Tuesday, February 21, 2012

Nilai tulus persahabatan ...

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Tarikh pilihan raya umum sudah hampir boleh diteka dengan tepat. Ia tidak mungkin melewati bulan Ramadan; mungkin Parlimen dibubarkan, paling lewat, sehttps://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhF9fpXGLepAM8gPI8AXbCUKOsbQh99nXwUfMlE7NSmL7RiGKR5_KO985wsmKz4NFxmuuP9_kx2pi-tjFTHgXlAznmBk_YLD_XAnehV5X6r8GhfCd1YOLMRgJLoM96VM8x18mjdMLUk40I/s1600/jpg.jpgkitar awal Jun. Aroma pelbagai insentif one-off yang riuh diagihkan sekarang akan hilang jika PRU13 ditunda lagi.

Najib Razak hanya menunggu isu-isu sensitif seperti lembu fidlot dan skim baru perkhidmatan awam dapat diredakan, kalaupun tidak dilangsaikan. Saya kira, buat Pakatan Rakyat jangka masa sehingga pertengahan tahun ini memadai untuk memperkukuh persiapan. 

"Yang pasti, satu isu  besar, dan nampaknya mustahil dapat diselesaikan Najib ialah karenah isterinya, Rosmah Mansor," kata seorang veteran Umno. "Ramai kenalan rapatnya sendiri turut bangkitkan hal 'wanita pertama' itu tetapi mereka sendiri tahu, Najib tidak boleh buat apa-apa," tambahnya.

Dalam nota pendek ini saya tidak berhasrat mengulas isu-isu semasa yang panas membahang. Biarlah cuti sekejap bercakap hal-hal politik, 'kan?

Bagaimanapun, reaksi A Kadir Jasin tentang potensi PAS di Johor, khususnya selepas Naib Presiden, Salahuddin Ayub dikatakan bakal bertanding di kampung halamannya, agak menarik.

"Kalau PAS benar-benar mahu menjadi parti Melayu/Islam kebangsaan dan alternatif kepada Umno, haruslah mengembangkan sayapnya ke semua negeri, apatah lagi Johor yang berupa negeri Melayu dan kubu Umno. Sekiranya PAS berjaya menembusi hatta sedikit sahaja kubu terakhir Umno itu, ia sudah boleh dianggap sebagai kemenangan moral yang besar," tulisannya dipetik.

Oops... politik juga jadinya!

Saya cuma teringatkan seorang rakan baik, pernah tinggal serumah di Keramat Wangsa, selepas kami belajar di UTM, Jalan Semarak, pertengahan tahun 80-an.

Jika saya pelajar kejuruteraan awam, beliau lepasan kejuruteraan elektrik. Namun, dia memilih untuk membantu saya mengusahakan penerbitan politik secara kecil-kecilan, dengan mengedarkan makalah tidak berkala itu di sekitar Kuala Lumpur, berbekalkan sebuah motosikal buruk.

Risiko agak tinggi terutama terdedah kepada rampasan polis disebabkan tidak mendapat keizinan penguasa. Permohonan permit majalah ditolak mentah-mentah KDN. Kebetulan sejurus saya menyerahkan borang majalah Kini, saya dikurung ISA, ekoran demonstrasi mahasiswa Universiti Malaya.

Apa pun, menulis tetap menulis, berkarya tetap berkarya. Bahan yang kami terbitkan, di antaranya tentang Operasi Lalang 1987, Peristiwa Memali dan pemecatan Tun Salleh Abas; tajuk-tajuk yang dikira cukup sensitif dan membakar amarah elit pemerintah.

Ia sekadar dapat membayar sewa apartmen dan mengalas perut. Perit tetapi seronok. Pedih namun puas. Rupanya bukan saja halangan KDN yang terpaksa dilalui, tetapi juga sikap pekedai buku dan para pengedar di seluruh negara yang cukup liat membayar.

Terlintas dalam fikiran, bisnes bukan dunia kami. Tapi tiada penerbit mahu menyanggupi usaha penuh bahaya itu. Asalkan mesej dapat disalurkan biarpun terpaksa berhutang dengan rakan-rakan yang memahami. Keperluan seharian tidaklah banyak. Ya... kami masih bujang.


Sahabat saya itu kemudiannya memilih kerjaya perguruan. Saya tetap degil dengan alam penerbitan. Jatuh dan bangun. Sihat dan uzur.

Masa berlalu pantas. Pertengahan 2010, sebaik mengetahui saya menjalani pembedahan pintasan jantung, dari Lumut, dia dan isteri segera berkunjung ke rumah. Saya masih sukar berbicara, lemah pergerakan, namun cukup menghargai ziarahnya.

Matanya tetap memancarkan keprihatinan  dan  ketulusan. Lebih penting, saya dapat menikmati erti persahabatan yang tidak pernah surut. Agak gelisah dia melihat situasi saya yang uzur. Sebelum pulang, ada titipan ditinggalkan. Dia amat memahami.

Selepas dua minggu, dia datang semula dengan seorang yang diperkenalkan sebagai pengamal perubatan. Dia mahu membantu saya pulih segera. Banyak juga ubatan dibawa bersama, berkotak-kotak. Saya cuba menjelaskan, pemulihan saya akan memakan sedikit masa dan tak memerlukan rawatan alternatif.

"Jangan risau soal bayarannya, anta dah banyak bantu ana," katanya, ketawa, mungkin dapat menyelami kebimbangan saya. Kemudiannya saya mendapat tahu kos mencecah RM10,000. Beliau hanya seorang guru dan nilai sebanyak itu tentulah besar maknanya. Difahamkan dia terpaksa meminjam demi saya. Saya terkedu dan terharu...

Seingat saya, semasa kami sama-sama mengusahakan penerbitan, dia tidak pernah mendapat gaji yang sepatutnya. Maknanya, bukan saya membantunya, tapi dia yang meringankan bebanan saya. Motor buruknya berjasa besar memasarkan buku di sekitar Lembah Kelang. Banyak juga buku-buku yang dihantar melalui pos tidak mendapat pulangan bayaran.


Ketika saya bertemunya di Setiawan baru-baru ini, dan kami bercerita panjang kisah lampau, dia minta disampaikan tiga sampul surat kepada dua rakan, selain saya sendiri.

Dalam kereta, ternyata surat tadi terselit beberapa keping not RM50. Dia mahu dihalalkan apa yang telah saya sumbangkan 25 tahun lalu. Dua rakan lain itu juga mendapat surat sama, dan wang tunai. Mereka sendiri sudah lupa tentang urusan membabitkan duit dengan sahabat baik saya itu.

"Rasanya dia tak berhutang apa-apa, mungkin ada majalah yang saya terbitkan, yang diedarkannya. Teliti dan cermat sungguh kawan kita itu," kata rakan saya, kini wartawan kanan sebuah akhbar harian, dahulunya sama-sama meneroka dunia kewartawanan baru di Harakah.

Saya turut terlintas, bakti dan tulus seorang pimpinan kanan PAS yang membiayai tiga operasi angioplasti, bernilai hampir RM55,000, sebelum saya dikehendaki melalui pengalaman bypass surgery, pertengahan tahun 2010.

Semasa ingatan saya masih belum lupa dengan karenah kawan-kawan, termasuk  yang baru dikenali, yang cuba mengambil kesempatan di atas keuzuran kita, rupanya tetap berdiri sahabat sejati, yang begitu mengambil berat, mendorong semangat dan kerap menadah tangan, berdoa buat kesejahteraan dunia dan akhirat.

No comments: