbang utama menghadiahkan lagi enam kerusi Parlimen buat memudahkan laluan Pakatan Rakyat ke Putrajaya.
Baca Seterusnya......