Friday, January 27, 2012

Salahkah bayangkan situasi terburuk Pakatan dalam PRU13?

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Agak ramhttp://media1.malaysiakini.com/29/f847ec23e41b5f6f20bba87fc9ab222b.jpgai rakan-rakan yang gusar dan tidak senang dengan "keraguan dan kemusykilan" yang sering saya timbulkan apabila membicarakan potensi serta peluang Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-13. Ada juga yang menyifatkan persoalan yang saya bangkitkan itu hanya akan mengurangkan keyakinan rakyat terhadap keupayaan Pakatan menerajui Putrajaya.

Saya akui, saya lebih cenderung untuk menanggapi situasi politik semasa daripada sudut pandang yang lebih berwaspada.

Saya cuba membayangkan apakah keadaan terburuk yang bakal PAS atau Pakatan hadapi, dengan harapan bahawa baki masa yang ada dapat dimanfaatkan bagi melakukan pelbagai usaha penambahbaikan, memperkemas persiapan, dan memperbaiki kelemahan.

Misalnya, jika ditanya pendapat saya tentang kemungkinan BN merebut semula Selangor, tanpa ragu saya membalas, "tidak mustahil". Bukan pula bermakna saya meremehkan usaha berterusan kerajaan negeri pimpinan Khalid Ibrahim menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat, malah perubahan yang dicetuskannya, terutama dari segi ketelusan, anti-rasuah dan akauntabiliti, cukup memberangsangkan. Begitu juga gaya hidup sederhana wakil-wakil rakyatnya.

Saya lebih risau dengan peluang dan potensi Umno-BN, yang masih menguasai pelbagai sumber -- kewangan dan kemudahan strategik -- khususnya melalui penguasaan di peringkat kerajaan persekutuan terhadap agensi penting, untuk melakukan bermacam-macam manipulasi, sabotaj, konspirasi dan pakatan jahat.

Semasa berdepan PRU12, Mac 2008, Umno-BN pastinya tidak dapat membaca mesej awal rakyat yang berazam untuk menampilkan aksi protes besar-besaran melalui peti undi, menyebabkan mereka lalai dan alpa. Kali ini segalanya tentu berbeda ... Bukankah pemimpin Umno sendiri sering mengingatkan: "Zaman BN menang mudah walaupun hanya dengan meletakkan songkok sudahpun berlalu; tiada lagi kawasan yakin selamat termasuk di kubu kuat seperti di Johor, yang dahulunya saingan Umno sering hilang deposit".

Mungkin pengalaman buruk PRU11 pada 2004 -- apabila PAS kalah mengejut dan tumbangnya kerajaan Islam di Terengganu, serta hampir berputih mata di Kelantan -- dan juga kegagalan mencipta kejutan pada 1990 meskipun mood pada awalnya dilihat menyebelahi Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat -- kecuali 'sapu bersih' semua kerusi Parlimen dan Dun di Kelantan -- menjadikan saya terlalu berhati-hati untuk memberi ramalan positif bertaraf lima bintang!

Selagi Parlimen atau Dun belum dibubarkan, malah sehingga detik-detik akhir hari pengundian, proses untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya masih terbuka luas, sama ada bagi Pakatan mahupun Barisan. Biar dalam keadaan sedaif mana sekalipun, termasuk diasak siri penipuan melibatkan persoalan paling asas, iaitu senarai daftar pemilih, kita tetap berpeluang untuk mengatasi perangkap itu.

Ya, siapa sangka, persempadanan semula kawasan pilihan raya (gerrymandering) yang dibentuk pada 2002 atas kepercayaan tinggi BN kepada pengundi Cina (faktor penyelamatnya pada 1999), juga sikap prejudis kepada pengundi Melayu, memang membawa kemenangan luar biasa pada 2004, tetapi mengundang bahana terburuk empat tahun kemudian, iaitu tsunami politik 2008. Namun, menyerah atau sekadar mengharapkan nasib merupakan tindakan paling bebal.


Penggunaan dakwat kekal bagi mengelak pengundian berganda dalam PRU13hanya satu daripada lapan tuntutan asasi reformasi pilihan raya. Masih banyak yang belum disentuh, misalnya membersihkan senarai daftar pemilih, termasuk juga akses yang saksama kepada media. Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menyifatkan tuntutan Bersih 2.0 bagi membebaskan media adalah yang paling sukar dilaksanakan kerajaan.

Dalam pada itu, keyakinan awam bahawa Pakatan mampu membawa perubahan, sekali gus membebaskan negara daripada belenggu dan menyelamatkan Malaysia daripada cengkaman Umno-BN, harus dipupuk dan dibajai. Barisan kepemimpinan Pakatan harus membuktikan mereka layak diamanahkan kepercayaan buat menerajui kerajaan baru nanti.

"Sebarang persoalan titik-bengik dan masalah remeh-temeh di antara parti dalam Pakatan wajar diketepikan," kata seorang wartawan portal berita, yang sentiasa membuat liputan kegiatan Pakatan.

"Tonjolkan perpaduan dan imej sebuah kerajaan menanti yang hebat. Kepincangan Umno-BN selama memerintah cukup luar biasa. BN mesti diganti! Terbaru, kakitangan awam marah dengan SBPA yang hanya menguntungkan segelintir kecil pegawai Jusa," tambahnya.

Rakyat kini menyedari, jika dibiarkan Umno-BN terus berkuasa, negara bukan saja akan bankrap disebabkan kepincangan pengurusan ekonomi dan keghairahan melampau untuk membeli undi, malah terjebak dalam krisis yang sukar dipulihkan dalam masa singkat. Justeru, jangan sama sekali merosakkan keyakinan mereka itu.

Meskipun sentiasa mengingatkan pembaca Harakah (khususnya aktivis dan penggerak parti) agar jangan memandang mudah perancangan, taktik dan strategi BN, saya agak terkesan dengan kritikan seorang pengamat politik terhadap prestasi wakil-wakil rakyat Pakatan.

"Maksud saya, di negeri-negeri yang Pakatan menang, rakyat lebih cermat menilai sikap proaktif YB untuk menyelesaikan masalah masyarakat," katanya. "Jangan pandang ringan isu-isu longkang tersumbat, lampu malap, atau jalan yang tidak berturap. Memang penting hal-hal besar seperti isu penyelewengan, rasuah, pentadbiran yang baik, hak asasi, tetapi usah perkecil problem harian mereka."

"Mungkin ada wakil rakyat yang hebat mengungkapkan isu-isu nasional, hatta perkembangan luar negara, tetapi penduduk di kawasan pilihan raya jarang dijenguk. Ada juga berlaku di sebaliknya. Kita harapkan ada keseimbangan dan pemimpin Pakatan dapat menunjukkan teladan unggul. Rakyat mahu wakil mereka yang prihatin, turun padang, pintar berbahas dan cekap menyelesaikan masalah," ujarnya.

Sarjana politik ini seterusnya mengingatkan: "Harapan rakyat untuk melihat perubahan terlalu tinggi. Ya... cukup tinggi. Buktinya dalam konvensyen Pakatan Rakyat di Alor Setar baru-baru ini. Mereka sudah bosan dengan regim lama. Bagi yang tinggal di negeri-negeri Pakatan, mereka tidak sabar lagi untuk melihat kerajaan persekutuan ditukar."

Kehadiran konvensyen, walaupun cuba diperlekeh media milik Umno, ternyata menyuntik keazaman dan keyakinan baru rakyat. Wartawan Malaysiakini, Susan Loone melaporkan suasana Rapat Rakyat Perdana pada malam 14 Januari itu: "Kereta hadirin berbaris sepanjang dua kilometer akibat kesesakan dan orang ramai terpaksa berjalan kaki ke tapak ceramah yang penuh sesak sehingga ada yang terpaksa duduk di luar stadium. Ketayap putih yang dipakai sebahagian besar hadirin mejadikan suasana di padang stadium itu dipenuhi pandangan putih yang cukup memukau jika dilihat dari atas tempat duduk di stadium itu."

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, ketika hendak memulakan ucapannya malam itu, berhubung jumlah hadirin, dilaporkan Malaysiakini, sebagai berkata: "Macam duduk di Padang Arafah."


Sementara itu, Naib Presiden PAS, Husam Musa dalam ucapannya di konvensyen merumuskan: "Lebih 50 peratus kakitangan awam memihak Pakatan kerana mereka merasakan Pakatan lebih "fatherly and motherly". Simbol "fatherly" ada pada Tuan Guru Nik Aziz dan tokoh "motherly" pada Dr Wan Azizah, sementara dinamisma ada pada Lim Guan Eng."

Apa pun, segala kisah menarik dan ungkapan istimewa itu belum tentu menjamin laluan ke Putrajaya menjadi lebih mudah. Saya mahu menutup rencana ini dengan petikan ucapan Tuan Guru Presiden PAS di majlis sama: "Jalan untuk ke sana (Putrajaya) sangat berliku dan penuh cabaran."

No comments: