Friday, January 11, 2013

2006 Altantuya diletupkan, 2013 siapa pula berkecai diibom Deepak?


Oleh Ahmad Lutfi Othman
Tahun 2013 sudah pasti tahun pilihan raya, tiada keraguan lagi. Semua maklum hal ini. Tarikh PRU13 tidak begitu dibincangkan lagi sekarang. Cepat atau lambat, bedanya tidak ketara, sama sahaja.
Walaupun ramai menjangkakan Parlimen akan dibubar selepas Tahun Baru Cina -- mungkin atas perkiraan pengundi Tionghua yang sukar dijinakkan BN -- tetapi jika Najib Razak terus menganjak sedikit lagi ke depan, saya rasa, tiada siapa yang peduli.

 Setiap parti komponen dalam Pakatan Rakyat dan BN sudah bersiap sedia sejak lebih setahun lalu, malah mungkin sebahagiannya mula mengadu keletihan dan tidak mustahil ada jentera kempen yang semakin kepupusan sumber.
Namun begitu, tinjauan rambang yang saya lakukan secara tidak sengaja semasa cuti hujung tahun baru-baru ini menunjukkan mood untuk melakukan perubahan sukar digugat lagi.

Bertemu anak-anak muda yang kelihatan masih mentah dalam politik dan tidak gemar berbicara soal pemerintahan, namun apabila diajukan siapa pilihan mereka dalam pilihan raya, hampir sepakat mahu melihat kerajaan dan pimpinan yang baru.
Di kenduri kahwin, walaupun sekadar bersembang sepintas lalu sambil berselisih bahu , tetapi ramai kenalan memberi mesej jelas: Cukuplah Umno yang korup dan rasuah. Berilah peluang kepada Pakatan Rakyat untuk buktikan mereka juga mampu menawarkan yang lebih baik.
"Saya lama dalam kerajaan, masak sangat dengan bermacam-macam cara dan kaedah rasuah, sebahagiannya tidak dapat dihidu undang-undang," bisik seorang pesara kanan bahagian penguatkuasaan kepada saya semasa menjamah pemanis mulut.
Segera saya teringat kalimat "korupsi berjemaah", suatu istilah yang sememangnya tidak manis, tetapi mampu mengingatkan bagaimana terancangnya jenayah keji itu.
Sambil berlibur di lokasi peranginan, bukti-bukti penyalahgunaan kuasa elit Umno juga yang ditunjukkan pemabaca Harakah kepada saya. Daripada projek-projek kecil potong rumput dan papan tanda jalan, segalanya mahu dibolot, apatah lagi agihan tanah dan anugerah  jutaan ringgir, semuanya untuk kroni dan suku-sakat. Termasuk kawasan perairan pantai yang cantik dan landai!
Dapatlah saya rumuskan, komitmen tingi bagi memastikan kerajaan persekutuan bertukar dalam PRU13 payah untuk digoncang. Semacam sudah ada sumpah janji setia, kali ini BN mesti ditumbangkan. Cukuplah peluang diberi selama lebih 55 tahun. Usah dirayu mandat rakyat lagi.
Bagaimanapun, ia bukan bermakna Najib dan rakan-rakannya tidak berusaha untuk melakukan perubahan (atau transformasi) bagi meraih sokongan rakyat. Pelbagai taktik, strategi dan pendekatan diusahakan dalam pakej menarik. Ia menghanguskan dana awam yang begitu besar jumlahnya tetapi majoriti rakyat tetap memandang sinis dengan "perubahan" tersebut.
"Dr Mahathir Mohamad dan Najib mempunyai persamaan dari segi membazirkan khazanah negara, terutama hasil Petronas, tetapi sekurang-kurangnya di zaman Mahathir ada juga monumen atau tugu-tugu yang dibinanya. Lihat sendiri apa yang Najib buat dengan duit ratusan bilion? Hangus begitu sahaja," marah seorang penganalisis politik.
Bahtera BN yang bocor dan mahu karam itu ternyata sukar diselamatkan lagi. 

Semasa berbincang dengan seorang sarjana politik terkemuka di rumahnya petang 1 Januari lalu, saya dapat mengesan keyakinan beliau  bahawa era Umno-BN hampir pasti berakhir. Saya sendiri terkejut, selalunya dia lebih suka memberi pandangan sebagai "orang tengah" tetapi kali ini berbeda.
"Inilah masa terbaik untuk negara kita berubah. Walaupun ada pihak berpendapat Pakatan belum mampu berkuasa selepas PRU13 dan hanya akan mencipta sejarah pada PRU14, saya berbeda dengan mereka," tegasnya sambil mengingatkan, "jika Pakatan gagal kali ini, BN tidak dapat ditumbangkan melalui pilihan raya lagi."
"Jadi, selepas itu, melalui jalan apa pula?" tanya saya kebodohan. "Kalau terlepas kesempatan terbaik PRU13 ini, mungkin kerajaan hanya dapat ditukar melalui kebangkitan rakyat seperti di Tunisia, Mesir, atau satu ketika dulu di Filipina," jawabnya, selamba. 
Saya terdiam. Kemudian saya menyoal balas: "Revolusi?" Tiada jawapan. Dia ketawa.
Biarpun optimis Pakatan mampu menguasai Putrajaya, beliau agak kurang berpuas hati dengan pendekatan pemimpin oposisi menangani serangan media.
"Pemimpin PAS, DAP, KeADILan perlu bersama, bersatu tenaga, bukan sekadar menyanggah tohmahan, malah menjadikan isu yang dimainkan media itu, misalnya Hudud dan terbaru Amanat Haji Hadi, sebagai pukulan maut kepada Umno," tambahnya.
Nampaknya beliau lebih percaya dengan keupayaan gelombang kesedaran rakyat, tetapi masih meletakkan syarat, iaitu kebijaksanaan pemimpin Pakatan menangani konflik dan cabaran.
"Tentulah BN tidak akan duduk diam menunggu saat kejatuhannya. Akan adalah pelbagai taktik kotor, penipuan, manipulasi, sabotaj dan sebagainya. Bila ada aksi tentu ada reaksi. Pemimpin Pakatan harus bersedia berdepan dengannya," ujarnya.
Tidak lupa beliau berpesan kepada Harakah agar mengemukakan isu-isu besar dan real, yang dirasai dan dideritai majoriti rakyat, terutama berkaitan kehidupan seharian, serta tidak mudah dipengaruhi isu-isu tempelan.
"Kita mahu mempengaruhi pembaca, jadi bentangkan fakta yang benar, sahih dan buat perbandingan mudah melalui grafik menarik. Elak serangan membuta tuli, apatah lagi cacian dan bahasa kesat. Rakyat semakin bijak menilai," pesannya.
II. Hak untuk menjawab yang tidak diambil peduli media
Saya suka melihat isu 'Amanat Haji Hadi' daripada perspektif pengamal media.
Menerusi Konvensyen Akses Media Dalam PRU13, anjuran Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI), pertengahan tahun lalu, ditimbulkan "hak untuk menjawab", yang jarang diberikan perhatian selama ini.
Amat pelik menyaksikan situasi yang sering terpapar dalam  media, khususnya Utusan Malaysia dan TV3, apabila seseorang tokoh pembangkang diserang kiri dan kanan, berhari-hari lamanya, tanpa diberi peluang untuk personaliti berkenaan menjawab.
Tentu kita masih belum lupa bagaimana Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dikecam keras berikutan kenyataannya mengenai Mat Indera dan tragedi Bukit Kepong. Utusan Malaysia selama hampir tiga minggu mengumpulkan pandangan pelbagai sumber, bukan sahaja untuk memburukkan imej pemidato popular itu, malah mahu merosakkan kewibawaan PAS sebagai parti Islam.
Malang sekali, Mat Sabu tidak diberi ruang untuk menjawab ke atas isu yang dilemparkan kepadanya sehingga terpaksa menggunakan ruang mahkamah untuk "membela diri".
Begitu juga dengan serangan media terhadap isu lebih 4,000 hektar tanah di Gua Musang yang didakwa telah diberikan kerajaan Kelantan kepada dua pemimpin DAP Perak,  sebagai "habuan politik yang membolehkan PAS mendapat kompromi DAP bagi meletakkan Mohamd Nizar Jamaludin sebagai Menteri Besar Perak pada 2008".
Fitnah yang diulang-ulang, walaupun selepas pihak kerajaan Kelantan memberi  penjelasan lengkap,  kononnya Menteri Besar, Tuan Guru  Nik Abdul Aziz Nik Mat merasuah Adun Setiawan merangkap Ahli Parlimen Beruas juga selaku Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham dan Adun Pantai Remis merangkap Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming dalam bentuk konsensi tanah.
Sehingga 1 Januari 2013, saya perhatikan Utusan Malaysia masih menyebarkan fitnah dan pembohongan tersebut.
Justeru, tentulah ada kewajaran untuk Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengenakan syarat agar penjelasannya mengenai "amanat" yang berusia 31 tahun itu disiarkan secara langsung melalui TV.
Selama ini RTM dan TV3 beraksi sebagai stesen rasmi Umno-BN,  bukan saja menggelapkan berita pembangkang, malah memutar-belitkannya untuk tujuan yang sarat dengan kepentingan politik parti pemerintah.
Ya, boleh saja perkembangan saingan politik BN itu digelapkan, tetapi apabila difitnah atau ditohmah, seperti berlaku kepada Mat Sabu dan isu balak Kelantan itu, maka mereka yang berasa terkilan dengan laporan berkenaan perlu diberi peluang untuk menjawab.
Hak untuk menjawab ini perlu dihormati oleh pengamal media, terutama pemiliknya.
III. Bukan soal kepentingan, tetapi demi kebenaran
Seorang rakan saya meramalkan Deepak Jaikishan akan menjadi individu paling berpengaruh dalam kempen PRU13 nanti. Saya tidak begitu mengikuti pendedahan beliau terhadap keluarga Najib, walaupun tuduhannya, bersama bukti-bukti yang dikemukakan (terbaru, telah teredar buku kecil mengenainya), mempunyai impak yang cukup besar.
Agak hairan juga dengan sikap membisu pihak berkuasa, terutama polis, terhadap tuduhan-tuduhan yang amat dahsyat itu, apatah lagi jika ia dikaitkan dengan akuan bersumpah kedua P Balasubramaniam, berkaitan pembunuhan Altantuya Shariibuu.
Walaupun media di bawah kawalan Umno-BN cuba menutup kemas suara Deepak ini, namun saya percaya kes berprofil tinggi itu hanya menunggu masa untuk meletup. Deepak sudah memulakan, dan ia tidak akan berakhir di situ sahaja.
Syak dan keraguan orang ramai, termasuk saya, bertambah kukuh, selepas didedahkan urusniaga melibatkan pembayaran  ratusan juta ringgit, dipercayai untuk menutup kelantangan Deepak.
Tanpa perlu kita mengetahui dengan terperinci butiran pertuduhan (Najib), cukup dengan hanya melihat reaksi orang yang dituduh (Najib dan Rosmah)), sudah dapat membayangkan kebenaran tuduhan berkenaan. Gerak dan langkah Najib diperhatikan dengan penuh minat.
Sebelum ini ada pihak cuba mempersoalkan kredibiliti Deepak dan motif beliau membuat pendedahan menggemparkan itu. Kata orang, dia mempunyai kepentingan tertentu sehingga sanggup mengambil risiko besar. Deepak dilihat melakukannya demi keuntungan peribadi. Motif pihak yang mempertikai Deepak, jelas sekali iaitu bagi melemahkan segala dakwaannya terhadap Najib dan Rosmah.

