Saturday, December 8, 2012

Ayuh berkampung di Permatang kempen yuran tinggi Kuis

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Lama kita tidak mendengar khabar dan perkembangan menarik dari lebih 20 universiti awam tempatan. Mungkin tumpuan ramai lebih difokuskan kepada teka-teki Pilihan Raya Umum Ke-13 sehingga situasi politik kampus jarang diberi perhatian.

Atau sememangnya tiada isu besar di sana yang perlu disorot untuk pengetahuan masyarakat luar? Mulanya, saya sendiri agak keliru dengan tarikh pilihan raya kampus yang tertunda-tunda itu. Sepatutnya diadakan pada awal tahun ini, sekitar Februari atau Mac, iaitu apabila hampir semua tempoh Majlis Perwakilan Pelajar berakhir secara automatik.

Ops 2020 bukti Najib campur tangan 

Tanda tanya itu berakhir selepas saya dibekalkan dengan minit mesyuarat "Ops 2020" yang mendedahkan perbincangan sulit bagi membantu kumpulan pelajar Aspirasi memenangi pilihan raya kampus. Ia membabitkan beberapa pegawai kanan Perdana Menteri Najib Razak, Biro Tata Negara, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Belia Malaysia dan pemimpin Pemuda-Puteri Umno. Tidak terkecuali tiga pegawai tinggi polis Bukit Aman.

Sering saya peringatkan, konspirasi jahat bagi menghalang kemenangan gerakan pelajar yang dilihat sebagai propembangkang itu bukan perkara baru. Cuma kali ini ia lebih menjolok mata, terutama apabila membabitkan personaliti tertentu, seperti Setiausaha Politik Najib, Shahlan Ismail dan Pegawai Khas Perdana Menteri, Irmohizam Ibrahim.

Antara resolusi terpenting komplot juak-juak Najib itu, seperti tercatat dalam Ops 2020 ialah "menangguhkan proses pilihan raya kampus bagi memastikan keputusannya nanti  tidak memberi sebarang KEBANGKITAN MORAL kepada parti pembangkang sebelum PRU13". (Ops 2020 bermaksud target kumpulan Aspirasi pro-Umno untuk memenangi semua 20 kampus IPTA).

Tekad gerakan Demi Mahasiswa Kuis 

Saya sendiri hanya terpanggil untuk melihat kembali pergolakan di kampus-kampus ini selepas dikunjungi sekumpulan mahasiswa, kebanyakannya pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) dan Universiti Selangor (Unisel)  pada petang Rabu, 12 September lalu.

Mereka sepatutnya turut menghadiri majlis Aidilfitri Harakah, di Taman Melewar, Gombak. Sayang sekali, sebaik tiba, majlis telah berakhir. Tiada lagi juadah untuk dinikmati, dan kami terpaksa berpindah ke lokasi berhampiran, Restoran Taqwa "untuk sembang-sembang".

Dari tutur kata dan riak muka, saya perhatikan anak-anak muda ini cukup serius dengan apa yang hendak mereka tekankan. Jelas, yang ditumpukan adalah untuk menangani keresahan majoriti pelajar Kuis berdepan bebanan yuran asrama yang tinggi. Mereka tiada niat untuk "mempolitikkannya", yang dihasratkan ialah formula penyelesaian jalan keluar ....

Rupanya mereka, yang menggabungkan  diri dalam gerakan Demi Mahasiswa Kuis (DMK),  tengahari iyu baru saja selesai mengadakan sidang akhbar di Kuala Lumpur, membangkitkan hal kebajikan pelajar yang tertekan akibat kadar yuran asrama yang begitu tinggi. Semua pelajar Kuis diwajibkan tinggal di asrama; mereka tidak dibenarkan menyewa di pangsapuri berdekatan, yang menawarkan kadar yang jauh lebih rendah.

Sudut pidato protes yuran tinggi 

Sidang akhbar itu bukannya langkah pertama. Mereka sudah mengutip tandatangan bantahan membentuk satu referendum, selain menganjurkan tiga  kali sudut pidato meluahkan protes terbuka berkongsi rasa sesama rakan-rakan pelajar, termasuk jemputan beberapa aktivis kampus luar Kuis.

.

kuis 1

Sambil minum petang, mereka sempat menyerahkan salinan memorandum 'Bantah' kepada saya, tentunya agar Harakah turut melaporkannya, bagi mendesak pihak yang terbabit dengan konsesi berat sebelah, Redha Resources Sdn Bhd (RRSB), terutama pemiliknya, Sulaiman Razak, Adun BN Pematang, Selangor, dapat menurunkan kadar sewa asrama Kuis.

Kuis yang bernaung di bawah Kerajaan Negeri, melalui Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), semasa pemerintahan BN telah menganugerahkan kepada  RRSB kontrak  membina asrama  bagi menampung keperluan 6,000 pelajarnya dan menyewakan kembali kepada Kuis selama 33 tahun.

Pengarah Strategi KeADILan, Rafizi Ramli mendedahkan, RRSB dikuasai Sulaiman, dengan pemilikan saham sebanyak 7,200,000 saham bersamaan 51 peratus pegangan,  sementara isterinya, Jamaliah Kamarudin memiliki 800,000 saham bersamaan 6 peratus. Baki 43 peratus lagi dimiliki Bina Puri Holdings Bhd iaitu syarikat sub-kontraktor yang menjalankan sepenuhnya operasi pembinaan dan penyenggaraan asrama.

Adun Umno bolot keuntungan atas angin 

Pada 3 Ogos 1997, Menteri Besar Selangor, Dr  Khir Toyo menjadi saksi pemeteraian perjanjian pinjaman sebanyak RM125.8 juta di antara RRSB dan bank-bank pembiaya. Kontrak pembinaan ini kemudiannya diberikan kepada Bina Puri Holdings Bhd dengan RRSB hanyalah menjadi orang tengah. Dalam Laporan Tahunan 2006, Bina Puri  melaporkan telah mendapat kontrak RM96.1 juta untuk membina asrama dan pusat pelajar, yang dianugerahkan oleh RRSB.

Dengan kos hanya  RM96.1 juta, RRSB dianugerahkan konsesi asrama pelajar Kuis selama 33 tahun pada kadar tahunan RM15.4 juta setahun. Maka, bagi sepanjang tempoh 33 tahun, RRSB akan mendapat durian runtuh  RM508 juta, walaupun semua urusan hanyalah "atas angin" dan kosnya sekadar RM97 juta sahaja iaitu keuntungan 524 peratus.

"Konsesi sewa asrama yang mahal dan berat sebelah ini membebankan pengurusan Kuis. Anggaran kadar sewa yang dikira berpatutan adalah lebih separuh dari kadar sekarang, iaitu sebanyak RM6 juta setahun," kata Rafizi. "Oleh kerana terikat dengan konsesi sewa asrama yang berat sebelah dan dimeterai semata-mata untuk menguntungkan pimpinan Umno, maka sehingga kini Kuis tidak dapat menurunkan yuran apatah lagi menanggung yuran secara percuma," tambahnya.

Asrama Kuis RM2000 sebulan, pangsapuri luar hanya RM600 

Dalam memorandum yang kemudiannya dihantar kepada Sulaiman Razak pada 14 September itu, DMK membuat perbandingan kadar sewa Kolej Kediaman A dengan Pangsapuri Vista milik swasta berdekatan. Dengan kemudahan dan kapasiti hampir sama, kadar sewa bulanan bagi satu unit yang menempatkan enam penghuni kolej Kuis adalah RM1,980, sedangkan caj pangsapuri bagi pasaran luar hanya sekitar RM600 sebulan.

Dalam situasi yang menyulitkan itu, disebabkan "angkara kerakusan memperdagangkan pendidikan seperti satu komoditi" oleh elit pemerintah terdahulu, bebanan kewangan Kuis makin bertambah. Difahamkan ia turut menyukarkan tenaga pengajar, terutama daripada segi penambahan jumlah jam mengajar.

Ekoran itu, Kuis mungkin terpaksa mengehadkan jumlah kakitangannya, termasuk para pensyarah, dan ini dibimbangi boleh menyebabkan kemerosotan prestasi akademik secara keseluruhan.

Saya sendiri tidak dapat membayangkan bagaimana pentadbiran Kuis dan MAIS pada 2007 boleh bersetuju dengan perjanjian berat sebelah yang begitu membebankan, jika tidak didorong oleh tangan-tangan politik yang berkepentingan. Apakah dengan kemudahan sokongan pinjaman PTPTN, maka mereka mengira semakin mudahlah untuk memeras pelajar?

Pengurusan tinggi MAIS tak boleh lepas tangan

Apa pun, saya kira pengurusan MAIS juga mesti dipertanggungjawab. Masakan orang bijak pandai (terutama Pengerusinya, Mohamad Adzib Mohd Isa) di dalamnya tidak mempedulikan langsung beban yang bakal dihadapi pelajar Kuis ketika menandatangani konsesi itu. Congak mudah sudah cukup untuk mengesan siapa yang meraih untung "atas angin" dengan jumlah cukup besar.


Semakan menerusi laman rasmi Kuis memaparkan Lembaga Pengarahnya, terdiri daripada Pengerusi, Menteri Besar Selangor sendiri bersama tujuh ahlinya, iaitu Khusrin Munawi (Setiausaha Kerajaan Negeri), Mohd ARif Abd Rahman (Pegawai Kewangan Negeri), Zauyah T Loth Khan (Penasihat Undang-Undang Negeri), Adzib, Marzuki Hussin (Pengarah Jais), Prof Dr Sidek Baba (UIAM) dan Prof Dr Aziuddin Ahmad (Rektor/ Ketua Eksekutif Kuis).

Pastinya pengurusan Kuis kini dalam dilema. Dan mungkin bukan hanya Kuis yang berdepan problem besar ini. Apakah masalah yang menimpa Unisel baru-baru ini, juga berkaitan penempatan asrama pelajar, turut berpunca perjanjian berat sebelah yang dimetrai semasa pemerintahan BN dahulu? Bagaimanapun, peralihan teraju kerajaan tidak memungkinkan konsesi itu dapat dibatalkan dengan mudah.

Tempoh sebulan dan pilihan demonstrasi

Justeru, penggerak DMK menjadikan sasarannya adalah Sulaiman Razak sendiri, pemilik RRSB. Mereka menyerahkan memorandum bantahan di pejabat RRSB, Seksyen 13 Shah Alam, pagi Jumaat, 14 September kepada pengarah operasinya, Mohd Johari, selepas gagal menemui Sulaiman.

"Kami mahu mencari formula penyelesaian kepada masalah berpanjangan ini dan YB Sulaiman berperanan besar untuk meringankan bebanan mahasiswa," kata jurucakap DMK, Ahmad Azrul Mohd Tahir.

"Kami memberi tempoh selama sebulan agar beliau dapat berbuat sesuatu bagi menamatkan kezaliman ke atas mahasiswa Kuis ini," tambahnya, sambil menimbang kemungkinan memilih beberapa langkah susulan, termasuk mengadakan demonstrasi.

Mereka menuntut kadar sewaan asrama Kuis diturunkan sebanyak 50 peratus, dengan menjadikan pasaran semasa sebagai kadar bandingan, selain kiraan wang sara diri yang diperlukan pelajar dalam pengajian.

Walaupun saya kira DMK tidak mahu terjebak dalam percaturan politik kepartaian, namun pandangan Rafizi semasa dialog dengan 150 pelajar Kuis, 31 Julai lalu, agak menarik untuk diteliti: "Satu jalan yang ada saya nampak ialah perlu beri tekanan politik. Orang politik ini dia takut kalau rakyat tak suka dia. Orang politik ini macam masuk AF (Akedemi Fantasia).  Ada baiknya juga tuan punya syarikat Redha ini seorang Adun. Dia tertakluk pada kuasa rakyat."

Orang politik hanya faham bahasa politik

"Cara bawa isu ini pada beliau ialah dengan rayu pada pengundinya supaya simpati dengan pelajar. Cara lain saya tak nampak. Orang politik hanya faham bahasa politik sahaja. Malah boleh ugut untuk dia kalah pilihan raya nanti," kata Rafizi.

Mungkin itu bukan pilihan terbaik, tetapi isu ini mesti ditonjolkan sebagai agenda nasional, sehingga menarik lebih ramai audien dan mampu memberikan tekanan politik. Biar Najib dan Noh Omar, sebagai ketua Umno Selangor terpaksa membuka mulut memberi respons.


Jadi, wajarkah pelajar Kuis turut berkampung di kawasan pilihan raya Dun Permatang, khususnya bagi mengenakan tekanan politik kepada Adunnya, Sulaiman Razak? Umno Selangor dikira masih berpengaruh di kawasan sekitar Tanjong Karang dan tentunya mereka tidak bersedia menerima kekalahan beberapa kerusi Dun di sana... 

 

No comments: