Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN
Selalunya hanya apabila kalah teruk dalam pilihan raya, barulah parti politik terbabit lebih bersedia untuk mendengar kritikan dan melakukan koreksi diri. Operasi bedah-siasat akan dijalankan bagi mencari punca kelemahan dan kealpaan. Selain menuding jari kepada tipu muslihat dan taktik kotor seteru politik, faktor dalaman turut mendapat perhatian.
Apabila PAS bersama Barisan Alternatif mengejutkan Umno dalam pilihan raya umum 1999, rasanya tiada siapa mendesak diadakan post-mortem. Masing-masing bergembira dan sibuk dengan kenduri kesyukuran.
Bagaimanapun sebaik sahaja BN di bawah teraju Abdullah Ahmad Badawi menang besar pada 2004 dan PAS secara tiba-tiba hilang penguasaan di Terengganu, maka secepat kilat ditubuhkan pasukan khas - bukan saja untuk menganalisis kekalahan tidak disangka itu - malah bagi menerima aduan tentang penyelewengan dan manipulasi pemerintah.
Tidak pasti pula apakah ada badan penyiasat bagi menganalisis kejayaan gemilang PAS-DAP-KeADILan, yang kemudiannya membentuk Pakatan Rakyat, sehingga dapat menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen dan merangkul lima negeri dalam pilihan raya ke-12, hampir 30 bulan lalu? Mungkin ada yang beranggapan, tidak perlulah membazirkan tenaga, masa, sumber dan wang berbuat demikian.
Bagi saya, sama ada menghadapi kemenangan tidak terduga mahupun kekalahan tidak dijangka, post-mortem perlu dilakukan secara sistematik dan mendalam. Sokongan rakyat boleh datang mencurah, tetapi dalam pilihan raya berikutnya boleh ditarik balik tanpa didahului petanda awal.
Sesebuah parti atau calon bukan sahaja perlu mengetahui mengapa ditimpa kekalahan, tetapi harus juga meneliti punca sebenar kemenangan diraih. Apakah ia lebih difaktorkan oleh kelemahan musuh atau kekuatan sendiri? Dan punca kelemahan dan kekuatan itu mesti diperincikan dan diperdebatkan. Usah terpukau dan terleka dengan sindrom syok sendiri.
Dan jangan pula sebaik kalah, maka kritikan dan kecaman hanya dihalakan kepada pesaing, yang sudah semestinya sentiasa mencari jalan, termasuk melalui taktik paling kotor, bagi mengecewakan kita. Bukankah apabila begitu mudah ditipu dan disabotaj, apatah lagi dengan strategi musuh yang sama berulang kali, ia menandakan kita cukup naif dan tidak mengambil iktibar daripada "pertempuran" sebelumnya?
Kekalahan PAS di Galas tentulah memeritkan. Biarpun kawasan itu bukannya kubu tradisi parti Islam di Kelantan, sementalahan pula pengaruh Tengku Razaleigh Hamzah di sana agak dominan, namun mesej yang disampaikan pengundi perlu diberi perhatian khusus.
Kritikan pensyarah media Universiti Malaya, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah, yang juga pengasas Zentrum Future Studies Malaysia memang agak pedih untuk diterima, tetapi ia wajar direnung secara mendalam. Tegurannya mungkin boleh disangkal aktivis PAS terutama mereka yang bertungkus-lumus sepanjang kempen. Saya lebih gemar melihat sudut positif yang boleh dimanfaatkan.
Lagipun, kita hanya berdepan pilihan raya kecil, yang sebenarnya berfungsi untuk mendedahkan jentera parti dengan realiti di akar umbi. Kadang-kadang senario semasa amat berbeza dengan gambaran sewaktu pilihan raya umum akan datang. Lihat saja keputusan siri pilihan raya kecil terdahulu. Di Ijok, Abdul Khalid Ibrahim dimalukan secara terbuka melalui tayangan berulang kali di kaca tv mengenai ucapannya yang tersasul meminta pengundi menyokong BN dan beliau turut kalah.
Siapa sangka dalam pilihan raya umum tidak lama kemudian, beliau bukan saja menebus kekalahan tetapi diangkat sebagai Menteri Besar Selangor! Sebaliknya, PAS juga pernah merakamkan kemenangan manis merebut kerusi daripada Umno-BN dalam pilihan raya kecil di Dun Telok Pasu, Terengganu dan Parlimen Arau, Perlis, tetapi dalam pilihan raya umum selepas itu, kedua-dua calon PAS kalah di kerusi yang sama.
Dr Abu Hassan melihat bahawa, "onar yang tidak berkesudahan dalam Pakatan Rakyat, antara lain telah membuka ruang taktikal dan strategi dari aspek informasi, komunikasi dan media kepada BN untuk memanipulasi segala krisis dalaman itu sebagai sentimen kebencian melalui isu berpanjangan di media tradisi yang rata-rata masih menguasai pemikiran masyarakat luarbandar."
Dalam masa sama, tambahnya, "Pakatan belum mewujudkan pusat media profesional yang boleh mengatur sumber media secara lebih sistematik dan bertanggungjawab." Beliau turut menegur Pakatan yang tidak benar-benar memberi perhatian terhadap faktor kemiskinan luar bandar, sedangkan katanya, isu kemiskinan paling mudah digunakan sebagai strategi dalam politik moden. Pemilihan calon dan pengarah pilihan raya turut disinggungnya.
Bagaimanapun, meneliti sikap pengundi di Manek Urai sebelum itu, banyak pihak sejak awal telah meramalkan Galas merupakan medan cukup sukar buat PAS, apatah lagi pengundi Kelantan dikenali "bijak mengagihkan sokongan" dalam waktu kritikal. Mereka tahu apa yang boleh diperolehi daripada kerajaan negeri dan apa yang boleh dilengkapkan oleh kerajaan pusat.
Saya tertarik apabila ada pihak mengatakan, "lebih baik PAS kalah di Galas daripada terlepas Kelantan dalam pilihan raya umum akan datang". Tidak kurang pula yang mengkritik sikap pemimpin tertentu di Kelantan yang dilihat seperti tidak begitu bersedia memberi ruang untuk "orang luar" membantu. Beberapa aksi dan kenyataan, yang boleh dikaitkan dengan politik wang, turut dilihat mengundang polemik yang membebankan. Kita mungkin ada hujah tersendiri bagi membenarkan tindakan itu tetapi bagaimana dengan persepsi rakyat?
Seorang kolumnis pernah menyimpulkan, rakyat memenangkan BN dengan majoriti besar pada 2004 kerana mereka mengundi "potensi" Perdana Menteri baru ketika itu, Abdullah. Tetapi dalam pilihan raya 2008, pengundi proaktif menghakimi "prestasi" beliau.
Rakyat mungkin mengundi Pakatan ketika itu disebabkan kebobrokan BN, tetapi menjelang pilihan raya akan datang, "keistimewaan" itu tiada lagi. Prestasi kedua-dua gabungan parti akan diteropong secara halus. Tiada jalan singkat untuk menang. Ia harus berdasarkan kekuatan sendiri dan bukannya kelemahan lawan.
Selepas melewati "babak pertama" dan mendekati tahun ketiga, iaitu memasuki zon persiapan pilihan raya umum ke-13, alangkah baiknya jika Pakatan dapat melakukan post-mortem di atas prestasi empat kerajaan negeri dan rekod kerja ahli-ahli Parlimenya. Ya, bukan hanya Galas perlu dibedah.
Umno selepas 1999 rancak meremajakan parti dan bersedia dengan taktik terselindung yang tidak terhidu. Sudah pasti selepas hampir hilang kuasa pada 2008, keupayaan BN tidak boleh diremehkan, khususnya selepas Najib Razak menggesa ahli Umno "sedia berkecai tulang dan badan, walau bercerai jasad dan nyawa, walau apapun terjadi, Putrajaya mesti dipertahankan."
No comments:
Post a Comment