oleh Ahmad Lutfi Othman
Ketika membuat tinjauan singkat ke Sungai Limau, sembilan hari sebelum hari mengundi, bertemu rakan-rakan lama wartawan, teman-teman yang dekat dengan Almarhum Ustaz Azizan Abd Razak dan pimpinan parti yang bertanggungjawab langsung dengan kempen, saya yakin kubu kuat PAS itu sukar ditembusi.
Tidak dapat saya bayangkan bag...aimana seandainya PAS kalah Sungai Limau selepas melalui kepiluan yang menyayat hati selepas gagal mempertahankan kerajaan negeri dalam PRU13.
Secara tradisinya, kedudukan Dun ini (dulunya Sala) adalah pada ranking kedua terkuat, selepas Tokai (dulunya Bukit Raya), walaupun keputusan pilihan raya umum Mei lalu menunjukkan kerusi Anak Bukit dan Pengkalan Kundor mencatatkan majoriti kemenangan lebih tinggi buat calon PAS; Amirudin Hamzah dan Phahrolrazi Mohd Zawawi. Dun Bukit Pinang (dulunya Langgar Limbong) juga dalam senarai kerusi selamat, lama sebelum masyarakat Tionghua mendekati PAS.Semasa berehat di Markas PAS Jerai, saya cuba berkongsi kekhuatiran sambil mengambarkan situasi paling sulit. Tidak mudah berdepan pilihan raya kecil, apatah lagi jentera kempen BN yang diketuai Mukhriz Mahathir, yang baru kalah dalam pemilihan naib presiden Umno, pastinya bersedia melakukan apa sahaja untuk mencipta kejutan.
Pesuruhjaya PAS Kedah, Mahfuz Omar, yang nampak letih menjelang Maghrib, tidak menunjukkan keyakinan tinggi untuk mempertahankan majoriti Ustaz Azizan. Walaupun beliau agak bimbang dengan kempen agresif BN menyalahgunakan jentera, kemudahan dan sumber kerajaan serta agensi berkaitan, termasuk kemungkinan rasuah politik berbentuk wang tunai, Mahfuz lebih selesa menyandarkan kepada kematangan pengundi untuk mengekalkan PAS.
"Ada maklumat kata Umno dah mula agih RM200 setiap pengundi," seorang petugas parti yang bersama kami mencelah.
Tentulah khabar itu langsung tidak mengejutkan, malah ia sekadar membayangkan lebih berganda rasuah secara terang-terangan akan dicurahkan. (Apa tidaknya, menjelang hari mengundi, gula yang naik harga ekoran Bajet 2014 pun boleh dijual RM1 sekilogram, sekampit beras 5 kg hanya ditawarkan harga Rm5).
Ya, tiada rancangan Felda di Sungai Limau tetapi pengerusinya, Isa Samad begitu bermurah hati turun membawa dana memperbaiki rumah! Pelbagai karnival dan pesta anjuran kementerian, yang turun khas dari Kuala Lumpur, semata-mata untuk meraih undi.
Secara peribadi fikiran saya segera terlintas kepada beberapa personaliti besar Sungai Limau, yang menyediakan tapak terbaik buat warganya mencintai ilmu dan menghayati ajaran agama, sekali gus menjadi pendinding kepada asakan dan umpan BN itu. Misalnya, Almarhum Tuan Guru Yahya Junid dan Pak Man Bukit Besar, selain dua bekas Adun, yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Azahari Abd Razak dan Ustaz Azizan Abd Razak.
Petang Sabtu itu, saya turut menjentik idea Zulkifli Yahaya, kolumnis Harakah, yang turut bertanggungjawab dengan jentera penerangan kempen. Zul melihat kepentingan untuk "mengepung" penyokong PAS daripada membazirkan masa dan tenaga untuk melobi pengundi BN.
Namun, Zul kelihatan cuak dengan kemungkinan pengundi luar kawasan yang tidak balik mengundi. Majoriti mereka adalah penyokong PAS. Faktor cuti dan kewangan menjadi penghalang, lagipun PRU13 baru saja berlalu, dan kebanyakan mereka berhari raya haji di kampung. Dia juga bimbang dengan pengaruh rasuah politik.
"Kepada Umno, untuk menang mereka perlukan sokongan penyokong PAS," tambah seorang rakan, "dan sebenarnya cukup baik buat BN jika ada penyokong PAS yang tidak keluar mengundi. Hal ini sudah berlaku dalam PRU13 dan ia sememangnya dirancang oleh BN."
Mengetahui Dr Mahathir Mohamad turun berkempen, seorang kawan menelefon saya: "Kali ini Mahathir sengaja mahu susahkan anaknya, Mukhriz. Orang Sungai Limau kuat pegangan agama, Mahathir ada sejarah lampau yang buruk tentang Islam."
"Tapi Dr Mahathir nampak rapat dengan Ustaz Azizan, dia turun sampai ke kubur hari Ustaz dikebumikan," saya mengusiknya. "Ya, dia mungkin mahu mengelirukan penyokong PAS, tapi Mahathir silap tempat, masanya sudah berakhir," pintas cepat kawan saya itu.
Pada hari mengundi, saya ada rawatan rutin di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras. Menjelang petang, bertali arus SMS bertanyakan mood di Sungai Limau, mungkin mereka menjangkakan, sebagai anak Kedah saya berada di medan. Saya diamkan saja, tidak membalas.
Memang Sungai Limau kritikal dan cukup penting, bukan saja buat PAS Kedah, tetapi imej parti seluruhnya, terutama untuk mengukur kecenderungan mengundi masyarakat Melayu yang dikira tidak memberi sokongan padu dalam PRU13.
Pilihan raya kecil ini juga penting untuk menyuntik semangat dan keyakinan buat petugas parti di peringkar akar umbi. Kehilangan Kedah, Mei lalu, meninggalkan impak besar, terutama dari segi psikologi, sementalahan pula sudah menjadi rahsia umum "pergolakan dalaman" PAS yang agak serius.
Ada pihak cuba menafikan konflik dalaman Ustaz Azizan dan beberapa tokoh penting PAS Kedah, yang memberikan persepsi negatif dan turut menyumbang kekalahan. Bagaimanapun, seorang kenalan yang sempat saya temui di Sungai Limau mempunyai pandangan berbeda, dan serentak itu memberi amaran: "Ia bukan hanya berlaku di peringkat negeri, malah lebih teruk di peringkat kawasan. PAS jangan bermimpi berkuasa semula jika krisis ini tidak diatasi."
"PAS perlu kembali kepada kekuatan asalnya, seperti pada 1999, dengan mengambil berat sokongan pengundi bukan Melayu yang semakin bertambah. Jadilah iktibar pengalaman pahit lalu, untuk bersedia mengukuhkan jamaah. Jangan kita menembak kaki sendiri," tambahnya.
Dalam teksi, dari HUKM ke kediaman di Bukit Ampang, saya menerima SMS yang agak menggusarkan. "Dikesani agak ramai penyokong PAS tidak keluar mengundi, kalau menang pun di bawah 1,000 undi." Mesej itu agak selari dengan kebimbangan awal, tapi saya sendiri keliru, jika benar berlaku, atas faktor apa mereka tergamak "memboikot" parti. Tak mungkin, rungut saya sendiri.
Seorang lagi rakan wartawan berkongsi kerisauannya: "Jangan terkejut kalau kita kalah, ramai pengundi dah dibeli. Pengundi luar pula tak balik, Peratusan mengundi kurang."
"Bukan isu baru, Umno tabur duit, korup dan beli sokongan," balas saya. "Sampai bila kita nak berdepan dengan asakan rasuah politik ini. Mesti fikirkan untuk tamatkannya," saya membalas panggilan telefon rakan yang tidak berpuas hati itu.
"Masalahnya, kita sendiri, aktivis Pakatan, seolah-olah dapat menerima rasuah masa pilihan raya memang kelebihan kepada BN. Kita lawan pun tak bersungguh. Apatah lagi rakyat, majoriti mereka memang menunggu habuan jatuh dari langit masa kempen," saya terus berkhutbah.
Rakan saya di hujung talian tidak bersedia membalas. Mungkin dia, seperti juga saya, lebih risaukan kalau PAS kalah. "Majoriti tak penting, bawah 500 pun okey, asalkan menang," ujarnya sebelum menutup perbualan.
Dalam kesesakan lalulintas, saya semakin rimas. Amaran doktor tentang fungsi ginjal saya yang merosot teruk tidak membekas lagi. Kaki kanan yang kebas ekoran serangan angin ahmar setahun lalu juga tidak terasa.
Isteri yang menemani sekadar tersenyum di sebelah dan meyakinkan saya bahawa kebanyakan orang Sungai Limau mahir berpolitik dan tidak semudah itu mengalihkan sokongan.
Siti Hawa masih menggengam senaskhah Harakah, dengan tajuk utama "Naikkan Subsidi Padi". Katanya, sebagai anak bendang saya mesti memperjuangkan kebajikan masyarakat pesawah yang terbiar.
Isteri saya tertarik dengan gaya Presiden PAS menabur benih padi, seperti disiarkan di muka depan Harakah, yang turut diedarkan percuma kepada pengundi Sungai Limau.
"Kalau isu peneroka Felda banyak diketengahkan, dan kerajaan terpaksa pandang berat, kenapa masalah pesawah macam tak dipedulikan langsung. Jangan tunggu orang lain, Harakah mesti ke depan," dia seperti mencabar saya.
Segera saya teringat SMS pembaca Harakah yang saya terima 29 Oktober lalu: "Sungai Limau kawasan padi, dulu potongan padi paling tinggi 12%, sekarang paling rendah 18%, berapa ratus ringit petani rugi serelung, kalau 2 tan? Besarkan isu ini, tentu dapat perhatian pusat."
Harakah melaporkan kenyatan Pengerusi Lajnah Asas Tani PAS Pusat, Amiruddin Hamzah yang menekankan kadar subsidi harga padi sekarang hanya RM248 satu tan dan ia tidak pernah dinaikkan sejak 23 tahun lalu. Menjelang PRU13, PAS mencadangkan agar ia dinaikkan 50 peratus kepada RM372.10 satu tan, tetapi tidak dipedulikan kerajaan.
Berdasarkan kajian, ujar Amirudin, jika dinaikkan subsidi dalam kadar yang dicadangkan itu, kerajaan hanya perlu menambah RM250 juta sahaja setahun dan ia akan memanfaatkan hampir 2,200 keluarga pesawah.
Malam itu, sebelum jam 8, bertali arus SMS masuk memaklumkan keputusan tidak rasmi. "Menang, majoriti 1, 200." Alhamdulillah, lega dan menyenangkan sekali.
"Kenapa kurang majoriti, Lutfi?" tanya rakan lama dari Alor Setar, seorang jurutera. Dia tetap yakin Kedah di bawah PAS membawa pelbagai pembaharuan yang positif buat rakyat. Sampai hari ini beliau masih tidak memahami bagaimana PAS boleh kalah di Kedah.
"PAS berlawan bukan saja dengan dua kerajaan, tapi berdepan rasuah dan salahguna kempen BN," jawab saya sahaja, mengulangi alasan lazim.
"Tapi rakyat juga yang untung, 'kan? Sepatutnya Harakah berusaha tingkatkan ilmu dan kematangan politik orang kampung, terima segala bantuan dan hadiah, tapi undi tetap rahsia," jawabnya.
Sebelum tidur seorang wartawan internet meminta pandangan. Saya lebih berminat menimbulkan isu korupsi dalam kempen BN. "Apakah selamanya kita akan berterusan terperangkap dalam lingkaran setan ini, sentiasa berdepan isu sama setiap kali pilihan raya, yang bertungkus lumus berkempen untuk BN adalah orang kerajaan, agensi yang diperalatkan, termasuk perisikan polis dan tentera ... Dan sampai bila ini akan menjadi alasan rutin bila undi kita jatuh atau kita sendiri kalah dalam post mortem nanti ...."
Dia bertanya balik, bagaimana caranya? Apakah sekadar membangkitkan dalam perbahasan Parlimen, terutama mengungkit soal dana awam yang mudah dipergunakan tanpa kelulusan bajet atau membuat kenyataan akhbar menyerang SPR? Atau satu lagi demonstrasi Bersih? Ke mahkamah pun hanya membazirkan wang, yang jumlahnya bukan sedikit.
Saya tidak sedar ada aduan daripada Pemuda PAS Kedah agar Sultan Kedah sendiri "campur tangan" dalam isu salahguna agensi kerajaan negeri semasa kempen.
Belum lagi diperhalusi manipulasi media, khususnya TV. Ramai bosan mendengar isu sama dibangkitkan, tetapi itulah hakikatnya, tahap demokrasi kita masih dalam "liga peringkat bawahan" dan kita terus terperangkap dalam "lingkaran setan" yang tidak berkesudahan ini.
Seorang editor penyiaran memberi komen ringkas kepada SMS saya: "BN buang duit di Sungai Limau tapi rakyat untung. PAS perlu akui ada masalah dalaman di Kedah dan kena atasi segera."
Mengingatkan Sungai Limau yang kini ditinggalkan, di samping keperluan terus mendesak subsidi harga padi dinaikkan, saya terpaku dengan kunci kata rakan baik saya itu, iaitu "masalah dalaman PAS Kedah" yang harus diakui dan diselesaikan segera ...
No comments:
Post a Comment