Tanpa mengenali lebih lanjut siapa Deepak, dan kalaupun beliau sememangnya mempunyai tujuan tersirat, atau dia berasa marah kerana "janji tidak ditepati", bagi saya,  apa yang hendak dihairankan? Apakah salah tindakan seseorang jika didorong oleh kepentingan peribadi?
Misalnya, semasa mendedahkan skandal rasuah  Dr Khir Toyo, sepuluh tahun lalu, saya  dari awal tahu bahawa sumber-sumber yang membocorkan rahsia kepada saya adalah pihak-pihak yang berkepentingan untuk menjatuhkan bekas Menteri Besar Selangor itu. Mereka mungkin ada masalah peribadi dengannya atau sememangnya seteru politik Khir sendiri? Ia langsung tidak menjejaskan misi saya.
Begitu juga kepentingan Deepak dalam kes membabitkan keluarga Najib ini. Yang penting apakah pendedahannya itu benar dan sahih. Niat dan motifnya, serahkan saja kepada Deepak. Atau apakah anda mengharapkan Deepak berada "dalam perjuangan membela kebenaran" sebelum mempercayainya?
Isu besarnya, jika tuduhan beliau palsu dan bohong semata-mata, apakah perlu Deepak disogok lagi? Orang ramai sedang menanti tindakan undang-undang yang dimulakan oleh Najib dan Rosmah. Mereka pelik melihat "kesabaran" dua suami isteri paling popular itu diserang pelbagai "tohmahan".
Apa pun, kes ini hanya membuatkan orang ramai bertambah muak dengan budaya rasuah yang bermaharajelala dalam elit penguasa. Ia semakin membusuk dan menanah. Hanyir sekali. Baunya tidak dapat ditutup.
Selepas Altantuya Shariibuu diletupkan dengan tragis sekali pada 2006, sama-samalah kita tunggu, pada 2013, siapa pula yang bakal berkecai?  

No comments: