Oleh Ahmad Lutfi Othman
TIDAK sampai sebulan lagi kita akan menyambut ulangtahun kelima tsunami politik Mac 2008. Sejak merdeka rakyat negara ini tidak berkesempatan merasai tempoh Parlimen yang begitu lama.
Lim Kit Siang menyifatkan Najib Razak mencipta rekod kerana menjadi Perdana Menteri paling lama tanpa mandat yang diperolehinya sendiri, lebih lama daripada empat PM sebelumnya, sebelum mereka mendapatkan mandat sendiri selepas mengambil alih tampuk pemerintahan.
Tiba-tiba saya terkenang tajuk muka depan Harakah keluaran pertama tahun baru, “2008 TAHUN TUKAR KERAJAAN”.
Saya bukannya peramal politik, dan rasanya tiada siapa menduga akan berlaku peralihan kuasa di peringkat persekutuan, memandangkan rekod Abdullah Ahmad Badawi dalam pilihan raya sebelumnya, 2004, begitu menakjubkan.
BN meraih 64 peratus undi popular dan menguasai lebih 90 peratus kerusi Parlimen. Saya menerima teguran, termasuk dari pimpinan parti, kerana memilih tajuk “seberani” itu. Ada yang menyifatkannya sebagai kesilapan strategi kerana boleh mengundang rasa cuak pengundi untuk memilih PAS. “Tahap ini kita perlu pamerkan wibawa sebagai pembangkang yang kuat dan berkesan dulu,” kata seorang darinya.
Minggu lalu, saya cuba mendapatkan pandangan rakan-rakan terhadap begitu banyak kaji selidik dan ramalan keputusan PRU13.
Sebahagian mereka menjangka laluan Pakatan Rakyat ke Putrajaya semakin cerah walaupun pemerhati bebas melihat cabaran hampir seimbang, dengan jumlah “pengundi atas pagar” bertambah ramai.
“Aku malas nak fikir siapa pemenang, tapi aku yakin Umno-BN tiada masa depan lagi, sudah tak boleh diubah,” ujar seorang editor kanan akhbar. “Lebih senang membayangkan bagaimana Malaysia di bawah Pakatan nanti, terutama nasib media arus perdana.”
Saya juga sempat berbicara dengan Prof Dr Redzuan Othman, Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya, UMCEDEL, yang popular dengan servei isu dan kecenderungan pengundi menjelang PRU13 (kajian lapangan pada 26 Disember 2012 hingga 11 Januari 2013).
Beliau menarik perhatian saya terhadap kecenderungan mengundi wanita, yang dilihat lebih memihak BN, khususnya membabitkan wanita Melayu dan yang berpendidikan SPM ke bawah. Bukan saja program transformasi Najib mudah memikat hati mereka, serangan tohmahan negatif kepada pembangkang juga dipercayai.
Sokongan masyarakat India terhadap Pakatan turut dikatakan merosot dan ia boleh menggugat kemenangan di negeri tertentu. “Satu lagi isu besar ialah sumber maklumat, masih ramai bergantung kepada Utusan Malaysia dan TV3,” katanya. Segera saya teringat kekhuatiran bekas Menteri Penerangan, Kadir Sheikh Fadzir, yang kerap berpesan agar keberkesanan penyebaran informasi harus dipertingkatkan.
Mengulas perkembangan sama, seorang profesor politik berkata: “Politik cukup dinamik sifatnya.
Kajian-kajian tersebut mungkin terpakai waktu itu, tapi ia akan terus berubah. Setakat ini, trend menunjukkan semakin hari perubahan itu menguntungkan Pakatan. Apa pun, kalau esok PRU13, survei hari ini pun boleh berubah lagi.”
Bagi saya, peningkatan jumlah pengundi yang “belum membuat keputusan”, seperti didedahkan dalam banyak kaji selidik, merupakan cabaran terbesar agar gerakerja yang tepat dan bersesuaian dilipatgandakan.
Ia juga satu petanda bahawa kredibiliti calon akan diberi perhatian besar oleh pemilih, khususnya generasi muda atau yang baru pertama kali mengundi.
Selasa lalu, semasa sarapan pagi di sebuah restoran mamak di Bandar Baru Ampang, seorang penyokong tegar PAS menekankan: “Kerja jahat Umno bersama SPR untuk menafikan kemenangan Pakatan hanya satu peringatan supaya kita lebih tekun dan tak ambil mudah. Kita harus berhati-hati, operasi mereka mungkin tidak seperti yang kita jangkakan.”
Rakannya, bekas guru memandu, mencelah: “Kita mesti menang, bang. Teruk sangat Umno ini. Punah negara kalau dibiarkan. Macam saya, lima anak bersekolah, susah ....”
Saya segera membayangkan bagaimana jutaan rakyat kini menaruh harapan tinggi kepada Pakatan, bukan saja untuk menang PRU13 tetapi lebih penting lagi, dapat memenuhi impian mereka, memperbaiki kualiti kehidupan dan menyelesaikan masalah yang bertimbun.
“Calon kita mesti disaring betul-betul. Dugaan bila menang nanti hebat dan dahsyat. Jangan jadi macam wakil rakyat Umno. Rakyat bukan hanya menyumpah seranah kita tetapi mereka akan bangkit berontak kalau dikhianati.”
Tersentak saya mendengar luahan hati penyokong akar umbi itu.
Dalam pada itu, pesanan Naib Presiden PAS, Husam Musa, kepada lebih 1,000 petugas pilihan raya seluruh negara dari kawasan-kawasan yang bakal ditandingi PAS, perlu dilaksanakan.
Katanya, PAS berada dalam tempoh berpantang sebelum PRU13 dan dalam tempoh kritikal itu. pemimpin dan ahli-ahli tidak boleh melakukan kesilapan yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat.
“Kalau orang perempuan berpantang selepas bersalin, kita berpantang sebelum bersalin. Kandungan kita ialah harapan perubahan rakyat Malaysia. Jadi sewaktu berpantang ini, kita tidak boleh melakukan satu pun kesalahan,” katanya.
Ya, banyak pihak mengakui, kemenangan bakal diraih oleh parti atau calon yang paling minimum melakukan kesilapan. Sebarang kesalahan kecil, termasuk di peringkat paling bawah, boleh dimanipulasi khususnya oleh media yang menjadi perkakas BN.
Bukankah Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri sendiri, dalam pengakuannya kepada European Muslim Election Comittee, 5 Februari lalu, bahawa media Malaysia menjadi “alat kerajaan” (sebenarnya parti pemerintah) terutama kempen semasa pilihan raya?
Patutlah penarafan media dalam kajian persepsi Reporters Without Border bagi tahun 2011/2012 meletakkan Malaysia di kedudukan ke-122 daripada 179 negara, setaraf dengan Algeria dan Tajikistan, tetapi lebih buruk daripada Zimbabwe, Oman, Fiji dan Kemboja.
Bekas Ketua Pengarang Kumpulan NST, A Kadir Jasin menulis: “Penarafan Malaysia tidak menjadi bertambah baik kerana sejak cakap-cakap PRU13 timbul, media massa arus perdana kembali membuat laporan berat sebelah menyokong kerajaan dan memburuk- burukkan pembangkang.”
Kalau pada awal 2008, tiada siapa berani menjangka pembangkang boleh menang besar, kini selepas lima tahun, tajuk seperti yang saya pilih itu bukan kejutan lagi. Dan saya pun tidak mahu mendengar berita yang mengejutkan selepas PRU13 nanti. Biarlah apa yang dijangka menjadi kenyataan ...
No comments:
Post a Comment