Monday, May 20, 2013

Loceng amaran dan Melayu dikhianati?

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Saya di Kota Bharu ketika menulis catatan pendek ini. Bersama wartawan kanan, Wan Nordin Wan Yaakob, saya cuba menghayati dan menikmati kemenangan berganda Pakatan Rakyat di Kelantan meskipun hebat diasak Umno-BN. Tidak mudah juga PAS mempertahankan Serambi Makkah selepas 23 tahun berkuasa semula, selepas dikalahkan pada 1978.

Meskipun BN dapat merebut tiga kerusi Parlimen yang ditandingi KeADILan di Machang, Tanah Merah dan Ketereh -- selain mempertahankan Jeli dan Gua Musang, keputusan mempertahankan 33 kerusi Dun dalam PRU13 itu boleh dianggap satu pencapaian membanggakan.

Serangan bertali-arus BN, terutama menggunakan senjata ampuh politik wang, juga dilihat mempunyai kesan negatif kepada sokongan terhadap Pakatan, terutama di kawasan membabitkan tokoh-tokoh utama Umno. Namun, saya sempat dibisikkan bahawa keputusan di Kelantan tidak boleh dipandang selesa, sebaliknya satu bentuk "loceng amaran" awal.

 

"Persaingan adalah merebut sokongan pengundi atas pagar dan jumlah besar anak-anak Kelantan di perantauan yang balik mengundi di kampung halaman, iaitu hampir 200,000 pemilih," kata seorang rakan, yang terserempak di KLIA semasa menunggu pesawat ke Kota Bharu. Beliau kelihatan agak bimbang dengan kecenderungan mengundi anak tempatan.

Kebetulan sewaktu tiba di hotel penginapan, Raudah, ada jamuan meraikan petugas pilihan raya PAS Kelantan. Ditemani ketua wartawan Harakah negeri, Mazlan Jusoh, kami menikmati makan malam yang enak, ditempatkan bersebelahan meja utama Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob, Setiausaha Perhubungan PAS, Zulkifli Mamat, Pengarah Pilihan Raya Negeri, Wan Nik Wan Yusof.

Ustaz Mad, dalam ucapannya, menyuntik semangat untuk aktivis parti menyusun pendekatan terbaik dan membuat persiapan rapi menghadapi PRU14, "bermula dari sekarang, sebaik keputusan PRU13 diumumkan". Beliau sempat merakamkan penghargaan kepada NGO Royalti dan pihak yang menguruskan pengundi luar, yang memberi sumbangan besar kepada kemenangan di Kelantan.

Seusai majlis, Wan Nik menunjukkan analisis awal keputusan PRU13 Kelantan. Agak menarik bila dibentangkan fakta tentang "undi belah-bahagi"; ada pengundi memilih PAS di peringkat Dun tetapi memangkah BN di peringkat Parlimen, misalnya di Machang, Tanah Merah dan tidak terkecuali Kota Bharu. Namun begitu, ramai juga pengundi yang menyokong BN di kerusi Dun tetapi memilih PAS di kerusi Parlimen, seperti Tumpat dan Pasir Puteh.

Sebenarnya saya lebih terdorong untuk menulis tentang percikan api perkauman dan sentimen persengketaan antara kaum yang cuba dicetuskan oleh pihak tidak bertanggungjawab (mungkin mengambil semangat daripada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Dato' Seri Najib Razak sendiri) dan media utama yang ditaja Umno.

Kecaman melulu kepada DAP secara khusus dan pengundi Cina secara umum hanya mendedahkan hipokrasi Umno berdepan situasi sulit yang dihadapinya. Ramai pemerhati politik hairan bagaimana parti teras BN itu mengambil sikap bebal, yang bukan hanya memerangkap diri sendiri, malah boleh menjerumuskan negara ke lembah kebinasaan.

"Alhamdulillah, DAP yang dikecam hebat dengan fitnah melulu tidak melenting. Begitu juga dengan sikap bijaksana pemimpin PAS yang tidak mudah terperangkap dengan ajakan perpaduan juak-juak Umno," kata seorang pensyarah sains politik.

Secara peribadi, saya terganggu dengan kenyataan bekas Hakim Mahkamah Rayuan dan Ahli Jawatankuasa Rayuan Disiplin UMNO, Dato' Mohd Noor Abdullah yang mengugut masyarakat Cina supaya bersedia dengan  tindak balas masyarakat Melayu kerana "pengkhianatan" mereka dalam PRU13.

Dalam ucapan di Seminar Pasca PRU-13 di ibu negara, Mohd Noor mempertegaskan amaran bahawa orang Melayu akan membalas dendam sekiranya dikhianati. "...Bagi orang Melayu, pantang larangnya, jangan dikhianati orang Melayu. Oleh kerana orang Melayu bila dikhianati, dia membalas dendam kesumatnya tak sudah-sudah."

Malu saya untuk mengaku seorang Melayu jika ciri-ciri kemelayuan termasuk "membalas dendam kesumat tak sudah-sudah", seperti disebut Mohd Noor, yang sarat dengan elemen perkauman, hasutan dan langsung tidak bertanggungjawab! Kenyataan yang lazim didendangkan dalam kursus Biro Tata Negara ini seharusnya dikutuk.

Tempoh lima tahun ini wajar dimanfaatkan oleh Pakatan Rakyat, terutama PAS, bagi menawarkan budaya politik baru, untuk menjamin Malaysia yang dapat meneduhi setiap warganya, selain menguburkan terus politik kuno yang jahat dan hodoh itu.

Selepas memenangi hampir semua kawasan bandar, yang ditandai dengan majoriti lebih besar, Pakatan sebenarnya menguasai potensi masa depan yang cerah. Peningkatan kesedaran berpolitik masyarakat desa dan penempatan Felda misalnya, dikira mampu mengangkat kedudukan Pakatan, menjadikan impian ke Putrajaya lebih realistik.

Masyarakat Tionghua mungkin saja boleh berpatah palik memberi sokongan kepada BN dalam PRU14, tetapi dengan luka pedih dan bisa perit tusukan perkauman Umno, saya percaya dalam tempoh lima tahun ini, pengundi Cina tidak mudah memaafkan, apatah lagi melupakannya.

 

---

14 Mei 2013 

 

No comments: