Oleh Ahmad Lutfi Othman
Ayah Nasima memang telah dibebaskan. Namun keperitan hidup Nasima, adiik-adik dan ibunya belum berakhi. walaupun Abdul Jamal Azahari tidak lagi menghuni Kem Tahanan Kamunting, lama sebelum Akta Keselamatan Dalam Negeri dimansuhkan.
Sempena perlantikan Najib Razak sebagai Perdana Menteri, Jamal dilepaskan pada 3 April 2009. Beliau ditahan tanpa bicara pada 2006 atas dakwaan menganggotai Darul Islam, yang dikatakan juga ada kaitan dengan perjuangan umat Islam Selatan Filipina.
Puaka akta drakonian, ISA, sepatutnya tidak lagi menghantui keluarga Nasima Jamal, 20 dan enam adik-adiknya yang lain, di samping ibu tersayang, Norhata Isnani. Bagaimanapun Jamal tidak dapat kembali ke pangkuan keluarga, di Batu 18, Sandakan. Mereka terus dipisahkan apabila Jamal, warga Filipina, dipindahkan ke penjara di Manila.
Saya sempat berkunjung ke kediaman mereka -- sebanyak dua kali -- yang begitu daif dan uzur. Terus terang, saya kecut perut ketika cuba memanjat tangga rumah sewa itu, untuk meninjau lebih dekat. Bukan bimbang tergelincir tapi risau kayu buruk itu patah.
KETERANGAN GAMBAR: Ahmad Lutfi Othman (kanan) menyantuni anak-anak jamal Azahari semasa berkunjung ke kediaman mereka, di Sandakan, Sabah pada bulan Ramadan, lima tahun lalu.
Papan lantai rumah berlubang-lubang, sebahagiannya kelihatan reput. Tiada perhiasan. Kelengkapan rumah sekadar perlu. Di ruang depan, pada ziarah pertama kami, saya lihat ia lebih merupakan petak kedai runcit yang lusuh. Saya tidak pasti apa yang dapat dijual melainkan beberapa tin sardin, gula, tepung, ubat minyak dan satu dua barangan lain.
Tengahari Ramadan yang terik itu sememangnya cukup mengharukan. Saya saling berpandangan dengan rakan-rakan yang turut sama, Norlaila Othman, isteri tahanan Mat Sah Satray, wartawan Harakah, Aniz Nazri dan jurugambar Wan Zahari Wan Salleh; berkongsi kesedihan menatap ketabahan lapan beranak meneruskan kehidupan yang agak terasing daripada masyarakat sekitar.
Dari jauh kami datang bertanya khabar dan menyampaikan sumbangan pembaca Harakah, bagi membantu persiapan mereka dan lima enam keluarga tahanan ISA menyambut hari lebaran. Itu cerita lima tahun lalu.
Setahun selepas Jamal dibebaskan, bagi melepaskan kerinduan yang menyeksa Nasima dan adik-adiknya, Harakah turut mengusahakan mereka menemui ayah tercinta. Agak banyak peruntukan terpaksa dikeluarkan, untuk membawa mereka ke Manila, apatah lagi dalam keadaan kekurangan dokumen diri ada pihak yang mengambil kesempatan.
Saya sendiri pernah dihubungi Jamal yang mengadu keuzuran semasa dikurung di penjara. Getar suaranya membayangkan penderitaan, selain terselit rasa bimbangan terhadap nasib anak-anak dan isteri serta -- lebih-lebih lagi -- kerinduannya yang makin memuncak.
Selepas talian telefon terputus, saya berazam bagi memastikan keluarga teraniaya itu dapat dibela, sekurang-kurangnya untuk mempertemukan mereka.
Sabtu lalu, Nasima mewakili ibu dan adik-adiknya sekali lagi membawa harapan sama; agar dapat dibantu menemui Jamal yang masih terpasong di Manila.
"Walaupun kami baru saja mendapat bantuan dari pakcik Lutfi semasa Ramadan dan Aidilfitri lalu, saya terpaksa mohon sumbangan lagi untuk kami berjumpa ayah," kata Nasima, terputus-putus, yang kini menjadi pembantu kantin sekolah, dua jam perjalanan dari rumahnya.
Beliau umpama ketua keluarga, sandaran adik-adik dan ibunya meneruskan kehidupan. Namun berapa banyaklah yang dapat diraih anak gadis ini melalui pekerjaannya yang bersilih ganti itu.
Beliau tidak perlu meluahkan rasa hati yang terpendam. Sesiapa pun dapat memahami gejolak rasa mereka yang secara kejam terus terpisah dengan orang tersayang, apatah lagi ketua keluarga.
Segera saya terbayang raut wajah suram adik-adiknya yang pernah kami santuni, dua perempuan dan tiga lelaki: Nazeba (17 tahun), Nadeer (15), Wasim (13), Wajir (13), Nadzla (10) dan Nasim (9).
Sesiapa yang berhasrat untuk turut sama membantu Norhata dan anak-anaknya ke Manila, juga menampung kos sara hidup selama mereka di sana (mungkin selama dua bulan), bolehlah terus menyumbang ke dalam akaun HARAKAHDAILY DOT COM, Maybank 564070000336.
Maaf jika saya separuh mendesak,dan kehilangan kata-kata untuk membuat rayuan ini, namun saya yakin dengan sikap murah hati dan dermawan pembaca Harakah.
Kerinduan si ayah yang keuzuran dan terpenjara jauh dari anak dan isteri sewajarnya dirawati segera. Dan kita boleh meringankan bebanan mereka. Terima kasih bagi yang sudi membantu. Terima kasih.
No comments:
Post a Comment