Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN
Kali ini memang saya belum membaca Laporan Ketua Audit Negara 2012, seperti yang lazimnya pada tahun-tahun terdahulu. Sebagai wartawan, saya dilatih agar membuat penyelidikan awal, ataupun sekurang-kurangnya penelitian sepintas lalu, sebelum memberi kritikan ataupun komentar. Tetapi tidak untuk kali ini, apatah lagi kesukaran mendapatkan teks berjilid, bukan sekadar membaca dalam talian.
Mulanya saya tidak terdorong pun untuk menulis mengenai pendedahan pelbagai penyelewengan, salah urus dan pembaziran dana awam yang cukup ketara itu. Saya tidak mahu membandingkan dengan laporan KAN sebelumnya, yang juga mencatatkan hal-hal yang lebih kurang sama sahaja, malah lebih dahsyat lagi, tetapi akhirnya didiamkan begitu sahaja.
Saban tahun, teguran Ketua Audit Negara terhadap kementerian, jabatan dan badan berkanun nampak tidak dipedulikan langsung. Wang pembayar cukai yang sepatutnya diuruskan dengan penuh amanah, telus dan bertanggungjawab, dihanguskan dengan mudah. Jarang terdengar mereka yang terbabit dihadapkan ke mahkamah dan hukuman tegas dijatuhkan, ataupun apa-apa tindakan disiplin yang sepadan.
Tidak perlulah untuk diulangi (tapi untuk memuaskan hati, nak sebut juga, 'kan?) fakta-fakta tentang 44 senjata api dan 29 kenderaan polis yang hilang, jam dinding RTM yang patut berharga RM100 sebuah tetapi dibeli RM3,800, kempen perokok bodoh RM38,750, bayaran persembahan K-Pop RM1.6 juta, kontrak keselamatan sekolah RM2 bilion yang tunggang-langgang, juga lukisan RM3 juta yang tidak dipamerkan, dan banyak lagilah!
Sementara kita hampir jelak dengan siri pendedahan yang tidak disusuli formula penyelesaian, respons oleh menteri bertanggungjawab lebih merimaskan. Seolah-olah majoriti rakyat masih mudah diperbodohkan dengan jawapan yang meremehkan pemikiran dan logika. Ataupun, mungkin sememangnya kebanyakan kita bertaraf dungu, yang boleh terus dikelentong atau sekadar menggelengkan kepala tanda membantah tanpa aksi lanjut?
Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi dan bekas Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Shabery Cheek, seperti mahu mempersalahkan Ketua Audit Negara, Ambrin Buang, dengan mendakwa sudah ada penjelasan dibuat terhadap isu kehilangan aset polis dan dana kementerian untuk membiayai persembahan kumpulan K-Pop.
Amrin menafikan. Katanya, pihak polis tidak memberi jawapan berhubungan kehilangan aset bernilai RM1.3 juta. "Juga tiada jawapan polis," tambahnya, menjawab kenyataan Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar kemungkinan polis hilang di dalam laut.
Beliau turut menafikan dakwaan Shabery yang menggelar Jabatan Audit Negara culas kerana gagal menyemak wang yang dimasukkan penaja ke akaun bank Majlis Belia. Amrin berkata, tiada sesiapa daripada kementerian atau majlis yang mencabar fakta wang konsert K-Pop datang menerusi peruntukan kerajaan semasa perbincangan kedua-dua pihak berhubung audit itu.
Apakah Zahid dan Shabery berasa tercabar dengan penjelasan Amrin itu? Rasanya, tidak. Ia akan berlalu dan akan dilupakan kemudiannya. Siapa ambil peduli tentang maruah, harga diri dan integriti, walaupun jelas menteri-menteri ini tidak bercakap benar?
Selain itu, tidak kurang juga yang terganggu dengan perbelanjaan RM100.47 juta bagi kos pesawat Perdana Menteri dalam masa tiga tahun, selain RM4.02 juta untuk membiayanya keluar negara sejak Najib Razak menerajui negara. Apatah lagi dimaklumkan rakan sejawatnya di Singapura, Lee Hsien Loong, dapat menjimatkan jutaan wang negara dengan menggunakan Singapore Airline apabila membuat lawatan luar negara.
Pada masa hampir sama, Ketua Pengarah Eksekutif, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun), Abdul Rahim Hassan, dalam sidang akhbar bersama Pengerusi Tekun Nasional, Hamidah Osman (ingat kontroversi Hamidah, bekas Adun Sungai Rapat, Perak) menekankan, memang Tekun ditubuhkan bagi membantu ahli Umno.
Fahmi Fadzil, Pengarah Komunikasi KEADILAN membidas, Tekun telah meminjamkan dana berjumlah RM2.42 bilion dan sejak ditubuhkan pada 1998, hanya RM1.43 bilion dibayar balik. "Implikasinya amat serius, hampir 40.9% jumlah yang dipinjamkan kepada amnya ahli-ahli Umno belum dibayar balik, iaitu hampir RM1 bilion," kata Fahmi.
Sementara itu, Ketua Pengarang Kumpulan The Star, Wong Chun Wai, menyifatkan Laporan KAN 2012 sebagai "kisah mengaibkan yang sama". Memetik mukadimah tulisannya: "Jijik dan mengaibkan. Tidak kira apa punca kehilangan berbilion-bilion ringgit, sama ada akibatkecuaian, keputusan yang dibuat secara cincai, kekurangan kemampuan, kebodohan, pecah amanah atau lebih buruk, korupsi, hakikat ini terlalu pedih untuk ditanggung oleh rakyat Malaysia. Setiap tahun kita membaca tentang perkara-perkara yang buruk namun tidak banyak khabar yang kita terima tentang hukuman yang dikenakan terhadap pihak yang terlibat."
Editor Astro Awani, Noor Azam Shairi menulis: "Apa lagi yang kita hendak kata tentang Laporan Ketua Audit Negara 2012? Tema ceritanya sama: Barangan atau perkhidmatan yang sepatutnya diperolehi dengan harga yang rendah dibayar dengan harga yang tinggi; projek yang sepatutnya diuruskan dengan baik, jadi tidak teratur dan terlewat daripada jadual; belanja yang tidak berhemat; kerja yang tidak dirancang dengan teliti, pengurusan tidak cekap dan banyak lagi. Itu ini, begitu begini; yang itu, itu juga."
Namun begitu, saya tertarik dengan luahan hati Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, yang banyak membangkitkan isu integriti dan sering membandingkan pengalaman negara-negara Islam yang berada dalam kedudukan antara yang paling bawah, berbanding negara-negara Eropah, khususnya Skandinavia.
"Peliknya, kalau berbelanja duit sendiri, begitu cermat, jimat dan berhemat sekali, tetapi bila menggunakan dana awam, duit pejabat misalnya jika belanja makan, nampak cukup pemurah," kata Mohamad.
Beliau menceritakan pengalamannya ketika makan di sebuah restoran masakan kampung yang popular di Alor Setar. Ada sekumpulan pegawai awam yang makan tengahari bersama, dan apabila peniaga menjumlahkan harga makanan, lebih kurang RM100, tetapi secara terbuka berteriak kepada cashier agar dibuat resit (untuk dibuat tuntutan di pejabat) bernilai RM200.
"Nampak macam kes kecik, tapi implikasinya serius, babitkan wang awam, dan ia juga menyentuh soal integriti, amanah, etika atau akhlak mulia. Kisah Umar Abdul Aziz padamkan lampu di pejabat bila membincangkan hal personal seolah-olah nostalgia yang sukar dijelmakan kembali," ujarnya dengan nada agak kesal.
No comments:
Post a Comment