Ramai kawan-kawan bertanya, siapa lagi 12 orang yang dikatakan bakal turut dikurung tanpa bicara mereka? Ia merujuk kepada sms yang mengingatkan kemungkinan Operasi Lalang II bakal mencengkam bumi tercinta ini. Mendengar ancaman ISA, ramai aktivis, termasuk yang paling lantang bersuara, "kecut perut"; tanyalah Mohamad Sabu atau Karpal Singh!
Dalam Operasi Lalang 1987, 21 tahun lalu, seramai 106 aktivis dipenjarakan, manakala tiga akhbar turut digantung, iaitu Watan (bahasa Melayu), The Star (bahasa Inggeris) dan Sin Chew (bahasa Cina). Kali ini, bermula dengan tiga tangkapan, disusuli surat tunjuk sebab buat tiga akhbar, Suara Keadilan (bahasa Melayu), The Sun (bahasa Inggeris) dan Sin Chew (bahasa Cina).
Seperti biasa akhbar-akhbar yang dikuasai mutlak Umno, misalnya Utusan Malaysia, terselamat, meskipun ia lebih ghairah menyalakan api perkauman.
Dalam tradisi sekatan akhbar di negara ini, kalaupun tindakan mahu diambil kepada akhbar arus perdana, hanya ketua pengarang ditukar, manakala permit akhbar berkenaan jarang disentuh. Bagi akhbar atau majalah lain yang dianggap sukar dikawal, misalnya Detik, Eksklusif, Wasilah, permitnya mudah ditarik balik.
Yang dibimbangi dalam kejadian mutakhir adalah tangkapan borong meliputi semua parti, seperti terserlah pada 1987, mungkin untuk menunjukkan "keadilan" dan "sama-rata", sehingga ramai tokoh dan pertubuhan yang tidak terbabit dengan sentimen perkauman dan keagamaan sempit, turut dicekup.
Tidak mustahil tokoh-tokoh PAS, DAP dan KeADILan, serta beberapa NGO prihatin, akan dikurung sama, walaupun yang memanipulasikan emosi hanya pemimpin komponen BN.
Pokok pangkalnya adalah kuasa BN yang mula terhakis dan hampir terlucut. Ia mesti diselamatkan dengan apa saja cara, tidak kira berapa banyak kos hangus. Operasi Lalang 1987 juga didorong oleh krisis dalaman Umno yang cukup dahsyat. Kes Umno 11, ekoran pemilihan parti 24 April 1987, dan perisytiharan Umno haram oleh Hakim Harun Hashim meletakkan parti pemerintah seperti telur di hujung tanduk. Tun Salleh Abas dan dua lagi Hakim Mahkamah Agung dipecat hanya demi menyelamatkan kerusi Perdana Menteri ketika itu.
Situasi sekarang pastinya lebih kritikal buat Umno dan Perdana Menteri serta konco-konconya. 16 September mungkin berlalu begitu sahaja, tetapi segalanya bukan penamat. Peralihan kuasa BN kepada Pakatan Rakyat tidak terikat dengan sebarang tarikh. Kepincangan dalaman Umno, termasuk kemasukan semula Dr Mahathir Mohamad, meletakkan Abdullah Badawi seperti cacing kepanasan.
Muhyiddin yang dahulunya dilihat selesa dengan Abdullah kini "mengejutkannya". Najib pula, sejak mula dilantik timbalan Abdullah, tidak pernah menunjukkan kesetiaan tulen. Pelan peralihan kuasa 2010 akan dirobek bila-bila masa sahaja. ISA sememangnya senjata berkesan pemerintah untuk "mematikan momentum" kesedaran rakyat, namun kali ini mungkin tidak lagi.
Keresahan masyarakat terhadap bebanan hidup cuba dipesongkan kepada isu-isu palsu yang mudah disemarakkan. Ya, isu perkauman. Ia mudah dibakar dalam sekelip mata.
Apatah lagi dengan keputusan pilihan raya 2008 terutama di Selangor dan Perak, istilah "ketuanan Melayu" benar-benar diperalatkan. Menjadi semakin malang apabila ramai terjebak tanpa sedar risiko di belakang, termasuk pimpinan Pakatan Rakyat.
Kematangan kita berpolitik masih boleh dipersoal. Banyak aksi tidak rasional berleluasa di luar sana. Sentimen perkauman tetap mudah dibakar. Rupanya kita terus terikat dengan mentaliti lama. Semakin banyak kita bercakap tentang politik baru yang didakwa bukan-perkauman, namun realitinya "perangkap" itu masih ternganga luas menunggu mangsa.
Suara-suara rasional terus terpinggir dan "pemerintah korup" mungkin terus berjaya mengeksploitasinya demi mengekalkan kuasa yang hampir terlucut itu.
II. Selepas 10 keluaran Harakah
Hampir sepuluh keluaran Harakah, yang diterbitkan dua kali seminggu, sudah berada di pasaran. Komitmen kami untuk memberi satu kelainan, selaras dengan penerbitan yang makin kerap, mengundang pelbagai reaksi.
Walaupun banyak tanggapan positif, sekali gus lambakan kalungan tahniah, namun tidak kurang pula yang meluahkan rasa tidak puas hati, sambil memberi cadangan balas.
Sememangnya Harakah sentiasa menjadi tumpuan, terutama buat peminat politik, khususnya selepas era reformasi, September 1998. Walaupun cuba dimusnahkan fungsinya sebagai sebuah akhbar alternatif apabila dipancung kekerapannya bermula Mac 2000, Harakah tetap dicari pembaca.
Malah, Almarhum Pak Samad Ismail, dalam satu majlis ceramah kewartawanan di pejabat Harakah, di awal tahun 90-an, turut mengakui, secara berseloroh, bahawa beliau merupakan pelanggan setia Harakah, "walaupun ada kalanya saya tidak begitu faham intro berita yang ditulis".
Pak Samad cuba memberitahu, meskipun ada kelemahan dalam penulisan pemberita Harakah, terutama di peringkat awal dahulu, namun kandungannya mempunyai keistimewaan dan keunikan tersendiri kerana ia sukar diperolehi dalam akhbar-akhbar lain.
Kini Harakah perlu bertanding di pasaran terbuka dengan menampilkan bahan-bahan terbaik. Berita terkini, pendedahan mengejutkan, analisis bernas, sudut pandangan tidak terduga, rencana bermaklumat, komentar padat tetapi segar, serta laporan penyiasatan yang ditunggu-tunggu.
Ya, bahan-bahan alternatif bukan milik eksklusif Harakah lagi. Media arus perdana nampak semakin terbuka. Siaran tv satelit turut memberi pilihan yang beraneka.
Menyedari dunia kewartawanan semakin kompleks dan tuntutan pembaca kian sofistikated, Harakah harus mencapai target dalam kadar segera.
Jika mahu disenaraikan halangan dan hambatan, tentulah ia panjang berjela. Iklim politik kita tidak kondusif untuk memartabatkan sebuah akhbar alternatif yang bermutu.
Malah sebagai lidah rasmi sebuah parti politik, cabarannya datang dari luar dan dalam. Bukankah setiap ahli PAS berhak merasakan Harakah milik mereka, lalu mereka boleh berimiginasi seluas mungkin, mengharapkan akhbar ini memenuhi impian?
Dan kami tidak boleh meremehkan setiap harapan itu memandangkan Harakah dapat kekal tegak berdepan pelbagai tribulasi sepanjang 21 tahun ini, antara lain, kerana didokong ahli-ahli PAS yang cukup setia.
Pastinya Harakah masih banyak kekurangan dan kelemahan. Di samping mengalu-alukan kritikan, kami amat menghargai sumbangan tulisan dan juga maklumat berguna. Harakah bersedia dibedah-siasat bagi mengungguli jihad pena ini.
Seperti pembaca yang cukup dahagakan maklumat, berita dan analisis berkualiti, kami juga mahu menghidangkan yang terbaik. Fungsi Harakah sebagai akhbar sudahpun dipulihkan, dengan penerbitan dua kali seminggu ini, tinggal kesungguhan dan kecekalan bagi memastikan kewibawaannya juga meningkat. Jangan lupa, sumbangan anda amat kami harapkan. - mks.
No comments:
Post a Comment