Oleh Ahmad Lutfi Othman
Alhamdulillah.
Terbukti acara kemuncak Himpunan Kebangkitan Rakyat 12 Januari lalu
bertaraf grand finale yang mencipta sejarah.Stadium Merdeka menjadi
saksi bahawa gemuruh suara rakyat tidak boleh diremehkan. Mereka
benar-benar mahukan perubahan! Dan ia tidak boleh ditangguh lagi.
Lebih
penting, ada amaran tersirat: "Pastikan tiada penipuan dan manipulasi
dalam PRU13. Hormati segala tuntutan Bersih selama ini."
Segalanya
berjalan teratur, lancar dan aman sekali. Malah, ramai berasa selesa
dengan ketiadaan kelibat FRU. Ratusan ribu rakyat prihatin bergerak
tanpa gangguan. Tekad polis untuk menjadi fasilitator atau pemudahcara
boleh dikatakan berjaya.
Tanpa provokasi dan gangguan seperti siri
perhimpunan raksasa sebelumnya, Kuala Lumpur tidak bingit lagi dengan
tembakan gas pemedih mata atau pertembungan langsung dengan pasukan
keselamatan.
Tiada keganasan direkodkan. Harmoni. Menyenangkan. Penuh muhibah dan toleransi.
Walaupun
jumlah kehadiran cuba dikecilkan pihak polis, saya kira umum dapat
memahami situasi terdesak itu. Ya, apa lagi yang mahu diputar-belitkan
untuk memberi gambaran jelek kepada publik, khususnya melalui siaran
berita RTM dan TV3 pada malam Ahad lalu?
Strategis
dan tukang propaganda Umno-BN kehilangan idea untuk 'spin' isu ini.
Selepas memberi gelaran tidak masuk akal -- "Himpunan Shamsidar" --
Utusan Malaysia dan TV3 terpaksa menelan muntah sendiri. Maka terpaksa
diselongkar (sebenarnya direka-reka) bahan yang boleh memaparkan
kegagalan perhimpunan yang memecah rekod itu.
Harapan pengarah
himpunan, Mohamad Sabu, seperti dilafazkan selepas berjumpa Ketua Polis
Negara beberapa hari lalu, agar peserta datang beramai-ramai, membawa
keluarga bersama, berjalan santai beriringan, dengan mood festival,
bernar-benar tercapai.
Setiap lapisan masyarakat, dengan pelbagai
latar belakang, tua dan muda (juga kanak-kanak), lelaki dan wanita,
mewakili segenap sektor yang membawa tuntutan berbeda tetapi dengan roh
dan semangat yang sama, biarpun penat berhimpit-himpit dan letih
mengatur langkah, namun wajah mereka membayangkan kegembiraan dan
kepuasan.
Saya hampir terlepas menyaksikan himpunan bersejarah itu
selepas keletihan berjalan agak jauh pada malam sebelumnya, untuk
bersama-sama memeriahkan acara "countdown" di Kampung Baru.
Hasrat
awal untuk berkereta sehampir mungkin dengan stadium, tetapi terpaksa
berpusing-pusing sekitar ibukota apabila banyak laluan, termasuk Jalan
Sultan berhampiran hotel penginapan saya dekat Pudu Sentral ditutup.
Selepas setengah jam "sesat jalan" dan balik semula ke Jalan Tuanku
Abdul Rahman, kami tersekat pula di persimpangan Dataran Merdeka,
apabila Jalan Tun Perak ditutup bagi memberi laluan kepada perarakan.
Apa
pun, terima kasih kepada pemandu teksi yang bersedia membantu (ada buku
"Kebangkitan Rakyat" oleh Yusuf Qaradawi atas dashboard keretanya;
bayangkan dia hanya menerima RM3 untuk perjalanan yang saya kira bayaran
miternya melepasi RM15), selepas jalan dibuka jam 2.30 petang.
Dapat
juga saya menapak perlahan-lahan sehingga ke tangga stadium, untuk
naik memerhati lautan manusia, yang juga sabar memberi giliran dan
peluang kepada orang lain menyaksikan acara terhebat itu. Pemandangan
di sekitar stadium begitu menakjubkan. Limpahan manusia tertib
berdisiplin.
Masing-masing senyum hormat, menebarkan salam,
mengangkat tangan, menunjukkan tanda "bagus". walaupun saling tidak
mengenali. Seorang anak muda bukan Melayu, yang tersinggung sedikit
tangan saya, ketika berjalan turun tangga stadium, dengan nada sopan,
menundukkan kepala, memohon maaf berkali-kali.
Tidak sempat lama
mendengar amanat pemimpin, saya terpaksa berjalan balik ke hotel.
Bimbang "kelemasan" dalam suasana sesak dan padat. Secara peribadi, saya
cukup berpuas hati dan melafazkan syukur berulangkali kerana dapat
sama-sama berdiri di antara ratusan ribu yang lain, menyaksikan "sejarah
Malaysia baru dalam pembikinan".
Ramai rakan-rakan sekitar Kuala
Lumpur dan Selangor sengaja memilih untuk tidak masuk ke stadium. Semasa
berselisih dengan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Noor
Mohamad, selepas berakhir acara "countdown" di Kampung Baru, jam 12.30
malam sebelumnya, dia menyatakan seeloknya masyarakat Lembah Klang
memberi peluang kepada orang luar untuk menghayati kemeriahan Stadium
Merdeka.
Agak lama juga saya menunggu teksi untuk balik ke hotel.
Tak mampu lagi mengheret kaki walaupun perjalanan menuruni bukit.
Alhamdulillah, seorang pemandu teksi, kali ini rakan Tionghua yang baik
hati, bersedia menempuh kesesakan.
"Memang bersih kali ini, ya?"
katanya, ketawa kecil, merujuk suasana aman walaupun lebih ramai
berarak berbanding siri demonstrasi Bersih sebelumnya. "Tak takut bawa
teksi hari ini?" tanya saya. "Biasa saja, jalan pun tutup taklah lama,
sekarang sudah lancar," balas pemandu yang ramah dan tidak lokek dengan
senyuman itu.
"Kalau polis tak kacau, dan jalankan tugas secara
profesional, keadaan akan jadi baik macam hari ini," pintas rakan saya,
yang menemani sejak pagi. "Mungkin peniaga Jalan Tuanku Abdul Rahman
merungut, sebab laluan mereka tidak sesak seperti demonstrasi Bersih
sebelum ini, dan pelanggan tak ramai," tambahnya. Kami serentak ketawa.
Anak
lelaki saya pula mengingatkan ada peserta himpunan yang mengagihkan
minuman ringan kepada anggota polis di hadapan pintu stadium. "Baguslah,
kalau semua bertimbang rasa, saling memahami, dan jadi bukti bahawa
demonstrasi tidak perlu ditakuti," kata saya, mahu melihat reaksi
pemandu teksi tadi. Dia mengiayakan.
Namun, saya tidak akan lupa
wajah bersih seorang anak muda, awal 20-an, yang baru saja pulih dari
koma selepas lebih setahun kemalangan, tetapi masih uzur di atas kerusi
roda, datang bersama keluarganya, dari Johor. Semangat keluarga ini
cukup luar biasa. Dan saya pasti blogger Umno akan memanipulasikan
suasana hebat itu daripada perspektif sempit mereka.
Riak muka
anak muda itu membayangkan tingginya harapan dan tulusnya impian rakyat
Malaysia untuk melihat perubahan besar selepas PRU13 nanti....
Monday, January 14, 2013
Catatan tengah malam 12 Januari: 'Memang bersih sungguh kali ini'
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment