Oleh Ahmad Lutfi Othman
Malam Jumaat lalu, saya bersama dua wartawan Harakah Selangor, Saidah Haidan dan Muhd Arif Ismail menghadiri perbincangan santai dengan pimpinan PAS Negeri, khususnya yang mewakili kawasan Dun (Pusat Khidmat Masyarakat) yang bakal ditandingi dalam pilihan raya akan datang. Selangor sememangnya merupakan negeri paling mendapat tumpuan selepas tsunami politik 2008
Ia atas inisiatif Setiausaha Perhubungan Negeri, Mohd Khairuddin Othman, yang mula ditimbulkannya semasa kunjungan ke kediaman saya, Ramadan lalu, bersama Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abd Rani Osman, Ketua Muslimat Negeri, Wan Hasrina Wan Hassan dan Ketua Penerangan, Saari Sungib. Sebagai organ parti, Harakah seharusnya lebih memahami, peka dan sensitif dengan tuntutan akar umbi dan isu-isu setempat.Keuzuran saya memaksa pertemuan itu dipindahkan dari Pejabat Perhubungan Negeri ke premis berdekatan, pejabat Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, bagi mengelak saya memanjat tangga (walhal itulah yang diminta doktor, agar saya dapat bersenam ringkas!).
Turut serta dalam majlis itu, Khalid sendiri, Izham Hashim (Bendahari PAS Negeri) dan Cikgu Jaafar Shamsuddin (Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor). Ramai wakil mengutarakan pandangan, teguran dan cadangan; sesuatu yang amat bermakna buat Harakah mengenal pasti prioriti sebelum "menjelajah lebih jauh dalam belantara politik" negeri termaju, yang bakal menjadi medan tempur paling sengit dalam PRU13 nanti.
Seminggu sebelum itu, saya menjenguk Dr Rani ke pejabatnya, di Meru, Klang. Beliau baru bergegas balik dari sebuah sekolah Tamil berdekatan, menyampaikan sumbangan kerajaan negeri dan melawat bilik makmal komputer. Wajahnya tetap ceria dan bersemangat walaupun mempunyai aturcara harian yang padat. Sesekali pembantunya keluar masuk bilik merujuk sesuatu.
Memang agak sukar merakamkan sesi wawancara dengan Dr Rani. Gayanya bersahaja dan lebih suka berbicara secara tidak formal. Terselit banyak cerita dan komentar isu-isu, sekali gus nasihat keagamaan. Riak mukanya membayangkan butiran kata-kata beliau lahir dari lubuk hatinya yang paling dalam. Beliau sering menyandarkan pandangannya kepada pimpinan utama parti, Presiden dan Mursyidul Am.
Saya cuba menarik perhatiannya dengan cabaran besar yang terpaksa dipikul apabila dilantik mengetuai PAS Selangor. Ya, bukan mudah baginya menangani masalah dan mengatur langkah, terutama ketika bekas Pesuruhjaya Negeri terdahulu, Dr Hasan Ali meninggalkan gugatan dan "kekecohan" tersendiri. Apa pun, tekad dan keazamannya untuk meletakkan PAS sebagai rakan dalam Pakatan yang berperanan besar di Selangor, berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah.
Sesekali saya seperti cuba membandingkan gaya Dr Hasan (yang sempat saya temubual beberapa kali dahulu) dengan Dr Rani. Apa yang jelas, lulusan perubatan Universiti Tanta, Mesir, yang berusia 54 tahun ini, mempunyai pendekatan berbeda yang lebih menyenangkan. Jawapan Dr Rani juga simple.
"Selepas saya dipilih sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor, saya merenung ke langit dan terbayang wajah ibu saya. Saya mengatakan bahawa dalam keadaan saya mungkin banyak dosa dengan Allah, dosa dengan ibu bapa dan saya ingin menyampaikan pahala kepada arwah ibu dan bapa saya.
"Emak saya ketika saya pergi Mesir tujuh kali pengsan sebab kenangkan saya. Terus terang saya kata, saya menyusu emak saya sampai darjah satu. Saya memang manja. Saya merasakan bahawa inilah peluang, yang sedikit sebanyak moga-moga kalau ada pahala, bagilah kepada ibu dan ayah saya," tuturnya perlahan tetapi jelas. Saya turut terkedu. Saya terkesan dengan keikhlasannya.
"Memang dari dulu lagi cita-cita saya hendak menjadi seorang doktor, Alhamdulillah tercapai cita-cita itu. Sekarang cita-cita saya hendak mati syahid. Saya tidak takut dengan siapa dan apa pun cabaran. Dengan ini saya harap saya dapat ganjaran di sisi Allah," sambungnya, sambil menghuraikan lebih lanjut perancangan beliau untuk mengangkat kedudukan PAS ke tahap lebih berwibawa dan dihormati, termasuk di kalangan rakan-rakan Pakatan Rakyat.
"Orang PAS setiap hari kena lakukan solat hajat. Jika tidak buat di markas, kena buat di rumah. Hanya Allah saja yang boleh ubah hati manusia. Selain kita buat kerja penerangan dan berkempen dari rumah ke rumah, juga meningkatkan khidmat masyarakat dan membela rakyat, kita kena berserah kepada Allah," ujar Dr Rani lagi, yang memang dikenali sebagai tokoh yang sering turun padang, dalam dan luar negara, membantu masyarakat yang dilanda bencana dan petaka.
Daripada temubual itu, saya (dan Harakah) terdorong untuk turut sama menggerakkan usaha lebih tersusun bagi membantu PAS Selangor menjayakan misi dan impian. Justeru, sesi perbincangan untuk mendekati debar dan getar kecenderungan pengundi, dengan segala kompleksitinya, begitu penting buat wartawan. Saya risau kami sebagai perakam, atau turut sama membentuk, sejarah, tidak dapat membaca realiti sebenar akar umbi, dan kemudiannya membuat analisis atau telahan yang tersasar.
Semasa menjamah juadah (nasi kari kambing) sebelum program bermula, Cikgu Jaafar merapati saya. Melihat kelibatnya segera saya teringat isu-isu besar dan kritikal dalam senarai daftar pemilih. Pertambahan lebih setengah juta pengundi baru di Selangor sering dilihat dengan penuh tanda tanya dan kecurigaan. Tidak syak lagi BN telah menyiapkan pakej penipuan dan manipulasi yang cukup terancang bagi merampas kembali negeri paling strategik dan kritikal itu. Kepada Najib Razak, yang juga Pengerusi Umno dan BN Selangor, Shah Alam sama penting dengan Putrajaya.
"Daftar pemilih Selangor amat kotor. Dan sasaran kita bukan lagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi juga Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), terutama berkaitan pengeluaran Mykad," kata Cikgu Jaafar. Saya yakin beliau mempunyai banyak dokumen dan fakta yang menyokongnya. Dan Harakah juga perlu membangkitkan kembali komplot jahat ini.
-----
Artikel ini pertama kali disiarkan pada 10 September 2012
No comments:
Post a Comment