Oleh Ahmad Lutfi Othman
Semasa saya duduk melepaskan lelah di atas pembahagi jalan, di depan Ibu Pejabat Bank Rakyat, sambil tunduk memejam mata, selepas menapak perlahan dari Medan Tuanku, Jalan Tunku Abdul Rahman ke Padang Merbok, petang Sabtu, 22 Jun lalu, terasa seseorang memegang erat tangan saya.
Saya mendongak. Rupanya Adam Adli Abd Halim, aktivis mahasiswa yang selalu "bikin gempar". Wajahnya merah bercahaya disimbah peluh. Nampak agak penat. Jerubu tebal turut membuatkan pernafasan saya terganggu.
Adam yang berarak dari Universiti Malaya memeluk saya. Ya, agak lama kami tidak berjumpa. Beberapa kali dia bertamu ke rumah saya, termasuk bersama ayah dan ibunya semasa cuti Aidilfitri tahun lalu.
Perbualan pendek kami kerap terputus. Ramai anak-anak muda, yang hampir sebaya dengan Adam, yang melintasi kami, berhenti untuk merakamkan gambar kenangan bersamanya.
Saya akui, dia memang popular, tidak putus-putus berjabat salam. Ada seorang kenalan Cina turut menawarkan air mineral kepada kami. (Hari itu saya perhatikan tidak ramai masyarakat Tionghua, malah amat ketara penurunan jumlahnya berbanding himpunan pertama di Kelana Jaya, mungkin disebabkan gertakan pihak polis yang mahu melibatkan tentera, dan ramalan berlaku huru-hara, selain masalah jerubu).
Seorang wanita muda yang kelihatan begitu bersemangat bertanyakan Adam, bila himpunan Black505 petang itu akan berakhir? "Sampai Pengerusi SPR, timbalannya dan semua anggota SPR letak jawatan," pintas Adam, bersahaja.
Mulanya saya tersenyum dan ketawa kecil, tetapi melihatkan mereka serius, saya terasa Adam dan rakan-rakannya cukup serius mahu mencetuskan perubahan. Mereka memang benar-benar bertekad untuk "mencipta kelainan dan bukannya hanya meneruskan rutin berdemonstrasi".
Sebelum itu, saya mendengar keluhan beberapa anak muda berbaju hitam yang berpatah balik, menuju ke arah bulatan depan Bank Rakyat. "Bosan, asyik-asyik ceramah, pidato, berteriak, bersorak, lepas itu balik rumah ...," salah seorang daripadanya meluahkan rasa terkilan dengan acara di Padang Merbok.
"Dan SPR tetap di situ juga, dan kemudiannya isu lain pula yang timbul, maka hal penyelewengan SPR akan hilang dan dilupakan," rakannya menyambut pantas. Dia kemudiannya mengecam keras pendirian Pakatan Rakyat yang dilihatnya tidak bersungguh-sungguh mahu memulihkan demokrasi dan membetulkan perjalanan pilihan raya negara kita.
Esoknya, Ahad, saya mengirim SMS kepada Safwan Anang, seorang lagi aktivis pelajar, yang lantang dan vokal. Safwan dan Adam dilihat ikon kepada gerakan pelajar semasa. Mereka serius dan komited dengan apa yang dilakukan.
Safwan menceritakan suasana "perkhemahan" di Padang Merbok. Saya memintanya menulis untuk Harakah, catatan pengalaman bertahan di situ. Dinihari Isnin, saya mendapat khabar, mereka digempur pasukan keselamatan lengkap bersenjata. Khemah-khemah dirampas dan Padang Merbok dibersihkan.
Anak-anak muda ini mengotakan janji mereka. Walaupun Padang Merbok dikosongkan, tekad dan azam mereka tidak luntur. Mereka mahu menghantar mesej jelas, bukan sahaja kepada SPR dan kerajaan BN, tetapi juga pemimpin dan aktivis oposisi, bahawa gerakan memulihkan demokrasi dan mendesak anggota SPR berundur, tidak terhenti dengan himpunan petang Sabtu lalu.
Dan mereka tidak mahu ada waktu senggang untuk meneruskan kempen secara lebih intensif. Cuti rehat belum diperlukan! Ya, ketika seterika masih panas, 'kan?
Justeru, saya boleh memahami mengapa para demonstran ini memilih untuk berarak ke bangunan Parlimen ketika wakil-wakil rakyat yang dipilih dalam PRU13 sedang mengangkat sumpah.
Anak muda kerap diingati dengan semangat yang berkobar-kobar, pantang undur apatah lagi menyerah, berani menanggung risiko dan terus berjuang tanpa sebarang kepentingan. Namun mereka bukan bertindak semata-mata atas dorongan emosi, atau mengetepikan rasional dan logika. Lagak dan aksi orang muda memang sepatutnya begitu ... lasak dan mengejutkan!
Dalam pada itu, tidak sedikit yang marah dan kecewa dengan paparan gambar ahli-ahli Parlimen Pakatan, termasuk Anwar Ibrahim, dalam suasana mesra-ceria dengan Najib Razak dan pemimpin utama BN, pada hari pertama sidang Parlimen.
Ada yang membandingkan foto para demonstran, tangan diikat ke belakang, meniarap ke tanah, yang dilayan bagai penjenayah, dan ada juga yang dicederakan, dengan situasi gelak-tawa ahli-ahli Parlimen di dalam dewan berhawa dingin.
Sekali lagi saya dapat memahami dua senario berbeda itu. Sebenarnya ia bukan satu percanggahan pun, malah mungkin boleh dilihat sebagai "keseimbangan" Hubungan mesra sesama wakil rakyat di Parlimen, termasuk di antara pemimpin-pemimpin kanan oposisi-pemerintah, tidak bermakna idealisme perjuangan sudah tergadai.
Anak-anak muda yang diberkas -- juga dibelasah -- sebenarnya membawa aspirasi yang sama dengan wakil rakyat Pakatan. Pentasnya berlainan, rentak dan tempo juga mungkin berbeda, 'kan?
(Saya tetap yakin bahawa sistem, proses dan amalan pilihan raya di negara ini memerlukan reformasi menyeluruh, bukan hanya disebabkan kecurangan dalam PRU13, tetapi lama sebelum itu lagi).
Walaupun berkongsi gelanggang yang sama semasa siri jelajah Black505 di seluruh negara, termasuk di Padang Merbok, dua hari sebelumnya, namun ada ketikanya medan berbeda memerlukan pendekatan lebih spesifik. Masing-masing sepatutnya memperkukuhkan gerak langkah demi matlamat yang sama; sekurang-kurangnya memastikan keanggotaan SPR dirombak segera, dengan personaliti lebih berwibawa, teruji dan berintegriti.
Demonstran Padang Merbok berhak menyuarakan kekecewaan mereka, tapi wakil rakyat Pakatan juga akan membuktikan sidang Parlimen ini akan menjadi saksi bahawa mereka sebenarnya sentiasa serius dengan tuntutan pilihan raya adil dan bersih.
""Pakatan Rakyat semestinya mengagumi dan menghargai semangat lebih 200 anak muda gabungan badan NGO yang melakukan bantahan PRU13 di depan jalan masuk ke bangunan Parlimen itu pada pagi majlis angkat sumpah lalu," kata Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof, sambil menegaskan ahli-ahli Parlimen Pakatan akan melanjutkan amarah rakyat itu dalam sidang Dewan Rakyat.
"Saya lebih suka demonstrasi dianjurkan pula di depan pejabat SPR, memaksa Tan Sri Aziz Yusuf dan Wan Ahmad Wan Omar meletakkan jawatan, tetapi saya juga mahu beri peluang untuk ahli-ahli Parlimen Pakatan mengotakan janji, menghangatkan sidang menjayakan tuntutan Black505," kata seorang mahasiswa dari utara, lewat emel kepada saya.
Apa pun, kenyataan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, pada 23 Jun, sehari selepas himpunan di Padang Merbok, di depan pemimpin Pakatan Rakyat, menjentik imginasi saya. Beliau mahu persepsi kononnya Umno pejuang Melayu dihapuskan menjelang PRU14, termasuk dengan bantuan DAP. Beliau turut mengakui Umno kadang-kadang mendapat lebihan kerusi, disebabkan kesilapan Pakatan sendiri, yang mengukuhkan persepsi songsang itu.
No comments:
Post a Comment