Monday, September 17, 2012

Berperang dengan angka

Oleh Ahmad Lutfi Othman

SELALUNYA RTM sahaja yang berminat (tentunya diarahkan) untuk menyiarkan secara langsung ucapan Perdana Menteri, tetapi pada malam Sabtu lalu, TV3 turut sama mempromosi pidato politik Najib Razak yang tidak menjadi itu.

Melalui paparan intisari rancangan TV dalam akhbar tempatan, saya perhatikan tiada jadual himpunan Janji Ditepati dari Stadium Bukit Jalil itu akan mendapat lintas langsung TV3.

 

Sepatutnya Naziha, slot drama bersiri Zehra mengambil tempat jam 9 malam.

Saya turut menyedari sorotan kamera TV3 yang merakam wajah penasihat media Najib, yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima, Ahmad Farid Ridzuan, bersama VVIP lainnya semasa Najib berucap. Farid dikatakan perancang utama program Jelajah Janji Ditepati dan mengeksploitasi sepenuhnya kekuatan siaran TV Media Prima untuk kempen propaganda BN menjelang PRU13.

Sebenarnya tiada isu besar dengan siaran langsung itu, apatah lagi ketika semua maklum bahawa perayaan sambutan kemerdekaan – sejak awal lagi – telah “diperdagang” sepenuhnya demi kepentingan politik Najib dan BN. Siapa peduli lagi, hatta apabila TV memberikan liputan istimewa kepada perhimpunan agung Umno itu sendiri?

Saya lebih tertarik apabila berulang kali pengacara TV3 menyebut kehadiran melebihi 180,000 orang, sedangkan penonton di rumah dapat mengesan banyak ruang kosong, khususnya di kawasan tengah stadium, berdepan pentas Najib berucap.

Jumlah kehadiran dalam majlis politik (termasuk rumah terbuka Aidilfitri) sentiasa dijadikan ukuran populariti seseorang tokoh atau sesebuah parti. Maka berebut- rebutlah angka itu terpaksa dinaikkan dan dalam masa sama program yang dianjurkan seteru politiknya sengaja direndah-rendahkan sambutannya.

Contohnya, semasa Buletin Utama TV3 mengheboh-hebohkan jumlah pengunjung himpunan di Stadium Bukit Jalil malam 31 Ogos itu hampir mencecah 200,000 orang, Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein, memperlekehkan sambutan Janji Demokrasi di Dataran Merdeka, pada malam sebelumnya. Najib turut menyifatkan Janji Demokrasi bukanlah himpunan majoriti rakyat.

Kebanyakan media alternatif menjangkakan kehadiran sekitar 20,000, yang berjaya “menguningkan” kemeriahan sambutan ambang merdeka di ibu kota walaupun pihak Datuk Bandar Kuala Lumpur telah menghalang hadirin memasuki kawasan Dataran Merdeka.

Tanpa sebarang kempen meluas dan publisiti sistematik, namun penyokong baju kuning tetap terdorong untuk menunjukkan semangat kecintaan dan patriotisme yang tinggi kepada negara. Himpunan Merdeka di Shah Alam, anjuran kerajaan Selangor, yang turut dihadiri Anwar Ibrahim, juga mendapat sambutan menggalakkan.

Dalam pada itu, biarpun tidak ramai lagi yang ghairah meramalkan tarikh pembubaran Parlimen, namun iklim politik tanahair selepas Aidilfitri tentunya bertambah panas. Persiapan akan dimantapkan, di samping pendekatan baru untuk terus langsung bersemuka dengan rakyat pasti diteroka.

Saya tidak begitu risau dengan isu-isu yang sengaja ditimbulkan bagi mengelirukan masyarakat, termasuk persoalan hudud. Sudah cukup banyak pendedahan terhadap kegagalan pemimpin BN menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan rakyat.

Segala dokumen dan fakta telah dihidangkan dengan baik sekali.

Namun begitu, pemimpin Pakatan Rakyat tidak boleh mengambil mudah di atas sebarang isu yang ditonjolkan strategis BN itu. (Dan jangan terlalu selesa dengan sokongan pengundi Cina sehingga mungkin tanpa sedar meremehkannya).

Kefahaman dan kesedaran masyarakat mempunyai pelbagai tingkat dan tahap.

Selain itu, menghidangkan fakta sahaja tidak memadai jika persepsi belum dapat diubah. Saya perhatikan, Najib sendiri tidak berupaya menangkis serangan yang disasarkan kepadanya.

Beliau sekadar mahu mengekalkan persepsi lapuk, khususnya masyarakat Melayu, kepada situasi politik semasa.

Beberapa kali Najib mengulangi penegasan mentornya, Dr Mahathir Mohamad, terutama untuk menghalang hasrat dan keazaman tinggi majoriti rakyat bagi membuat perubahan dengan menukar kerajaan persekutuan nanti.

Walaupun beliau belum tergamak melafazkan kalimah seperti diucapkan Mahathir (“lebih baik syaitan yang anda kenal daripada malaikat yang anda tidak kenal”), namun hakikatnya, seperti ditegaskan Najib di Pekan, 26 Ogos lalu, semangat untuk berubah tidak semestinya membawa kebaikan.

Mood untuk berubah ini – yang mahu dilemahkan perancang kempen BN – bukan sahaja perlu dikekal, malah dipertingkatkan.

Argumen dan rasional untuk menolak daleh Mahathir dan Najib itu wajar dikemukakan dengan bijaksana. Saya tertarik dengan pelancaran bas Jelajah Merdeka Rakyat, yang akan bergerak ke seluruh pelosok negara, terutama di kawasan pedalaman dan kubu kuat Umno, termasuk ke pasar malam, kawasan perumahan dan tempat orang awam berkumpul.

Ya, rakyat terbanyak harus didekati dengan cara yang mudah dan cepat, bagi menjelaskan isu semasa.

Walaupun digerakkan oleh KeADILan, kemudahan itu wajar dikongsi oleh rakan-rakan yang lain dalam Pakatan, khususnya PAS, yang konstituensinya lebih terarah di kampung- kampung.

Kata kuncinya: Dalam waktu kritikal ini, dekati seramai mungkin audien, rasai denyut nadi mereka, buang segala kekusutan dan kekeliruan, tingkatkan gerakerja penerangan dan jaringan perhubungan.

No comments: