Oleh Ahmad Lutfi Othman
Jam 2 petang, Rabu, 9 Januari, sebaik melintasi jalan di hadapan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUM), Cheras, selepas
menjalani rawatan rutin dengan Prof Dr Zamrin Dimon, saya dan isteri
agak terperanjat apabila sebuah teksi tiba-tiba berhenti mengejut
sambil pemandunya membuka tingkap.
"Sdr Ahmad Lutfi,
ya? Ketua Pengarang Harakah?" tanya pemandu, berwajah ceria, mahu
kepastian. Apabila saya mengangguk, senyum, beliau terus keluar,
meluangkan pintu belakang dan mempelawa saya masuk.
"Saya nak bawa
sdr melihat sendiri kawasan perumahan kami. Dan hampir tiga minggu tak
ada air. Zalim betul kerajaan. Sdr Lutfi dapat saksikan sendiri susahnya
kami," lancar saja dia berbicara.
"Tak jauh pun dari sini, kat
Flat Melaka hujung sana, yang penting sdr tengok sendiri ...,"
tambahnya, separa merayu, sambil tangannya menunjuk ke arah simpang ke
Tasik Permaisuri.
Saya berpandangan dengan isteri, Siti Hawa. Kami
keletihan selepas menunggu lama tadi. Malah, ada kesilapan kecil semasa
mengambil ubat di farmasi menyebabkan terpaksa berulang alik ke klinik
yang agak sesak disebabkan dalam proses ubahsuai.
Lagi pula kami
baru menapak agak jauh menuju parkir, berdekatan stadium bolasepak dan
kompleks renang, dengan isteri menyabarkan bila nampak langkah saya
makin perlahan, dibantu tongkat, terutama semasa mendaki: "Bukankah baik
berjalan kaki 10,000 langkah sehari? Untuk kesihatan dan kuatkan otot
'kan, seperti nasihat Prof?"
Kebetulan saya belum makan sejak pagi.
"Maaf,
saya agak letih, satu pagi di HUKM tadi ... boleh kita atur pertemuan
hari lain, saya boleh bawa sekali wartawan dan jurugambar," saya tidak
bermaksud sengaja mencari alasan. Panas terik turut membantut stamina
saya.
Selepas bertukar nombor telefon, saya rasa lega sambil bertekad cuba membantu sekadar mampu.
Esoknya,
pagi Khamis, saya dikejutkan dengan telefon Fazli, pemandu teksi yang
saya jumpa semalam, minta pengesahan jam berapa kami boleh sampai Flat
Sri Melaka. Kami sampai agak lewat. Agak ramai yang sabar menanti, untuk
menceritakan rutin harian yang memenatkan, apatah sebahagian besarnya
warga emas.
Saya dimaklumkan ada ibu mengandung lima bulan
keguguran naik turun tangga membawa air. Seorang lelaki, dalam usia
60-an, yang duduk di sebelah saya, di bawah wakaf tempat kami berkumpul,
menunjukkan kakinya yang bengkak. Nampak beliau sukar berjalan.
Dapat
dikesan bahawa penduduk memahami akar masalah sebenar; mereka dapat
menyelami dengan baik dan menerima penjelasan yang telah dibuat oleh
Menteri Besar Selangor, Abd Khalid Ibrahim, yang juga ahli Parlimen
Bandar Tun Razak.
"Selagi kita tak tukar kerajaan persekutuan
selagi itulah masalah ini tak akan selesai," kata seorang daripadanya,
juga pemandu teksi. Kelihatan dia mendapat sokongan daripada
rakan-rakannya yang termasuk, termasuk kaum ibu. Dia juga pandai
berjenaka.
"Sekarang dah ramai jadi maharaja lawak. Tengok saja
alasan Syabas yang mengaitkan hal ini dengan projek Langat 2, 'kan tak
masuk akal? Cukuplah melawak," tambahnya.
Bila saya posting
isu ini dalam Facebook, ada rakan-rakan sekitar Cheras mencelah:
"Kawasan kami lagi teruk, Flat Sri Melaka hanya empat tingkat, kami 16
tingkat, bila lif rosak bayangkan nak angkut air:"
Bukan saja
harapan penduduk sekitar kawasan Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, yang
melangit tinggi terhadap Harakah dan juga Pakatan Rakyat, ramai lagi
anggota masyarakat yang diasak pelbagai masalah -- bekalan air hanya
siri rentetannya -- amat mengharapkan kesulitan mereka dapat diatasi.
Atau sekurang-kurangnya luahan suara hati mereka didengar dengan jujur dan terbuka.
Ketika
saya mencatatkan keluhan wakil penduduk, bukan saja berkaitan masalah
bekalan air yang tidak diuruskan secara profsional, juga isu projek
pembangunan semula di atas tapak kawasan perumahan Sri Melaka, Sri
Johor, Sri Melaka dan Taman Ikan Mas, seorang daripadanya berbisik
perlahan:
"Minta Sdr Lutfi sampaikan hajat kami kepada pemimpin
Pakatan, khususnya PAS, agar mereka dapat turun melihat kesusahan orang
bawah di sini, kalau boleh biarlah Presiden atau Timbalan Presiden PAS
sendiri."
Sebenarnya ini bukan kali pertama saya mendapat mesej
jelas, yang menggesa agar pemimpin Pakatan -- di samping mendedahkan
isu-isu besar penyelewengan kerajaan BN seperti rasuah dan skandal
ekonomi -- segera turun mendekati rakyat.
Kalaupun tidak mampu
menawarkan jalan penyelesaian sepenuhnya, mungkin dengan keterbatasan
kuasa dan pengaruh, cukuplah untuk menunjukkan keprihatinan dan rasa
peduli yang tinggi terhadap kesukaran seharian rakyat.
Semasa
sembang-sembang santai dengan seorang pensyarah kanan perubatan HBUKM di
ruang menunggu yang sesak, beliau mencadangkan agar Harakah turut
memberi tumpuan istimewa kepada isu-isu yang menyentuh rakyat secara
langsung, selain menghebahkan kejayaan negeri-negeri Pakatan Rakyat.
"Ramai
lagi yang terpengaruh dengan TV3 dan Utusan Malaysia. Dekati mereka,
sampaikan maklumat dengan jelas dan jangan lari daripada fokus utama.
Usah layan sangat isu-isu yang sengaja dicetuskan untuk memalingkan
perhatian rakyat," tambahnya.
"Orang sekarang mahukan fakta, bukan
retorik. Tunjukkan apa yang rakyat dapat jika Pakatan memerintah,
misalnya ramai menunggu, betulkah harga kereta akan turun kalau BN
kalah?
"Jadi, kualiti calon Pakatan amat penting. Rakyat mahu
wakil mereka yang mudah didekati, tidak sombong, sedia turun selesai
masalah, ringan tulang, amanah dengan kepercayaan pengundi," ujarnya
sambil menekankan agar Harakah dapat menjawab segala tohmahan media
terutama berkaitan kepentingan Melayu-Islam.
Segera saya teringat
komen seorang sarjana sains politik: "Ramai juga saya perhatikan rekod
kerja wakil rakyat Pakatan yang tidak menyerlah. Malah ada yang takut
berjumpa rakyat, bimbang tak dapat dipenuhi hasrat pengundi. Nasib baik
gelombang sekarang mahukan perubahan, dan rakyat tak kisah dengan
kelemahan Pakatan. Tapi cukupkah bersandarkan trend semasa itu?"
(Semasa
saya menyiapkan artikel ini, SMS rakan saya, seorang wartawan
penyiaran, memaklumkan isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor, akan turut
mengagihkan bekalan air minuman kepada penghuni Flat Sri Melaka, petang
Jumaat, 11 Januari 2013)
Friday, January 11, 2013
"Turun tengok masalah kami"
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment