Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN
Himpunan
Kebangkitan Rakyat, yang dijadual petang Sabtu depan, 12 Januari 2013,
sekitar Stadium Merdeka, nampaknya belum lagi diberi "publisiti percuma"
oleh media Umno. Pihak polis pun masih enggan membuka mulut.
Lantaran
itu, ada rakan-rakan yang diusik kebimbangan dengan jumlah kehadirannya
nanti. Bagaimanapun, saya optimis kali ini, ia bakal mencatat rekod
perarakan paling besar pernah disaksikan di ibu kota.Memang
targetnya cukup besar. Mengumpulkan satu juta orang. Sasaran yang dikira
berpadanan dengan objetif utama perhimpunan, iaitu memastikan tiada
penipuan dalam pilihan raya nanti.
Sebelumnya, melalui siri
himpunan Bersih sejak 2007, hanya sekitar 100,000 ... dan berjaya. Dalam
Bersih 3.0, pada 28 April 2012, dianggarkan hampir suku juta hadir.
Dilihat
gerakerja yang bermula di majlis pelancaran, Taman Seremban Jaya,
Negeri Sembilan, 3 November lalu, kemudiannya mendapat sambutan meriah
di peringkat zon dan negeri, program kemuncak di Kuala Lumpur ini begitu
"menjanjikan".
Tahun lalu, Himpunan Bersih 3.0 pun tiada "publisiti percuma" di peringkat awal. Akhirnya kecoh dan heboh juga seluruh negara.
Mungkin
strategis BN mengambil iktibar daripada gembar-gembur dan riuh-rendah
yang sia-sia seperti laporan polis beramai-ramai, larangan pakaian
kuning dan amaran agar menjauhi Dataran Merdeka; ia hanya mempopularkan
"demonstrasi haram" itu!
Secara peribadi, seperti tahun lalu, saya
berazam untuk turut sama memeriahkan, walaupun terpaksa menempah hotel
berdekatan pada petang Jumaat lagi. Malu untuk menjadikan keuzuran dan
jalan bertongkat sebagai alasan menjadi pemerhati pasif. Acara hebat
seperti ini mesti dirasai, dihayati dan dinikmati bersama.
Lagipun,
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, dalam perutusan
khasnya, menyeru masyarakat "walau apa situasi dan kondisi mereka
sekalipun, selagi terdaya hadir pada program itu walaupun terpaksa
berkerusi roda".
Lebih menarik, himpunan rakyat ini dapat
menjadi medan terbuka untuk exercise beramai-ramai, dalam suasana
mesra. Bukankah berjalan 10,000 langkah sehari itu satu amalan yang baik
untuk kesihatan dan menjadi kempen Kementerian Kesihatan?
(Ya...
baru saya tersedar, bagus juga aktiviti perarakan atau berjalan kaki
dalam program-program besar seperti Lynas, demonstrasi PTPTN dan
lain-lain).
Seperti diingatkan penggerak utamanya, Mohamad Sabu,
ia adalah himpunan paling aman dan berkonsep santai, juga boleh membawa
keluarga bersama. Beliau percaya, himpunan itu bakal memberi keuntungan
berganda kepada para peniaga dan hotel juga akan penuh.
Apa pun,
objektif utama menghimpunkan sejuta orang di pusat bandaraya Kuala
Lumpur, sebelum Parlimen dibubarkan itu, tidak harus dikompromi.
Dalam
suasana ceria dan relax, sambil berkenalan dengan rakan-rakan baru,
bertanya khabar sahabat lama atau bertembung kawan yang terpisah, maka
tujuan terpenting masih berlegar isu proses pendemokrasian, atau lebih
tepat memastikan Pilihan Raya Umum Ke-13 berjalan secara bersih, bebas
dan adil.
Pelbagai tuntutan telah dikemukakan, termasuk dalam
ketiga-tiga tunjuk perasaan Bersih terdahulu, begitu juga siri pertemuan
dan dialog dengan SPR. Tidak banyak kejayaan yang dicatat dan sistem
kita masih kekal bobrok, kotor dan tempang.
Lalu, tentu ramai yang
bertanya, apakah himpunan terbesar ini akan membawa manfaat kepada
proses reformasi politik yang sebenarnya? Atau sekadar satu pesta yang
bakal berakhir -- seperti biasa -- dengan tembakan gas pemedih mata,
kekasaran polis dan juga fitnah media di malamnya, serta ulangan
"keganasan" demonstran di kaca TV?
Bagi saya, aspek terpenting
adalah jumlah kehadiran pada hujung minggu itu. Walaupun ia bukan
gelanggang beradu kekuatan, namun harus disedari bahawa mesej jelas
kepada elit penguasa hanya dapat disampaikan apabila gema suaranya lebih
lantang dan nyaring!
