Oleh Ahmad Lutfi Othman
Ada pihak berpendapat isu rampasan Bible di Selangor, tuduhan 'bughah' ke atas peserta himpunan Turun, dan sebelumnya, hiruk-pikuk kontroversi Syiah, adalah bertujuan untuk memesongkan perhatian masyarakat terhadap persoalan lebih besar yang mengasak rakyat, iaitu kenaikan kos sara hidup dan bebanan pertambahan cukai.
Kerajaan Umno-BN, yang mendapat sokongan minoriti dalam PRU13, sejak lama dikatakan memang licik mengalih tumpuan orang ramai, daripada isu yang real dan urgent, kepada hal-hal menggemparkan, yang mungkin sengaja dicipta atau dibesar-besarkan.
Keresahan rakyat, bandar dan desa, tidak terkecuali masyarakat kelas pertengahan, bukan sahaja terfokus kepada peningkatan kos yang menjerut kehidupan, tetapi juga kepincangan, kerakusan, pembaziran dan penyelewengan urustadbir pemerintah.Kos sara hidup mencanak naik turut difaktorkan oleh budaya rasuah, kronisme dan salahguna kuasa yang tidak pernah diberikan perhatian serius untuk ditamatkan. Ia sudah mendarah-daging dalam kehidupan elit penguasa, dari hairaki paling atas hinggalah ke peringkat bawah, dan sukar untuk dicerai-tanggal lagi.
Butiran yang didedahkan setiap tahun dalam Laporan Ketua Audit Negara hanyalah cebisan-cebisan kes, dan dipercayai banyak lagi "korupsi yang dilakukan secara berjemaah", tersembunyi dengan baik sekali. Setiap pihak yang berkepentingan, akan melindunginya secara penuh "profesional" sehingga sukar untuk dibawa ke pengadilan, apatah lagi untuk disabitkan kesalahan.
Namun begitu, BN bukan hanya dilihat gagal untuk mengurus ekonomi dan kewangan negara, sehingga dikatakan terpaksa menjual harta negara dan mengubah gadaian kerajaan untuk menampung defisit belanjawan, lebih parah lagi, ia sedang memandu tanahair tercinta ini ke jurang dalam yang cukup menakutkan.
(Baru-baru ini, kolumnis terkemuka, A Kadir Jasin terus menyinggung Najib Razak dan Abdullah Ahmad Badawi: "Saya menuduh pentadbiran Abdullah dan Najib boros dan cemerkap menguruskan kewangan negara dan tidak sensitif terhadap perasaan rakyat jelata.
Ketika rakyat dilanda banjir, Abdullah sibuk ke Perth, Australia untuk merasmikan pembukaan kedai makan. Beliau pulang sebentar menjenguk mangsa banjir di Johor dan terbang semula ke luar negara. Najib pula dua tahun berturut-turut bercuti di luar negara ketika tahun baru dan kali ini, pada saat tahun baru menjanjikan khabar buruk kepada rakyat jelata akibat dasar beliau memansuhkan dan mengurangkan subsidi secara serentak.")
Isu-isu sensitif berkaitan agama dan kaum bagai dirancang rapi dengan skrip yang begitu teliti. Umno, demi survival kuasa yang kian terancam sekarang, secara terbuka menjadi penaja kepada gerakerja membakar sentimen masyarakat Melayu.
Jika majoriti rakyat, khususnya orang Melayu, tidak berlapang dada, bersikap tertutup, dan terpengaruh dengan adu-domba itu, mungkin keharmonian negara sudah lama hangus. Wasatiyah atau kesederhanaan, malah slogan 1Malaysia, tidak membawa makna apa-apa lagi.
Semasa Umno-BN meninggalkan kekuatan mereka selama ini, yang sebelumnya menjadi faktor pemersatu dan pengimbang, dan dapat menghimpunkan segala potensi dan keistimewaan kemajmukan negara, Pakatan Rakyat pula dilihat mengambil posisi strategik itu. Politik permuafakatan dalam BN sudah bercelaru.
Dan PAS sebagai salah satu komponen utamanya, terbukti meredah cabaran kritikal ini -- terutama berkaitan manipulasi isu-isu agama -- dengan penuh berhikmah, tenang dan bijaksana. Sukar untuk dibayangkan bagaimana situasinya jika ahli-ahli PAS dapat "dihasut" dengan paluan gendang perang yang berbahaga itu.
Tidak mudah PAS berdiri teguh mempertahankan pendekatan sederhananya itu. Pelbagai tohmahan dilemparkan, seperti menjadi kuda tunggangan DAP, rakuskan kuasa hingga sanggup meninggalkan asas perjuangan, dan pelbagai tuduhan liar lainnya.
Manakala, DAP, yang dulunya dianggap berada pada kutub bertentangan dengan PAS, juga menunjukkan kematangan berpencak silat politik, walaupun ada juga aksi pemimpinnya yang dilihat mengelirukan, dan boleh menajamkan salahfaham dan "warisan yang dipertahankan".
Ramai mengharapkan persefahaman Pakatan ini mampu dipertahankan, sekali gus membayangkan kesediaan gabungan tiga parti itu untuk menggantikan posisi Umno-BN. Tanpa sokongan masyarakat berbilang kaum dan agama, seperti yang dihadapi BN hari ini, apatah lagi dengan retaknya ikatan elit politik mereka sehingga saling tidak mempercayai, maka proses peralihan kuasa tidak perlu menunggu masa lebih lama.
Semasa DAP masih digambarkan sebagai seteru orang Melayu dan umat Islam, aya cukup tertarik dengan tajuk berita Rekodkini.com, 7 Januari lalu, "DAP gesa Kerajaan UMNO-BN asingkan cukai judi, demi kemaslahatan masyarakat Islam".
Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia harus dilakukan oleh Najib Razak selaku Menteri Kewangan untuk memastikan hasil cukai perjudian itu disalurkan kepada perbelanjaan tertentu yang tidak melibatkan masyarakat Islam.
Ahli Parlimen DAP Seremban itu juga mendesak kerajaan supaya segera membatalkan semua permit tambahan Cabutan Khas (Special Draw) agar dapat membuktikan bahawa mereka tidak bergantung kepada aktiviti perjudian untuk menambah hasil cukai.
Kerajaan baru-baru ini sekali lagi meluluskan tambahan permit kepada syarikat nombor ramalan (NFO) sebanyak 22 permit Cabutan Khas di Semenanjung Malaysia merangkumi Magnum, Damacai dan Sports Toto.
Menurut Anthony, pemberian itu juga menjadikan tambahan sebanyak 66 kali cabutan nombor ekor untuk diperjudikan di Semenanjung Malaysia untuk 2014.
“Kalau dijumlahkan sepanjang 2014, jumlah hari perjudian cabutan nombor ekor ialah 178 hari bersamaan 52 minggu darab 3 hari dengan 22 hari cabutan khas. Ini amat keterlaluan.
“Secara puratanya, aktiviti perjudian cabutan nombor ekor ini adalah setiap 2 hari di negara ini. Apakah ini caranya Najib mentadbir untuk menambah hasil cukai negara?” soalnya, seperti dilaporkan Roketkini.com.
Ya, apa khabar pejuang-pejuang Melayu dalam Umno, Perkasa dan NGO berkaitan?
No comments:
Post a Comment