Oleh Ahmad Lutfi Othman
Rakyat Malaysia tidak mudah lagi digertak atau ditakut-takutkan, walaupun oleh pemerintah. Malah, usaha meremehkan atau memperbodohkan pemikiran mereka sehingga rasional diketepikan bakal berdepan reaksi yang mungkin tidak terduga oleh sang penguasa.
Pendek kata, sesiapa sahaja yang masih bebal menggunakan strategi lapuk dan usang bagi mempermainkan emosi dan sentimen rakyat, akan menempah nasib malang. Pendekatan lama yang berhasil "menjinakkan" golongan massa tidak lagi berkesan, apatah lagi yang mempermain-mainkan logika.
Mereka juga jauh lebih bijaksana, berpandangan jauh dan -- yang lebih penting -- berani atau bersedia melakukan perubahan. Proses pendemokrasian, peningkatan kualiti pendidikan dan juga urbanisasi mematangkan lagi rakyat berdepan pelbagai "silat mata" elit penguasa. Sukar untuk ditipu hanya dengan gula-gula politik murahan.
Masyarakat terbanyak juga kian berani untuk mempersoalkan sesuatu yang cuba disogok secara paksa, meskipun ia datang daripada pihak berkuasa. Jawatan tinggi dalam kerajaan tidak bermakna segala arahan daripadanya akan dipatuhi, malah semakin disyakki.
Kedudukan dan posisi tidak lagi melambangkan kebenaran. Cakap-cakap atau hujah pemimpin tidak mudah ditelan bulat-bulat. Ada keupayaan yang tinggi dari kalangan rakyat untuk menyaring, mencerakin dan menimbang secara rasional. Yang salah dan palsu akan disanggah secara terang-terangan.
Era reformasi 1998 merupakan detik peralihan yang jelas, apabila dalih Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad bagi memecat timbalannya, Anwar Ibrahim, ditolak secara terbuka. Cakap pemimpin atasan tidak semestinya benar.
Mahathir sendiri dibaling botol plastik oleh ahli-ahli Umno sendiri selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi yang memecat Anwar. ISA digunakan untuk menutup mulut pengkritik, namun ia hanya menggemakan lagi riuh-rendah penentangan dan memarakkan api kemarahan.
Sebahagiannya bingkas bangun menunjukkan aksi protes di jalan-jalan raya, dan bersedia menerima risiko ditangkap, dibalun belantan, ditembak gas pemedih mata, dihumban ke lokap, seterusnya ada yang dibuang kerja dan menerima keperitan dalam hidup.
"Hantu-hantu" yang diperalatkan untuk menyemai rasa takut, bimbang dan curiga rakyat, seperti ISA dan akta-akta drakonian lain perlahan-lahan hilang bisanya. Ungkapan "polis" yang dahulunya sering digunakan ibu bapa untuk menakutkan anak-anak kecil sudah tidak lagi relevan. (Kasihan nasib polis apabila tuan-tuan besarnya sedia diperbudakkan taukeh-taukeh politik).
Lagak anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bagi menyuraikan perhimpunan aman bagai tidak dipedulikan. Kanister gas pemedih mata yang ditembak ke atas penunjuk perasaan disepak atau dibalingkan semula. Keputusan mahkamah yang ditampal di merata pokok untuk memaklumkan larangan menyertai demonstrasi pun dipandang sepi.
Rakyat semakin arif hak mereka sebagai warga merdeka dalam sebuah negara demokrasi. Dapat dihafal apa yang perlu dilakukan jika mereka ditahan; bukan sekadar membawa sapu tangan, air mineral dan sedikit garam!
Mungkin masih ada sebahagian rakyat yang terkurung dan terkepung mindanya. Usia 55 tahun kemerdekaan negara tidak berjaya memecahkan kepompong yang sengaja dibina pemerintah itu. Mentaliti untuk pasrah dan mengaminkan apa saja titah penguasa tetap menebal. Namun, saya yakin, bilangannya semakin mengecil dan kumpulan yang sedikit ini tidak membeku statik. Mereka juga sedang melalui proses perubahan yang dinamik.
Sedikit demi sedikit jumlah sang pemberani bertambah ramai dan menjadi dominan. Jiwa hamba mereka mulai luluh berderai. Ikatan dan belenggu rasa takut, gementar, mudah merasa bersalah serta -- dan paling penting -- curiga dan bimbang untuk melakukan perubahan dapat dipecahkan.
Masa yang sama, "fahaman songsang-tahyul" yang ditanam selama ini dalam pemikiran orang Melayu bahawa hanya Umno mampu dan pandai memerintah dikuburkan apabila satu demi satu kerajaan negeri Umno-BN tumbang. Sebaliknya skandal dan penyelewengan pemimpin BN yang didedahkan, dengan rantaian panjang senarai penyalahgunaan kuasa membaham wang rakyat.
Rakyat Kelantan, lebih 20 tahun lalu, misalnya menjadi saksi mata pertukaran kepemimpinan teraju kerajaan negeri langsung tidak mengheret kepada situasi huru-hara, apatah lagi diserkup krisis ekonomi sehingga mencetuskan kebuluran seperti ditohmah juak-juak Umno.
Pilihan Raya Umum 1999 memang tidak mengubah status-quo kecuali di Terengganu, namun minda politik Melayu menghadapi anjakan perubahan yang luar biasa. Mereka sudah berani mencabar dan berkata "tidak" kepada Umno. Ya, politik Melayu -- walaupun turut dikejutkan dengan kemenangan terbesar BN pada 2004 -- "kini sudah cukup berbeda".
Senario politik negara tidak lagi akan surut ke belakang selepas keputusan PRU12, Mac 2008, yang mengejutkan itu. Ratib Umno bahawa "oposisi hanya pandai membangkang dan mengkritik" menjadi bahan ketawa. Lima negeri yang dikuasai "pembangkang" mempamerkan perubahan yang menyenangkan.
Rakyat Malaysia tidak menoleh ke belakang lagi; mereka semakin serius untuk melakukan perubahan. Malah Umno pula dibayangkan akan menjadi pembangkang yang bakal meracau.
Saya menekankan hal ini bagi memberi reaksi kepada aksi gelabah Dr Mahathir dan Najib Razak yang semakin kerap meremehkan keazaman tinggi pengundi untuk membuat perubahan dalam PRU13 -- menukar kerajaan persekutuan. Rakyat sedar perubahan di peringkat kerajaan negeri banyak limitasinya. Putrajaya memerlukan teraju baru untuk menyempurnakan perubahan.
Pelbagai andaian buruk dilemparkan kepada Pakatan Rakyat jika diizinkan menguasai Putrajaya. Amaran Mahathir dan anak didiknya, Najib: "Jangan sama sekali terpengaruh dengan janji Pakatan untuk membawa perubahan. Lima tahun yang diberikan, walaupun sebagai percubaan, hanya mengundang padah dan bahaya kepada negara. Banyak perkara akan musnah dalam tempoh itu."
Mahathir memang "sudah terlepas keretapi" dan amat bimbang berlaku perubahan di Putrajaya, apatah lagi kalau Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri. Dan di zamannya, rakyat sering digertak dan diperbodohkan. Rakan-rakannya dalam kabinet juga terpaksa mengikut segala rentak dan kemahuannya. Hobinya boleh sahaja menjadi projek negara. Zaman berubah pantas tetapi Mahathir tetap dengan perangainya -- bebal untuk turut sama berubah.
Najib berada di era berbeda, dan benarlah kata-kata pengakuannya sendiri, zaman kerajaan tahu segalanya sudah berakhir.
Penipuan, skandal, salahguna kuasa, korupsi dan pembolotan kekayaan negara hanya mudah dilakukan oleh regim yang lama memerintah, apatah lagi secara tidak demokratik dan mengetepikan peranan "semak dan imbang" institusi strategik seperti media, Parlimen, SPRM dan seumpamanya.
Selama 55 tahun di bawah regim BN, segala kebobrokan itu hampir "sempurna" dan "sukar dikesan". Pemimpinnya yang mempunyai banyak pengalaman itu ada "kemahiran" tersendiri untuk menyembunyikan seribu satu kejahatan, malah menampilkan imej "penyelamat" yang mengelirukan.
Apa pun, dalam PRU13 ini, majoriti rakyat hampir sepakat bertekad untuk melakukan perubahan menyeluruh -- dan boleh saja sifatkan ia satu percubaan paling berani -- untuk mencari kelainan yang benar-benar berbeda, dengan memberikan amanah mentadbir kepada regu dan pasukan yang baru.
Cukuplah dengan "syaitan" yang begitu lama dikenali, yang ternyata hanya membawa petaka dan padah. Ya, bukankah itu perangai dan sifat semulajadi "syaitan"?
Saya yakin, sekumpulan sang pemberani ini, yang jumlahnya semakin ramai dan menjadi golongan majoriti, tidak akan mundur ke belakang lagi. Sekurang-kurangnya mereka mahu mencuba, 'kan? Pedulikan amaran Mahathir dan Najib itu. Biarkan kedua-duanya terus meracau ...
No comments:
Post a Comment