Oleh Ahmad Lutfi Othman
Mukadimah: Saya jarang, malah tidak pernah rasanya, menulis khusus tentang filem. Cuma saya pernah menyinggung sepintas lalu filem The Legend of Bhagat Singh, sekitar Ogos 2002, lebih 10 tahun lalu. Berikut adalah tulisan berkenaan:
SEJAK
20 tahun lagi, saya jarang dapat menikmati keenakan menonton filem.
Kalau adapun, hanyalah siri pendek drama TV. Untuk terpaku lebih dua
jam, apatah lagi menonton filem Hindi selama tiga jam, ianya cukup
memenatkan.
Walaupun isteri saya terpaksa membeli VCD Kuch Kuch Hota Hai,
sebanyak tiga kali -- kerana yang sebelumnya rosak dan yang lainnya
dipinjam orang tanpa dikembalikan -- minat saya langsung tidak terusik.
Apabila dikatakan filem Phir Bir Hindustani
dapat menggambarkan mood reformasi, saya cuba menontonnya, tetapi
secara melompat-lompat, dan akhirnya merasakan ia tidak lebih dari filem
murahan Hindi yang lain.
Namun filem The Legend of Bhagat Singh,
sentuhan berbisa Rajkumar Santoshi, berdasarkan lakonlayar Anjum
Rajabali, yang diterajui pelakon Ajay Devgan, mengubah keadaan. Hampir
tiga jam saya menatap penuh ghairah, setelah puas memujuk anak paling
kecil, Umar Mukhtar, 4, yang merengek mahu menonton VCD Ultraman.
Gelodak
jiwa muda dan nostalgia hidup di kampus kembali berputar selepas
menyaksikan kisah benar seorang anak muda, Bhagat Singh, 23, menyanyi
ceria sambil berlari-lari anak, bersama dua teman karibnya, Sukhdev dan
Rajguru, ke bilik gantung, selepas dikejutkan oleh pengawal penjara
bahawa saat kematiannya telah tiba.
Mati dalam usia
semuda itu, pada 23 Mac 1931, selepas menempuh liku-liku perjuangan
paling getir menentang penjajah British, kemudiannya jasad diseludup
keluar melalui pintu belakang Penjara Pusat Lahore, dan mayat dibakar
selepas dipotong-potong, merupakan gumpalan pengalaman tragis. Tetapi
saya kira ia mampu menyuntik semangat baru kepada penonton, khususnya
golongan muda.
Bhagat Singh yang menyaksikan pembunuhan
beramai-ramai Jallianwala ketika berumur 12 tahun, ialah pengkagum hebat
Gandhi. Kepada ibunya, Bhagat berkata: "Gandhi adalah jelmaan Tuhan
pada diri seorang insan." Namun, ia berubah apabila Gandhi menghentikan
gerakan menolak kerjasama dengan British.
Bhagat tidak percaya
dengan aktiviti anti-keganasan Gandhi apabila beliau mahu bertindak
lebih nekad. Justeru, slogan keramatnya ialah "Inqilab! Zindabad!"
(Hidup selamanya revolusi!) dan kalimah inilah yang memaksa Kongres
mengubah tuntutannya untuk mendapatkan kemerdekaan penuh daripada
British.
Baginya kemerdekaan tiada makna jika British dihalau
keluar tetapi penggantinya ialah elit India yang terus menindas dan
memeras golongan bawahan.
Dan, bagi Bhagat, selagi berlaku
pengasingan antara pejuang dan rakyat, maka British akan terus menjajah.
Justeru, jalan pintas harus dicari, meskipun terpaksa mempertaruhkan
nyawanya, supaya mesej perjuangannya dikongsi bersama sentimen rakyat.
Namun, Bhagat menjadikan penjara dan mahkamah sebagai markas untuknya menghebahkan gerakan anti-British, menurut pendekatannya yang berbeza dengan Kongres dan Gandhi. Dia juga sempat memperlekehkan hakim, polis dan pendakwa British, sehingga ada pengkaji sejarah berkata popularitinya di India menyamai Gandhi!
Bhagat Singh ialah cerita perjuangan dan kisah kekentalan hati sekumpulan anak-anak muda yang berazam berjuang untuk negara. Mereka sentiasa ceria meskipun dipukul. Dan mereka tetap gembira sewaktu mogok lapar membantah layanan buruk di penjara.
Menonton filem ini, bagi saya, mengingatkan tentang peritnya takah-takah perjuangan yang mesti didaki. Ia juga menyedarkan tentang kebijaksanaan mengatur rentak dan gerak, dan lebih menarik memaparkan bagaimana kumpulan kecil dapat menggugat kuasa imperialis maha hebat ketika itu.
Terngiang-ngiang lagi pekikan bersemangat Bhagat ketika di dalam kandang tertuduh di mahkamah: "Revolusi! Hidup selamanya!", "Hancur Imperialisme!" Terselit juga memori buat mereka yang kini ditahan, Mohd Ezam Mohd Nor, Hishamuddin Rais, Tian Chua, Dr Badrulamin Bahron, Abu Urwah, Lokman Noor Adam, dan memori laungan "Reformasi!" di Jalan Tuanku Abd Rahman!
http://www.bharatmovies.com/hindi/songs/the-legend-of-bhagat-singh-songs.htm
--------------
Tulisan ini pernah disiarkan Malaysiakini, 29 Ogos 2002 dan sebelumnya oleh makalah tidak berkala yang diterbitkan Ahmad Lutfi sendiri
1 comment:
Alhamdulillah, selepas 20 tahun hari ini kemenangan telah terzahir dan Anwar Ibrahim sbg Perdana Menteri ke 10
Post a Comment