Tok Guru Nik Aziz, semasa menyeru orang
ramai turun pada 12 Januari ini, menekankan: “Kerajaan tidak pernah
mendengar suara rakyat, jadi perlu kita turun beramai-ramai untuk
menyatakan bantahan ini.”
Dalam pada itu, penghargaan harus
dikalung buat para aktivis, khususnya anak-anak muda, termasuk warga
kampus, yang bergerak lincah menyusun pertemuan di seluruh pelosok
negara. Mereka bertungkus-lumus berikhtiar menjayakan misi besar ini.
Saya
sebenarnya lebih tertarik dengan rumusan Hishamuddin Rais, juga aktivis
penting Bersih: "Satu juta rakyat berhimpun adakah amaran yang cukup
jelas: Jangan tipu dalam PRU13.Jika pengundi dan rakyat merasakan mereka
ditipu dalam PRU13 ini, bukan hanya satu juta yang akan turun, bukan
dua juta tetapi berjuta-juta rakyat akan ke jalan raya."
II. Tukang karut dan pembohongan media
Semasa
TV3, Utusan Malaysia dan Berita Harian terus melemparkan tuduhan tidak
berasas berunsur fitnah -- dan disifatkan menghina Sultan Perak --
berkaitan kawasan balak Kelantan kepada dua pemimpin DAP Perak, Ngeh Koo
Ham dan Ngar Kor Ming, saya lebih lebih terkesan dengan tujuh soalan
penting Ngeh kepada Menteri Besar, Dr Zambry Abdul Kadir.
(Manakan
tidak menghina Raja Perak, apabila pemimpin Umno mendakwa PAS Kelantan
merasuahkan pemimpin DAP pada 2008 supaya berkompromi bersetuju dengan
Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak, sedangkan perlantikan MB
dibuat selepas Sultan mempertimbangkan ketiga-tiga calon daripada PAS,
DAP dan KeADILan).
Soalan-soalan yang dikemukakan dalam sidang
Dun baru-baru ini masih belum dijawab. Antaranya, isu mengenai penerima
tanah seluas 68,503 ekar yang diluluskan dengan nilai sekitar RM375
seekar tanpa tender terbuka.
Selain itu, mengapa tanah seluas enam
ekar di bandar Sitiawan dianugerah kepada Kinta Berkat Sdn Bhd tanpa
tender terbuka dan apakah syaratnya? Mengapa tanah (prime land) 15 ekar
di Mukim Lumut diluluskan kepada Realty Axis Sdn Bhd; tanah 32.07 ekar
di Mukim Kamunting, kepada YBU Holding Sdn Bhd; 147.84 ekar di Mukim
Lumut, kepada Kinta Berkat Sdn Bhd; 58 ekar di bandar Lumut kepada J
& S Holdings Sdn Bhd; dan 40 ekar di Perak Tengah (Sri Iskandar)
kepada Toyo Chemicals Sdn Bhd juga; semuanya tanpa tender terbuka?
Pelik
apabila media Umno terus memilih pendekatan primitif, dengan mengulangi
pembohongan demi pembohongan, meskipun fitnah berkaitan tanah di Gua
Musang itu berjaya disanggah dengan fakta kukuh, khususnya dari segi
tarikh-tarikh penting.
Mungkin mereka beranggapan masih ramai
rakyat yang mudah diperbodohkan melalui sentimen perkauman dan
kedaerahan sempit? Kepada tukang-tukang propaganda ini, orang ramai
dilihatbegitu dungu untuk mempercayai apa saja tohmahan yang
dilemparkan.
Selain itu, lihat sajalah "siaran ulangan" kenyataan
Dr Mahathir Mohamad yang sudah beberapa kali mengingatkan pengundi agar
jangan bereksperimen untuk menukar kerajaan, seolah-olah hanya BN layak
untuk bertakhta sampai bila-bila.
"Memberi tempoh lima tahun
kepada pembangkang sebagai kerajaan cukup bahaya. Banyak perkara boleh
musnah dalam tempoh itu," kata Mahathir sambil membentangkan "rekod
buruk" Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan! Entah berapa ramai yang
muak dan jelak dengan peringatan itu.
Tentunya majoriti pengundi
tidak sabar-sabar lagi untuk membuktikan kepada tukang-tukang karut
penasihat media Najib Razak itu bahawa zaman meremehkan tahap pemikiran
rakyat sudah lama berlalu.
Dan medan terbaiknya ialah PRU13 --
permulaan bermakna bagi menyaksikan perubahan benar-benar mengambil
tempat. Ya, sang pemberani akan bersama-sama membentuk Malaysia yang
lebih selesa untuk didiami.
III. Tuduhan palsu Memali mesti dihentikan
Dr
Rais Yatim tidak menunggu lama untuk menarik balik kesediaan kerajaan
agar Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang diajak berdialog dalam
siaran langsung televisyen mengenai "amanatnya" dengan alasan yang
dipertikai umum.
Begitulah lumrahnya ... apabila gayung bersambut,
pelbagai daleh diada-adakan bagi membatalkannya selepas menyedari ia
bakal menjejaskan kepentingan politik Umno. Segalanya adalah gerak untuk
menjatuhkan lawan menjelang PRU13.
Sebelum itu, ramai mengharapkan "isu jadi-jadian" ini dapat ditamatkan dengan baik.
Rakan
saya, Dr Mohamad Agus Yusof memberi reaksi dalam FB, pada 29 Disember
2012: "Saya tertarik dengan permintaan TG Haji Hadi supaya media perdana
memberikan beliau tempoh sejam untuk menjelaskan pendiriannya tentang
Amanat Haji Hadi. Amanat ini sudah lama menjadi 'isu politik' dan kini
sudah sampai masanya dengan apa juga cara TG Haji Hadi memberikan
penjelasan. We have to make a full stop kepada isu ini once and for all
kerana ia menyakitkan pemahaman rakyat tentang Islam dan agama. "
Bukan saja Dr Agus yang kecewa, ramai lagi tidak berpuas hati dengan permainan politik Umno yang tidak berkesudahan ini.
Budak-budak
sekolah pun dapat menelah mengapa secara tiba-tiba "Amanat Haji Hadi"
ditimbulkan semula. Hampir 30 tahun lalu, debat PAS-Umno mengenai isu
yang hampir sama -- kafir-mengkafir -- juga dibatalkan. Segala persiapan
diatur, termasuk menentukan ketiga-tiga pendebat setiap parti.
Ketika
kerajaan bertindak bacul enggan memberi peluang Ustaz Hadi bersiaran di
TV, isu "amanat" ini terus diputar-belitkan secara meluas di media.
Tak perlu bicara tentang Utusan Malaysia; memang amalan rutinnya. Setiap
hari, ia menjadi paparan muka depan, dengan mengitar semula peristiwa
lama dan ditonjolkan kisah-kisah yang sukar dipastikan kebenarannya.
Selepas
peluang Presiden PAS membuat penjelasan tertutup rapat, malam Rabu
lalu, 2 Januari, TV3 menyiarkan forum membincangkan hal "amanat", antara
lain, penalisnya, Abd Rahim Noor, bekas Ketua Polis Negara. Mengapa
tidak dijemput saja Ustaz Hadi untuk duduk bersama?
Maka, untuk kesekian kalinya, Rahim bebas menabur tohmah, termasuk mengaitkan "amanat" dengan peristiwa Memali 1985.
Beberapa
hari sebelum itu, Mingguan dan Utusan Malaysia menyiarkan wawancara
dengannya, dua hari berturut-turut, memfitnah Asyahid Ustaz Ibrahim
Libya dan anak-anak muridnya.
Tergamak beliau untuk terus
melakukan pendustaan terhadap orang-orang yang telah meninggal dunia
secara tragis. Secara peribadi, saya tidak mampu untuk membaca
keseluruhan kenyataannya yang kotor dan hanyir itu.
Sudah sampai
sampainya isu Memali "dibersihkan sebersih-bersihnya". Usah diulang lagi
kisah pedih yang terluka itu, apatah lagi dalam versi yang disalut
pembohongan.
Tuduhan dan fitnah terhadap Asyahid bukan saja mesti
dihentikan, malah kerajaan harus meminta maaf secara terbuka dan menarik
balik tuduhan palsu, termasuk dokumen rasmi mengenainya, yang berunsur
fitnah, seperti Kertas Putih Memali, yang diterbitkan pada 25 Februari
1986.
Di TV1, pada jam 9 malam, Jumaat, rancangan bual bicara RTM
secara langsung, Bicara Rakyat, juga menimbulkan isu sama. Dan ahli
penalnya ialah bekas pemimpin PAS, Dr Hassan Ali dan seorang lagi bekas
aktivis Parti Islam itu.
Begitulah nasib malang pengguna media di
Malaysia, khasnya penonton TV. Kita hanya disogok dengan pandangan satu
hala. Jika mahu membincangkan soal berkaitan PAS, maka yang diheret ke
studio ialah bekas pemimpin parti, yang hanya akan meluahkan segala yang
buruk-buruk tentang PAS!
--------
Friday, January 11, 2013
Memburu target 1 juta, tanah Kelantan dan Rahim Noor
Buku DETIK
UTOPIA karangan Ahmad Lutfi Othman boleh dipesan melalui pos kepada
Penerbitan Pemuda, DL32, Jalan Mutiara, Taman Bukit Ampang, 68000
Ampang, Selangor. Bayaran atas nama Ahmad Luqman Hakim b Ahmad Lutfi,
atau bank-in akuan Maybank 162179670906 (emel lutfi_detik@yahoo.com ) Harga termasuk bayaran pos RM28.00
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment