Thursday, June 2, 2011

Pemilihan PAS: Ribut dalam cawan, tapi jangan air tertumpah!

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Pemilihan kepemimpinan PAS kali ini, terutama di peringkat timbalan dan naib-naib presiden, mendapat perhatian agak luar biasa apabila ramai tokoh-tokoh besar bertanding. Bukan sahaja ahli parti dan penyokong Pakatan Rakyat memberi tumpuan dengan penuh minat, malah pihak luar juga lebih tertarik untuk mendekati parti Islam itu. Profil kepemimpinan PAS diteropong, manakala pelbagai analisis dan ramalan dilontarkan.

Perkembangan ini sudah dijangka memandangkan peranan dan kedudukan PAS dalam lanskap politik negara semakin penting, tambahan pula pilihan raya paling kritikal dalam sejarah, bakal diadakan bila-bila masa sahaja.

Apa juga "perubahan" dalam mana-mana komponen Pakatan sudah tentu memberi kesan dan impak kepada barisan oposisi keseluruhannya dalam persiapan berdepan PRU13. Lebih-lebih lagi sokongan pengundi Melayu menjadi rebutan sengit Pakatan dan BN, yang mana PAS dilihat paling banyak bertanding di kerusi majoriti Melayu. Trend pengundian orang Melayu akan diperhatikan secara cermat kerana ia bakal menentukan siapa yang menguasai Putrajaya nanti.

Suasana tambah dramatik apabila di saat-saat akhir menjelang muktamar, semakin ramai tokoh yang bersedia menerima pencalonan. Beberapa calon popular yang sebelum ini mengumumkan tidak akan bertanding, namun berdasarkan situasi mutakhir, termasuk faktor jumlah pencalonan dan pergolakan semasa politik tanahair, telah menimbangkan semula pendirian mereka.

Dalam tempoh singkat, iaitu lebih kurang seminggu sebelum hari pengundian, mungkin ramai yang tertanya-tanya bagaimana bentuk "kempen" yang dijalankan di kalangan perwakilan. Sebenarnya, tanpa perlu menguatkuasakan "pantang-larang" atau etika "berkempen", proses pertandingan dalam PAS dianggap tidak lebih daripada "ribut dalam cawan". "Kempen" dan "lobi" merupakan satu istilah yang kerap dipandang secara negatif dalam PAS.

"Cuma, jangan sampai air dalam cawan tertumpah keluar," kata seorang rakan.

"Apakah perwakilan dari seluruh negara dapat mengenali sepenuhnya misi dan visi calon-calon yang menawarkan khidmat?" tanya seorang pemerhati kepada saya. "Sepatutnya Harakah perlu memberi ruang seadanya buat semua calon timbalan dan naib-naib presiden, agar dapat membantu perwakilan membuat pilihan," cadang seorang pembaca. "Jangan terlalu takut atau memandang hanya sudut negatif pada kempen," tambahnya.

Mungkin terdapat ulasan yang tersasar atau agak keras nadanya terhadap kepemimpinan parti, khususnya dalam media baru. Pastinya bermacam-macam cerita (yang sebahagiannya sukar dipastikan kebenarannya) akan didendangkan sekarang. Namun bagi saya, ia tidak sepatutnya merunsingkan ahli-ahli dan juga pemimpin PAS.

Dari sudut positif, selain perlu bersikap terbuka dan berlapang dada, segala kritikan itu terselit harapan besar dan ini juga secocok dengan kempen seluruh negara, "PAS Ganti Umno". Sebagai parti yang kian berkembang, dan didokong aspirasi pelbagai lapisan rakyat, maka pandangan dan teguran itu harus diolah dengan bijaksana. PAS dan juga Pakatan Rakyat sudah menjadi pentakrif penting fenomena politik Malaysia.

Saya akui kita ketandusan penganalisis politik yang dapat memberikan komentar secara adil terhadap realiti PAS masa kini, baik daripada para wartawan mahupun pensyarah di universiti. Malah, selepas era kepemimpinan ulamak 1982, saya sendiri sukar untuk menamakan seorang tokoh akademik yang benar-benar berupaya mendalami perkembangan PAS.

Hinggakan rakan-rakan wartawan agak buntu untuk mencari "pakar tentang PAS", bagi mengulas dengan baik dan seimbang "pergolakan" yang berlaku menjelang muktamar awal Jun nanti.

Muktamar ini juga tidak seharusnya memesongkan fokus utama aktivis parti daripada mengangkat agenda besar dalam sidang perbahasan. Dalam keadaan ramai yang beranggapan ia muktamar terakhir sebelum PRU13, peluang harus dimanfaatkan sebaik-baiknya terutama ketika masyarakat memberikan tumpuan istimewa terhadap potensi dan kekuatan PAS.


"Elok jika ucapan dasar Presiden PAS dapat memandu perwakilan membincangkan, antara lain, isu-isu mengenai keupayaan PAS untuk menggantikan Umno sebagai teras kerajaan alternatif nanti. Orang Melayu sudah muak dan jelak dengan Umno, tetapi dalam masa sama sebahagian mereka masih ragu-ragu dengan kemampuan PAS untuk mempertahankan kepentingan Melayu," kata seorang pensyarah politik.

"Jangan pandang remeh pengaruh alat propaganda Umno, termasuk Utusan Malaysia dan Biro Tata Negara, yang menabur fitnah dan tohmah terhadap PAS. PAS mesti berani dan lantang membicarakan isu-isu Melayu tetapi bukan dengan wajah perkauman. Memang ia nampak sulit untuk diaplikasi tetapi harus diusahakan dengan cermat atas dasar keadilan Islam. Psikologi Melayu yang mudah merasa terancam mesti ditangani dengan bijaksana. Terus-terang saya katakan, sehingga kini, walaupun selepas pemimpinnya lebih kerap bercakap soal keperluan menarik undi orang Melayu, tetapi imej PAS tidak banyak berubah," tambahnya.

"Bagi saya, masyarakat Melayu mungkin lebih sensitif memerhatikan kedudukan dan pengaruh PAS dalam kerajaan Pakatan Selangor dan Pulau Pinang, berbanding penguasaan PAS di Kedah dan Kelantan sendiri," ujar beliau sambil bersetuju dengan pandangan awal saya bahawa PAS merupakan parti paling kritikal tetapi cukup penting untuk diberi perhatian dalam PRU13.

No comments: