Sunday, March 23, 2014

Memang ada persamaan antara Mesir dan Malaysia, 'kan?

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Ketika dunia dikejutkan dengan rampasan kuasa tentera menggulingkan pemerintahan rakyat di Mesir, perkembangan terbaru dalam negara juga agak merungsingkan. Jika kudeta militer yang menjatuhkan Presiden Morsi cuba mengembalikan era gelap-gelita warisan Hosni Mubarak, di Malaysia ada usaha untuk menghidupkan semula undang-undang represif peninggalan Dr Mahathir Mohamad.

Morsi yang dipilih melalui proses pilihan raya dihumban ke dalam tahanan, manakala akhbar dan stesen TV yang dilihat membawa suara berbeda, menyalurkan maklumat sahih, segera disekat dan ditutup. 

Bukan saja dunia cuba dikelirukan, dengan paparan berita dan liputan tidak seimbang mengenai tragedi di Mesir, malah dalam negara kita, siaran berita TV3 di waktu puncak turut memberikan gelaran buruk buat Presiden Morsi, seorang tokoh pembaharu dengan perwatakan warak, cuba dipalitkan dengan imej diktator.

"Gelaran  ini senada dengan media Israel yang melabelkan Morsi sebagai diktator dan kuku besi. Saya harap TV3 menarik balik dan memohon maaf kepada dunia," kata Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hasan, dan menekankan Morsi dijatuhkan oleh pihak tentera, bukannya rakyat.

 Barat yang selama ini menonjolkan diri sebagai wira atau jaguh demokrasi seperti keberatan untuk mengecam aksi ganas pihak tentera, termasuk membunuh jemaah solat Subuh, malah negara-negara umat Islam sendiri tidak mengambil sikap proaktif mempertahankan Morsi. Hipokrasi Amerika dan konco-konconya terserlah dalam kes kudeta ini.

Perdana Menteri Turki, Recep Tayip Erdogan mengambil pendirian berbeda apabila mengecam negara yang malu-malu untuk mengatakan bahawa tindakan militer di Mesir adalah sebuah kudeta.

"Tidak peduli di mana pun mereka berada, kudeta itu buruk dan jelas musuh demokrasi," tegasnya sambil mengimbau sejarah rampasan kuasa tentera di Turki, yang berfungsi "sebagai rujukan yang sangat penting" untuk Mesir memahami bagaimana kudeta militer tidak dapat ditoleransi.

"Setiap kudeta militer, tanpa terkecuali, menyebabkan Turki kehilangan beberapa dekad. Setiap kudeta melumpuhkan ekonomi, menyebabkan negeri, bangsa dan generasi muda harus membayarnya dengan mahal," tambah Erdogan, yang berjaya mengurangkan kuasa dan pengaruh tentera dalam kerajaan Turki, sejak berkuasa pada 2002.

Apa pun percubaan untuk menggambarkan kegagalan Morsi bagi memulihkan Mesir dalam era transisi peralihan ini, terutama daripada segi sosio-ekonomi, tindakan rampasan kuasa tetap merupakan langkah terkutuk, yang hanya akan menjahanamkan lagi negara tersebut, sekali gus mengkhianati pilihan demokratik rakyatnya. Morsi wajar diberi peluang sehingga penggal pemerintahannya berakhir ataupun digunakan saluran lain yang sah di sisi undang-undang.

Dalam masa sama. di negara kita, kerajaan BN dilihat berusaha menghidupkan kembali undang-undang zalim yang telahpun dimansuhkan atas nama "transformasi politik". Pihak polis, termasuk melalui Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar dan Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi, sudahpun memulakan "lobi" walaupun terpaksa menggunakan argumen yang salah.

Daleh yang digunakan ialah kononnya berlaku peningkatan kes jenayah ekoran akta berkenaan telah dihapuskan. Sedangkan sebelum ini pihak kerajaan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan awam bahawa keselamatan rakyat semakin terancam apabila kadar jenayah semakin meningkat.

Terdapat kritikan secara meluas yang mengecam tumpuan berlebihan pihak polis dan juga perisikan tentera terhadap kerja-kerja intipan politik, bagi memenangkan BN daripada berusaha meningkatkan kecekapan pihak keselamatan dalam memerangi jenayah.

Bekas KPN Musa Hassan mengakui campur tangan menteri atau pihak berkuasa politik dalam urusan polis. Malah cadangan penubuhan suruhanjaya bebas IPCMC bagi membanteras rasuah dan meningkatkan profesionalisme polis telah ditolak.

Saya lebih tertarik dengan hujah Ahli Parlimen Petaling Jaya, Tony Pua yang menegaskan bahawa Khalid dan Zahid tidak sepatutnya menimbulkan dakwaan bahawa peningkatan kadar jenayah berpunca dari pemansuhan Ordinan Darurat (EO) pada 2011.

"Jika kita kaji statistik jenayah sejak sedekad lalu, ia menunjukkan kejadian jenayah meningkat dengan agresif ketika EO berkuatkuasa. Indeks jenayah Malaysia meningkat dengan mendadak dari 2003 hingga 2008. Pada kemuncaknya, kadar jenayah meningkat 34 peratus dari 2004 hingga 2007," tegasnya.

Bagaimanapun kerajaan  menyatakan bahawa kadar jenayah berkurangan dengan ketara, dari 209,417 kes pada tahun 2009 kepada 157,891 kes pada 2011, iaitu ketika EO dimansuhkan.

Dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia pada 26 Mei lalu, KPN Khalid berkata: "Mewakili suara polis, saya akui memang kami benar-benar merasai kehilangan ISA." Malang sekali apabila undang-undang rimba yang sering diperalatkan untuk menindas pemimpin pembangkang dan aktivis hak asasi menjadi "idaman" pihak polis.

Jangan lupa, terbaru, seperti diakui Pengarah Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran KDN Pahang, Azilah Madulan, operasi rampasan akhbar Harakah masih diteruskan dan terbaru di Kuantan.

Ya, kedatangan Ramadan -- bulan ibadah penuh keberkatan -- belum dapat menyejukkan iklim politik dunia Islam.

Semoga kita semua dapat mendakap erat setulusnya kemuliaan bulan ibadah yang amat dinanti-nanti ini dan menghidupkannya dengan amalan  bertadarus, menghayati makna al-Quran, bersedekah, menghidupkan malam, iktikaf, menyantuni golongan terpinggir, mendalami ilmu agama dan memperhalusi nurani dengan situasi memburuk umat Islam sedunia.

 

-----

Artikel ini disediakan pada 9 Julai 2013

No comments: