Monday, July 4, 2011

Merayakan hari lahir 9 Julai ini ....

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Hampir sebulan saya tidak mengisi kolum ini. Dalam tempoh itu pelbagai peristiwa menarik -- dan panas -- berlaku. Sayhttps://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiJNJak1r2n8MN3VHw9hV-VHS0atjLMSnULGFDn2FI5_ZDy_CMnnxJK3MMNu_t2uD9w-N1cYr_PeVigkwjQEp08Nr9cwjX1GDGQSEgH-gaxUGqLzGIvZBU28m-3MtuFcP_zGwuSMMfXPkA/s1600/IMG_0065.jpga masih belum sempat mengulas barisan kepemimpinan baru PAS, yang dilihat mencetuskan minat yang agak tinggi daripada masyarakat. Apatah lagi dengan demonstrasi Bersih, yang dijadual 9 Julai depan, dengan segala "kebengongan" yang dicetuskan pihak polis (terutama Timbalan Ketua Polis Negara) dan Menteri Dalam Negeri.

Pada pilihan raya umum 2008, saya balik mengundi di kampung. Walaupun sudah menetap di Kuala Lumpur sejak belajar di UTM pada 1981, setiap kali pilihan raya saya balik menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di kawasan Dun Bukit Kayu Hitam (dahulunya Tunjang) dan Parlimen Kubang Pasu. Kerusi berkenaan memang sukar untuk menang walaupun calon PAS pernah mengalahkan wakil Perikatan, hampir 40 tahun lalu, pada tahun 1969.



Saya hanya ke pusat pengundian, di sekolah lama saya di Kg Pulau Timbul, selepas makan tengahari dan solat Zuhur. Di sebelah paginya saya tertidur kerana keletihan memandu dari Kuala Lumpur semalaman dan terpaksa menempuh hujan lebat. Dalam perjalanan, semasa berhenti di kawasan rehat Bukit Gantang, Lebuh Raya Utara-Selatan, tiada kelihatan tanda-tanda BN bakal menerima nasib malang esoknya, walaupun saya agak pelik melihat begitu ramai anak muda bukan Melayu menyelubungi tubuh mereka dengan bendera PAS.

Seorang daripadanya, gadis manis India berseluar jeans ketat dan memakai baju-T berwarna garang. Sambil tersenyum, dia menayangkan bendera hijau putih sambil menunjukkan tanda bagus kepada saya, dan kemudiannya menyelimuti tubuh langsingnya dengan bendera Parti Islam itu. Saya sekadar mampu membalas senyuman dalam keadaan tertanya-tanya. Tidak terfikir langsung bahawa itu adalah di antara isyarat kecil Makkal Sakhti.

Sebelum melangkah ke pusat pengundian, saya terfikir tentang nilai kertas undi yang bakal saya pangkah. Tiba-tiba terlintas untuk menyatakan amarah dan protes saya terhadap proses dan sistem pilihan raya yang penuh ketempangan itu. Secara spontan saya bertanya ketua tempat mengundi, bolehkah saya koyak kertas undi? Dia yang juga kawan lama saya nampak terkejut. Saya terus mencarikkan kedua-dua kertas undi dan memasukkannya ke dalam peti undi. Maka PAS dan KeADILan hilang satu undi.

Protes insan kecil seperti saya, tambahan pula tanpa perancangan rapi, tentunya tidak memberikan apa-apa kesulitan buat pemerintah dan SPR. Memang ada sepasukan polis dikejarkan ke Sekolah Kebangsaan Hakim Teh apabila berita saya mengoyak kertas undi disebarkan melalui SMS tetapi ia mudah hilang begitu sahaja. Namun bagi saya, ia suatu peristiwa besar yang tidak boleh disesiakan begitu sahaja.

Pilihan raya merupakan proses terpenting dalam sistem demokrasi. Korupsi terbesar adalah rasuah membeli undi dalam pilihan raya yang memungkinkan terbentuknya sebuah kerajaan yang lebih korup lagi. Malah, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang diamanah mengendalikan perjalanan pilihan raya diberi peruntukan istimewa dalam Perlembagaan, Perkara 114: "Pada melantik ahli-ahli SPR, Yang di-Pertuan Agong hendaklah memandang kepada mustahaknya diadakan suatu SPR yang mendapat KEPERCAYAAN AWAM."

Justeru, tuntutan agar sistem pilihan raya kita "dibersihkan" wajar disokong semua pihak, apatah lagi parti-parti politik yang bertanding. Cerita penyelewengan dan konspirasi Umno bersama agensi kerajaan, khususnya SPR, bagi memanipulasi perjalanan pilihan raya, tidak dapat disembunyikan lagi. Rujuk sahaja laporan dan pendedahan Harakah terutama di negeri Selangor, yang mahu direbut kembali Umno dengan apa jua cara sekalipun.

Mungkin kepada Umno, sebahagian dakwaan itu agak keterlaluan. Dan inilah peluang untuk Umno-BN membuktikan keabsahan kuasanya, dengan bersikap telus dan terbuka, agar segala tuduhan yang mencemar kewibawaannya sebagai parti pemerintah dapat ditangkis dengan berkesan. Soalnya, Umno tidak pernah mempedulikan soal kehormatan dan harga diri; yang dipentingkannya adalah survival kuasa. Dan itulah juga yang sentiasa ditekankan pemimpinnya -- Umno tanpa kuasa langsung tidak ada gunanya!

Di pihak SPR pula, mereka tidak perlu melatah mencipta daleh. Pengerusi, (terutama) timbalannya dan setiausaha badan itu mutakhir ini dilihat bersuara bagi pihak Umno. Kepercayaan awam yang sepatutnya dimiliki SPR, seperti dijamin Perlembagaan, sudah ternoda sekian lama. Di mana maruah anggota SPR yang secara terbuka dipersoal kejujuran dan sikap profesional mereka? Mungkin sikap berkecuali mereka sudah lama lebur.

Memang terdapat tuntutan Bersih yang tidak mungkin dipenuhi SPR atas alasan di luar bidang kuasanya. Bagaimanapun SPR harus bersifat proaktif, dengan memanfaatkan ruang dan peluang untuk melakukan penambahbaikan, termasuk cadangan mereformasikan proses pilihan raya kepada kerajaan. Malangnya, tuntutan mudah di bawah kuasa SPR, seperti tempoh minimum 21 hari kempen pun cuba dicari alasan yang bukan-bukan. Pengerusi SPR mendakwa banyak lagi parti politik lain yang mahu masa kempen dipendekkan. (Kita sendiri teringin nak tahu parti mana yang dimaksudkan itu, dan mengapa pula permintaan mereka begitu diambil berat).

Manakala tindakan bebal pihak polis yang begitu gerun dengan warna kuning begitu melucukan dan bersikap "kebudak-budakkan". Bayangkan, gara-gara memakai baju Bersih di mesyuarat bulanannya 29 Jun lalu, seramai 23 orang ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dipanggil polis untuk merakam kenyataan mereka. Lebih gila lagi, ada tangkapan dibuat di Batu Gajah, Perak, kepada mereka yang memakai baju kuning di dalam, sedangkan mereka memakai baju lain di luarnya. Mengharamkan kemeja-T kuning Bersih dan menjadikan pemakainya melakukan kesalahan jenayah adalah tindakan "paling bodoh" yang hanya akan diketawakan dunia.

Namun, dari sisi lain, lagak Timbalan KPN, Khalid Abu Bakar lebih menjengkelkan. Mungkin dia mahu mengulangi perangai bekas bosnya Rahim Noor, yang mahu kelihatan keras dan ditakuti tetapi akhirnya dikutuk masyarakat. Ramai hairan mengapa Khalid kerap menggantinya ketuanya, Ismail Omar dalam isu-isu kritikal dan genting. Sewaktu Ismail menampilkan imej lebih terbuka, Khalid terus menutup pintu rundingan, selain secara sewenang-wenangnya menghamburkan kata-kata "yang menyakitkan hati".

Seaktu jaminan Bersih untuk memastikan perhimpunan 9 Julai berjalan aman diperlekeh polis, tiba-tiba saja lebih 300 penyokong Umno berdemonstrasi di Pulau Pinang, selepas solat Jumaat, 1 Julai lalu. Selain mengecam Ketua Menteri Lim Guan Eng, mereka berarak mengelilingi Komtar dan bertindak nekad duduk di atas jalan raya sehingga menganggu lalu lintas.

Malaysiakini melaporkan, semasa kumpulan itu melalui Jalan Chulia dan Jalan Carnavon menuju ke Komtar, mereka juga memecahkan cermin kereta-kereta di sepanjang jalan.
Mereka turut bertindak ganas dengan menolak dua jurugambar - seorang daripada akhbar Cina manakala seorang seorang lagi daripada stesen TV.

Cuba bandingkan dengan perarakan aman Sabtu akan datang. Mesej dan tujuan Bersih jelas; mahu menghadap Agong menyampaikan memorandum menyelamatkan demokrasi dan memulihkan kepincangan pilihan raya. Ia bukan seperti igauan ngeri Najib Razak yang sentiasa mengaitkannya dengan Medan Tahrir di Mesir.

Peserta demonstrasi aman Bersih bukan mahu mendesak Najib berundur seperti rakyat Mesir menggesa agar Hosni Mubarak digulingkan. Mereka hanya mahu suara dan tuntutan didengar dan diberi perhatian segera. Selesai memorandum diserahkan, mereka akan bersurai. Mereka bukannya mahu berkampung sehingga permintaan itu dipenuhi, tidak sama sekali. Jika tidak diganggu, dalam masa lebih kurang dua jam segalanya selesai. Tiada keganasan, tiada huru-hara, tiada pukulan belantan, tiada pemedih mata, tiada water cannon.

Saya pun mahu meraikan hari lahir saya pada 9 Julai itu di sekitar ibu kota, berpakaian kuning, dengan hidangan pulut kuning ... bisakan? Dan semoga tidak sia-sia saya mengoyak kertas undi pada 8 Mac 2008 lalu, 'kan?

No comments: