Sunday, March 23, 2014

Kemelaratan warga Sandakan mengejutkan

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Janji saya untuk melanjutkan tulisan mengenai Sabah, negeri kaya yang menyimpan pelbagai misteri kesengsaraan warganya, terpaksa ditangguhkan. Bagaimanapun, saya tetap berminat untuk terus menonjolkan  sisi-sisi gelap penduduknya, tidak terkecuali golongan yang belum dapat dipastikan taraf kewarganegaraannya, yang merempat miskin dan jarang dipedulikan.

Kali ini lebih tertumpu kepada gambar-gambar yang sempat dirakamkan ketika saya di Sandakan baru-baru ini. Selain kedaifan perkampungan setinggan atas air, kebakaran besar di Kampung Cenderamata, Batu Sapi pada hari pertama Aidilfitri lalu turut mendedahkan kehidupan sukar anak-anak yang dinafikan hak untuk mendapat pendidikan asas.

Rakan saya, Azamin Amin, ditemani beberapa aktivis muda PAS setempat, antaranya peguam Haris Alimudin berjaya menjejaki lorong-lorong sempit berhampiran lokasi kebakaran. Mereka terkejut dengan gaya hidup seharian, yang terperosok dalam lingkaran ganas kemiskinan.

Sebenarnya Haris lebih tertarik untuk membawa kami melihat sendiri kegigihan seorang penduduk, Harun Latif bersama isterinya membuka kelas untuk anak-anak yang tercicir di Kampung Karamunting.

Ya, berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Kemudahan belajar cukup menyedihkan. Azamin akan menulis lebih lanjut mengenainya. Anda cukup melihat gambarnya terlebih dahulu.

Begitu juga dengan kehidupan selepas tengah malam  di sekitar Pasar Umum Sandakan, tidak jauh dari hotel penginapan kami. Kita seolah-olah berada di negara jiran yang mundur.

"Pemandangan kanak-kanak tidur di kaki lima adalah perkara biasa," jelas Haris sambil memandu perlahan, menunjukkan situasi sebenar.  "Ada yang dibawa mak bapa sebagai peniaga, ada juga yang menunggu pagi untuk menawarkan perkhidmatan mengangkut barang menggunakan kereta sorong kepada peniaga atau pembeli seawal 3 pagi."

Ramai anak-anak tidak bersekolah dan buta huruf, akhirnya mereka tidak mengenali dan menghormati undang-undang. Dan kebanyakan peniaga kecil ini  terpaksa menamatkan perniagaan jam 6 pagi bagi mengelak tindakan pihak berkuasa tempatan," ujar Haris yang menghantar kami ke hotel, sekitar jam 1 pagi.


Saya diminta beberapa rakan untuk meninjau kemunduran di kawasan pendalaman, tetapi realiti di Sandakan sendiri cukup merimaskan.

"Pembinaan jalan ini makan belanja ratusan juta ringgit tetapi tengok sajalah, sempit dan mudah rosak. Rasuahlah puncanya, semaklah siapa yang dapat kontrak besar, kalau bukan yang dekat dengan Ketua Menteri," Yang Dipertua PAS Batu Sapi, Hamzah Abdullah, merungut ketika kami  melalui liku-liku berlubang selepas beliau merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Sandakan.

Dan saya tidak lupa ungkapan seorang ibu lima anak, berketurunan Kadazan, dalam lingkungan usia 35 tahun, ketika melintasi gubuk buruknya, di Kampung Muhibah, Batu 2, Sandakan. Penempatan atas air itu bakal dirobohkan melalui BN memberi jaminan berbeda semasa kempen PRU13 lalu.

"Apa kerajaan anggap kami ini macam kerbau? Mudah dicucuk hidung untuk dipindahkan ke mana saja. Kami mahu rumah yang mampu milik, sewa-beli dengan kadar munasabah, yang  akan menjadi warisan keluarga, bukannya ditempatkan di rumah yang akan kami sewa sampai mati," katanya teratur, menaruh harapan tinggi.

Dalam pada itu, Harakah, dengan kerjasama PAS Batu Sapi bersedia untuk menyalurkan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kampung Cenderamata, Sandakan. Orang ramai boleh menyumbang terus ke dalam akuan Maybank HARAKAHDAILY DOT COM 5640 7000 0336.

 

Warga emas ini, ahli parti Gerakan (BN), Dipin Abu Bakar, mengiringi saya dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Hamzah Abdullah melihat perkampungan atas air, Kg Muhibah, Batu 2, Sandakan, meninjau luahan hati penduduk yang dipaksa berpindah ....
 
Bendera BN dan Umno masih dianggap azimat ....
Ini keadaan rumah lama keluarga Norhatta semasa kunjungan saya dan isteri lebihkurang 3 bulan lalu ....
 
Saya bergambar di depan rumah baru Norhatta bersama anak-anak dan seorang menantunya.
Meskipun letih amat mengelilingi kawasan pendalaman sekitar Sandakan, daripada tengahari hingga petang Sabtu, 7 September lalu, saya berasa lega dan gembira melihat rumah Norhatta siap dibina, dengan bantuan pembaca Harakah. Syukur Alhamdulillah .... Wajah anak-anaknya juga begitu cerah dan ceria hari itu, apatah lagi dengan juadah nasi Arab Kak Siti
 
Keadaan Kg Cenderamata, Batu Sapi, yang terbakar pada 1 Syawal lalu, ketika saya mengunjunginya pada 7 September lalu, iaitu sebulan selepas kejadian ....

Senja 7 September, saya dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Hamzah Abdullah (yang juga YDP PAS Batu Sapi) meninjau keadaan kebakaran besar di Kampung Cenderamata dalam kawasan Parlimen Batu Sapi, dekat Sandakan, melihat secara dekat nasib hampir 1,000 penduduk yang masih tertanya-tanya masa depan mereka. Belum ada penempatan baru, dan kawasan terbakar dilarang pembinaan semula rumah. Penduduk mendakwa kebakaran pada tengahari 1 Syawal itu disengajakan, mungkin untuk menghalau setinggan di situ bagi memberi laluan kepada projek tertentu ... "Sudah tiga laporan polis dibuat di Balai Polis Sandakan tetapi tiada hasilnya," kata seorang mangsa, Edi Sumardi Jaffar kepada wartawan Azamin Amin. Saya terlewat sampai di Kg Cenderamata, menjelang Maghrib, disebabkan ada majlis jamuan bersama enam keluarga bekas mangsa tahanan ISA, di Batu 18 Sandakan. Rakan-rakan PAS Sandakan menunggu kami agak lama, apatah lagi terpaksa melalui jalan yang cukup teruk..

 

 

No comments: