Monday, September 17, 2012

Bahaya Jika Tak Tukar Kerajaan Pusat Dalam PRU 13

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Apabila kekuatan kerajaan dan pembangkang nampak seimbang, misalnya dengan penguasaan bilangan kerusi Parlimen yang hampir sama, juga penguasaan undi popular yang tidak jauh berbeda, saya kira ia merupakan perkembangan yang positif dalam sistem demokrasi.

Suara lantang oposisi, biarpun dilihat hanya bermotif untuk mencari kesalahan dan menonjolkan kelemahan seteru politiknya, juga bagi merebut tampuk kekuasaan, namun daripada perspektif holistik, ia tetap menyumbang kebaikan buat rakyat seluruhnya. 

Justeru, bagi saya, tidak perlulah kita mempersoalkan apakah sesuatu kritikan atau teguran terhadap pemerintah itu ikhlas atau tidak? Pedulikan sama ada ia sarat dengan motif politik atau "ada udang di sebalik politik".

Yang penting, kebajikan dan kesejahteraan masyarakat -- hasil persaingan sengit antara kerajaan dan pembangkang -- dapat ditingkatkan mutu dan kualitinya. Dengan itu, kepentingan rakyat akan lebih terjaga dan terbela. Golongan terpinggir, seperti ibu tunggal, pesakit kronik, keluarga miskin dan anak yatim merasa disantuni dan dimartabatkan.

Masing-masing pihak, yang ghairah mencari sokongan dan meraih undi tentu akan berusaha berlipat kali ganda, untuk mempamerkan imej lebih positif, prorakyat dan berketrampilan, terutama dari segi keprihatinan dan kepedulian yang tinggi kepada setiap masalah rakyat.


Mereka bukan hanya berlumba-lumba untuk ringan tulang, turun padang menjenguk setiap penjuru kampung dan lokasi terpencil, malah di peringkat tertinggi, akan berusaha menawarkan pilihan lebih baik, dalam bentuk falsafah, dasar, polisi, pendekatan dan rancangan baru serta pelaksanaan dan sistem penyampaian yang cekap, efisyen dan sifar rasuah.

Agak kerap saya menekankan bahawa rakyat Malaysia yang menetap di wilayah yang mempunyai "dua kerajaan", yang mana parti memerintah di peringkat kerajaan pusat berbeda dengan kerajaan negeri, seperti Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang (Perak, Terengganu dan Sabah juga pernah mengalaminya), sebenarnya lebih beruntung.

Justeru, idea "pembangkang sifar", seperti pernah diuar-uarkan oleh bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo, sebenarnya bertujuan membunuh semangat demokrasi. Malahan, menang tanpa majoriti dua pertiga, seperti dialami BN di Parlimen sekarang, tidak perlu dikhuatiri pun. Ya, persetankan keselesaan elit penguasa; selama ini pun majoriti besar di Dewan Rakyat dan Dun hanya dieksploitasi untuk menindas rakyat, membolot khazanah kekayaan negara dan merompak wang pembayar cukai. Perbahasan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara turut menjadi lebih menarik dan mendebarkan.

Lihat saja situasi politik pasca PRU13. Demi rakyat, pelbagai pembaharuan, khususnya dalam bentuk skim kebajikan, terpaksa dilancarkan. Masing-masing mempunyai inovasi yang tinggi, walaupun sebahagiannya meniru atau mengadaptasi apa yang telah dilakukan oleh pihak lawan. Biarkanlah.

Misalnya, perubahan yang bermula di Kelantan, seperti lima hari bekerja, penambahan cuti bersalin, akhirnya dituruti kerajaan pusat. Begitu juga dengan pembaharuan terkini di negeri-negeri Pakatan Rakyat, contohnya pakej bantuan kepada ibu tunggal, golongan pelajar, keluarga daif, khairat kematian dan lain-lain lagi.

Apakah kita mengira pelbagai insentif one-off yang diusahakan Perdana Menteri Najib Razak akan muncul sendiri, sekiranya BN masih dalam zon selesa? Jangan harap akan muncul sederetan bantuan atas nama 1Malaysia. Persaingan juga memaksa wakil-wakil rakyat menyinsing lengan, mendekati pengundi, memeriahkan pejabat pusat khidmat dan menghulur sumbangan tanpa diminta.

Belum terlalu jauh untuk kita mengingati karenah Adun atau Ahli Parlimen BN yang menang mudah dalam setiap kali pilihan raya sebelum, dan memilih untuk memenuhkan tembolok sendiri, memperkaya diri dan kroni terlebih. Rakyat hanya dicari lima tahun sekali. Partisipasi atau penyertaan politik massa terlalu minimum. Semoga situasi jelik itu akan berkubur selamanya.

Apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, PDRM atau Jabatan Peguam Negara masih kuat dicengkam kepentingan pemerintah, dan sering bertindak mengikut paluan gendang Umno-BN, maka penduduk negeri Pakatan boleh berpuas hati jika tiada pemimpin mereka yang didakwa. Mereka sememangnya mempunyai pemimpin yang bersih jika tiada yang diheret ke muka pengadilan. BN yang menguasai agensi strategik kerajaan itu pasti tidak menunggu masa yang lama untuk mendera seteru politiknya jika ada kesempatan atau peluang.

Bukankah kita dapat saksikan, jika laporan polis dibuat terhadap tokoh yang tidak disenangi elit pemerintah, maka secepat kilat kertas siasatan dibuka dan seterusnya tanpa menunggu masa lama, dihadapkan ke mahkamah, walaupun dalam kes "pentafsiran sejarah" seperti dialami Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu?

Akhbar-akhbar harian pula akan memanipulasi sepenuhnya ruang bagi menyerang parti atau sosok oposisi walaupun berpunca dari sumber yang langsung tidak boleh dipercaya, seperti blog pencacai BN asalkan menguntungkan taukeh politik mereka.

Apakah anda jangkakan pihak berkuasa berdiam diri jika ada bukti pemimpin Pakatan, terutama yang menguasai kerajaan negeri, telah melanggar undang-undang, seperti salah guna kuasa, rasuah, pecah amanah dan pelbagai kesalahan lain?

Namun begitu, dalam suasana "semak dan imbang" nampak terlaksana, dengan kekuatan pembangkang dan kerajaan yang hampir seimbang, amalan korupsi masih belum berjaya dibanteras sepenuhnya. Lebih menyedihkan, gejala buruk itu -- yang menghakis hak rakyat untuk menikmati khazanah kekayaan negara secara lebih merata -- seperti kian berleluasa, mungkin dalam bentuk yang lebih sofistikated.

Kos sara hidup terus meningkat sedangkan pendapatan di takuk lama. Sesekali menemani isteri ke pasar, saya terkejut melihat harga keperluan dapur mencanak naik. Pernah kami meninjau Kedai Ikan IMalaysia di Setiawangsa, ikan kecil yang sudah pecah perut, dijual hampir RM15 sekilo! Terkini, pengiraan bil elektrik pun menjadi isu ...

Dari segi skandal kewangan, sebut saja kes-kes seperti lembu NFC, penganugerahan tender kepada kerabat menteri, sehinggalah yang terbaru, kerja pembinaan tambahan LRT Ampang dan juga isu kenaikan saman trafik kepada RM300 hingga RM2,000, melalui Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).


Cukup memalukan apabila rakyat yang sudah sengsara dan sebahagiannya tidak dapat membawa pulang baki gaji bulanan secukupnya selepas ditolak hutang, makin diperah keringatnya. Hinggakan kesalahan jalan raya dijadikan pancing untuk terus "merompak" wang rakyat.

(Rakan saya memaklumkan ramai anggota tentera pangkat rendah, yang sering berkunjung ke pejabat koperasi, berdekatan Harakah, tidak mempunyai baki gaji bulanan seadanya untuk dibawa pulang ke rumah).


Program transformasi Najib hanya helah politik dan satu lagi talian hayat untuk terus merompak hasil mahsul negara. Sesungguhnya Umno tidak pernah berubah. Kedudukan yang genting selepas PRU13 tidak menginsafkannya, malah menjadikan lebih tamak atau sekurang-kurangnya sebagai peluang terakhir menimbun kekayaan.


Rasuah sudah menjadi darah daging dan denyut nadi Umno-BN. Jika amalan jijik berkenaan dapat dicerai-tanggal daripada parti yang memerintah sejak 55 tahun itu, saya yakin Umno akan berkubur.

Kesimpulan saya memang nampak klise. Tetapi begitulah ... kita berupaya mencorakkan kehidupan lebih baik hanya dengan menukar kerajaan persekutuan, sesuatu yang belum pernah "dicuba" selama ini.

Selepas menyaksikan pelbagai perubahan kosmetik yang diusahakan BN, potensi PRU13 adalah yang terbaik untuk kita memliki transformasi sepenuhnya. Seperti kata Timbalan Mursyidul Am PAS, Dr Haron Din, keputusan pilihan raya bukan tanda berakhir segalanya.

Jika rakyat tidak berpuas hati dengan prestasi pemerintah yang baru dipilih nanti -- Pakatan -- mereka berpeluang mengubahnya dalam pilihan raya berikutnya. Silakan jika Pakatan juga menyeleweng dan mengkhianati amanah dan aspirasi massa.

Renungkanlah ... kita sudah mencuba, pertama, regim BN yang selesa mentadbir (sehingga mereka menodai segalanya) sejak begitu lama; begitu juga, kedua, merasai persaingan sengit BN-Pakatan pasca PRU12; dan kini, kita sedang melalui babak ketiga, ya, apa salahnya memberi peluang kepada kerajaan baru membuktikan tekad mereka.

Biarlah selepas itu, rakyat dapat membuat penilaian seadilnya, dengan melalui sendiri pengalaman sebenar, tanpa mudah dipengaruhi apa jua propaganda murahan, 'kan?

No comments: