Oleh Ahmad Lutfi Othman
Majoriti rakyat Malaysia amat mendambakan perubahan. Dan hasrat itu tidak boleh ditangguh lagi. Menunggu lebih lama hanya memburukkan situasi, menyeret negara ke kancah kemusnahan dan menyukarkan usaha pembaharuan nanti, selain memakan kos lebih mahal.
Satu demi satu masalah bertindan-timbun. Negara dikepung krisis dan konflik. Pemimpin lebih memikirkan soal kepentingan diri, kelompok, kroni dan suku-sakat.
Kalau ada pun perubahan, ia semata-mata demi meraih simpati dan sokongan politik. Segalanya kosmetik. Misalnya, pemberian bantuan 'one-off' yang dipopularkan Najib Razak, mungkin difaktorkan janji-janji Pakatan Rakyat sendiri, melalui Buku Jingga.
Susun semula ekonomi
Dr Mohamad Agus Yusof pernah mengulas: "Tawaran mana-mana parti berbentuk 'one-off' hanya sekadar gula-gula sementara kepada rakyat. Saya kira dasar seperti itu tidak adil pada ekonomi negara yang memerlukan banyak wang untuk membayar hutang luar dan menyediakan pembangunan fizikal kepada rakyat. Saya harap selepas PRU13, dasar ekonomi negara dan sistem percukaian negara perlu disusun semula supaya kerajaan boleh berlaku adil kepada kepada rakyat mahupun ekonomi negara."
Sebenarnya tsunami politik lima tahun lalu, yang hampir mengheret BN ke posisi pembangkang, langsung tidak pernah memberi iktibar kepada pemimpinnya, malah rakyat terus disogok dengan "rasuah yang dihalalkan undang-undang". Isu integriti dan penyalahgunaan kuasa pemimpin BN yang begitu menarik perhatian pengundi tidak pula dipandang penting pemerintah. Hutang negara berlipatganda. Kebajikan masyarakat bawahan dijadikan komoditi untuk mendapatkan undi.
Korupsi dan salahguna kuasa bermaharajalela. Khazanah kekayaan negara dipunggah rakus. Jurang kaya miskin melebar. Terbina kebangsawanan baru, menghidupkan fenomena antara dua darjat. Keselamatan keluarga juga terancam.
Demi survival kuasa, elit pemerintah Umno-BN sanggup memainkan emosi bahaya perkauman. Untuk mempertahankan takhta, sentimen agama yang sempit berterusan dibakar. Mereka langsung tidak hiraukan keharmonian dan kesentosaan bakal terjejas, asalkan dapat terus berkuasa. Peliknya, pada masa sama. Menteri Dalam Negeri menuduh Pakatan yang menjolok emosi perkauman.
Cukup menggerunkan
Keberanian rakyat untuk menggerakkan perubahan cukup menggerunkan pemimpin korup dan curang. Mungkin ramai di antaranya yang tidak dapat lena tidur mengenangkan nasib kehilangan kuasa. Bagi pemimpin yang selama ini tamak "merampok" wang rakyat, mungkin sentiasa diasak mimpi ngeri dikejar dosa sendiri.
Justeru, taktik usang-kuno digunakan, bagi menggertak dan menakutkan golongan yang bertekad melakukan pembaharuan itu. Bagi rakyat, kaedah menyelamatkan negara bukanlah susah pun; hanya bersedia untuk memilih kerajaan baru, terutama di peringkat persekutuan.
Hampir semua pengundi menyedari bahawa medan terbaik untuk mereka menukar impian menjadikan Malaysia lebih sejahtera, demokratik, makmur, dan lebih penting rakyatnya dilayan secara adil, adalah dalam PRU13 ini.
Tempoh 55 tahun Umno menerajui kerajaan sudah lebih daripada mencukupi. Melalui 12 kali pilihan raya umum, bermula daripada Parikatan sehinggalah BN, peluang menabur bakti, melakar hala tuju dan mengemudi teraju pemerintahan terbentang seluas-luasnya, dengan kemudahan cukup selesa, apatah lagi berbekalkan majoriti dua pertiga. Peluang dan ruang itu disia-siakan; amanah dikhianati.
Punah dan berderai
Selama lebih lima dekad, rakyat menggantung harap agar negara dipacu dan dikendali secara penuh kejujuran, telus, berintegriti dan melaksanakan prinsip good governance. Diimpikan suara mereka didengar, pemimpin turun padang menyelami degup jantung rakyat, kongkongan dibebaskan, tuntutan agama dijulang dan maruah sebagai insan dipertahan.
Galasan harapan itu punah. Kalungan impian itu putus berderai. Elit penguasa hanya mahukan mandat dan sokongan, tetapi tidak bersedia memikul tanggungjawab setulusnya.
Dalam sistem demokrasi, menukar kerajaan adalah lumrah dan tidak perlu dirisaukan. Kerajaan yang menyeleweng dan gagal menjalankan amanah akan direhatkan. Di negara maju, peralihan kerajaan tidak pernah membawa kehancuran sebaliknya dilihat suatu penambahbaikan.
Pemerintah yang bergelumang rasuah serta menyebabkan ekonomi negara merudum, kebajikan rakyat terabai, hutang meningkat dan peluang pekerjaan terbatas segera "dipencenkanan" apabila mandat berakhir. Malah, jika keadaan terdesak, undi tidak percaya boleh dikemuka di Parlimen, atau ada parti sekutu yang menarik balik sokongan.
Namun, di negara kita, Perdana Menteri Najib Razak dan mentornya, Dr Mahathir Mohamad, untuk kesekian kalinya mendendangkan kembali lagu lama. Mengetahui mood rakyat untuk berubah semakin kuat, kedua-duanya mengulangi "nasihat berbaur ugutan", dengan harapan dapat mengendurkan komitmen untuk menukar kerajaan itu.
Berita Harian, 1 Februari memilih tajuk depan "Jangan ikut emosi -- Ubah kerajaan secara mendadak boleh hancurkan negara: PM".
Gertakan Najib
Najib, mengikut laporan itu, mengingatkan rakyat bahawa perubahan mendadak dan tidak terancang untuk mengubah pentadbiran negara tidak menjamin kesan positif kepada masa depan negara.
"Sebaliknya, Najib berkata, "sebarang perubahan perlu mengikut undang-undang serta akal fikiran dan bukan kerana emosi akibat terpengaruh dengan dakyah semata-mata."
Pelik bin ajaib, Najib sebenarnya mahu merendahkan kemampuan berfikir masyarakat kita apabila cuba menegakkan benang basah. Siapa sebenarnya yang galak mempermainkan emosi rakyat? Pihak manakah yang memilih pendekatan perkauman dan menabur fitnah untuk kekal berkuasa? Bacalah Utusan Malaysia, tontonlah Buletin Utama TV3, anda sudah tahu jawapannya.
Lihatlah isu-isu yang dikemukakan BN dan bandingkan dengan Pakatan, siapa yang berterusan membakar emosi dan menolak perdebatan sihat? Lagipun, hasrat untuk menukar kerajaan tidak pernah berlaku secara mendadak. Ia suatu proses yang agak lama dan memakan masa. Sesiapa pun yang begitu lama ditindas, dizalimi, diperbodoh dan dikhianati, sampai waktunya akan bingkas menuntut hak.
Bosan, muak dan jelak
Rakyat telah membuat penilaian menyeluruh terhadap pemerintahan lima dekad Umno-BN. Mereka telah bosan, muak dan jelak dengan siri salahguna kuasa, kecurangan, rasuah, penompokan kekayaan buat elit penguasa, sikap meremehkan pandangan rakyat.
Selepas 55 tahun, mengapa arus perubahan ini masih dianggap mendadak? Peluang telah diberi secukupnya. Rakyat juga telah mencuba menukar kerajaan negeri sejak 1959 lagi, tetapi hanya berjaya di beberapa negeri. Di Parlimen, majoriti dua pertiga BN hanya berjaya disekat pada 2008.
Sukar dipastikan sama ada Dr Mahathir benar-benar serius dengan kenyataannya pada 31 Januari lalu atau seperti hanya bersifat sinikal atau sindirin halus seperti lazimnya.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, Pakatan Rakyat akan bertindak terhadap pesaing politiknya sebaik sahaja mereka berkuasa.
Mahathir bakal ditangkap?
Katanya, mereka akan mengambil tindakan terhadap orang yang tidak baik dengan mereka atau yang mereka rasa tidak baik dengan mereka.
Dr Mahathir menambah, terdapat desas-desus bahawa kerajaan persekutuan yang dikuasai Pakatan, akan menangkap orang seperti itu, termasuk dirinya sendiri.
Ujarnya, ada yang mengatakan beliau harus meninggalkan Malaysia sebelum keputusan PRU13 diumumkan.
"Perkara pertama yang mereka (Pakatan) akan lakukan (apabila berkuasa) ialah menutup semua lapangan terbang supaya tidak ada pesawat persendirian boleh berlepas," katanya.
Apa pun, daripada kenyataan Mahathir itu, dan juga penekanan Najib yang sering mengingatkan tentang bahaya pertukaran kerajaan, saya kira kedua-duanya memang risau, bimbang dan takut dengan keputusan PRU13.
Anwar balas dendam?
Mahathir seperti mahu menggambarkan sikap negatif pemimpin Pakatan, terutama Dato' Seri Anwar Ibrahim, selepas berkuasa nanti, yang bakal membalas dendam dan bertindak di luar batas undang-undang.
Sekali gus Dr Mahathir mahu menghantar mesej bahawa Malaysia di bawah pentadbiran baru Pakatan akan bertukar huru-hura, rusuhan tercetus di sana sini, ekonomi merudum, pelabur takut dan pelancong lari. Mudah kata, anarkis!
Bukankah Mahathir juga yang membayangkan akan berlaku suasana tidak stabil jika BN kalah dalam PRU13?
Sedangkan, antara isu-isu asas yang sering ditimbulkan Pakatan ialah kedaulatan undang-undang, kebebasan badan kehakiman, Jabatan Peguam Negara yang independen, dan pihak keselamatan -- khususnya pasukan polis -- yang profesional, tanpa mudah dipengaruhi elit politik.
Diganggu mimpi ngeri
Ataupun mungkin Mahathir sendiri sering diganggu mimpi ngeri memandangkan kezaliman yang pernah dilakukannya semasa berkuasa dahulu, bukan hanya kepada Anwar, yang diaibkan dengan seribu satu cara, tetapi juga mangsa yang dianiayainya, seperti bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas.
Tidak mustahil juga kerisauannya terhadap nasib dan masa depan anak-anak beliau, yang kini kaya-raya membolot khazanah negara. Mahathir tentu arif dengan kesalahan sendiri, sepanjang 22 tahun menerajui negara, menjadikan Malaysia seperti milik personalnya. Segala kehendaknya akan dipaksakan menjadi projek negara walaupun menghanguskan berbilion ringgit.
Apa pun, Mahathir harus ingat, jika beliau pernah bertindak ganas kepada orang lain, tidak semestinya mangsa kezaliman beliau itu akan bertindak serupa apabila mendapat kuasa. Beliau mungkin gelabah menunggu Anwar naik takhta.
Undang-undang tetap dihormati. Anwar sendiri kerap mengulangi, beliau dapat memaafkan kesalahan Mahathir, walaupun sukar melupakan. Namun, kata Anwar, setiap wang rakyat yang dirompak akan dipastikan kembali semula kepada yang berhak.
Usah panik, gelabah
Mahathir, Najib dan sekutunya usah panik. Negara ini mempunyai begitu ramai tenaga baruyang berkebolehan untuk memimpin dan mentadbir dengan lebih baik lagi. Cubalah berfikir secara rasional dan terbuka.
Mungkin Mahathir melihat pemansuhan ISA sebagai rahmat terselindung kepada pemimpin Umno-BN yang korup dan menyeleweng, iaitu mereka tidak akan dikurung tanpa bicara jika Pakatan berkuasa nanti.
Walhal sebenarnya, yang dipentingkan ialah keadilan harus meliputi semua orang, tidak terkecuali. Proses pendakwaan ke atas mereka yang disyaki bersalah dibuat secara telus, tanpa campur tangan politik.
Kezaliman, termasuk membalas dendam, adalah perbuatan terkutuk yang mesti dihindari sejauh-jauhnya. Rupanya Mahathir masih terkepung dengan corak pemikiran penguasa yang keras dan dominan, sepertinya dahulu.
Secara peribadi, saya mengangap proses perubahan di Malaysia mengengsot terlalu lambat, jauh daripada ciri-ciri radikal atau mendadak. Justeru, saya tidak mahu ia tertangguh lagi, melewati PRU13, 'kan?
No comments:
Post a Comment