Ahmad Lutfi Othman
Dua tiga rakan karib sering bertanya situasi terakhir di Kajang. Bukan mereka bimbangkan kemenangan calon Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil itu, cuma khuatir dengan gosip perselisihan dalaman di antara PAS dan KeADILan.
"Saya tidak bimbang konflik di antara parti, termasuk dengan Anwar Ibrahim, tetapi lebih risaukan pertembungan sesama atau dalaman PAS sendiri," kata seorang teman, juga wartawan politik.
Dia tidak menyorok kerisauannya terhadap kesepaduan Pakatan melalui usia enam tahun, Mac ini. "Sekarang, heboh pula isu Konsensus Nasional, apatah lagi bila dibangkitkan semula soal Kerajaan Perpaduan, UG. Semua ini langsung tidak membantu misi kita ke Putrajaya," ujarnya, berhati-hati.
"Eloklah, PRU14 pun masih jauh lagi, bpleh kita selesai perbalahan ini secara baik, lagipun percanggahan tidak bermakna perseteruan. PAS sudah masak melaluinya," pintas saya, sambil ketawa kecil, bertujuan meredakan ketegangan pada raut wajah teman saya itu.
"Hal Kajang ini jangan takutlah ... Anwar akan dapat majoriti lebih tinggi nanti, lagi pun bila Dr Mahathir Mohamad dan Umno takut sangat Anwar bertanding, bermakna elok sangatlah Anwar di situ buat kepentingan Pakatan," usik saya.
Hari itu, rakan saya ini nampaknya susah ketawa, tanda dia memang serius memikirkan masalah dalaman parti. Seterusnya dia menyebut perbedaan ketara dalam tulisan dua AJK PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi dan Ustaz Idris Ahmad, serta membandingkannya dengan rakan sejawat mereka, Khalid Samad.
"Ada yang menyamakan konsep UG dengan Konsensus Nasional (KN), tetapi saya lebih tertarik dengan hujah Khalid yang sentiasa vokal itu," tambahnya. Beliau menunjukkan petikan dari blog Khalid: "KN membawa erti pemerintah dan pembangkang duduk bersama berbincang mengenai isu-isu tertentu dengan tujuan mencari titik persamaan dan persetujuan terhadap cara mengusahakan sesuatu penyelesaian secara bersama. Ini dilakukan dalam keadaan parti pemerintah tetap sebagai parti pemerintah dan parti pembangkang kekal sebagai parti pembangkang dan masing-masing terus dengan peranan masing-masing."
Dia turut menggariskan point Khalid seterusnya: "UG pula adalah pembentukan sebuah kerajaan bersama di antara BN dan Pakatan. Walaupun ada yang berpendapat di antara Umno dan PAS, tetapi saya memahaminya sebagai BN dan Pakatan. Dan dalam masa yang sama pembangkang ditiadakan. Semua duduk sebagai kerajaan dan persaingan parti pemerintah dan pembangkang secara terbuka ditiadakan."
(Manakala Ustaz Nasruddin mempertahankan konsep UG cetusan Presiden PAS tapi "belum sempat idea besar ini diwacana, dibahas dan dikaji secara tulus dan akademi, ia telah dibunuh dengan meletuskan satu persepsi jahat bahawa Ustaz Abdul Hadi mahu mengheret PAS menyertai Umno dan polemik ini berlanjutan sehingga tiga siri muktamar tahunan PAS selepas itu".)
Saya sekadar mengangguk, sekali gus memahami bahawa tidak mudah sesuatu isu dapat disepakati bersama, tanpa sedikit pun perbedaan. Masing-masing ada perspektif, nas dan hujah tersendiri. Sudut pandangan berdasarkan, bukan saja, dari sudut mana ia dilihat tetapi juga latarbelakang dan kecenderungan seseorang pemimpin itu. Khilaf itu tidaklah sampai memecahkan, dan sememangnya ia cabaran besar buat parti Islam yang matang dan tahan uji dengan seribu satu pergolakan seumpama PAS.
Dalam pada itu, saya agak terganggu dengan komentar seorang lagi rakan, dalam usia akhir 60-an, bekas pemimpin Umno bahagian, kini aktif dalam PAS peringkat kawasan dan cukup prihatin dengan situasi siasah di Selangor: "Dulu-dulu Menteri Besar Selangor tersingkir kerana rasuah, skandal seks dan lain-lain yang negatif. Tan Sri Khalid berjimat dan tidak rasuah, duit negeri pun banyak, tetapi dia nak disingkirkan gara-gara pimpinan parti tak dapat banyak projek dan jadi ahli lembaga pengarah GLC."
Saya kira rakan saya yang ramai kenalan politik dalam Umno, PAS dan KeADILan ini tentu memahami pergolakan sebenar kerajaan Selangor. Beliau juga bimbang sekiranya gejala yang memusnahkan Umno turut menghinggap PAS, terutama apabila diasak hebat hambatan keduniaan selepas menjadi rakan kongsi dalam pemerintahan di negeri termaju itu.
Ketika rakan-rakan sibuk membincangkan kontroversi Konsensus Nasional dan UG, fikiran saya lebih terarah dengan masalah dan kemelut harian, yang menyentuh soal survival kehidupan, terutama berkaitan cabaran peningkatan kos sara hidup, khususnya membabitkan golongan pesawah padi dan penoreh getah.
Belum pun dicapai formula penyelesaian yang dituntut NOG BelaTani, mengenai harga lantai padi sehingga RM1,355/tan metrik atau kadar subsidi yang tidak pernah berganjak, beberapa siri demonstrasi penoreh tidak boleh dipandang ringan. Apabila perut memulas dan dapur tidak berasap, amarah sukar dibendung lagi.
Berdasarkan laporan wakil Harakah di Kedah, perjuangan pesawah dan penoreh memang perlukan sokongan dan hebahan meluas agar tekanan meningkatkan harga lantai padi dan getah diberi perhatian elit pemerintah.
Kedah pernah menyaksikan demonstrasi besar-besaran penoreh di Baling pada 1974 ekoran harga getah menjunam dan lebih kurang 35 tahun lalu, di hadapan Wisma Negeri, Alor Setar, ribuan petani menunjuk perasaan, menyebabkan kerajaan terpaksa menaikkan harga subsidi padi.
Mungkin elit pemerintah lebih memahami bahasa aksi protes daripada memorandum ataupun keluhan melalui media?
Di sekitar Kuala Ketil, Sik, Padang Terap dan Sungai Petani, Kedah, penoreh mula turun ke jalan raya dan berkumpul di tengah kebun getah yang luruh dan kering sekarang. Mungkin menunggu masa untuk 'mengamuk" dan mencipta sejarah Baling II?
Harga merudum ke paras terendah, RM2.30 sekilo lebih mahal daripada sekilo gula, dan kebanyakannya terpaksa bahagi dua dengan tuan kebun, disebabkan majoriti menoreh secara pawah.
Saya juga masih belum dapat melupakan luahan hiba seorang isteri muda melalui panggilannya ke sebuah stesen radio. Dia menceritakan keadaan suaminya yang berubah drastik, menjadi murung dan mudah panas baran.
Puncanya kerana kesempitan hidup berdepan kenaikan kos hidup, dengan harga barangan keperluan harian meningkat terus. Berdasarkan nada percakapan, si isteri kedengaran tambah terapi bimbang jika suaminya gagal mengawal tekanan perasaan.
Ia tentu sekali bukan kes terpencil. Memang secara luaran realiti masyarakat nampak berjalan secara biasa tetapi jika kita mendekati setiap isi rumah, menyelami denyut nadi pergolakan harian, tidak kira di tengah kekalutan kota raya ataupun jauh di hujung desa terpencil, tekanan sama adalah situasi lumrah.
Ya, sesekali berkunjung ke pasar, usah terkejut melihat harga ayam, ikan dan sayur. belum dihitung perbelanjaan lain lagi. Media pula tidak menghebahkannya lagi, mungkin menganggapnya bukan berita besar lagi. Ia sudah dianggap realiti yang mesti diterima, 'kan?
Namun, himpitan tekanan hidup telah mengancam kesejahteraan hidup berkeluarga, sehingga boleh menyebabkan kes perceraian meningkat. Begitu juga dengan perkembangan keperibadian anak-anak. Ramai tidak dapat menyerap himpitan dengan baik.
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, dalam perhimpunan agung Umno 2013, pernah mendedahkan kajian bahawa 75 peratus daripada belia bandar yang berpendapatan bulanan RM3,000 terjejas dan "selepas mereka bayar kereta, rumah dan perbelanjaan makanan harian, mereka langsung tiada baki sesen pun di akhir bulan”.
Mengikut Jabatan Perangkaan, lebih 55 peratus pendapatan isi rumah di negara ini berada di bawah RM4,000 sebulan dan bagi warga kota, perolehan sekitar itu tidak dapat menjamin keselesaan. Golongan miskin bandar juga perlu didekati gelodak rasa mereka.
Dan untuk menyelami lebih dekat tekanan hidup penoreh getah, wartawan Harakah Kedah, Sarina Ismail menemui beberapa orang daripadanya.
Rosli Md Lazim, 48, dari Kampung Panjang, Jenun, menceritakan: "RM2.30 kena bahagi dua pula, banyak mana boleh dapat? Saya terpaksa memukat ikan untuk tampung pendapatan. Sekurang-kurangnya saya boleh jual ikan dengan harga yang lebih tinggi dari getah.
"Anak saya empat orang, kalau hanya pendapatan RM15 sehari, bagaimana saya tampung perbelanjaan. Barang keperluan mahal, ikan temenung pun sekilo RM12."
Shafie Ahmad, 49, dari Kampung Kubang Teradeh yang bersama-sama isteri menampung kehidupan sepenuhnya dengan menoreh getah meminta kerajaan tidak memandang mudah nasib mereka.
"Kerajaan kena kaji, jangan pandang mudah pada kami. Kalau sehari, kami hanya mampu dapat RM15 sedangkan nak datang kekebun pun, kos minyak motor pun dah hampir RM2.50, itu tak termasuk makan pagi. Sudahlah pula kami keluar rumah seawal 6.30 pagi.
"Jangan hanya dekat pilihan raya sahaja penoreh getah diberi umpan, naikkan harga getah tapi bila selesai mengundi, harga getah jatuh. Nasib penoreh getah tak terbela," ujar Shafie.
"Kalau musim hujan bolehlah juga dapat 20 kilo sehari tapi kemarau seperti ini hanya boleh dapat separuh dari itu. Sedangkan perbelanjaan seharian lebih dari RM20. Mana kami nak cari? "Saya harap harga getah dinaikkan paling rendah RM5.00 sekilo, jangan kurang," tambahnya.
Wartawan Izwan Abd Halim turut menemui seorang penoreh. Saarin Osman, di Kuala Ketil. "Pesawah dapat subsidi 0.35 sen sekilogram padi, nelayan ada subsidi disel. Penoreh getah tak dapat apa pun. Ditekan lagi dengan harga barang naik, contoh 6 kilogram sekerap getah baru boleh beli sekilogram ikan temenung yang harga RM12.00 sekilo," katanya.
"Secara purata setiap penoreh kini memperolehi pendapatan maksimum RM25.00 sedangkan keperluan hidup tidak terbatas pada makan dan minum. Tambahan, harga barangan juga kian melambung di samping utiliti di bawah seliaan kerajaan turut mengalami kenaikan harga."
No comments:
Post a Comment