Saturday, December 8, 2012

Persediaan PRU13 Umno menakutkan: Apa maksud Prof Agus?

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2012 memang berwarna-warni. Bukan hanya nampak garang dengan warna merah menyala pakaian perwakilan dan pemerhati, tetapi juga lagak-aksi pemimpin serta pembahas.

Ada tangisan, gelak ketawa, sorakan dan yang juga paling sukar dilupakan apabila Presidennya, Najib Razak kelihatan suka sangat menjerit, menengking, menjerkah dan "meneran".

Saya kira, berakhirnya PAU 2012, corong televisyen tidak bingit lagi dengan gema suara tinggi  Najib melaung dan mengherdik. Saya salah. Pengerusi BN itu rupanya masih gian menguji suaranya, mungkin mahu menyaingi lantunan bicara Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS.

Malam Isnin, 2 Disember lalu, sekitar jam 8 malam, sewaktu saya mula mengedit buku (yang tertangguh lebih empat tahun) mengenai kematian puteri saya, Nurul Syafiqah, dari ruang depan, suara bising Buletin Utama TV3 cukup mengejutkan.

Segera saya meluru bergegas mencari kepastian. Siapa pula mengacau ketenangan hari minggu ini? Nampak urat leher Najib yang tegang. Presiden Umno itu "meneran" lagi. Butir perkataannya tidak begitu jelas. Cuma saya dapat menangkap dia mempertegaskan dirinya sebagai perdana menteri yang prihatin dengan kebajikan dan kepentingan rakyat.

Biasalah ayat-ayat klise, terutama untuk mendapatkan mandat dalam PRU13 ... tetapi kenapa perlu menjerkah dan menjerit, dengan nada yang menjengkelkan, yang tidak selayaknya dilafazkan oleh seorang negarawan. Saya tidak pasti apakah Najib -- di depan M Keyveas dan ahli-ahli PPP yang semuanya merangkap pemimpin -- mengulangi perisytiharan perangnya lagi. Ya, memerangi rakyat yang ghairah menuntut perubahan dan pertukaran kuasa di Putrajaya!

Rupanya Najib masih berdiri di PWTC, tempat berlangsungnya PAU 2012 yang melabuhkan tirainya sehari sebelum itu (maghrib Sabtu), tetapi kini berucap merasmikan mesyuarat agung ke-59 Parti Progresif Penduduk.

Lensa TV menyorot wajah mentornya, Dr Mahathir Mohamad. Dalam hati terdetik, "hebat orang tua ini." Sebelum itu berhari-hari dia berkampung bersama ahli-ahli Umno sehingga Najib merakamkan penghargaan tinggi buat bekas Perdana Menteri itu semasa ucapan penangguhannya. Dr Mahathir  bagaikan penceramah Umno paling aktif sekarang.

Saya menahan diri daripada memandang rendah, apatah lagi memperleceh, keupayaan Umno dan gabungannya dalam BN, untuk mempertahankan sisa-sisa kuasa. Masing-masing parti sudah sewajarnya cuba mempamerkan kekuatan dan berlagak penuh yakin merekalah bakal pemenang dalam PRU13 nanti.

Namun, sesiapa sahaja yang mengikuti PAU Ke-66, walaupun sekadar menonton TV dan membaca akhbar, akan terkesan bahawa Najib serta sekutunya nampak gelabah dan tidak dapat menyembunyikan kegelisahan mereka.

Jeritan dan pekikan, serta sesekali ketawa besar dengan jenaka tanpa isi itu, sebenarnya cuba menyembunyikan gelodak rasa takut amat sangat akan kehilangan kuasa. Umno tanpa kuasa -- seperti sering diulang Najib dan Dr Mahathir -- tidak lebih daripada sampah.

Bukan saja Najib, yang pastinya bersungguh-sungguh dengan apa jua cara memastikan bahtera yang dinakhodainya tidak bocor dan tenggelam, malah Dr Mahathir juga bagaikan cacing kepanasan dan tidak betah duduk diam.

Masakan tidak, bagi pemimpin Umno, hilang Putrajaya bukan hanya bermakna peralihan kuasa kepada Pakatan Rakyat, tetapi mimpi ngeri buat para pemimpin dan kroni suku-sakat yang korup, merompak wang rakyat, menyeleweng dan hidup penuh kecurangan.


Petang 1 Disember lalu, di depan lebih 2,700 perwakilan, Najib memaklumkan bahawa Dr Mahathir secara sukarela bertemu dengan pemimpin akar umbi Umno untuk meraih sokongan untuk parti itu menjelang PRU13, walaupun tanpa diminta untuk berbuat demikian.

Anwar Ibrahim, yang cukup masak dengan perangai bekas bos yang telah memecat dan mengaibnya itu, dalam sidang media 3 Disember, segera menyanggah: "Kita tahu hakikatnya bahawa Dr Mahathir secara sendiri telah memanggil pemimpin Umno dan pemimpin negeri. Najib memaparkan keberanian yang sangat sedikit sebagai seorang pemimpin. Dia tidak mampu menangani Shahrizat (dalam skandal NFC), jadi saya tidak boleh bayangkan bagaimana dia mampu berurusan dengan Dr Mahathir."

Anwar turut memperlekehkan Umno yang dikatakan memperoleh keyakinan semula pengundi dengan menyifatkan pemimpinnya tidak mampu mendapat sokongan akar umbi dengan hanya "menginap di hotel 5 bintang, menghabiskan masa di lobi dan menghisap curut mahal ... Hal ini jelas terpisah antara kaya, pemimpin jutawan Umno dan rakyat di bawah."

Meskipun cuba mempertegaskan Umno sebagai organisasi massa yang berakar bersama rakyat, namun sebahagian besar pemimpinnya "tetap elit dan eksklusif". Desakan perubahan selepas kalah lima negeri dan hilang majoriti dua pertiga di Parlimen  langsung tidak membekas kepada gaya kehidupan mereka.

Rasuah yang membarah langsung tidak diberi penekanan oleh Najib, dan pendedahan sensasi Deepak  (termasuk berkaitan pembunuhan Altantuya Shariibuu) juga tidak cuba dijawab. Naib Presiden parti dan Menteri Pertahanan Zahid Hamidi yang rapat dengan Najib sejak zaman Pemuda, gagal menunaikan janjinya kepada media, untuk menjawab serangan terhadap keluarga bosnya itu semasa ucapan penggulungan, sebaliknya "melambung" Presiden Umno setinggi langit.

Penganalisis politik terkemuka, Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff dalam Facebook sempat membidas: "Saya tidak mengikuti PAU dari dekat tahun ini. Tapi dari berita yang saya baca, dari video Youtube yang saya tonton dan dengar, saya dapati gaya perdebatan perwakilan gagal untuk meletakkan agenda Umno ke depan. Ucapan banyak diisi dengan jenaka, puji memuji pemimpin, semangat kepartian yang tidak ada substance dan retorik basi. Ucapan penggulungan pemimpin juga lemah dan tidak meyakinkan. Jika ini mahu diambil sebagai gambaran tahap persediaan Umno untuk menghadapi PRU13, ini menakutkan!"


Saya tidak pasti apa maksud "menakutkan" bagi Dr Agus. Tidak mungkin  beliau "takut" Umno akan hilang kuasa. Atau ia membayangkan bagaimana seorang sarjana dan pemikir seperti Dr Agus sudah merasakan babak Umno-BN menguasai pemerintahan akan berakhir tidak lama lagi.

No comments: