Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN
Penangguhan pemilihan Umno yang dijadual diadakan akhir tahun depan, selama 18 bulan, seperti diumumkan presidennya, Najib Razak baru-baru ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Ia sudah dilakukan beberapa kali sebelum ini sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum.
Soalnya, apakah kita sudah berada di ambang kempen Pilihan Raya Umum ke-13, yang dijangka paling sengit pernah diadakan tetapi sukar ditelah keputusannya nanti?Pertandingan merebut jawatan tertinggi dalam Umno sering membawa petaka dahsyat, seperti berlaku pada April 1987, yang akhirnya menyebabkan ia diharamkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Tragedi pemecatan Anwar Ibrahim sebagai ahli Umno, seterusnya daripada semua jawatan dalam kerajaan dan parti, pada September 1998 juga merupakan langkah drastik Dr Mahathir Mohamad bagi mengelak jawatannya sebagai Presiden Umno dicabar.
Setiap kali pemilihan sengit berlaku dalam Umno, kekuatan parti itu semakin merosot dan secara automatik saingannya dilihat mendapat kelebihan. Justeru, kini, Najib pastinya tidak mahu mengambil sebarang risiko, apatah lagi pilihan raya umum ini menentukan "hidup-mati" kerjaya politiknya. Sepanjang sejarah, tidak pernah BN dicabar sebegini sengit.
Rakyat kini memang mempunyai pilihan yang lebih berwibawa bagi menggantikan pemerintah yang terbukti mengkhianati amanah kepemimpinan dengan melakukan pelbagai skandal, salahguna kuasa dan penyelewengan bertaraf mega.
Namun begitu, di pihak Pakatan Rakyat sendiri, ia tidak semudah melafazkan ikrar bagi membentuk kerajaan baru di peringkat persekutuan. Laluannya bukan mudah, malah lebih sukar dan seringkali tidak terduga cabarannya.
Umno-BN yang masih berkuku terus menguasai segala peralatan dan kemudahan kerajaan untuk mencengkam kebebasan dan melunakkan penentangan rakyat, bagi mengekalkan status-quo, selain mengukuhkan lagi kongkongan terhadap media.
Walaupun hanya mendapat majoriti mudah di Parlimen dalam pilihan raya umum lalu, dan tewas di lima negeri, namun kuasa yang masih dimiliki BN tidak boleh diremehkan atau dipandang rendah. Agensi penting pemerintahan, seperti polis, tentera, badan kehakiman, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pilihan Raya, media dan jentera kerajaan secara keseluruhannya, sentiasa menjadi perkakas dan senjata utama bagi BN mempertahankan sisa-sisa kuasanya.
Pastinya jentera kempen BN kali ini akan melakukan apa jua usaha, strategi dan konspirasi bagi memastikan teraju kuasa tidak terlepas. Sering diulang bahawa Umno-BN tanpa kuasa akan hilang segala-galanya. Semangat, komitmen, daya juang apatah lagi pengorbanan pendokong dan penyokongnya akan lumpuh teruk jika kuasa terlucut dalam pilihan raya akan datang.
Pemimpin Umno amat arif tentang realiti ini, justeru mereka pasti berusaha sedaya mungkin bagi memastikan kuasa - terutama di peringkat persekutuan - tidak terlucut walaupun untuk seketika. Tanpa kuasa, Umno sebagai tonggak BN akan menjadi kerdil, layu dan tidak bermaya. Sandarannya terhadap kuasa umpama kembar siam, yang tidak boleh bercerai tanggal walaupun seketika.
Walau bagaimanapun, realitinya Umno masih berkuku di atas singgahsana kuasa, biarpun nampak tempang. Dengan apa jua kos yang terpaksa dihanguskannya, saki-baki kuasa itu akan dipertahankan. Umno-BN lebih memahami betapa peritnya kehilangan kuasa. Maka, sedaya upaya pemimpinnya akan mencari jalan, tanpa memperhitung nilai moral lagi, bagi mengelak bertembung dengan situasi paling digeruni itu.
Benar, sebelum ini ia pernah kalah beberapa kali di peringkat negeri, seperti Kelantan, Terengganu, Sabah, Perak dan kini Selangor, Pulau Pinang dan Kedah. Namun keperitan terlepas kawalan di peringkat persekutuan belum pernah dirasainya dan para pemimpinnya sedar bahawa ahli-ahli Umno tidak mampu berdepan dengan kekalahan dahsyat seperti itu.
Tidak dapat dibayangkan bagaimana semangat dan moral aktivis parti itu mampu dipulihkan jika mereka benar-benar hilang kuasa dalam pilihan raya akan datang. Maka, selagi kuasa masih berbaki di tangan, maka apa jua usaha, manipulasi dan taktik pasti akan digunakan bagi menghalang kemaraan Pakatan Rakyat.
Soalnya, apakah Pakatan Rakyat kini benar-benar berada di atas landasan yang betul, dengan "kelajuan" munasabah, dalam laluannya ke Putrajaya? Sudahkah dibereskan segala kelemahan asasi yang masih menyelimutinya?
Bagaimana dengan persiapan bagi menghadapi rintangan dan hambatan dalam perjalanan berliku itu? Kesatuan dan persefahaman sesama anggota Pakatan Rakyat, bagaimana ya? Apakah ia mudah dirobek-robekkan seperti berlaku kepada Barisan Alternatif sebelum ini? Musuh yang menghalang bukan sahaja tampil dalam bentuk nyata seperti dijangka, malah kerap menerpa dalam situasi tidak terduga.
Sering saya ulangi, disebabkan pilihan raya kali ini bukan lagi untuk menafikan majoriti dua pertiga BN, maka keadaannya menjadi lebih sulit. Kedua-duanya, kewibawaan (juga kelemahan) Pakatan dan BN akan diperhati, disemak, diteliti dan ditimbang semasak-masaknya. Dahulu, jika pengundi hanya bermotif mewujudkan pembangkang yang kuat, keadaan tidak sesulit sekarang apabila rakyat mahu memilih pemerintah yang terbaik bagi pandangan mereka.
Budaya politik baru yang dilihat memberi kelebihan kepada Pakatan Rakyat bukan jaminan BN akan ditolak dalam pilihan raya akan datang. Kini pengundi lebih kritis dan ramai di antara mereka tidak mahu diidentifikasikan dengan mana-mana parti. Mereka lebih bebas untuk membuat pilihan dan tidak mudah terikat dengan sebarang sentimen. Malangnya, dalam masa sama, Pakatan juga masih dilihat meneruskan saki-baki "politik usang" yang boleh menikam diri.
Namun, "jiwa hamba" dan "pemikiran yang terkurung" di kalangan sebahagian besar rakyat belum dapat dibebaskan sepenuhnya lagi. Tanpa usaha gigih, perancangan sistematik, dan daya kreativiti yang tinggi di kalangan aktivis dan jentera Pakatan, segala kongkongan warisan Umno itu masih menebal dan sukar dikikis dalam waktu singkat. Dengan itu, ia masih dilihat memberi kelebihan buat BN.
Umno memang cuba menyembunyikan pergolakan dalamannya terutama apabila berdepan pilihan raya umum. Soalnya, apakah parti-parti dalam Pakatan jua tidak menghadapi masalah yang hampir sama, yang boleh melunturkan kekuatan yang baru dibina ini?
Sekurang-kurangnya di peringkat ini, saya masih meletakkan kekuatan (juga kelemahan) di antara Pakatan dan BN hampir berada pada kedudukan sama. Tiada siapa boleh mendabik dada dapat mengungguli pertandingan paling sengit ini. Perjalanan masih terlalu awal untuk diramalkan.
No comments:
Post a Comment