Thursday, February 17, 2011

Bolehkah industri hiburan, pelancongan negara diIslamkan?

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Hiburan selalu dikaitkan dengan aspek negatif. Ia dilihat sebagai penyumbang keruntuhan akhlak dan perlakuan jenayah. Begitu juga dengan industri pelancongan, yang sering dihubungkan dengan dimensi tidak bermoral. Yang diutamakan hanyalah kebanjiran pelancong asing walaupun kita terpaksa mengorbankan jati diri dan mengoyak-rabakkan warisan unggul.

Sedangkan, hiburan dan aktiviti santai memang diperlukan. Fitrah manusia, khususnya selepas penat beraktiviti, menuntut suasana damai dan menyenangkan tetapi harus bersendikan prinsip luhur.

Kehormatan manusia dan kemuliaan diri tetap dijaga, tidak kira sewaktu beriadah, berhibur, apatah lagi mencari nafkah.

Namun, dalam pemikiran sekularis dan golongan yang memetakkan agama serta menjadikannya juzuk kecil dalam kehidupan - sekali gus tidak menjadikannya tonggak dalam perancangan bernegara - usaha membangunkan ekonomi jarang dipaksikan kepada pembinaan insan seutuhnya.

Hasrat meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara langsung tidak dikembarkan dengan impian membina kualiti manusia yang bersepadu kehebatannya.

Malah, moraliti bukan sekadar urusan individu dan tidak sepenuhnya bersifat relatif, seperti terkandung dalam falsafah liberalisme.

Manakala dalam aktiviti ekonomi, falsafah keadilan dan ihsan harus dilaksanakan, agar ia tidak terbatas untuk memuaskan keperluan jasmani semata-mata sehingga martabat insan turut direndahkan. Justeru, falsafah pembangunan negara mesti diteliti semula.

Kita tidak harus membiarkan ia dikendalikan secara sewenang-wenangnya menurut pemikiran lapuk ekonomi yang tidak manusiawi itu. Yang dikejar hanyalah peningkatan pendapatan negara dan penambahan ribuan peluang pekerjaan.

Walhal "kos hangus" ekoran masalah sosial yang timbul nanti jauh lebih rumit dan mempunyai kesan berangkai yang dahsyat.

Lihat saja tindakan kerajaan BN melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang mahu menjadikan Malaysia sebagai hub hiburan malam bagi memacu dan memperkasa industri pelancongan.

Menurut perancangan ETP, ia akan dilaksanakan dengan penubuhan beberapa kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan "mempakejkan" semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.

Melalui garis panduan baru yang lebih longgar, penghibur antarabangsa akan dikecualikan daripada syarat ketat Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) sekiranya menepati tiga kriteria utama iaitu berjaya menarik sekurang-kurangnya 2,500 penonton bagi setiap pertunjukan, pernah mengadakan persembahan di tiga tempat antarabangsa serta mendapat penarafan kelas A dalam kedudukan 100 teratas bagi carta Billboard dalam lima tahun terdekat.

ETP juga mencadangkan penubuhan zon hiburan di lima negeri, termasuk Lembah Klang yang akan menyaksikan terdapat sekurang-kurang 10 kelab malam menjelang 2014. Kerajaan akan menubuhkan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu dengan pelaburan sebanyak RM467 juta. Jangkaan pulangan hasil pelaburan tersebut adalah sebanyak RM1.8 bilion menjelang 2020.

Rupanya hasrat yang baik untuk merealisasikan matlamat Malaysia sebagai negara maju yang berpendapatan tinggi, tetapi tidak diuruskan secara bijaksana, boleh menjerumuskan warganya dalam kancah krisis yang lebih parah. Sudahlah jurang pendapatan yang makin melebar antara si kaya dan si miskin, pertumbuhan tanpa nilai manusiawi menyebabkan rakyat semakin hilang identiti.

Tanpa perlu menunggu natijah yang menakutkan nanti, perkembangan industri hiburan negara masa kini pun sudah begitu merimaskan. Selamilah keresahan ibu bapa dengan karenah anak-anak muda belia, yang dikepung aneka kemaksiatan. Fenomena globalisasi membawa segala keburukan masuk ke ruang tamu dan kamar tidur di rumah.

Pengaruh dadah, pornografi, budaya hedonistik dan jalan hidup materialistik seakan-akan tidak dapat dikawal lagi. Janganlah diburukkan lagi suasana yang sudah kalut dan meruncing ini. Mengapa mahu "membangun tetapi pada masa yang sama turut meroboh"?

Impian negara maju, apatah lagi "menurut acuan sendiri", terbentang luas untuk dicapai tanpa perlu menghanguskan "sisa-sisa positif" yang kita miliki.

Dalam keadaan hub hiburan belum menjadi kenyataan, cubalah anda susuri kehidupan malam, antaranya sekitar Bukit Bintang dan Jalan Sultan Ismail. Anda mungkin tidak percaya lokasi itu berada dalam sebuah negara yang mengaku Islam adalah Agama Persekutuan.

No comments: