Sunday, March 23, 2014

Rasuah politik bukan isu lagi dalam kempen Sg Limau

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Saya tidak sempat berada lama di kawasan pilihan raya kecil Sungai Limau, Sabtu lalu. Pergerakan fizikal yang terganggu sejak di KLIA, dan memaksa menapak begitu jauh ke pesawat, turut menghalang usaha menyelami situasi kempen dari dekat.

Walaupun sekadar kunjungan singkat tetapi kehijauan bendang yang memukau seolah-olah menghantar mesej bahawa Parti Islam tetap di hati majoriti pengundi. Difahamkan sawah  sekitar Yan mengeluarkan antara produk terbaik di negeri Jelapang Padi itu.

Seperti lazimnya, berbanding meneropong mood pengundi, perhatian saya lebih tertumpu sejauh  mana kempen dapat berjalan secara adil, demokratik dan beradab.

Seterusnya bagaimana media membuat laporan terhadap proses pilihan raya; mungkinkah meneruskan tradisi lapuk, yakni langsung tidak memberi ruang buat saingan BN?

Dan lebih mendesak, apakah penggunaan jentera kerajaan, kemudahan awam dan wang rakyat terus diperkakaskan untuk menarik sokongan kepada BN, selain rasuah politik yang berleluasa?

Tentu sekali prioriti saya itu langsung tidak menarik, 'kan? Seperti kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, ibarat menunggu ikan keli tumbuh sisik.

Sememangnya Umno-BN tidak dapat bercerai-tanggal dengan amalan korupsi dan salahguna kuasa. "Kalau kembar siam pun boleh dipisahkan, tetapi tidak kepada Umno dan rasuah," kata seorang veteran lama Umno.

Tidak dinafikan program transformasi, seperti dilancarkan Najib Razak, boleh saja dilaksanakan, tetapi ia hanya mimpi di siang hari untuk membayangkan elit penguasa dapat merubah kebiasaan lama -- memperdagangkan kuasa dan pengaruh untuk kepentingan diri dan suku-sakar.

(NKRA untuk menghapuskan rasuah menjadi elemen penting dalam Program Transformasi Kerajaan sejak 2010, tetapi setiap tahun Laporkan Ketua Audit Negara mendedahkan pelbagai kes pembaziran, pemborosan dan penyelewengan).

Ya, pentadbiran kerajaan persekutuan di Putrajaya seolah-olah dipindahkan ke Sungai Limau. Dalam tempoh berkempen, segalanya mahu dilonggokkan kepada pengundi (walaupun berbentuk makanaan tin yang sudah luput tarikh akhirnya), dan bila disoal, hujahnya sama saja, perancangan sudah lama, sebelum Ustaz Azizan Abd Razak meninggal dunia lagi!

Saya tidak pasti, apakah  Sungai Limau turut mempunyai rancangan Felda, tetapi pengerusinya, Isa Samad, turut turun padang berkempen melalui bantuan Yayasan Felda, membaik pulih rumah, RM5,000 setiap satu?

Di KLIA,  tempat menunggu sebelum masuk ke pesawat, semasa mendengar pengumuman penangguhan penerbangan MAS ke Alor Setar, saya terlihat kelibat Timbalan Menteri  Kewangan, Ahmad Maslan, dipercayai untuk menaiki kapal terbang yang sama.

"Nak pi tabur duit di Sungai Limaulah tu?" usik seorang penumpang, dari Jitra, sambil tersenyum, yang membisik kepada saya, menunjukkan ke arah Ahmad Maslan. Saya tidak berani mengangguk tetapi menjawabnya dengan senyuman.

Dan ketika saya sampai sekitar jam 5 petang di pekan Sungai Limau, ditemani Helmi Khalid, bekas Setiausaha Akhbar Ustaz Azizan, laluan agak sesak. Kami berselisih dengan kereta Menteri Besar Kedah dan menunggu di tepi jalan, Ahmad Maslan. Rasanya macam ada karnival berkaitan Kementerian Kewangan.

Sebenarnya isu salahguna kemudahan dan sumber kerajaan semasa kempen pilihan raya sudah menjadi persoalan usang dan basi. Ia bukan saja dilihat tidak memberi sebarang kudis kepada BN, malah dianggap satu kelebihan kepada mana-mana parti pemerintah.

Justeru, cerita Khalifah Umar Abd Aziz yang memadam lampu kerajaan dan memasang lilin peribadi apabila berbicara soal personal, mungkin dianggap nostalgia lama yang tidak berjejak di bumi nyata.

"Lutfi, tak relevan langsung kisah integriti Umar itu dengan kerajaan BN, orng lebih tertarik dengan jumlah bil elektrik kediaman rasmi PM, mencecah lebih RM2.2 juta tahun lepas," bidas seorang rakan, sambil ketawa, semasa bersembang isu-isu good governance, yang sepatutnya diteladani daripada pemerintahan awal Islam.

Dalam konteks lebih menyeluruh, sementara Belanjawan Pakatan Rakyat 2014 mencadangkan pengurangan  perbelanjaan pengurusan negara sebanyak 10 peratus -- antaranya melalui penangguhan kenaikan gaji dan merasionalkan elaun pegawai atasan dan menteri kabinet, juga kajian semula polisi perbelanjaan kerajaan terutama dalam pemberian kontrak dan prokumen peralatan -- Bajet 2014 pula mencatatkan kenaikan perbelanjaan pengurusan.

Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming turut menimbulkan soal peningkatan perbelanjaan ini, antaranya disebabkan oleh gaji yang lumayan kepada penjawat tinggi agensi-agensi khas. Mereka bukan pejawat awam tetapi adalah pekerja kontrak.

Misalnya, CEO Agensi Inovasi Malaysia (AIM) dibayar gaji, elaun dan bonus sebanyak RM830,5000 setiap tahun, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) diberikan gaji, elaun dan bonus berjumlah RM622,000. Gaji tahunan mereka ini jauh lebih daripada gaji Ketua Setiausaha Negara.
 

Menunggu pesawat MAS yang terlewat lebih tiga jam di lapangan terbang Kepala Batas, untuk pulang ke Kuala Lumpur, pada malam Isnin lalu, bukan saja menjemukan, malah cukup meletihkan.  Lebih menyakitkan apabila MAS langsung tidak memaklumkannya lebih awal, tidaklah saya dan isteri tergopoh-gapah mengejar hinggakan tidak sempat menikmati sepenuhnya  gulai ayam kampung kakak di Kampung Raja, Tunjang.

Mujur ada rakan lama sekitar Alor Setar yang boleh diajak berborak. Mereka segara datang sebagai respons kepada SMS saya yang memberitahu pesawat tertunda disebabkan KLIA hujan lebat di sebelah petangnya. 

Isu kenaikan harga gula dengan alasan dangkal menangani diabetis menimbulkan gelak ketawa berpanjangan kami, dan saya yakin, buat BN, ia juga menjadi bahan gurauan yang pedih dalam kempen.  

Apa tidaknya, singgungan (atau mungkin sendaan) Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengenai penghapusan subsidi gula ini, dalam majlis bersama warga pendidik di Yan (berkempen untuk calon BN), telah menyentuh hati anggota keluarga Ustaz Azizan.

Kebetulan saya berada di markas PAS Jerai semasa tiga wartawan menghubungi Pesuruhjaya PAS Kedah, Mahfuz Omar meminta komennya tentang ucapan Muhyiddin itu. Maknanya, ia bukan sengaja dibangkitkan oleh jentera kempen PAS, tetapi pihak media sendiri berasa tidak wajar TPM mengaitkan kenaikan harga gula dengan penyakit kencing manis Ustaz Azizan.

Sungai Limau memang cukup penting  buat PAS yang baru kehilangan Kedah dalam PRU13. Dua hari sebelum mengundi, Mei lalu, saya cukup bimbang, apatah lagi mendengar pelbagai kisah dalaman parti "yang menggerunkan" dan cerita kejayaan kerajaan negeri yang sukar "dipasarkan".

Namun, berbeda kali ini, meskipun menyedari pengundi cuba dibeli dengan umpan rasuah, dan diasak dengan pelbagai tawaran lainnya, saya optimis orang Sungai Limau akan meneruskan legasi Ustaz Azizan, melalui Ustaz Azam Abd Samat, insya-Allah.

Sungai Limau (dahulunya Sala) merupakan kebanggaan PAS Kedah, sama seperti Bukit Raya (kini Tokai), yang pernah diwakili Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor, sebelum berpindah ke kerusi Dun Anak Bukit.

Pastinya pengundi luar kawasan -- sekalipun mengundi jatuh pada hari bekerja -- tidak akan melepaskan peluang untuk terus memahat sejarah, balik kampung bagi mengekalkan kemenangan PAS.

Apa pun, soal rasuah dan salahguna kuasa dalam kempen masih menganggu fikiran saya: Benarkah rakyat Malaysia tidak ambil peduli lagi dan menganggap ia suatu tradisi yang tiada cacat-celanya?

No comments: