Sunday, March 23, 2014

Target sebenar Zahid Timbalan Presiden Umno

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Sehari dua ini, Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi perhatian media dan tumpuan umum. Sesungguhnya, beliau memang mengharapkan begitu dan dapat memperolehinya secara mudah.Sebagai Menteri Dalam Negeri, terutama ketika menangani isu jenayah berat dan masalah gangsterisme, melalui siri tindakan dan kenyataannya, Zahid menjadi bahan berita yang penting dan "memikat".

Malah orang ramai mula membandingkan "ketegasan dan keberaniannya" dengan menteri terdahulu, Hishammuddin Hussein -- saingan terdekatnya dalam Umno -- yang dilihat agak "berlembut. Serentak itu, populariti Zahid meningkat.

Rang Undang-Undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013, yang diluluskan Dewan Rakyat pada 2 Oktober lalu, walaupun disifatkan sebagai kelahiran semula rangkuman pelbagai akta drakonian yang telah dimansuhkan, termasuk ISA, menaikkan lagi nama Naib Presiden Umno paling popular ini dalam pemilihan terdahulu.

Pegawai atasan polis digambarkan lega dan gembira dengan sikap Menteri Dalam Negeri yang baru ini, khususnya apabila "taring" mereka dikembalikan  melalui pindaan PCA. Pemansuhan ISA, Ordinan Darurat (EO) dan Akta Kediaman Terhad (RRA) disifatkan sebagai mencabut "kuku" pihak keselamatan.

Watak Zahid pula dikatakan serasi dengan lagak Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar, yang dilihat sering melemparkan kenyataan kontroversi dan "tidak berlapik", berbeda jauh dengan KPN sebelumnya, Ismail Omar.

Jawapan Zahid terhadap pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2012, terutama berkaitan kehilangan aset polis, ditambah gaya sumbangnya mengherdik wartawan Malaysiakini, menyebabkan tumpuan media terus lekat kepadanya.

Kelancangan Zahid semakin ketara dalam forum mengenai keselamatan negara, yang bertukar menjadi majlis Umno, di Melaka. Beliau mengugut menggunakan kuasanya sebagai Menteri Dalam Negeri untuk menutup mana-mana akhbar yang menyiarkan kenyataannya dalam program berkenaan.

Mungkin kepada aktivis hak asasi, pejuang masyarakat sivil dan rakyat prihatin, Zahid dianggap telah mencabuli prinsip demokrasi dan keadilan -- malah  umpama mafia apabila menegaskan pihak polis akan menembak terus suspek yang disyaki terlibat dengan jenayah -- tetapi  calon Naib Presiden Umno ini mempunyai perkiraan berbeda.

Dan buat masa ini, dia yakin pertimbangannya itu betul dan dapat melonjakkan lagi keghairahannya untuk mendaki kerjaya politik yang lebih tinggi.

Sasarannya ialah lebih 146, 000 perwakilan Umno di seluruh negara yang bakal memilih jawatan ketiga terpenting dalam parti itu, 19 Oktober.


Zahid yang "ambitious" itu mahu menunjukkan dialah wira dan pejuang sebenar orang Melayu. Lihatlah bagaimana dia mengumpan hadirin di Melaka itu dengan sentimen kemelayuan sempit, misalnya dengan mengaitkan keturunan mangsa penjenayah, yang rata-ratanya Melayu.

Kajian Merdeka Center terbaru menunjukkan tiga perempat daripada 600 respondan ahli-ahli Umno berpendapat parti itu tidak patut mengalah terhadap permintaan bukan Melayu dan 90 peratus percaya Umno patut memfokuskan tenaganya untuk membina sokongan di kalangan orang Melayu menjelang PRU14.

Ya, target Zahid bukan sekadar untuk kembali menduduki tempat pertama di kalangan tiga naib presiden yang dipilih nanti -- dan dia tentu yakin dapat mengatasi lima pencabar yang lain -- tetapi lebih jauh daripada itu adalah untuk mengisi slot timbalan presiden selepas ini.

Bagi juak-juak Zahid, dua penyandang, iaitu Hishamuddin dan Shafie Apdal, bukan lagi saingan terdekat. Dua pencabar yang tidak mempunyai kedudukan dalam kerajaan, Isa Samad dan Ali Rustam mungkin mempunyai PR yang hebat -- sepertinya juga -- tetapi dirasakan terlalu sukar untuk menyekatnya sebagai calon paling popular. Seorang lagi anak bekas Perdana Menteri, Mukhriz Mahathir dilihat terlalu awal untuk memintas Zahid. 

Justeru, Zahid yakin untuk pemilihan berikutnya, dia lebih layak digandingkan dengan Presiden Umno, apatah lagi usia Najib Razak  relatif muda berbanding Muhyiddin Yassin. Sementalahan pula Zahid-Najib mempunyai hubungan sentimental dan lebih dipercayai kesetiaannya berbanding Muhyiddin. 

No comments: